Khamis, April 29, 2010

Malam Kelakian Siri 2


Bergambar kenangan dengan En. Saifuddin
Seperti biasa, staff lelaki akan mengadakan 'Malam Kelakian' untuk meraikan perpindahan juruteknik ICT kami iaitu Encik Saifuddin Ismail. Beliau akan berpindah ke Batu Pahat, Johor. Kami berasa kehilangan seorang rakan yang sangat baik, mudah memberikan bantuan dan pertolongan apabila kami memerlukan terutama dalam bidang IT dan komputer. Malam Kelakian Siri 2 ini diadakah di restoran makanan laut Juvita yang terletak di Kanchong Darat. Terima kasih diucapkan kepada Mr. Palaniappan kerana bersusah payah menganjurkan jamuan tersebut dengan jayanya walaupun dalam keadaan yang sibuk dan masa yang terhad. Tidak lupa juga kami ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Encik Saifuddin yang akan mendirikan rumah tangga pada 26 Jun 2010 nanti.

Rabu, April 28, 2010

Salah siapa?

Tragedi remaja maut akibat ditembak oleh polis mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Sebagai manusia kita amat bersimpati dengan kematian yang tragis itu. Namun, tindakan menuding jari pada pihak polis juga tidak harus dilakukan secara membuta tuli. Memang polis mempunyai alternatif lain untuk bertindak. Dalam kes ini, saya rasa kita tidak wajar menyalahkan polis secara tuntas.
Ibu bapa mangsa wajar mempertikaikan tindakan ini kerana memang ahli keluarga mereka yang terlibat. Persoalannya sekarang bagaimana remaja berusia 15 tahun, memandu kereta, pada waktu tengah malam menjelang pagi. Apakah tindakan arwah itu tidak diketahui oleh warisnya? Wajarkah seorang remaja dibenarkan memandu oleh penjaganya? Wajarkah remaja berkenaan bertindak agresif semata-mata tidak mahu ditahan oleh polis? Adakah faktor lain yang menyebabkan perkara itu berlaku?
Apa-apapun, saya lihat sudah banyak pihak yang mengambil kesempatan dalam kes ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan parti-parti siasah tampil untuk menjadi juara dalam kes-kes seperti ini. Akan tetapi bagi saya, menyalahkan pihak polis tanpa usul periksa bukanlah tindakan yang bijak. Tindakan ini akan menjatuhkan moral pasukan polis untuk menjalankan tanggungjawab. Sebagai kakitangan awam, saya berpendapat tindakan pihak polis tersebut perlu dipertahankan oleh pihak kerajaan.
p/s hanya pandangan peribadi saya. Apakah pula pandangan tuan-tuan?

Selasa, April 27, 2010

Jika Kau Fahami, Anakku!

Jika kaufahami pengorbanan kami anak-anakku,
Kau pasti tidak menghampakan,
Kerana kami tidak pernah jemu,
Mendidikmu sepenuh daya,
Mengajar kamu hidup berjaya.

Jika kaufahami didikan kami anak-anakku,
Kau pasti tidak berpaling muka,
Untuk mendengar kata-kata,
Memberi nasihat dan segala petua,
Menjadi bekal di hari tua.

Jika kaufahami iltizam kami anak-anakku,
Yang mengajar sebutir huruf,
Yang kaususun menjadi kata,
Yang mampu kautulis baca,
Pasti kau tidak terlupa,
Setiap butir keringat tetap berharga.

Jika kaufahami anak-anakku,
Siapa yang mengajar sebutir angka,
Yang kau cantum membentuk hari muka,
Menukar hidup menjadi bermakna,
Pasti kau akan berkata,
Aku tidak akan mengenal dunia,
Tanpa guru yang menabur jasa.

Kami tidak meminta balasan permata, anakku,
Cukup sekadar kamu menjadi manusia berilmu,
Memegang agama, menjunjung bangsa,
Memimpin nusa, mencipta bahagia,
Pasti kami sangat berbangga.

12/5/03

Isnin, April 26, 2010

Beberapa Hari Yang Terleka


Beberapa hari yang terleka dan terluka
diulet khabar tentang pilihan raya
membaca catatan di alam maya
pelbagai cara pelbagai gaya.

Aku hanya pembaca setia
tidak tercetus mahu ikut serta
kerna kutahu siasah begitu adanya
penuh dengan baik buruknya.

Biarlah mereka yang berjiwa besar
membawa perjuangan tiada gentar
kita di bawah ala kadar
jangan sampai semuanya tersasar.

Semuanya selesai sudah-sudahlah
telah lama kita asyik berbalah
tiada yang betul tiada yang salah
buatlah yang baik di jalan Allah.

