Sabtu, Februari 27, 2010

Penambang

Lengan-lengan sasanya
tegar merengkuh pendayung
membelah arus sarat ke seberang
dalam oleng lembut dibuai riak
mengemudi masa depannya
ke dermaga pencarian.

Penambang ini tidak meminta banyak
kerana rezeki bagai arus mengalir
tiada henti selagi ada kemahuan
untuk terus mendayung hidup dan bertahan
dilambung gelora cabaran.

Perahu kecil itu hanyalah papan kosong
yang dipacu semahu-mahunya
meredah busa dan pasang surut
di lubuk kemelut
selagi hati tidak reput
dan kudrat tidak susut.

Ketika bangun melangkah pergi
syiling kecil bukanlah upah lumayan
berbanding nyawa yang bisa hanyut ditelan alir
dan penambang itu tidak banyak berfikir
kerana arus hidupnya seperti sungai takdir
antara yakin dan mungkir
di jiwa seorang musafir.

Waterfront,
Kuching.
1/6/06

Ke Bahau

Tanpa sebarang perancangan, saya mengajak isteri saya jalan-jalan selepas sarapan pagi. Jadi kami pun meneruskan perjalanan. Perhentian pertama ialah Nilai Square di galeri lukisan dan hiasan taman. Kemudian kami terus ke Kuala Pilah melalui jalan baharu yang melepasi kawasan Bukit Putus. Saya masuk ke Kampung Talang. Sebenarnya kampung Talang ialah kampung kelahiran arwah penyair besar Dharmawijaya. Terdapat sebuah sajak yang berjudul Kampung Talang ditulis oleh arwah dan saya terlupa dalam antologi mana sajak tersebut diterbitkan.
Lepas makan tengah hari di gerai tepi jalan, kami ke Bahau. Sebenarnya saya tidak pernah ke Bahau, jadi saya menghabiskan masa seharian di Bahau. Saya sempat juga meninjau kedai buku Aneka dan melihat buku-buku tulisan saya bayak dijual di kedai berkenaan. Terima kasih. Saya juga membeli sebuah buku Mutiara Kata tokoh-tokoh dunia.

Jumaat, Februari 26, 2010

Ruangan Saya di Berita Harian

Sejak beberapa minggu yang lalu saya telah diberikan satu ruangan dalam sisipan Minda Pelajar, akhbar Berita Harian. Ruangan Kemahiran Bahasa ini disiarkan setiap hari Selasa. Pengisian ruangan ini ialah panduan dan juga asas-asas kemahiran bahasa Melayu yang sesuai ditelaah oleh murid-murid sekolah. Jangan lupa untuk mendapatkan akhbar Berita Harian setiap hari Selasa.

Buku Terkini Saya

Buku ulang kaji SPM ini sepatutnya terbit lebih awal, namun oleh sebab penulis terpaksa menunggu bahan Komsas yang terkini diumumkan oleh Bahagian Buku Teks, KPM, penerbitan buku ini tertangguh. Buku ini ialah buku terbaru saya dan Cikgu Ghalib di pasaran. Di dalamnya disertakan juga sisipan ulasan novel yang dibuat oleh penulis dan penyair terkenal tanah air iaitu Sdr Aminhad. Bagi murid-murid yang menduduki SPM tahun ini, jangan lupa untuk mendapatkan buku ini di pasaran.

Khamis, Februari 25, 2010

Nostalgia Kampungku

Saujana di kejauhan desaku yang kutinggalkan sekian lama. Bukit Nibung ini tanah kelahiran yang mengajar erti kepayahan dan kesungguhan untuk bangun berdiri, menongkah kelaziman hidup penuh sengsara. Desa yang tersisih ini adalah wadah menempah gemilang yang datang bertandang di laman kehidupan masa kini.
Bukit Jenun juga tanah penuh kenangan. Lembah antara dua buah bukit inilah padang permainan kami masa kecil, mengejar belalang untuk dijadikan umpan mengail puyu dan haruan. Di lembah inilah tempat tertumpah keringat para petani meraih kehidupan ala kadar.

