Isnin, Mei 31, 2010

Selat Tebrau

Kocakan kecil pada tenangmu selatku,
Adalah biasan goyah rasa dan ronta,
Dari seberang yang menghambat gusar,
Ke tebing damai di laman kita.

Lantun cahaya kecil dari mukamu,
Menikam alpa warga yang lupa,
Tentang onar dan duri,
Yang terapung dan menusuk naluri,
Kemudian hari.

Selat Tebrau,
Lepaskan alirmu dalam lelah resah,
Membawa keladak dari hulu sejarah,
Yang terpadam dalam seribu musibah,
Tika mercup gegar memarak percik amarah.

Tenangmu Selat Tebrau,
Adalah tenang jiwa pemikir,
Yang menanti waktu untuk melunas tafsir,
Dengan lunak suara di bibir,
Dengan anggun lakar di kotak fikir.

Biarlah tenang ini malar mendasar,
Kerana kita bukan pemula cabar,
Tetapi ombak biar menggegar,
Pabila maruah terus tercagar.


Hotel Grand Continental,
JB,
13 Mac 2003

Ahad, Mei 30, 2010

Nasib Penulis di Malaysia

Siang tadi saya membaca rencana tentang seorang penulis tersohor di Malaysia iaitu Ahadiat Akashah. Bagi saya beliau merupakan seorang penulis yang paling berjaya di Malaysia. Novel-novel beliau menjadi buruan remaja. Pada suatu ketika saya pernah berjumpa beliau dalam satu majlis penulisan di Pantai Morib. Beliau datang dengan kereta sport mewah. Saya terkedu dan berbangga seorang penulis muda Malaysia mampu berjaya begitu.
Namun apabila saya membaca rencana dalam akhbar, saya berasa sedih dengan nasib penulis berkenaan. Rupa-rupanya beliau telah mengalami pelbagai dugaan. Saya berdoa beliau segera kembali berada di puncak kerana bakat beliau memang tiada tandingannya. Beginilah nasib penulis di Malaysia. Pada saya penulisan juga dapat menjanjikan kemewahan. Akan tetapi di negara kita ini, terdapat banyak sangat unsur luaran yang membantutkan kejayaan tersebut. Jika penulis besar seperti Ahadiat boleh jatuh kecundang, apatah lagi penulis bilis macam saya ini. Jadi, untuk memberanikan diri sebagai penulis sepenuh masa saya tidak mampu melakukannya. Cukuplah sekadar saya menulis penulis kecil-kecilan, secara indie, (kadang-kadang syok sendiri), dengan bayaran yang sekadar cukup untuk melangsaikan bil. Di negara ini kita tidak akan melahirkan J.K. Rowlings. Hal ini demikian kerana khalayak pembaca kita sangat terhad. Kebanyakannya tidak sempat membaca kerana terlalu sibuk dengan usaha meningkatkan pendapatan dan juga terlalu sibuk berpolitik. Rakyat Malaysia ialah pencandu politik yang kronik. Tanyalah masyarakat kampung, subbandar, waima masyarakat kota metropolitan, semuanya sudah terlalu ketagih dengan politik. Membaca bukan keutamaan.

Sabtu, Mei 29, 2010

Nilai Sebuah Sajak

TIBA WAKTUNYA

Angin musim semakin deras dan ganas
meniup tamadun ke era yang pantas
lihatlah siapa mereka yang memanjang langkah
merebut tunas-tunas harapan yang hijau
dari putik dan pucuk berembun kemilau.

Haruskan kita tunduk mengutip sisa-sisa
atau berada di sana meraih sejahtera?
Usah kautanya persoalan dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu tidaknya
dan masa pun tidak akan menanti
buat mewajar padah atau simpati.

Wanita zaman siber
perlu mengacung minda ke tengah arena
suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.

Lepaskan segala belenggu kedaifan
huraikan segala keliru kekusutan
wanita zaman ini perlu bangun berani
yakin diri tahan diuji
tinggi pekerti anggun gerak-geri
terunggul dalam segala segi.

Mari kita jana semua upaya
dalam menjulang citra seluruh wanita
dengan kudrat mental juga fizikal
berbekal iman dan semangat cekal
kita gerakkan kemampuan yang pukal.

Kini sudah tiba waktunya
kita bertakhta di persada dunia.


Catatan.
Sajak ini termuat dalam antologi Harga Remaja bacaan murid tingkatan 4. Nilai sajak ini hampir dua bulan gaji. Alhamdulillah.

Yang Perlu Ada di Rumah Orang Melayu

Pandan
Pokok kari
kunyit
serai
limau purut

Bagi orang Melayu, tumbuhan yang perlu ada di sekeliling rumah ialah pandan, serai, kunyit, daun kari, pokok pisang, dan sebagainya. Walaupun kawasan rumah agak terhad saya tanam juga pokok-pokok tersebut untuk kegunaan dalam masakan. Malah saya juga menanam enam batang pokok kelapa untuk hiasan dan hasilnya.