26/4/2010

Jumaat, April 23, 2010

Bungkam

Bungkam aku kiranya pena hilang tinta
dan bibir hilang bahasa
kerana dengan bicara yang luka
nanarnya makin terasa
sepanjang usia.


Gagal kucari titik-titik petanda
yang memberatkan timbangan neraca
lantaran sukma ditekan pancaroba
hingga hilang aroma
wangian cinta.


Begitulah aku
yang bungkam melihat terik gelisah
membakar semua lembaran sejarah
kiranya masih ada sang perawi kisah
ceritakan pada anak-anak baru melangkah
akan sukarnya merungkai telingkah
di sudut dendam yang parah.


Bungkamlah
andainya itulah yang terbaik
untuk memujuk resah gundah
yang semakin menjajah
wilayah rasa yang pasrah.


23/4/2010

Khamis, April 22, 2010

Syair Guru

Inilah kisah kerjaya mulia,
Mendidik mengajar selagi terdaya,
Ibarat lilin memberi cahaya,
Bukan balasan harta pintanya.

Guru itu sanggup berbakti,
Membentuk insan mulia pekerti,
Kejayaan murid sangat bererti,
Jasa dikenang sampai ke mati.

Daripada guru kita belajar,
Huruf dan angka disebut lancar,
Membaca mengira tiada sukar,
Jiwa yang lemah menjadi mekar.

Jika berkasar bukannya marah,
Dia mengajar menunjuk arah,
Masa depan hendaknya cerah,
Ke mana pergi rezeki murah.

Awal pagi guru pun datang,
Bakti dicurah sampai ke petang,
Murid disayang mahu ditatang,
Mendorong minda bijak dan matang.

Bukan kaya ukuran harta,
Murid berjaya itulah semata,
Jasa dikenang bukan diminta,
Sehingga saat menutup mata.

Sekali guru selamanya begitu,
Sentiasa berikhtiar tiada buntu,
Melepas musibah satu persatu,
Jaya akhirnya sudahlah tentu.

Tiada guru yang buruk sikapnya,
Menjadi teladan mulia hatinya,
Senang merujuk tempat bertanya,
Semua yang kusut lerai akhirnya.

Di mana sahaja sedia berkhidmat,
Tutur katanya sentiasa cermat,
Tingkah laku selalu berhemat,
Jadi ikutan pasti selamat.

Guru pemangkin hasrat wawasan,
Mendidik memimpin tiada bosan,
Mengharap balas bukan alasan,
Jadilah guru sanjungan insan.

Sering guru memberi nasihat,
Jauh segala gejala tak sihat,
Jangan dicuba tipu muslihat,
Di dalam hati terus terpahat.

Ilmu itu sentiasa dicari,
Jadilah guru manusia bestari,
Banyak membaca lengkapkan diri,
Elakkan utama kepentingan sendiri.

Jangan bezakan diri pelajar,
Semua mereka sama diajar,
Nama gelaran jangan dikejar,
Buatlah yang baik selagi wajar.

Bukan pangkat jadi taruhan,
Tetapi berkat jadi pilihan,
Buat amalan ikut suruhan,
Martabat bangsa itu tempahan.

Jika ada murid yang nakal,
Guru yang bijak mengguna akal,
Kuatkan azam hatipun cekal,
Didikan yang baik perlu dibekal.

Falsafah negara itu matlamat,
Hidup harmoni semua selamat,
Cabaran wawasan jadikan azimat,
Kukuh iltizam di hati tersemat.

Demikian sudah resamnya guru,
Yakin terpuji tiada terburu,
Sedia berbakti segenap penjuru,
Pembimbing masyarakat ke alaf baru.

Ghazali Lateh.
(Dewan Sastera, Mei 2006)

Selasa, April 20, 2010

Kalau Sudah Politik...

Pujuk rayu
minta bantu
janji tunggu

sergah marah
fitnah sanggah
ugut bantah

herdik cerca
keji nista
kutuk dakwa

kalau masuk politik
semuanya perlu tahan kritik
jangan melatah kalau dijentik

p/s penilaian saya senang sahaja, kalau sesebuah parti siasah itu masih belum berjaya menawan hati rakyat walaupun berpuluh-puluh tahun ditubuhkan, parti itu sebenarnya sebuah pergerakan yang gagal.

Melawat I-City, Shah Alam




Malam hari minggu yang lalu saya sempat membawa anak-anak melawat ke I-City di Seksyen 7, Shah Alam, ketika saya menghantar anak lelaki saya balik ke hostel. Suasana malam di I-City memang sangat menarik. Pengunjung juga ramai sehingga menyebabkan kesesakan. Pelbagai replika yang dipasangkan lampu menjadikan suasana sangat indah.

