Jumaat, September 07, 2012


Cempaka di laman masjid

Semerbak yang kukutip sejak dulu
kini kembali menyapa
ketika aku sebenarnya terlupa
di sini aku pernah berada
mengasah minda
mengimpikan sarjana.

Di laman rumah-Mu
bau cempaka telah lama bertamu
aku rindu akan masa lalu
sahabat-sahabat  tidak lagi ketemu
lantaran mereka sudah tentu
selesa dalam kehidupan syahdu.

Aku kembali di sini
memetik cempaka di laman masjid
tanda rinduku kembali bangkit
seorang diri menongkah nasib
dalam ketentuan dan takdir.

Wangi cempaka itu di kantungku
membuai daku
ke mimpi rindu.

Masjid UPM,
7 sept 12

Selasa, Julai 24, 2012

Pintu Ramadan

Telah terkuak pintu al mubarak
cahaya melimpah ke ruang  halaman
menerangi lorong-lorong dan jalur hidup
dalam semilir syahdu dan rungkup iman
pasrah insan jatuh di saf  keakraban.
 
Malampun meriah di mana-mana
di kota-kota hingga ke hujung desa
semua berdiri dalam niat yang sama
tiada beza tiada prasangka
tiada rona tiada pesona.

Dari pintumu
terngiang alunan suara bergema
naik ke udara segala zikir dan  salawat
anak-anak mula mengintai makna kebesaran
ilmu dan amal membugar nyaman.

Mari kita lalui pintu ini
sementara terbuka dan menerima hadir diri
di dalam nanti lihatlah segala bukti
keindahan hakiki sebuah perjalanan  nurani.

Bukalah pintumu  ya Ramadan
aku ingin mendambai kemuliaan
bersimpuh dalam kerendahan hati
menyirat makna sebuah ibadah suci
menginsafi diri di bawah takluk Rabbul Izzati.

Ghazali Lateh,
UPM, Serdang.
(Mingguan Malaysia, 8 Julai 2012)

Rabu, Julai 04, 2012

Di sini

Terlantar di sini
melaraskan diri
dalam agenda bestari
menobatkan harga jati diri.

Aku dari lembah durja
meniti perjalanan duga
ke puncak persada.

UPM
4/7/2012

Rabu, Jun 27, 2012

Sebuah Catatan Hujung


Mata-mata jernih yang kutatap saban hari,
tidak menampakkan gusar,
keberadaan hanya rutin dan amanah,
khabar lewat angin telah terpapar,
aku harus mengucapkan salam,
dan selamat tinggal.

Perpisahan seperti lumrah dan tiada rajuk,
pusingan detik telah bercantum,
memungkinkan aku harus pergi,
mengubah peta perjalanan,
dan merintis duri pengalaman.

Hanya pasrah jika itu rencana,
biarpun belum terjangkau rasa,
tentang duri dan kerikil yang ada di sana,
hakikat takdir yang tertulis,
aku hanya mampu memilih,
satu antara dua, seadanya.

Biarlah dalam diam,
aku melangkah setapak lagi,
lantaran aku bermula payah,
dalam rangkak dan resah,
tiba waktu ingin terpadam kemelut,
meneguk impian setiap  marhaen,
dan akulah setiap marhaen itu.

Mata-mata jernih yang kutatap,
adalah cahaya yang menusuk,
hati seorang perindu gelak tawa,
anak-anak yang baru mengenal dunia,
selayaknya.

Ucapan selamat tinggal,
sebenarnya kepada sebuah legasi,
yang kugeluti sejak lama,
aku bahagia di dalamnya.

Mata-mata jernih itu,
tetap mengintaiku,
ke hujung waktu.

Dangau Marhaen,
27/6/2012

Jumaat, Mei 18, 2012




Menerima hadiah kemenangan dalam peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2012 daripada Datuk Seri Dr. Zamri Abdul Kadir,
Menteri Besar Perak pada 15 Mei 2012

Rabu, April 25, 2012

Rindu yang Mati



Dialah yang mengetuk pintu malam,
ketika bulan bermuram,
di sini telah terpadam lirik cinta,
yang kita dendangkan saban purnama,
kiranya arah perjalanan tiada lagi panji-panji rindu,
terbakar dalam sukma yang kelu.

Aku mohon pulang sebentar,
membawa cebisan hasrat yang hambar,
leraikan cengkaman lidahmu,
pada ujar mesra bersira bisa,
kerana kita hampir pasti membuang jejak,
untuk membunuh rindu yang marak.

Maafkan aku jika cokmar cinta telah patah,
mahkota di jemala asmara pudar sinar,
pertahankan sisa kasih yang terakhir,
sampai aku pulang mencantas khuatir.

Kini,
pintu malam yang terkunci,
biar kuratapi dalam sepi,
belasungkawa sebuah rindu yang mati.

27/03/2000

Khamis, April 05, 2012

BICARA BUAT ISTERI II



Telah kutinggalkan resah di luar pintu,
Ketika aku pulang mengemis restu,
Isteriku!
Senyumanmu ruang tamu yang luas,
Belaianmu kamar syahdu yang puas.