Semak samun ini menyembunyikan kenangan lampau yang penuh seribu ingatan pada zaman berlalu. Di sinilah tapak rumah kami dahulu, yang menjadi latar kebanyakan karya termasuk novel Dari Lembah ke Puncak. Di sinilah diri kerdil ini dilahirkan, dibesarkan, dan mengerti erti kehidupan.

Syarahan Sastera

Secara peribadinya saya telah menolak jemputan untuk menyampaikan syarahan di UPSI pada 4 Mac nanti. Namun demikian, saya dihubungi semula oleh pihak penganjur merayu agar saya datang juga untuk menyampaikan syarahan tentang kepengarangan saya semasa menghasilkan novel Dari Lembah ke Puncak. Memandangkan 4 Mac itu tidak sesuai dengan jadual saya, pihak penganjur telah mempercepat tarikhnya ke 3 Mac.
Walaupun saya sebenarnya tidak berapa setuju dengan 'layanan' penganjur terhadap jemputan tersebut, saya mula positif dan menyifatkan kehadiran saya adalah untuk kepentingan pendidikan dan pengetahuan. Saya juga faham dengan peruntukan kewangan yang sangat terhad. Namun kebajikan saya sebagai penulis tidak harus diremehkan. Hal ini demikian saya terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh, bayaran bahan api dan tol yang tinggi, dan yang penting masa saya yang bakal terbuang semata-mata untuk menghadiri majlis berkenaan.
Namun, sebagai memenuhi keperluan 'pendidikan' ndan pendedahan terhadap guru-guru pelatih mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (yang semakin tersisih) saya akan datang juga. Mudah-mudahan usaha untuk memartabatkan sastera dan Bahasa Melayu akan mendapat sokongan rakan-rakan dengan anak-anak bangsa yang insaf dan sedar akan diri.

Rabu, Februari 24, 2010

Siri Teladan Lestari






Buku-buku dalam Siri Teladan Lestari merupakan karya terbaru saya di pasaran. Buku-buku ini merupakan bahan bacaan untuk kanak-kanak prasekolah dan juga kanak-kanak tahap satu di sekolah rendah. Dapatkanlah buku-buku ini di pasaran untuk bacaan anak-anak anda.

Selasa, Februari 23, 2010

Lelaki Yang Bermain Seruling

Adakah lagi lelaki yang bermain seruling,
Selain aku?
Tanpa nota irama,
Hanya gerak rasa ritma jiwa,
Mengimbau dari tanah kelahiran,
Ke laman kota penuh nostalgia.

Di sini tiada lagi kiranya,
Lelaki yang ingin meniup seruling,
Kerana kehidupan jauh berbeza,
Dicemburui masa,
Dihambat cempera dunia,
Ke pojok durja.

Malam tetap bangkit di sini,
Tanpa titip kasih dan rindu,
Pada musim berlalu,
Kerana kita sudah jauh meninggalkan,
Mesra desa,
Lapang ladang,
Rimbun kebun.

Aku ingin terus bermain seruling,
Tanda jiwa belum alpa,
Asal-usul jejak mula,
Sebelum terkembang,
Sayap pesona.

Banting,
8/10/2003

Isnin, Februari 22, 2010

Aku dan Malam


Melemparkan pandang ke luar jendela
melihat malam temaram cahaya
betapa hati terhimbau jauh
ke sempadan nostalgia yang jatuh
di birai hati yang rusuh.

Malamku adalah wadah mimpi
yang kuukir pada arca nurani
menghimpun bait-bait ilusi
yang tumbuh di bingkai hari.

Malam adalah musim peralihan
antara hari dan hari depan
antara sebuah realiti dan seribu impian
yang belum tercapai tangan.

Datanglah malam dengan seribu misteri
di luar jendela aku melemparkan naluri
menjangkau seribu destinasi
yang terhimpun di dalam mimpi.

Aku dan malam
tidak terpisah oleh sempadan hitam
kerana aku sentiasa terbangun membasuh dendam
ketika fajar membuka langit dengan ruang yang agam.