Jumaat, Mei 28, 2010

Kunjungan ke rumah Syed Mahadzir

Petang tadi saya berkunjung ke rumah penulis Syed Mahadzir Syed Ibrahim. Agak lama juga saya tidak berkunjung ke rumahnya. Kalau dulu semasa arwah Mohd Ismail Sarbini ada, kami sering berjumpa dan berbual-bual tentang dunia penulisan. Kini kami bergerak sendiri-sendiri. Banyak cerita yang kami bualkan tentang penulisan. Walaupun kami hanya 'penulis indi' kami tetap bergerak menghasilkan karya secara diam-diam. Dulu ada beberapa orang penulis yang menggelarkan diri penulis underground, kini mereka sudah tidak kedengaran lagi. Jadi dalam zaman 'indie' ini, barangkali kami bolehlah menggelarkan diri sebagai penulis indie kerana kami tidak dikenali di arus perdana yang dikuasai oleh nama-nama besar yang sering disebut orang dan sarjana.


Dalam pertemuan hari ini saya dihadiahi buku 365 Hari dalam Sejarah Malaysia tulisan Syed Mahadzir. Buku ini diterbitkan dalam dua jilid. Saya amat kagum dengan komitmen beliau dalam menghasilkan karya.

Selasa, Mei 25, 2010

Memandang Mereka

Memandang mereka kadang-kadang
ternampak wajah ngeri yang tersenyum
takut
kerana mereka ada kuasa
untuk menyumpah kita
menjadi buta
atau hilang nyawa.

Memandang mereka jarang-jarang
ternampak wajah sebenar
kerana mereka
menukar warna wajah
dan ketika membuka bicara
ternampak lidah bercabang tiga
dan kekadang tidak dapat dikira.

Memandang mereka jalang-jalang
ternampak wajah berahi
yang sanggup menelanjangi
diri
hanya kerana mengambil hati
dan sedikit mimpi.

Memandang mereka...
siapakah mereka agaknya!

Isnin, Mei 24, 2010

Rojak Cecah Ciplak

Beginilah rupa sepinggan rojak cecah yang harganya RM4.00 sepinggan. Lihatlah bekas sambalnya seperti baru diambil dari longkang. Bukan satu, semuanya begitu.
Petang semalam isteri saya mengajak saya ke Kelang untuk makan rojak cecah di bawah Emporium Makan. Rasa-rasanya sudah 10 tahun lebih kami tidak ke sana kerana kami jarang-jarang melalui Kelang jika hendak Ke KL. Kesesakan di Kelang sangat teruk. Tapi petang semalam saya bersetuju. Sesampai sahaja kami pun mencari gerai rojak cecah yang sangat terkenal suatu ketika dahulu. Malangnya gerai tersebut tutup. Kemudian kami dapati di lorongn bersebelahan ada sebuah gerai yang menjual rojak cecah. Tanpa berfikir panjang kami pun duduk dan memesan empat pinggan rojak.

Namun apabila rojak sampai, kami nampak ada kelainan. Rupa-rupanya gerai tersebut bukanlah gerai yang biasa kami masuk (Gerai mamak). Gerai ini diusahakan oleh orang Melayu. Saya berpandangan positif kerana sudah lama tidak makan rojak cecah. Malangnya, rojak yang dihantar ke meja kami amat menyedihkan. Tidak seperti yang rojak yang sebenarnya. Kuantitinya sangat sedikit dan hanya timun. Bekas sambalnya kotor berkeladak. Air yang dipesan pula seperti air paip yang dibubuh sedikit susu.

Akhirnya kami tahu bawa gerai tersebut ialah gerai ciplak. Saya ingat hanya karya sahaja orang ciplak, tak sangka perniagaan juga ada unsur ciplak. Tak sangka ada orang yang berniaga sanggup menipu untuk mendapat sedikit keuntungan. Apabila saya mahu membayar, harganya RM21.10. Yang 10 sen itupun tidak diberi diskuan.

Ahad, Mei 23, 2010

Sekadar Ucapan

Mendatangi usia indah ini
Kebahagiaan mencup di taman hati
Kejayaan telah terpatri pasti
Di sudut memori.

Pengalaman yang dikutip
Sepanjang perjalanan
Bagai puspa kembang di halaman
Mengayakan kehebatan
Memupuk kesejahteraan.

Selamat hari jadi
Ucapan tulus semurni hati nurani
Moga ingatan secebis ini
Bakal membekas di pojok hati
Bahawa dirimu sangat dihargai
Kemesraan biar kukuh bersemi.

Detik indah ini
Sama-sama kita ingati
Agar selamanya dekat di hati
Erat dalam ikatan kasih sejati.

Jumaat, Mei 21, 2010

Rindu Seribu Purnama


Berikan aku malam seribu pernama
untuk melarik mimpi cinta
tentang bahasaku
tentang bangsaku.
panas musim menahan aku nyedar
dalam pijar aku nanar
mencari tunjang akbar
menampung legasi yang gusar.

Aku sang pemimpi
yang mengigaukan bahasa berkembang
tapi pecah di sisi berdiri
kerana petualang semakin berani
bersembunyi di lipatan aksara
bernyanyi dalam manis bicara.

Perlukah ketunggu seribu purnama
untuk melihat sinar ceria
setiap bibir mengungkap cinta
pada artifak cuma
ketika bahasa hilang nyawanya.

Akulah perindu seribu purnama
melihat hiba cinta kian sirna
tinggal lakonan di pentas sandiwara
mencuat asmara uda dan dara
hakikatnya sudah hilang semua makna
disayat petaka durjana.

Cintaku, bahasaku...
semakin lama aku semakin rindu
untuk diam beradu
menangisi sendu
nasibmu yang buntu.