Jumaat, April 16, 2010

Kitalah Itu

Kitalah itu,
yang melukis pada sebuah kanvas
memercikkan warna-warni kehidupan,
cerialah citra
sebuah bangsa merdeka
sebuah negara tercinta.

Kitalah itu,
yang mengukir arca wawasan
dengan tukul semangat
dan pahat keazaman,
mengupas karat peradaban
mengikis hitam perlakuan,
tugu generasi kita tegakkan
menjulang teras kedaulatan
lambang sebuah keunggulan.

Kitalah itu,
yang membina jambatan
menghubung era hadapan
meniti mercu kemajuan,
dengan lidah dan tangan
kita kibarkan kemegahan
kita semarakkan perjuangan!

Kitalah itu,
yang bernama guru
tidak mengenal erti jemu
mendidik memberi ilmu
agar anak-anak watan
tidak hanyut sendirian
di laut hasutan dan bisikan
tumpas mencari haluan.

Kitalah ...
yang sekali dipanggil cikgu
seumur hidup pun begitu
Guru tetap menjadi guru
biar sapa membisu
biar tingkah menjadi kaku.


Ghazali Lateh
Banting,
28 Mac 1998

Khamis, April 15, 2010

Jangan Kita

Jangan kita terlalu banyak meminta
kerana kita akan kehilangan daya usaha
meminta dan meminta
menjadikan kita hilang upaya
untuk berusaha
dan berjaya.

Jangan kita terlalu banyak mengharap
kerana kita akan menjadi lembab
mengharap dan mengharap
menjadikan kita kurang cekap
untuk menggilap
permata yang malap.

Jangan kita terlalu banyak mendengki
kerana kita akan mudah dirasuki
dengan iri dan jaki
menjadikan kita hilang rezeki
untuk mendaki
puncak yang tinggi.

Bersainglah bangsaku
tingkatkan ilmu
kuatkan jiwamu
sainglah semua seteru
untuk sampai ke mercu.

15/4/2010

Rabu, April 14, 2010

Zon Selesa


Kata orang saya berada dalam zon selesa. Kunjungan kawan-kawan lama dan baharu turut mengesahkan dakwaan itu. Benarkah? Saya tidak pernah berasa diri ini sangat selesa. Kata mereka saya wajar bergerak lebih jauh. Akan tetapi saya tetap menangguhkan pergerakan. Saya tetap saya yang sering melihat dari sudut buruk dan baiknya. Apa-apapun, saya tetap bersyukur kerana dilabelkan begitu, dan saya berharap kata-kata itu seperti doa pendek untuk kesejahteraan saya. Yang penting saya tetap bersyukur ke hadrat Ilahi dengan anugerah yang diberi.

Selasa, April 13, 2010

Kenangan di Bandung : Cari Makan

Sengaja saya masukkan gambar yang saya ambil di Bandung ketika kunjungan saya bulan lepas. Gambar-gambar ini adalah sebahagian daripada gambar yang saya rakamkan. Gambar menunjukkan kreativiti orang Bandung mencari rezeki. Mereka menggunakan pelbagai sumber, bakat, dan kreativiti untuk mencari rezeki. Dua orang pemuda dalam gambar di atas ialah 'pengamen' iaitu pemain muzik jalanan yang beroperasi di persimpangan jalan. Mereka akan menyanyi sambil memetik gitar. Bayarannya hanya 1000 rupiah atau bersamaan 0.36 sen. Gambar paling atas pula memaparkan kreativiti orang Indonesia berniaga. Walaupun hanya menggunakan warong bergerak, saya lihat pelbagai barangan dijual. Pemandangan ini sangat biasa di Bandung dan kawasan kumuh Jakarta.



Masalah Sosial

Pada hari Ahad yang lalu, saya menghantar anak saya balik ke asrama di Lembah Pantai. Dalam perjalanan pulang saya berbincang tentang masalah sosial dengan isteri saya ketika saya memandu. Waktunya dalam lingkungan 9.40 malam. Tiba-tiba ketika saya memotong sebuah kereta Proton Saga berwarna biru isteri saya terdiam. Kemudian dia menyuruh saya memperlahankan kereta dan membelok ke tepi. Kereta Proton Saga tadi memotong kami semula. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati pemandu dan penumpang kereta berkenaan sedang berpelukan dan berciuman. Yang perempuannya bertudung. Keadaan kereta yang agak tinggi menjadikan semua perlakuan itu sangat jelas pada pandangan mata kami.
Isteri saya menyuruh saya mengekori kereta berkenaan dan membunyikan hon. Saya malas hendak ambil kisah. Kemudian saya membuat keputusan untuk memotong kereta tersebut. Ketika kereta saya beriring dengan kereta tersebut isteri saya mengambil tindakan membuka cermin dan menjerit ke arah pasangan yang sedang berada di dalam kereta berkenaan dengan kata-kata "Tak malu ke ...............!!"
Nampak ada kekagetan di pihak lelaki yang sedang memandu itu, tetapi yang perempuannya buat macam tak bersalah dan tidak ada apa-apa. Saya melihat cermin dan mendapati kereta tersebut terus dipandu perlahan.
Natijahnya, masalah sosial dalam kalangan masyakarat kita susah untuk dibendung. Perkembangan dunia hari ini menjadikan manusia sukar untuk ditentukan pandangan dan persepsi. Marilah kita sama-sama menjaga kaum keluarga, anak-anak, dan saudara-mara kita agar masalah ini dapat dibendung walaupun tidak dapat dihapuskan.