22/2/2010

Jumaat, Februari 19, 2010

Kunjungan Rakan-rakan

Dari kiri Cikgu Ghalib, saya, Encik Amin Minhad, dan Cikgu Khir Kassim
Petang ini saya menerima kunjungan rakan-rakan karib saya dalam bidang penulisan buku ulang kaji bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia. Tujuannya adalah untuk membincangkan pembahagian tugasan bagi projek penulisan buku kami untuk kegunaan tahun 2011. Nampaknya tahun ini kami bermula awal untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. Harapan saya tahun depan rezeki semakin bertambah dengan penghasilan lebih banyak judul buku kami di pasaran.

Pekan Rabu Tika Senja

Pekan Rabu sudah reda,
ketika senja menyapa,
neon muram mendamba malam,
penjaja menyorong pulang dagangan,
dengan laba di tangan.

Aku masih termangu,
menanti detik berlalu,
ketika jalan sudah longgar,
aku masih mencongak wajar,
ingin terus di sini,
atau kembali mengejar destinasi.

Perjalanan pun semakin samar,
dan kudrat sudah mula pudar.
tiba-tiba sahaja aku meraih sedar,
akulah perantau yang terdampar,
tega mengejar impian besar.

Pekan Rabu tidak banyak berubah,
hanya aku yang jauh melangkah,
meninggalkan musim gelisah,
zaman remaja yang gundah.

Pekan Rabu,
Alor Setar,
16 Feb 2010.

Rabu, Februari 17, 2010

Jakarta dan Bandung

Saya telah membeli tiket penerbangan ke Jakarta dan Bandung. Rancangan awal hanya mahu ke Bandung, namun oleh sebab lewat membuat tempahan harga tiket Air Asia agak mahal berbanding tiket Mas ke Jakarta. Jadi, saya mengambil keputusan untuk ke Jakarta pada 4 Mac dan akan menaiki van ke Bandung pada 5 Mac. Saya rasa cara ini lebih baik untuk melihat suasana pemandangan di sana nanti. Saya membawa isteri dan anak bongsu saya kerana yang lain tidak dapat ikut kerana ada urusan. Bersama-sama saya nanti ialah AJK Rukun Tetangga Kampung Banting, seramai 11 orang.

Balik Kampung

Tiga hari lepas saya balik kampung ke Kedah. Perjalanan balik agak lancar kerana lebuh raya tidak begitu sesak. Satu perkara penting setiap kali saya balik kampung adalah berkunjung ke Tanjung Dawai, di Yan. Di Tanjung Dawai terdapat sebuah gerai ikan bakar yang baik. Hari itu saya membawa keluarga dan ibu saya ke sana. Pengunjung terlalu ramai hingga tidak ada tempat duduk, terpaksa tunggu orang habis makan baru dapat tempat duduk. Makanannya sangat enak, yang penting servisnya cepat sebab ikan-ikan bakar sudah sedia untuk dipilih. Harga makanannya juga murah berbanding di Melaka atau di tempat-tempat lain yang pernah saya pergi. Satu keluarga makan, ikan siakap besar, udang, ikan pari, kari ikan, kerabu, dan ulam-ulam, hanya RM68.00.
Satu lagi perkara penting ialah sarapan nasi lemak kecik (mengikut istilah anak-anak saya). Di Guar Chempedak, adalah menjadi perkara biasa, nasi lemak dibungkus kecil-kecil. Dulu harganya 20 sen tetapi sekarang sudah jadi 50 sen sebungkus. Enak, dan biasanya kita akan maskan dua atau tiga bungkus sekali. Lauknya juga pelbagai termasuk sambal ikan kembung.

Kami sekeluarga juga sempat ke Pdg Besar dan shopping di Kompleks Bebas Cukai. Laluan masuk ke Thailand sangat sesak (dengan kereta dari Malaysia). Saya terlupa membawa pasport jadi memadai hanya melawat kedai bebas cukai dan membeli beberapa barangan. Gambar di bawah saya ambil di Bazar Padang Besar. Seorang lelaki berkaki palsu duduk di tangga bazar untuk meminta sedekah. Saya rasa pihak berwajib perlu memantau situasi ini untuk mengelakkan imej negara terjejas. Ramai pelancong luar yang berkunjung di tempat ini.
Dalam perjalanan pulang dari Pdg Besar, saya sempat berhenti minum petang di Pekan Rabu, Alor Star. Sempat juga membeli sehelai baju Melayu.
Sebenarnya banyak gambar yang dirakamkan dalam perjalanan kali ini. Jika ada masa, gambar-gambar tersebut dimuatnaikkan kemudian.