Banting,
21/5/2010

Khamis, Mei 20, 2010

Sambutan Hari Guru 2010

Saya mengetuai Ikrar Guru
Perarakan Guru sebagai memulakan majlis sambutan Hari Guru
Untuk melihat gambar-gambar sempena hari guru sila klik di sini

Rabu, Mei 19, 2010

Hikayat Tuntung Pasir Berdengung


Adapun inilah ceritera yang diceritakan kepada kita dari hamba hina dina buat disampaikan pula kepada anak cucu kita supaya tahulah mereka akan cerita warisan berzaman dikisahkan orang sampai bila-bila.
Sebermula maka adalah sebuah negeri entah di mana duduknya tapi ada dalam pengetahuan orang tua-tua. Maka di negeri itu tidak lainlah hanya dipenuhi pasir sejauh mata memandang umpama padang pasir gurun tanah Arab keadaannya. Tiadalah lain melainkan pasir semata-mata.
Maka perkara yang menarik tentang pasir itu ialah pasir itu mengeluarkan bunyi apatah lagi apabila datang angin bertiup. Semakin kuat angin yang bertiup maka berdengung-dengung bunyi pasir berterbangan. Adapun oleh raja dan pembesar bunyi itu amatlah menghiburkan. Pada malam hari tiada lain yang didengar oleh seluruh rakyat melainkan bunyi dengung yang sangat mengasyikkan itu. Maka orang pun asyiklah mendengar dengung itu sehingga tertidur jugalah setiap malam.
Maka oleh sebab terlalu banyak pasir itu, ada kepada suatu ketika semua orang pun kurang senanglah hidup mereka akibat pasir itu. Berjalan pun kurang bingkas tingkah langkahnya kerana tersandung pasir itu ke mana-mana jua. Susahlah hidup sekalian orang akibat pasir yang melaut luasnya. Hendak makan juga susah kerana habislah nasi dimasuki pasir. Lalu dibuat pepatah oleh orang jangan masukkan pasir ke dalam periuk untuk mengingatkan sesiapa yang membuat kerja dungu juga adanya.
Arakian tersebutlah perkhabaran akan pasir itu seantero dunia. Alkisah pasir itu pula berneka-neka warnanya. Maka datanglah manusia atas angin melihat akan keadaannya pasir yang tidak terpamanai banyaknya. Terkejutlah mereka bukan kepalang lagi melihat saujana mata memandang akan pasir yang luas itu.
Maka Paduka Raja Demang Pasir pun bertitahlah pada suatu ketika, “Aduhai mamanda menteri, difikirlah akan cara kita menghadapi menghadapi masalah pasir ini,”
Maka kata mamanda menteri, “Baiklah Tuanku! Patik akan memanggil semua pembesar untuk memikirkan akan keadaan pasir ini,”
Seraya mamanda menteri pun mengeluarkan warta tentang titah Raja Paduka itu. Maka berduyun-duyunlah orang datang untuk memberikan pandangan. Orang-orang atas angin, bawah angin, dan rakyat jelata pun datanglah tidak terpamanai banyaknya.
Maka tersebutlah akan pasir itu banyak guna jika dipakai akal. Maka bermacam-macamlah dibuat orang dengan pasir itu. Sejak diketahui banyak gunanya maka pasir itupun mulalah diambil orang.
Arakian mamanda menteripun teringatlah oleh akalnya untuk menjual pasir itu. Maka diikuti oranglah tindakan mamanda menteri itu. Maka banyaklah orang berjual pasir di negeri Pasir Berdengung itu. Sedikit demi sedikit dikorek oranglah pasir itu untuk dijual. Semakin lama semakin kuranglah pasir di seluruh pelosok negeri.
Sebermula maka tersebutlah cetera orang yang berebut-rebut pasir itu. Ada yang membawa andur, ada yang membawa pedati untuk membawa pasir itu pergi waima ada yang memikul karung-karung pasir di atas belakang. Ada yang mengambil pasir secara sah dan ada yang mengambil pasir secara haram. Pembesar-pembesar negeri pun sudah kaya rayalah kerana mereka juga menjual pasir. Barangsiapa yang mahu mengambil pasir maka perlulah mereka membayar pampasan kepada pembesar juga adanya.
Maka lama-kelamaan pasir di negeri itu pun habislah. Setelah habis pasir itu, maka segala bukit dirobohkan untuk dijadikan pasir juga adanya. Maka meriahlah seluruh negeri dengan gelagat orang-orang sedang meroboh bukit dan gunung untuk dijadikan pasir. Dasar-dasar sungai yang masih tersisa pasirnya dikorek semahu-mahunya. Maka semua sungai itupun keruhlah airnya. Segala makhluk sungai seperti ikan, udang, ketam, tuntung, belut, ular, katak, habislah mati bergelimpangan kerana sungai sudah dikorek. Yang tinggal hanya lumpur tengik dan lekit bertepek-tepek. Tebing sungai tempat tuntung bertelur sudah tidak ada. Maka rakyat jelata tidak dapat menikmati telur tuntung lagi sejak itu.
Anak cucu ikan juga sudah sesak nafas dan mati juga akhirnya. Rumput-rumput tepi tebing sungai sudah tidak ada. Semuanya angkara kegilaan rakyat jelata mengambil pasir. Pesta mengambil pasir itu pun sangat meriahlah adanya. Setiap pagi petang waima sampai ke malam pun masih ada pesta mengorek pasir itu.
Adapun oleh Paduka Raja tiadalah lagi terdengar akan bunyi berdengung dek pasir di negeri itu. Lama-kelamaan diamlah negeri daripada bunyi dengung pasir yang menjadi lagu-lagu waktu malam Paduka Raja hendak beradu. Hairanlah baginda sedikit mengenangkan kejadian itu.
