Jumaat, April 25, 2008

Catatan Setelah Lama Berdiam






Lama juga berdiam kerana masa agak terhad untuk menurunkan catatan. Banyak perkara yang berlaku sebenarnya. Akan tetapi ketiadaan ruang untuk bersantai menyebabkan aku tidak menurunkan apa-apa catatan sejak beberapa hari yang lalu. Yang pertama kesibukan dan beban tugas yang semakin menekan pundak dan jiwa. Sesekali aku terasa semua pihak mahu meletakkan bebas tugas itu kepadaku. Atas alasan aku akan mendapat kredit daripada beban yang diletakkan itu. Sebenarnya semua itu hanyalah alasan supaya aku mudah menerima walaupun sebenarnya seorang penerima yang baik dan tidak suka menolak apa-apa sahaja yang diamanahkan. Cuma adakalanya keadaan bertukar menjadi 'mengambil peluang'. Aku jadi teringat arwah rakanku Mohd Ismail yang begitu positif dengan permohonan orang mendapatkan bantuan sehingga dirinya sendiri menghadapi masalah.

Kini aku barangkali mengalami keadaan yang serupa. Namun aku tidak pernah menyesal untuk menjadi seorang penerima yang baik, pendengar yang setia, dan pemberi yang ikhlas. Hanya sekadar menumpahkan perasaan yang mencuit bucu hati. Ada beberapa ilham untuk menulis tetapi tidak terlaksana. Tentang nasi, beras, dan padi yang menjadi isu masa kini. Nasib bangsa Melayu kini macam nasi yang semakin menjadi bubur, menjadi beras yang dimakan bubuk, dan menjadi padi yang tegak berhampa. Tambahan pula beras semakin menjadi eksklusif walaupun makanan ruji orang kita. Tidak lama lagi hanya orang-orang kaya, orang politik, dan orang berniaga sahaja yang akan makan nasi, kerana nasi sudah menjadi makanan orang kaya.


Berada di laut ketika senja berlabuh adalah sesuatu yang mendamaikan. Melihat mantari terbenam dan cahaya membias dari muka laut semacam satu melankolia yang tidak terungkapkan. Betapa jiwa ini terlalu tersentuh melihat kejadian alam ciptaan Ilahi. Ketika inilah aku menyedari bahawa alam ini anugerah yang sangat berharga dari-Nya.


Berada di pantai Morib suatu senja bersama-sama isteri, untuk melepaskan tekanan seharian mengasak minda. Alangkah indahnya...

Ahad, April 13, 2008

Majlis Persaraan GKP1


Majlis persaraan GPK 1 telah diadakan di Botanic Resort, Klang. Aku diamanahkan oleh mendeklamasikan puisi dalam majlis tersebut. Suasana majlis agak meriah, tetapi tempatnya agak sempit dan kurang selesa. Hanya pemandangan sekitar agak menarik, dikelilingi kolam mandi, dan suasana menghijau.

Rabu, April 09, 2008

Sebuah Puisi Sempena Persaraan GPK1

Bak Air Yang Mengalir

Bak air yang mengalir.
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku!

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
yang terkhilaf dimaafi,
yang sesal diinsafi,
yang lebih dibahagi,
yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,
Tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka tidak berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu bumbu,
Kerana sekali dipanggil guru,
selamanya pun bergelar guru.

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa,
Bilik darjah dan anak-anak keletah,
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas,
Bilik guru dan timbunan buku,
Ruang kantin tempat mesra terjalin.

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah,
Bercampur gembira bersisip gundah,
Bergema didikan beralas madah,
Selamat tinggal sebuah tempat bernama sekolah!

Selamat datang persaraan,
Kerana segalanya hanya kesementaraan,
Melengkapi perjalanan,
Sebuah kehidupan!

Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu,
Di sini kami pasti merindu,
hakikat seorang individu,
guru penolong kanan satu.
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu,
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu!

Selamat berangkat dalam doa berkat,
Selamat istirahat dari segala muslihat,
Selamat bersara dengan senyuman mesra!
Senyumlah seindah suria,
Setelah mencurahkan segala-galanya,
Pasti beroleh keredaan-Nya.

Bak air yang mengalir,
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir!

Ghazali Lateh
Kalumpang Resort and Training Centre,
31 Mac 2008


Tentang Kucing yang Mahu Menyalak


Baru-baru ini heboh kisah Sufiah, bekas seorang 'genius' yang menjual dirinya untuk membiaya kehidupan. Heboh juga pihak-pihak yang mahu menyelamatkan wanita tersebut. Perkara ini sebenarnya membangkitkan pertanyaan. Antaranya, lebih banyak wanita Melayu yang menjual maruah di negara kita, mengapakah tidak ada usaha untuk menyelamatkan mereka, sedangkan mereka rakyat Malaysia, orang Melayu, beragama Islam. Yang manakah menjadi keutamaan kita sebenarnya. Adakah kita hanya mahu mencatatkan nama sebagai penyelamat, sedangkan di sekitar kita sendiri tidak dapat kita urus dengan sempurna? Renungkan... Kadang-kadang orang kita tidak ubah seperti kucing yang mahu menyalak macam anjing...



RAYA 2017