Jumaat, April 25, 2008

Catatan Setelah Lama Berdiam






Lama juga berdiam kerana masa agak terhad untuk menurunkan catatan. Banyak perkara yang berlaku sebenarnya. Akan tetapi ketiadaan ruang untuk bersantai menyebabkan aku tidak menurunkan apa-apa catatan sejak beberapa hari yang lalu. Yang pertama kesibukan dan beban tugas yang semakin menekan pundak dan jiwa. Sesekali aku terasa semua pihak mahu meletakkan bebas tugas itu kepadaku. Atas alasan aku akan mendapat kredit daripada beban yang diletakkan itu. Sebenarnya semua itu hanyalah alasan supaya aku mudah menerima walaupun sebenarnya seorang penerima yang baik dan tidak suka menolak apa-apa sahaja yang diamanahkan. Cuma adakalanya keadaan bertukar menjadi 'mengambil peluang'. Aku jadi teringat arwah rakanku Mohd Ismail yang begitu positif dengan permohonan orang mendapatkan bantuan sehingga dirinya sendiri menghadapi masalah.

Kini aku barangkali mengalami keadaan yang serupa. Namun aku tidak pernah menyesal untuk menjadi seorang penerima yang baik, pendengar yang setia, dan pemberi yang ikhlas. Hanya sekadar menumpahkan perasaan yang mencuit bucu hati. Ada beberapa ilham untuk menulis tetapi tidak terlaksana. Tentang nasi, beras, dan padi yang menjadi isu masa kini. Nasib bangsa Melayu kini macam nasi yang semakin menjadi bubur, menjadi beras yang dimakan bubuk, dan menjadi padi yang tegak berhampa. Tambahan pula beras semakin menjadi eksklusif walaupun makanan ruji orang kita. Tidak lama lagi hanya orang-orang kaya, orang politik, dan orang berniaga sahaja yang akan makan nasi, kerana nasi sudah menjadi makanan orang kaya.


Berada di laut ketika senja berlabuh adalah sesuatu yang mendamaikan. Melihat mantari terbenam dan cahaya membias dari muka laut semacam satu melankolia yang tidak terungkapkan. Betapa jiwa ini terlalu tersentuh melihat kejadian alam ciptaan Ilahi. Ketika inilah aku menyedari bahawa alam ini anugerah yang sangat berharga dari-Nya.


Berada di pantai Morib suatu senja bersama-sama isteri, untuk melepaskan tekanan seharian mengasak minda. Alangkah indahnya...

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...