Jumaat, Oktober 30, 2009

Makan-makan di Pendeta Cafe, Intekma resort


Petang tadi saya dijemput oleh Production Manager dan Chief Editor Cerdik Publication untuk makan-makan di Shah Alam. Sebenarnya, majlis makan-makan ini ialah sesi perbincangan untuk satu projek penulisan yang akan datang. Suasana di kafe ini agak eksklusif dan tenang. Tidak ramai pengunjung. Saya hanya memesan menu ala carte iaitu sup cendawan, wantan, dan air limau.
Saya balik dengan perasaan gembira kerana susah payah saya dalam penulisan menampakkan hasil yang agak lumayan. Malah, pihak Cerdik memberikan kepercayaan untuk menerbitkan lebih banyak karya pada masa akan datang. Alhamdulillah, nampaknya dengan menulis juga kita dapat menambah rezeki.

Khamis, Oktober 29, 2009

Seorang Aku


Seorang aku
menelusuri waktu rindu
akan tanah kelahiran yang terngiang
dalam bisikan mersik melodi zaman
indah tetapi terlalu sukar
kerana tiada sesal beri terima
ketetapan; tabah dan payah.

Kini lama sudah duri itu
tersisa dalam saraf dan alir darah, aku;
seorang, bangun melonjak mimpi
marhaen yang semahunya menjulang piala
dalam perlumbaan diri.

Seorang aku masih mengenang
penderitaan berbaur aib hidup
menunda yakin yang berat
dari dasar fikir; penuh kerikil
tenggelam seharusnya
lemas lagi tewas.

Dan seorang aku masih berdiri
ketika semuanya kehilangan denyut nadi
terkunci dalam ilusi, sepi.
Seorang aku, kini menjadi egois mimpi
ingin menternak pelangi
di kandang realiti.

Ghazali Lateh, 1 Oktober 2007
Banting.

Rabu, Oktober 21, 2009

Buku Esensi PMR 2010

Buku ini ialah buku terbaru saya di pasaran. Saya berharap buku ini dapat membantu guru-guru dan murid-murid yang menduduki PMR pada tahun 2010

Sabtu, Oktober 17, 2009

Peranan dan Karisme Pemimpin

Pemimpin datang dan pergi. Seseorang pemimpin mempunyai karisme yang tersendiri. Seorang pemimpin yang berkarisme dapat menarik sokongan orang bawahan. Dalam hal ini kemampuan pemimpin menyerlahkan karismenya sangat penting. Jika pemimpin tidak ada karisme nescaya pertubuhan yang dipimpin akan tergugat. Sokongan akan berkurangan. Ada kemungkinan sesebuah pertubuhan akan mati begitu sahaja jika pemimpinnya tidak ada karisme.
Oleh yang demikian karisme pemimpin sangat penting dalam sesebuah pertubuhan. Kita telah melalui beberapa pimpinan. Kita tahu pemimpin mana yang berkarisme dan yang mana tidak berkarisme. Kadang-kadang pemimpin yang berkarisme itu memang menjelikkan perasaan kita. Akan tetapi kepimpinannya akan terserlah dalam jangka masa yang panjang.
Pengajarannya, seseorang penyokong seseorang pemimpin jangan terlalu taksub dengan ketuanya hanya semata-mata mahu mengampu. Banyak pengampu pemimpin yang tidak berwibawa akhirnya akan malu sendiri dan kehilangan harga diri.

Khamis, Oktober 15, 2009

Keris


Tiba-tiba sahaja kita menjadi takut
untuk menghunus keris di pinggang
dan musuh pun mengintai, menjeling,
kini menjegilkan mata,
kita menjadi tersipu malu,
kerana keris itu tidak lagi,
mampu membunuh keegoan,
dan menggertak ancaman.

Pahlawan-pahlawan kita,
menjadi terlalu mesra dengan musuh,
yang tidak pernah tunduk sedikitpun,
walaupun madu kata-kata,
menyira sandiwara,
untuk menyelinap ke denyut atma,
mematahkan kesima.

Keris kita itu,
tidak lagi melindungi diri,
sebaliknya menjadi mimpi ngeri,
pahlawan-pahlawan kembiri,
kehilangan harga diri.

Hunuskan kembali keris warisan,
kerana keris lambang kebesaran,
kenapa takut dengan ugutan,
sedangkan kita sebenarnya tuan,
dan mereka hanya eceran.

Ahad, Oktober 11, 2009

Bertemu Rakan-rakan Lama di Kelantan

Bersama-sama Hj Fauzi Hamad, Zaki, Ghalib, Tuan Jamil di PCB Resort
Bersama-sama Razlan yang bersusah payah menghantar kami ke lapangan terbang dan beli-belah di bandar KB. Terima kasih banyak-banyak. Budi tuan tidak dilupakan.

Sepanjang satu hari di KB, saya amat bertuah kerana dapat berjumpa kembali dengan beberapa orang rakan lama saya, iaitu rakan semasa di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh, dan rakan-rakan sekuliah di UPM. Saya telah bertemu dengan Che Ahamad Daud, rakan sekelas saya semasa di maktab. Dia sekarang merupakan seorang motivator dan dijemput oleh pihak Pearson untuk menyampaikan ceramah Sains kepada guru-guru. Selain itu saya bertemu Che Hassin, seorang lagi rakan maktab saya.




