Selasa, Ogos 26, 2014

Travelog Surabaya

Indonesia menawarkan banyak lokasi menarik untuk dilawati. Surabaya merupakan salah satu daripadanya. Dari Surabaya pelancong dapat pergi ke beberapa destinasi wisata lain yang berhampiran.







Saya telah melancong ke Surabaya pada awal April, selama lima hari. Pelancongan tanpa pakej ini sengaja saya pilih kerana mahu meneroka sendiri destinasi tersebut tanpa memerlukan kos yang tinggi. Saya tiba di Bandara Juanda, Surabaya dalam jam 1.00 tengah hari. Selepas mendaftar masuk di hotel, saya terus mengambil teksi untuk ke pusat bandar Surabaya. Ternyata Surabaya dipenuhi dengan pusat beli-belah yang besar-besar. Saya keTunjungan Plaza dan suasana di pusat beli-belah tidak banyak bezanya daripada Kuala Lumpur pemandangannya. Pada hari saya tiba itu merupakan cutiumum di Indonesia sempena pilihan raya umum di sana.  Pusat beli-belah mengadakan jualan murah sempena pemilu (pilihanrayaumum). Segenap bahagian pusat tersebut penuh dengan manusia. Menang ternyata, barangannya sangat murah berbanding di Malaysia.
Hari kedua saya ke Pasar Kapasan iaitu pusat grosir yang besar di Surabaya. Kemudian saya dibawa menyeberang ke Pulau Madura melalui Jambatan Suramadu yang menghubungkan pulau Jawa dengan Madura. Pemandangan di Madura agak berbeza kerana sebahagian besar kawasannya masih dipenuhi sawah tradisional. Sesuatu yang menarik di Surabaya ialah ketiadaan pengamen (pemuzik jalanan)  seperti yang terdapat di Jakarta, Bandung, dan Jogjakarta.  Pengemis jarang-jarang kelihatan. Apabila ditanya tentang keadaan tersebut, pemandu kereta sewa berkata pihak berkuasa Surabaya tidak membenarkan penduduknya mencari nafkah dengan di jalanan.

Hari ketiga saya menyewa kereta untuk ke Malang. Dengan bayaran sewa 800 ribu rupiah (lebih kurang RM240.00), saya dibawa ke arah selatan. Di Sidoarjo, terdapat satu kawasan perusahaan membuat barangan dari pada kulit. Banyak sekali penguasaha kulit sapi (lembu) di kawasan itu. Kemudian kami berhenti untuk melawat Taman Safari di Pandaan.Banyakjugabinatang liar di situ, dilepaskan bebas kecuali haiwan-haiwan ganas yang dipisahkan dengan kolam. Khabarnya, Taman Safari itu merupakan yang kedua di Indonesia. Dalam perjalanan kami berhenti untuk melawat kesan tragedy lumpur Lapindo. Menurut penduduk di sekitar, tragedi tersebut terjadi apabila kerja-kerja penggalian telaga minyak telah menyebabkan lumpur membuak keluar sehingga menenggelamkan 16 buah kampung.
 Kemudian saya dibawa ke kawasan wisata agro. Di kebun buah-buahan, pakej tiketnya termasuk aktiviti memetik buah epal, jambu, dan limau. Makanan juga disediakan kepada pengunjung mengikut pakej yang dipilih. Aktiviti ini sangat menarik kerana buat pertama kali saya berpeluang memetik buah epal. Dalam perjalanan pulang saya singgah di Kota Malang yang tidak kurang menariknya.  Malang dilihat sebagai sebuah kota pendidikan kerana terdapat beberapa buah universiti yang besar.
Di Indonesia, kota-kotanya terkenal dengan alon-alon atau pasar petang hingga malam.  Bermacam-macam barangan dijual di alon-alon. Saya singgah di alon-alon Kota Malang untuk membeli ole-ole. Saya tertarik dengan gelagat orang yang menggunakan monyet untuk mencari rezeki. Pertunjukan monyet itu berlangsung hingga ke malam.
Hari keempat saya ke Gunung Bromo. Perjalanan ke sana melalui beberapa buah Bandar seperti Bangil, Pasuruan, dan Probolinggo. Gunung Bromo merupakan kawasan tanah tinggi yang ditanami dengan sayuran (seperti Cameron Highland). Uniknya di puncak Gunung Bromo pemandangannya amat berbeza.Saya terpaksa menyewa Jeep pacuan empat roda untuk ke kawasan kawah gunung berapi. Sebelum itu saya dibawa ke kawasan Pasir Berbisik dan savana. Pemandangan di sini sangat unik kerana tumbuhannya seperti di kawasan savanna. Akhirnya, saya ke kawah gunung berapi yang masih mengeluarkan asap.  Untuk sampai ke kawasan tangga pendakian, saya terpaksa menunggang kuda. Kemudian saya terpaksa memanjat 250 anak tangga sebelum dapat melihat kawah gunung berapi yang sangat menggerunkan. Keadaan kawah sangat curam dan dalam. Asap bergumpal naik dan mengeluarkan bunyi yang menyeramkan.  Kebetulan ketika saya sampai tidak ada orang lain di situ kerana hari sudah petang. Setelah turun, saya berasa sangat penat dan kaki saya membengkak kerana pendakian tangga yang curam itu. Akan tetapi adalah tidak lengkap jika pengunjung tidak mendaki tangga kawah itu sekiranya ke GunungBromo.

Selasa, Ogos 19, 2014

Ilham Rasa

Ingin kurajut kabus
seusai hujan senja
menjadi permaidani malam
alas tidur yang tenteram.

Namun jemari terikat waktu
hingga benih ilham pun terbiar
kering di sudut fikir
semua janjipun termungkir.

Begitu suara hujan merengek
membangkitkan lena sekali sekala
kerana sering terhidu wangimu
dalam mimpi nan syahdu.

Datanglah kabut, hujan, dan rindu
kerana aku ingin berlari seperti dulu
mengutip putik-putik puspa kecil
yang disisihkan orang
menjadi hiasan hidup
yang terbaik.

Jangan berhenti bermimpi
sehingga larian semakin longlai
dan rebah di lorong hayat
menuju ke destinasi kudus
dalam doa yang mulus.

Dangau Marhaen,
26/4/2014

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...