Kau tidak menagih lebih,
Dari kudrat suami marhaen tersisih,
Yang kaufahami kepayahan,
Sejak terikat perhubungan.

Bermusim derita menanggalkan mesra,
Dan setia tersangkut pada rebah malam,
Aku hanya memugar ladang mimpi,
Di musim gersang dan terbiar,
Di luar pandang dan ikrar.

Kau suburi lembah cinta kita,
Dengan jernih air mata,
Kau penuhi laman asmara kita,
Dengan bebunga sukma pancawarna.

Ketika aku terjaga dari kolong angan,
Kau tersenyum menghulur tangan,
Di sini kutemui denai harapan,
Untuk kembali melabuh pelayaran,
Sebuah rumah tangga impian,
Yang telah lama kuidamkan.

Ghazali Lateh,
12/2/2003,
Banting.

Sabtu, Mac 03, 2012

Hijrah

Tiba-tiba terasa ingin untuk berhijrah
kerana terlalu lama di sini
segalanya menjadi tidak menjadi
berasa semakin tidak berasa
terasa seperti tidak terasa.

Barangkali suasana indah
telah pudar dimamah waktu
dan aku perlu menikmati angin
dari daerah yang lain.

Ke manakah langkah
harus kubawa
ketika semua jendela
tidak lagi terbuka
pintu-pintu bahagia
hampir tertutup semuanya
ketika aku terlonta-lonta
ditinggalkan semua wacana
dalam ruang lingkup bianglala
ceria.

Semoga
masih ada dalam carta-Nya
sebuah hijrah yang bermakna.

Banting,
3/3/2012

Sabtu, Februari 04, 2012

Mimpi

Seperti engkau telah membunuh mimpi
dan membiarkan malammu tidak terisi
senandungku tidak lagi kaucari
hanya menyukai keindahan yang tidak dimiliki.

Ini tentang masa lalu
yang hilang dalam senandung rindu
kaucari sebuah tugu cinta yang runtuh
ketika aku datang membawa secubit rasa
terpesona
lalu semuanya bermula.

Tapi kini segala yang kuberi
gagal memadam sekelumit rasa di sudut hati
tika bicara tanpa suara
kau melukiskan damba rasa
tanpa warna tapi ada tona
tanpa irama tapi ada nada
tanpa rasa tapi ada selera.

Aku terpaksa mengingati kembali
semua mimpi yang pernah kita kongsi
kerana lakaran cinta kiranya pudar
aku tidak mampu memberi cagar
menambat idaman mekar
di hujung sanggar.


Dangau Marhaen,
4/2/2012

Selasa, Januari 31, 2012

Sik, Sebuah Cinta Abadi



Telah bergema laungan suaramu
memanggilku pulang ke pangkuanmu
membawa jambangan rindu
yang mekar sewangi setanggi
sesegar menghijau lembah mengimbau.

Tika saat kembali menghulur jabat
seakrab Bukit Enggang yang hebat
dalam bicaramu malar berlembut madah
sehening santun Lata Mengkuang yang indah.

Biar kupimpin tanganmu
untuk melangkah jauh pertiwiku
kerana anak-anakmu telah besar dewasa
menakluki seluruh wacana perkasa
dengan mata dan minda terbuka
menjangkau pesona bianglala
melengkari cakerawala.

Sik, tanah ibunda
sedetikpun hati ini tidak pernah alpa
untuk kembali bermanja dan bercanda
beramah mesra di Pekan Selasa
membiarkan anak-anak ketawa di Rimba Taqwa
menikmati bayu berdesir di Pekan Cepir
menyedut nafas nyaman di Bendang Man
menagih bahagia di Begia
mendengar senandung di Caruk Kudung
semangatku bangkit di Caruk Kit,
melarik petua di Kampung Tua,
rindu memekar di Kampung Belukar
nostalgia tersusun di Kampung Dusun
mencongak harapan di Batu Lapan
melebar pandang di Caruk Padang.

Aku membesar dari darahmu, bumiku
merasai debar getar di Hujung Bandar
menyubur tolong-menolong di Kemelung
melerai kasih terpendam di Paya Terendam
mengagumi anggun terungkap di Banggol Derdap
kasih merunduk di Caruk Pelanduk,
cinta tertumpah di Bakar Sampah,
menobat asmara di Kampung Kuala
melebar kesima di Batu Lima.

Aku ingin mendengar lagi alunan gemersik
dan suara-suara mesra yang berbisik
sekolahku tempat mengenal aksara dan angka
kini melebar martabat sampai ke inderaloka
guru-guru yang menabur jasa
menjadikan kami anak-anak bangsa yang perkasa.

Terima kasih seluhur budi
kerana semuanya masih sudi
menyahut seruan tanah abadi
masih kita mengagungkan peribadi
yang kita warisi semulajadi
berkat didikan yang menjadi.

Sik,
aku ingin berteduh di lamanmu
aku ingin bersimpuh di anjungmu
aku ingin berteguh dengan janjiku
mendakapmu dalam imbauan rindu
ke hujung waktu
syahdu!

Dengan ingatan tulus ikhlas,
Dr. Ghazali Lateh,
8/11/11

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...