Arakan baginda pun terasalah ingin tahu akan duduk perkara kota menjadi diam begitu. Apabila Paduka Raja meninjau keluar jendela istana, terkejutlah baginda melihat semua pasir di negeri itu sudah tiada lagi barang sebutir pun. Oleh sebab terkejut yang sangat-sangat itu maka Raja Paduka pun terduduk di situ juga, tidak ubah orang sesak nafas jua adanya. Seraya bagindapun diusung juak-juak ke kamar peraduan. Dari semasa ke semasa nampaknya Raja Paduka itu mula gering. Mulutnya tidak berbicara lagi.
Maka pawang raja pun dipanggil oranglah untuk menilik raja yang gering secara tiba-tiba itu. Menurut pawang raja untuk mengubati Paduka Raja Demang Pasir, maka mestilah dicari telur tuntung barang sebiji dua untuk dijadikan penawar.
“Aduhai Pawang Raja, di manakah dapatnya telur tuntung itu kiranya? Jika diberitahu akan letaknya maka mudahlah kami mencarinya untuk dibuat ubat Raja,” kata Mamanda Menteri ketua segala pembesar negeri.
Maka Pawang Raja pun menceritakan bahawa telur tuntung itu bukanlah sukar untuk didapati sekiranya ada pasir maka adalah tuntung yang bertelur. Di negeri itupun dahulu sangat banyak telur tuntung bergelimpangan di tebing sungai. Maka tuntung pun banyaknya tidak terpemanai lagi.
“Kalau dahulu tuntung ini hidup dengan banyak di Tasik Nagasari. Banyaklah sudah orang melihat tuntung di tasik itu kerana pasirnya putih menjadi tempat tuntung mengeluarkan telurnya,” kata Pawang Raja.
Arakian Mamanda Menteri pun mengerahkan orang bawahannya memacu kuda ke Tasik Nagasari. Berdetup-detaplah selaksa kuda berlari ke arah bukit untuk mencari telut tuntung itu.
Setelah beberapa lama bergerak maka akhirnya sampailah mereka di hulu negeri. Namun keadaannya datar tidak menampakkan ada Tasik Nagasari itu. Maka bertanya mereka kepada orang yang lalu lalang membawa cangkul dan pasir di dalam pongkes itu.
Maka dilihat oleh orang istana tiadalah lagi rupa tasik itu melainkan tanah landai yang dipenuhi lumpur saujana memandang. Tiada sebutir pasir pun terdapat di tasik itu. Maka sugullah di hati Mamanda Menteri melihat keadaan tasik yang sudah tidak ada itu. Segala sungai dan parit sudahlah tidak ada lagi pasirnya, inikan pula tasik sebenar itu sudah hilang segala pasirnya. Padahal dulu di sekeliling tasik itu hanyalah pasir semata-mata, tiada lain melainkan pasir sahaja.
Maka habislah sudah ikhtiar Mamanda Menteri untuk mencari telur tuntung itu. Habislah dikerah orang untuk mengorek lumpur, menyelam ke dasar sungai, menggagau lubuk, semuanya tidak ada.
Sekonyong-konyong ada kepada suatu masa datanglah seorang budak berjumpa dengan Mamanda Menteri. Akan budak itu dilihatnya Mamanda Menteri duduk termenung menongkat dagu seorang diri dengan wajah berkerut-kerut juga adanya.
“Ampunkan hamba orang kaya. Mengapakah gerangan orang kaya duduk demikian rupa?” sapa Hang Ladim setelah melihat sugulnya pembesar negeri itu.
“Ah, kamu budak kecil! Jangan campur urusan orang tua-tua, apatah lagi ini urusan istana, urusan raja,” bentak Mamanda Menteri.
“Jangan begitu orang kaya. Besar kecil bukan ukuran pandai tidaknya manusia. Adapun adakalanya akal orang tua lebih banyak membawa mudarat juga. Tengoklah negeri kita ini, akal orang tualah yang menggadai semuanya. Pasir hilang, bukit runtuh, kayu kayan semuanya sudah tergadai dek akal orang tua-tua jua. Suatu hari nanti negeri ini juga akan tergadai,” kata Hang Ladim.
Maka oleh Mamanda Menteri pun terfikirlah juga akan kata-kata Hang Ladim itu. Terfikir juga oleh Mamanda Menteri akan nasib Hang Ladim jika diketahui pembesar-pembesar yang lain. Sudah tentu dia akan disula di pasar kerana petah cakap dan bijak akalnya.
“Adapun raja sedang gering di istana. Pawang Raja menyuruh orang mencari telur tuntung untuk dijadikan penawar. Penat sudah kami mencari telur tuntung itu tetapi tiada kedapatan barang sebutir pun,” ujar Mamanda Menteri dengan sugulnya.
“Kalau mahu telur tuntung, mesti dicari ibunya dahulu,” kata Hang Ladim memberikan buah fikiranya.
Seyogia Mamanda Menteri pun mengerah orang mencari ibu tuntung di seluruh pelosok negeri Pasir Berdengung. Maka tidak berapa lama berdatanglah sembah orang membawa seekor ibu tuntung kurus yang dicari orang di negeri sempadan. Maka dikurunglah ibu tuntung itu di hujung negeri supaya bertelur dia. Setelah sekian lama menunggu tiadalah juga ibu tuntung itu mahu bertelur. Mulalah Mamanda Menteri mahu murka pada Hang Ladim budak hingusan itu.
“Ampunkan hamba orang kaya. Adapun ibu tuntung itu tidak akan bertelur jika tiada jantannya,” kata Hang Ladim.
“Benarlah kata kamu Hang Ladim. Aku juga terlupa bahawa hidup ini berpasangan, betina dengan jantannya, bumi dengan pokoknya, tanah dengan pasirnya, bukit dengan lembahnya tasiknya,” ujar Mamanda Menteri.
Maka dikerah lagi orang mencari tuntung jantan ke seluruh Pasir Berdengung. Makam berasak-asaklah orang meredah paya lumpur, hutan belukar, mencari tuntung jantan. Setelah beberapa hari datanglah orang memikul tuntung jantan ke dalam kota. Mamanda Menteri amatlah suka hatinya melihat tuntung jantan dibawa orang ke dalam kota.