Sabtu, Februari 13, 2010

Apa Yang Terjadi

Minda kita sudah cukup ketat terikat,
Sehingga suara kita tidak lagi berhasil,
Menterjemah fikir ke wasiat putih,
Melafaz lunak rasa terbuku kelu,
Jumud dan kaku.

Ketika ada yang bangkit,
Membongkar nyedar di luar lorong,
Dialah pesalah maha besar,
Yang kita ikat tangan dan obsesi,
Kita tambat hati dan naluri,
Terhumban yojana ke dasar mimpi.

Lalu kitapun tertanya-tanya arah sendiri,
Yang lama kita padam dalam peta syurgawi,
Dengan dahagi fanatisme yang muncus,
Kita buang logisme beralas mulus,
Kita bakar segala wajar yang harus.

Apa yang terjadi,
Kita berbabil tentang lorong pilihan,
Dan kita tidak pernah mahu menyatukan,
Duniawi ukhrawi adalah sempadan jauh,
Tidak tercantum oleh jiwa yang rusuh.

Tuhan tetap maha mengetahui sehalus zarah,
Nawaitu umat-Nya yang menetap arah,
Tiada siapa yang berhak mengaku diri,
Bahawa dialah yang akan terpilih,
Untuk berada di padang yang putih.


Telok Datok,
2/10/02

Rabu, Februari 10, 2010

Penangguhan Seminar


Seminar Pengenalan Teks Kesusasteraan Melayu KBSM Baharu yang dijadualkan pada 25 Februari 2010 telah ditunda ke 5 Mac 2010. Seminar ini akan diadakan di UPSI dengan sasaran khusus pada guru-guru pelatih yang menjalani latihan mengajar. Saya akan membentangkan kertas kerja yang bertajuk Novel Dari Lembah ke Puncak :Proses Kreatif dan Imbasan Struktural DKLP. Saya akan membicarakan novel berkenaan dari aspek kepengarangan saya semasa menghasilkan novel berkenaan. Selain itu saya juga akan membicarakan secara ringkas aspek struktural. Bahagian Pedagogi dan aspek yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran akan disampaikan oleh Encik Khir Kassim, Guru Cemerlang Bahasa Melayu dari Sepang.
Jika tiada halangan, saya juga akan membawa buku ulasan yang diterbitkan oleh Cerdik Publication jika ada guru-guru pelatih yang berminat untuk membelinya. Untuk maklumat lanjut, saya boleh dihubungi melalui emel glateh@blogspot.com.

Selasa, Februari 09, 2010

Tukang Perangkap

Dialah tukang perangkap
yang sekian lama membina
sebuah perangkap besar
bahannya waja sembilan bangsa
tersepuh oleh tangan perkasa
yang sudah ternama.

Dia amat berbangga
apabila semua yang datang melempar puja
akan kehebatan dan tanda nama
tentang keutuhan dan kesohoran
yang tertulis pada papan tanda.

Dialah tukang perangkap
yang berbangga dengan kunci panca tembaga
tidak terlawan kudrat seribu mangsa
gegar ketawa menggetar angkasa
menawan siapa yang terleka.

Dialah tukang perangkap
yang sekian kalinya terbawa
oleh egonya ke dalam sangkar
yang tegar lagi kukuh
dan ketika ingin meraikan keangkuhan
dia sedari dirinya dalam perangkap itu
dan kuncinya ada padaku.


Ghazali Lateh,
Banting,
21 Mac 2004

Ahad, Februari 07, 2010

Langkah


Kaki yang terjerat ini
terasa tidak mahu melangkah
lantaran semua mata mahu menikam
dan senyuman bisa sahaja mendendam.

Beban menyeret duri di kaki, di hati
adakalanya tidak terpikul oleh semua pundak
apatah tubuh kering terpukul seribu gejolak
yang baru berputik semangat
selepas fajar mengerdip cahaya
sedang bermula erti berjaya, bahagia.