Isnin, April 12, 2010

Racun

Kulihat di hadapan perjalanan
lebih banyak racun yang tertuang
menggugat atas nama kemahuan
menjadi juara bangsa.

Kata-kata di podium siasah
lebih banyak memudaratkan
kerana kuasa menukar manusia
menjadi serigala
menjadi dubuk savana
meratah apa-apa sahaja
biarpun meruntuhkan agama.

Kulihat racun membuak
di mana-mana
membunuh bangsa
memesong agama
dan demi kuasa dunia
ulama sudah mula menukar pesona
sang badut semakin bijak berbusana.

Aku ingin menyendiri
kerana racun memenuhi pawana
dan kita semakin terkesima
diladeni dogma sandiwara
manusia-manusia hina
kemaruk kuasa.

Banting,
12/4/2010

Sabtu, April 10, 2010

Aktiviti Masa Lapang

Antara aktiviti hujung minggu saya dan isteri ialah berkebun bunga. Pokok kesinai ini saya beli di Beseri, Perlis beberapa tahun yang lalu. Ada beberapa lagi pokok kesinai saya yang sudah mula membesar dan menghijau.

Khamis, April 08, 2010

Menjadi Bunga

Menjadi bunga
idaman semua
tidak semestinya aneka warna
tapi mengimbau pesona
ke ufuk saujana.
menjadi bunga
hiasan halaman
tidak semestinya wangi
tapi membawa seri
di laman hati.
8/4/2010

Selasa, April 06, 2010

Menunggu Perasmi

Sudah sejam termangu-mangu
menunggu tetap terus menunggu
detik waktu terus berlalu
yang ditunggu belum bertamu.

Perasmi dinanti tak kunjung tiba
sejam lewat macam tiada apa-apa
budaya buruk masyarakat kita
membuang masa menjadi agenda.

Perasmi mestilah jawatan besar
pengurusan waktu jangan tersasar
orang menunggu hatinya gusar
tuan dicemuh kata yang kasar.

Wahai perasmi tepati waktu
baru tampil khidmat bermutu
menjadi ketua bukannya begitu
tunjukkan teladan diikut tentu.

Adakah budaya memang begini
penghalang jaminan masyarakat madani
semaikan di sudut jiwa nurani
jadilah pemimpin orang segani.

Summit USJ,
3/12/2009

Jumaat, April 02, 2010

Melankolia


Bayu berbisik di celah gelap malam
suara alam pun mendayu
mengalunkan ritma semilir
ketika khabar sepi bertandang
bersama gerimis mendatang.

Hiba tiba-tiba berbunga
aneka warna sirna dimamah gelora jiwa
kandil yang terpadam tiba-tiba
menambah pekat maya
hilang secebis cahaya.

Tiada apa lagi yang tinggal
hanya sebuah sketsa yang janggal
semua rindu telah jatuh berciciran
ditelan halimunan
saat melankolia berawangan
di pasung angan.

Inilah perjalanan
yang hilang arah haluan
di sini termangu lagi
menunggu lengkung pelangi
terbit di layar mimpi.
Banting,
2/4/2010

Khamis, April 01, 2010

Hujan Sore


Hujan sore menutup mega di ufuk
senja kehilangan warna jingga
aspal melantunkan butiran dari langit
terhimbau segala rasa
ke dasar sukma.

Entah mengapa hujan membawa kesima
semua deria terbawa ke alam nostalgia
hiba pun menggila
meruntun atma ke alam duka
lara berhimpun di layar pesona.

Titis-titis gerimis mula membiak
menabiri horizon hidup
menyembunyikan detik-detik berlalu
di sebalik ritma syahdu
melodi kenangan yang sendu.

Akulah perindu hujan
dan sore yang penuh impian
malam akan datang membungkus kisah
untuk disimpan di galeri hayat
seindah azimat.

Hujan membangkitkan aroma
dari zaman silam yangn sirna
kerana keinsafan bakal subur nanti
menjadi pengikat harga diri
ke hujung destinasi.

Banting
1 April 2010

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...