Maka tuntung jantan dan betina itu disatukan di dalam kurungan. Seluruh penduduk Pasir Berdengung pun tidak sabar-sabar mahu melihat tuntung jantan dan tuntung betina itu melaksanakan tugasnya membuat telur. Semuanya menunggu di sekeliling kurungan untuk menyaksikan saat-saat indah itu. Mamanda Menteri juga tertonggok menunggu tuntung jantan memanjat belakang tuntung betina. Namun setelah sekian lama tidak juga mahu tuntung jantan itu melaksanakan tugas kejantanannya.
“Ampunkan hamba orang kaya, tidaklah tuntung jantan itu akan mendekati si betina dalam keadaan begini. Adapun binatang juga tahu aib dilihat orang,” kata Hang Ladim lagi. Arakian Mamanda Menteri pun menitahkan semua orang meninggalkan kurungan tuntung itu. Maka semua orang pun meminggir, walaupun ada yang enggan.
Tersebutlah beberapa hari kurungan itu dibiarkan sepi, maka tuntung jantan pun bergeraklah ke arah tuntung betina. Sebagai tuntung jantan, peluang untuk mendekati tuntung betina yang semakin pupus itu tidak dilepaskan. Setelah sekian lama mengitari si betinanya, tiba-tiba si jantan pun berjayalah memujuk tuntung betina. Akhirnya tuntung jantanpun berjayalah melaksanakan tugasnya.
“Horeee...!!” tidak semena-mena terdengarlah bunyi sorakan orang. Rupa-rupanya seluruh rakyat tidak balik ke rumah melainkan bersembunyi di sebalik semak. Mereka tidak sabar untuk melihat tuntung jantan dan betina membuat telur. Mamanda Menteri juga terlonjak-lonjak kegembiraan. Adapun rupa-rupanya Mamanda Menteri juga turut bersembunyi untuk menyaksikan kejadian itu.
Maka seluruh rakyat Pasir Berdengung pun bergembiralah menanti tuntung betina bertelur. Di dalam kurungan itu dibuatlah segala hiasan yang indah-indah. Majlis keramaian pun diadakan. Tidak lama lagi tuntung akan bertelur. Syahadan dengan itu dapatlah raja yang sedang gering itu diubati segera.
Arakian hari berganti hari, minggu berganti minggu. Namun tuntung betina tidak juga bertelur. Ada juga kelihatan mukanya seperti menahan sakit hendak bertelur tetapi telurnya tidak keluar-keluar juga.
“Hai budak, apakah gerangan tuntung betina itu tidak mahu bertelur juga?” tanya Mamanda Menteri.
“Ampunkan hamba orang kaya! Adapun tuntung itu bertelur di pasir sungai. Tidaklah guna orang kaya meletakkan tilam kekabu, segala macam hiasan itu. Jika tiada pasir sungai sudah tentulah tuntung itu tidak akan bertelur,” kata Hang Ladim.
Mamanda Menteri tercengang seperti ayam terkejut biawak. Adapun pasir sebutir pun tidak ada lagi di negeri Pasir Berdengung itu. Semuanya sudah dijual secara sah waima secara haram oleh pembesar-pembesar negeri, pedagang-pedagang, dan rakyat jelata. Mamanda Menteri sendiri pun menjadi kaya kerana menjual pasir di hulu negeri.
“Habis bagaimana gerangannya mahu kita dapatkan telur tuntung itu,” tanya Mamanda Menteri kebingungan.
“Kita seluk ke dalam badan tuntung itu dan keluarkan telurnya,” ada suara yang mencadangkan.
“Kita belah perutnya,” kata yang lain pula.
“Kita pijak belakangnya sampai telurnya terpacul keluar,” kata rakyat Pasir Berdengung yang lain.
“Adapun hukum alam ini tidak bolehlah kita ubah orang kaya. Mahu tidak mahu kita terpaksa juga mencari pasir dan kembalikan ke tebing-tebing sungai. Kemudian lepaskan tuntung betina di situ,” kata Hang Ladim.
Mamanda Menteri pun mengerahkan orang meminta pasir dari negeri sempadan. Akhirnya setelah merayu dan meminta simpati, dapat sedikit pasir dibawa balik dan diletakkan di tebing sungai negeri Pasir Berdengung.
Maka diletakkanlah tuntung itu di tebing sungai. Arakian setelah beberapa lama menunggu maka ternampak telur tuntung terjojol keluar melalui salurannya. Maka bersoraklah seluruh rakyat jelata dikepalai oleh Mamanda Menteri sendiri.
Maka dengan segera telur tuntung yang baru keluar itupun diarak orang ke istana. Maka Pawang Raja pun tidak mahu berlengah lagi memulakan upacaranya. Dipegangnya telur tuntung itu mahu dipecahkan ke atas ceper emas bertatah intan. Apabila dipecahkan telur tuntung itu, tidak semena-mena lari bertempiaranlah semua orang lantaran busuk yang amat sangat.
Sekonyong-konyong raja yang gering tidak sedarkan diri itupun bangun termuntah-muntah kerana tidak tahan bau busuk itu. Rupa-rupanya sekian lama terperap di dalam perut tuntung betina, maka telur itupun menjadi tembelang.
Pawang Raja pun jatuh pengsan tidak sedarkan diri lagi. Rajapun tersungkur selepas termuntah-muntah. Orang ramai pun bertindih-tindan lari tidak tahan bau busuk. Ada yang mati bergelimpangan kena pijak sesama sendiri. Maka gemparlah seluruh negeri Pasir Berdengung itu. Maka selepas itu negeri itupun lumpuhlah. Hanya diceritakan orang sekali sekala apabila orang bercerita tentang pasir. Demikianlah adanya ceritera kita seperti yang dikisahkan kepada kita dahulu.