Kita selalunya merancang cemerlang
tetapi tidak mengundang kecundang
yang tetap akan datang
dalam prasiaga kita dibalun gelombang,
tumbang.

Setelah terbangun dari kemanjaan mimpi
kita harus tegas memancang destinasi
seribu beban yang mencengkam kaki
jangan sampai menjadi tradisi
rugi.

Setiap detik waktu adalah bumbu
dan kehidupan tidak selalu syahdu
yang pasti perjalanan perlu ada hala tuju
dengan akrab tekad di sudut kalbu.


Banting,

7/2/2010

Sabtu, Februari 06, 2010

Hanya Memori

Kau taburkan benih resah di denai hidupku,
Bercambah menjadi pohon-pohon gelisah,
Yang berduri dan beracun,
Ketika ingin kupetik sekuntum kembang,
Kudup itu telah hilang,
Dalam sekilas pandang.

Telah kupilih jalan yang lain,
Memujuk hati pedih dan terkilan,
Kupujuk kecewa biar tidak terbawa,
Dalam arus mencengkam rasa,
Hampa!

Kini tiba-tiba sahaja,
Kauhadir bercerita tentang musim-musim derita,
Yang kau jumpa dalam igauan bahagia,
Terimpikan semenjak remaja,
Dan aku bukan tempatnya.

Kiranya aku hanya sebuah pangkalan,
Tempat persinggahan ketika ombak merusuh,
Dan kau akan berangkat lagi,
Meninggalkan gundah dan impian pecah,
Dalam memori hati yang patah.

Hotel Belmont marco Polo,
Tawau.
31/10/2002

Rabu, Februari 03, 2010

Dunia Dari Tingkap Pesawat

Betapa hidup terkurung ini menyusahkan,
Melontar pandang terhalang,
Membuang imbau terhadang,
Gusar pun mekar,
Atas padang risau nan melebar,
Tiap detik mengundang serik,
Tiap saat melamar gugat.

Kehidupan ini bukan untuk dikongkong,
Kerana kita harus terus bebas,
Melakar fantasi yang lepas,
Mengukir ilusi yang luas.

Terjajah bukan terikat tangan,
Tenatnya kita diikat pemikiran,
Semuanya sempit terhimpit,
Semuanya getir dan pahit.

Melihat dunia dari tingkap pesawat,
Luas yang memeritkan,
Bebas tapi menyakitkan,
Lepas tapi membelitkan.

Aku ingin segera pulang,
Mengutip sejarah yang terbuang,
Tentang kebebasan, tentang keperkasaan,
Untuk memerdekakan setiap ruang,
Tanah air yang gemilang.

Brunei,
11.20 pg.
28/10/02

Selasa, Februari 02, 2010

Aku Hanya

Aku hanya setitis dalam selaut,
Hilang dalam ombak membuak,
Sirna dalam buih memutih,
Tanpa kuala, tanpa muara,
Yang ada hanya tega,
Di riak duka.

Aku hanya sebilah dalam seberkas,
Samar dalam nasib menghimpit,
Luluh dalam cengkam menikam,
Tanpa luang, tanpa ruang,
Yang ada hanya janji,
Di datar sepi.

Aku hanya sedetik dalam semusim,
Lepas dalam jejak membekas,
Alpa dalam saat yang hiba,
Tanpa pantas, tanpa lantas,
Yang ada hanya rugi,
Di laman hari.

Aku hanya sebutir dalam segenggam,
Lupus dalam maya yang mulus,
Lebur dalam rupa yang kabur,
Tanpa tunas, tanpa bernas,
Yang ada hanya tumpas,
Di lapang tewas.

Aku hanya seorang dalam sedunia,
Kerdil dalam darjat mencuat,
Terpencil dalam diri mandiri,
Tanpa langkah, tanpa arah,
Yang ada hanya tabah,
Di sisi maruah.

Ghazali Lateh,
Banting,
12/1/2004

Travelog Seoul Korea 2017

Tanpa banyak persediaan, saya membuat keputusan untuk melancong ke Seoul. Saya terbang ke Seoul pada 28 Ogos, dengan Air Asia.   Kami tiba ...