Saya juga berjumpa dengan rakan-rakan semasa di UPM iaitu Fauzi Hamad, Razlan Mohamed, Norizan, dan Rahayati. Mereka semuanya mengajar di Kelantan. Janggal juga saya berceramah di hadapan rakan-rakan pengajian saya dahulu. Saya juga berjumpa dengan Azie, yang pernah mengajar di Banting suatu ketika dahulu.



Jumaat, Oktober 09, 2009

Di Pantai Cahaya Bulan

Makan malam di Restoren Four Seasons Kota Bharu. Makanannya enak dan suasana sangat bersih dan menarik. Bersama-sama Cikgu Ghalib dan Zamani dari Pearson.

Saya baru sahaja sampai di PCB, dengan penerbangan Firefly. Inilah kali pertama saya terbang dengan Firefly. Kapal terbangnya agak kecil dan membawa 72 penumpang sahaja. Saya berada di Kelantan untuk berceramah dalam program anjuran Longman Malaysia, bersama-sama Cikgu Ghalib. Kami akan berangkat pulang petang esok.

Isnin, Oktober 05, 2009

Apabila PhD Menjadi Liabiliti

Baru-baru ini isu gelaran dan PhD palsu hangat diperkatakan. Nampaknya ada segelintir masyarakat yang begitu ghairah untuk memiliki gelaran anugerah atau gelaran akademik atas motif dan objektif kepentingan diri. Namun demikian, dalam kes saya, kelulusan PhD tidaklah menjanjikan sesuatu yang saya harapkan, bahkan bertukar menjadi liabiliti bagi diri saya sendiri.
Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang tertinggi dengan tajaan biasiswa JPA dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Malangnya setelah berhempas pulas selama tiga tahun, kelulusan yang saya capai seolah-olah menutup peluang saya untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi saya. Beberapa buah universiti tempatan telah menawarkan jawatan sebagai pensyarah kanan berdasarkan kelulusan dan pengalaman luas saya dalam bidang pengkhususan saya. Malangnya, permohonan dan rayuan untuk mendapatkan pelepasan dengan izin tidak diluluskan walaupun saya sanggup membayar kembali kontrak saya dengan Kementerian Pelajaran. Saya akur dengan keputusan tersebut sambil berharap saya akan dapat meningkatkan profesionalisme sebagai guru di sekolah.
Berbekalkan kekuatan yang saya ada, saya memohon untuk perjawatan guru tingkatan enam. Namun apabila senarai nama guru tingkatan dikeluarkan, nama saya tidak ada walaupun saya memang mengajar murid-murid tingkatan enam sejak berbelas-belas tahun yang lalu. Kemudian apabila tawaran untuk memohon jawatan guru cemerlang dikeluarkan, saya pun memohon dengan harapan ditawarkan jawatan tersebut berdasarkan prestasi saya. Apabila pencerapan guru-guru cemerlang dijalankan, sekali lagi saya tercicir. Jangankan ditawarkan jawatan, termasuk dalam senarai pendek calon yang dicerap pun tidak berjaya.
Hal ini membuatkan saya berfikir sejenak, iaitu saya mula beranggapan kelulusan PhD saya sudah bertukar menjadi liabiliti. Dengan kelulusan tersebut saya seolah-olah disekat daripada meningkatkan status sosial dan ekonomi saya. Persoalan demi persoalan mula tercetus dalam minda saya apabila langsung tidak tersenarai sebagai calon yang layak dicerap untuk jawatan guru cemerlang. Tidak cemerlangkah saya walaupun memiliki PhD? Tidak cemerlangkah saya walaupun cemerlang dalam PTK? Tidak cemerlangkah saya yang pernah membentangkan pelbagai kertas kerja di peringkat kebangsaan? Tidak cemerlangkah saya yang menulis berpuluh-puluh judul buku, dan ada antaranya digunakan sebagai buku teks KBSM? Tidak cemerlangkah saya yang menulis beratus-ratus karya kreatif, dan ada antaranya dipilih untuk dijadikan bahan bacaan di sekolah? Tidak cemerlangkah saya yang sering menyampaikan ceramah dan bimbingan kepada murid-murid dan guru-guru untuk meningkatkan prestasi? Tidak cemerlangkah saya yang pernah dinobatkan sebagai Guru Inovatif peringkat negeri sempena sambutan Hari Guru? Tidak cemerlangkah saya yang saban tahun memenangi anugerah sempena Hari Guru peringkat kebangsaan? Tidak cemerlangkah saya yang membantu sekolah saya mencapai keputusan 100% dalam peperiksaan SPM?
Untuk memujuk hati, saya mengambil keputusan untuk memohon bersara pilihan tidak lama lagi. Saya harap kali ini permohonan saya tidak disekat hanya kerana saya seorang guru yang memiliki ijazah PhD. Jika perkara yang sama terjadi, maka sayalah manusia yang paling menyesal kerana memiliki PhD yang ditaja oleh kementerian tempat saya bernaung mencari rezeki selama lebih daripada suku abad.

Jemputan-jemputan yang Bercorak Akademik

Saya akan memenuhi beberapa jemputan untuk menyampaikan ceramah dan seminar di beberapa tempat mulai minggu ini. Pada 7 Okt. saya akan menyampaikan ceramah di SMK Sungai Manggis. Pada 10 Okt. di Kota Bharu. 21 dan 28 Okt di SAMTAR, Sungai Manggis. Jemputan yang terkini ialah jemputan untuk membentangkan kertas kerja seminar di Bandung dan juga Makasar Indonesia. Seminar ini akan berlangsung pada bulan Disember nanti.