Selasa, Mei 18, 2010

Kerana Aku yang Memililh


Kita memilih untuk melangkah

dalam haluan yang terbaik

menghindari segala musibah dan masalah

untuk tiba megah

di destinasi gagah.


Adakalanya orang lain tidak mengerti

tentang apa-apa yang ada di dalam hati

lalu mereka menjatuhkan hukuman

dari kanun anutan

zaman berzaman.


Sukarnya untuk meyakinkan semua

tentang jalan pilihan yang lurus

kerana kelurusan itu tidak pasti

dari tafsiran dan maknawi

dalam kamus manusiawi.


Dan kerana aku sudah memilih

biarlah aku terus bertatih

dengan kudrat dan hasrat memutih

aku mahu menjadi yang terpilih

bukan antara mereka yang tersisih.


18/5/2010

Isnin, Mei 17, 2010

Selamat Hari Guru

Gambar kenangan semasa saya mengikuti kursus keguruan di Maktab Perguruan Kinta, Jalan Diary, Ipoh. Sekarang maktab ini sudah berpindah ke Perlis. Bangunan maktab kini di bawah Politeknik Ungku Omar. Gambar ini ialah kumpulan kursus Pengajian Melayu dan Geografi sesi 1981 -1983. Saya berdiri di barisan belakang, nombor 6 dari kiri. Inilah titik permulaan kerjaya saya sebagai seorang pendidik. Bermula dengan guru C2 dengan kelulusan MCE, kini saya menapak selangkah demi selangkah sehingga mencapai tahap tertinggi dalam pendidikan. Barangkali rakan-rakan sekelas saya masih mengenali saya setelah hampir 27 tahun berpisah.
Kumpulan ini merupakan satu-satunya kumpulan yang mengikuti kursus untuk mengajar di sekolah menengah. Bilangannya 27 orang. Kini ada antara rakan-rakan saya ini sudah menjadi orang terkenal dan tersohor sebagai pentadbir sama ada di sekolah, di jabatan pelajaran, dan juga di kementerian.

Khamis, Mei 13, 2010

Menolak Jemputan

Bergambar di hadapan penjara lama Jugra.
Dalam bulan Mei ini, saya sudah menolak tidak kurang daripada sembilan jemputan untuk menyampaikan ceramah. Entah mengapa tahun ini saya kurang bersemangat untuk menyampaikan ceramah kepada murid-murid yang bakal menduduki SPM. Barangkali juga disebabkan kesihatan saya yang kurang mengizinkan sejak akhir-akhir ini. Banyak juga saya mencadangkan agar rakan-rakan penceramah lain dijemput untuk menggantikan saya.

Menolak jemputan ini bukan bermakna saya sombong atau tidak mahu berkongsi pengetahuan. Jauh sekali untuk meletak bayaran yang tinggi. Akan tetapi saya berasa, sudah tiba masanya barisan pelapis yang cemerlang untuk mengisi kekosongan untuk mengembangkan ilmu dan kepakaran masing-masing. Tidak bermakna jika menyandang gelaran cemerlang tetapi tidak disebarkan ilmu dengan cara yang betul.

Saya memohon maaf kepada pihak-pihak yang menjemput saya untuk berceramah tetapi telah saya tolak. InsyaAllah, jika keadaan mengizinkan saya akan penuhi jemputan tuan-tuan.

Sebuah Pesanan

Denai waktu yang kita sama-sama telusuri,
Kini tiba di pintu destinasi,
Waktu kita wajar menghulur tangan,
Buat merestu sebuah perpisahan.

Sekian musim kita tega memacu minda,
Mengenal makna aksara dan erti alun suara,
Tiba waktunya kita membuka pencak,
Dengan lincah tingkah dihias santun rentak.

Bakal menanti sebuah jurang dengan seribu duga,
Menilai seluruh wacana titipan berharga,
Jangan sampai kita hilang petunjuk arah,
Meragut sempurna langkah, memudar suluh yang cerah.

Destinasi ini bukan yang terakhir,
Lantaran hambatan hidup pasti semakin getir,
Kita adalah tonggak teras menjana wawasan,
Menjulang hasrat keramat atas nama kebebasan.

Runduklah sebentar!
Mengenang butir-butir bernas bekalan perjuangan,
Justeru adakalanya bersinar bagai permata,
Menjadi senjata ampuh memenangi setiap suasana,
Dengan senyum menguntum harum,
Menempah ceria yang anggun.

Jabatlah tangan-tangan mereka yang berjasa,
Melapangkan perjalanan dalam langkah selesa,
Jadilah kita yang mengenang budi,
Memangkin murni peribadi,
Mencerna martabat jati diri.

Dalam mengorak langkah-langkah yang gagah,
Kita perlu tunduk menguak musibah,
Sesekali terdongak menjulang maruah,
Seiring meninjau hadapan mengejar hasrat tergubah,
Biar lestari hitam putih warna sejarah.


Ghazali Lateh,
Banting.

Isnin, Mei 10, 2010

Sabtu, Mei 08, 2010

Photoshoot oleh Affiq




Seperti saya dulu-dulu, anak-anak saya juga meminati fotografi. Oleh sebab itu saya membeli sebuah kamera Nikon D5000 untuk mereka dan dua buah kamera digital. Saya juga membeli sebuah kamera video digital untuk mereka belajar mengambil gambar. Gambar-gambar di atas ialah sebahagian daripada kerja anak lelaki saya Muhammad Affiq.

Nilai Sebuah Cerpen

Pada suatu ketika saya menulis sebuah cerpen yang berjudul Kasut Kelopak Jantung. Ilham yang mendorong saya menulis cerpen tersebut ialah kenangan saya semasa saya belajar dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun, iaitu dalam tahun 1970. Rakan baik saya bernama Ahmad. Salah seorang guru kami waktu itu ialah Cikgu Harun yang terkenal dengan sikap garang tapi kelakar. Ahmad tinggal di Sungai Baru, iaitu kawasan sawah padi. Dia seorang yang cergas, pandai bermain bola sepak. Akan tetapi dia sering datang ke sekolah tanpa kasut, barangkali disebabkan kemiskinan. Saya juga sering ke sekolah tanpa kasut. Pada waktu itu berkaki ayam ke sekolah bukanlah perkara luar biasa.

Peristiwa yang saya ceritakan dalam cerpen itu ialah kisah benar yang telah saya kreatifkan. Sebenarnya, Ahmad telah berhenti sekolah akibat peristiwa yang memalukan itu. Selepas itu saya tidak pernah berjumpa dengan Ahmad lagi. Akan tetapi melalui kawan-kawan saya tahu dia berjaya sebagai seorang pesawah di tempat kelahirannya.


Saya menghantarkan cerpen tersebut ke beberapa penerbitan termasuk akhbar tetapi tidak disiarkan. Akhirnya, saya menghantarkan cerpen tersebut ke Majalah Pendidik. Pada masa itu ketua editornya ialah Salleh Long, iaitu rakan sekelas saya di UPM. Akhirnya, cerpen tersebut diterbitkan(walaupun tanpa honororium), dan saya berasa sangat seronok. Bagi seorang penulis kreatif, penyiaran karya menandakan karya diterima. Bayaran bukanlah perkara pokok yang ada dalam perkiraan kami. Saya sendiri tidak pernah bertanya tentang honororium setiap kali karya saya diterbitkan. Kalau dapat saya bersyukur, kalau tak dapat pun saya bersyukur kerana saya tidak akan menghantarkan karya ke penerbit itu lagi.


Apabila saya inngin menerbitkan kembali dalam bentuk antologi, saya terpaksa meminta izin hak cipta daripada majalah Pendidik. Akhirnya cerpen tersebut dimasukkan dalam antologi di Kaki Mimbar, terbitan Cerdik Publications. Saya berasa terkejut, apabila saya diberitahu bahawa cerpen tersebut terpilih untuk menjad bahan bacaan Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 1.


Tiga hari yang lalu saya menerima sepucuk surat dari Cerdik Publications yang di dalamnya terdapat sekeping cek bernilai lebih RM6000. Sekali lagi saya terkejut dan bersyukur kerana cerpen saya bernilai setinggi itu. Pada hal semasa saya menulis saya langsung tidak membayangkan bahawa karya saya akan dibayar setinggi itu. Syukur Alhamdulillah.


Sebenarnya, nilai cerpen itu bukanlah pada bayaran royaltinya. Akan tetapi saya mengenang betapa zaman persekolahan saya dahulu yang penuh dengan peristiwa tragis yang dapat dikongsi dengan generasi baharu yang hidup dalam zaman yang serba moden ini. Banyak lagi peristiwa yang dapat dijadikan ilham. Untuk itu saya akan aktif kembali menghasilkan karya kreatif untuk tatapan semua, insyaAllah jika saya diberi kekuatan.

Khamis, Mei 06, 2010

Demam

Demam
hanya terbaring
dan melihat langit
lewat jendela.

Panas
mengasak deria
perit di mata
longlai jiwa.

6/5/10

Selasa, Mei 04, 2010

Dari Blog Lutfi

Saya membaca bahan yang menarik dalam blog penulis Muhammad Lutfi Ishak tentang falsafah politik orang Melayu. Jika ingin mengetahui kandungan entri tersebut sila baca di http://muhammadlutfi.blogspot.com

Isnin, Mei 03, 2010

Saya Ingin Berhenti Menulis

Sejak akhir-akhir ini saya berasa sangat berat untuk mengetuk papan kekunci. Saya seperti tidak ada rangsangan untuk terus menulis terutamanya bahan-bahan yang bercorak akademik. Saya berasa ingin berhenti seketika daripada menulis bahan-bahan akademik. Saya ingin kembali menulis kreatif. Buat masa ini pun saya sudah mula menulis cerpen kembali. Ada beberapa buah cerpen yang sedang saya tukangi.
Kadang-kadang saya berasa tidak puas dengan menulis bahan akademik walaupun bayarannya lebih lumayan. Karya kreatif bukanlah bahan yang dibayar tinggi. Akan tetapi yang penting ialah kepuasan diri untuk melahirkan karya. Sebenarnya melalui karya kreatif itu saya menumpahkan pemikiran saya dan ingin mengajak orang lain memikirkannya. Tidak semua orang mampu menulis karya kreatif, tetapi bahan-bahan bercorak akademik siapa-siapapun mampu melakukan dengan membuat rujukan.

Luka

Di manakah darahnya luka ini
peritnya sampai ke urat nadi
ngilu santak ke ulu hati.

Sukarnya menunjukkan luka
kerana semua lebih senang bermuka-muka
bertelagah sampai terlupa batasnya
bertelingkah hingga hilang budaya.

Aku tahu bangsaku semakin terluka
akibat rakus mereka yang gila kuasa
pedulikan saudara seagama
persetan semua hubungan bangsa
kerana syaitan telah lama menggoda.

Berikan ibu segala penawar untukku
untuk mengubat bisa luka di hati bangsaku
lantaran mereka semakin lama semakin buntu
untuk melagang kelarai ukhuwah yang padu
buat mengikat kembali rekah luka seribu liku
kembali erat rumpun bangsaku, Melayu!

3/5/2010

Sabtu, Mei 01, 2010

Antara Rumah Minang dan Rumah Melaka

Malaysia menggunakan binaan booth dalam Expo Shanghai dengan motif rumah minangkabau. Saya berasa pelik dengan pemilihan motif rumah minangkabau sebagai jati diri booth Malaysia. Hal ini sudah tentu akan mencetuskan pelbagai reaksi terutama dari negara jiran Indonesia. Saya rasa pemilihan bentuk binaan seperti itu dan mendakwa identiti Malaysia adalah tidak tempat. Adalah lebih sesuai kalau dipilih rumah Melaka, atau rumah pribumi Sarawak mahupun Sabah. Binaan ini lebih menonjolkan identiti Malaysia.
Persoalannya, adakah pegawai-pegawai atasan yang terlibat dengan expo berkenaan tidak terfikir akan perkara ini. Atau mereka langsung tidak kreatif untuk menonjolkan identiti Malaysia yang sebenar. Binaan bermotifkan Minangkabau tidak boleh dianggap sebagai beridentiti Malaysia walaupun banyak terdapat di N. Sembilan. Hal ini demikian kerana Minangkabau itu sendiri merupakan satu tamadun di Sumatera. Tidak keterlaluan hal ini akan mencetuskan lagi sekali polemik budaya antara Malaysia dengan Indonesia.
Rumah Melaka juga tidak kurang hebatnya untuk dijadikan binaan beridentitikan Malaysia. Cantik dan praktikal. Kita tunggu perkembangan selanjutnya ekoran perkara ini.

Elaun Khas untuk Guru BM

Dulu semasa pelaksanaan PPSMI, guru-guru yang mengajar mata pelajaran dalam BI termasuk guru BI telah diberikan elaun khas. Kadarnya boleh tahan juga iaitu 10% untuk guru-guru lepasan diploma dan 5% untuk guru-guru siswazah. Sudah bertahun-tahun juga guru-guru berkenaan menikmati imbuhan tersebut. Kini dasar MBMMBI pula dilaksanakan. Usaha memartabatkan mata pelajaran Bahasa Melayu perlu juga disokong dengan pemberian elaun khas untuk guru-guru BM. Kini setelah hampir setahun dasar tersebut diperkenalkan, nampaknya tidak ada pun khabar tentang perkara tersebut. Kumpulan-kumpulan pendesak yang menentang PPSMI juga barangkali tidak pernah terfikir tentang hal ini. Begitu juga persatuan-persatuan penulis dan organisasi pejuang bahasa turut mendiamkan diri. Nampaknya mereka hanya memperjuangkan isu ini untuk kepentingan diri dan organisasi sahaja, bukan untuk guru-guru yang mengajarkan subjek berkenaan di kelas.
Apa pandangan anda?

Masih

Masih dapat kurasakan tulus angin
menyapa wajah resah
sama lembut seperti alunan ritma mimpi
yang tertinggal di kantung malam
sirna.

Masih dapat kulihat sinar mata
memancar ke dalam jendela usia
layu dan pudar bersama semilir cinta
meminta tanpa nada
pasrah.

Masih kujamah warna maya
biar luntur bersama gulingan musim
tetap ada memberi makna ceria
sepintas kutatap pelangi deria
tawakkal.

Masih tersisa sejalur nyawa
yang kuhela menerus anugerah
tetap syukur walau semakin luntur
kerana pengalaman semakin subur
mujur.

1/5/2010

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...