Rabu, September 30, 2009

Lensa Lebaran 2009


Murid-murid saya tahun ini


Murid-murid saya tahun 1995. Mereka tidak pernah ketinggalan berkunjung ke rumah saya setiap tahun walaupun sudah berkeluarga.

Keluarga Cikgu Harisoon dan En. Dujali.
Keluarga penulis Syed Mahadzir


Murid saya tahun ini.

Isnin, September 21, 2009

Salam Aidilfitri

Tahun ini pertama kali kami beraya di rumah baharu. Suasananya meriah. Hari pertama raya, tetamu yang datang sangat ramai. Sejak tengah hari, saudara mara dan tetamu mula datang. Pada malamnya juga tetamu berkunjung hingga tengah malam.

Suasana lebih selesa kerana rumah ini agak luas dan banyak ruang untuk tetamu. Di bahagian luar rumah juga ada tempat untuk tetamu berehat.








Khamis, September 17, 2009

Rakan-rakan Lama

Sempena hari raya tahun ini saya dihubungi rakan-rakan lama saya semasa bersekolah di Sekolah Menengah Guar Chempedak. Yang pertama menghubungi saya ialah Chong Seng Ming yang mempunyai sebuah firma guaman di Sungai Patani. Kemudian Wahab menelefon saya dari Kota Bharu, bercerita panjang tentang diri masing-masing. Mereka berdua memang rakan karib saya semasa di sekolah dulu. Dan kami akrab sampai sekarang.
Semasa di sekolah Seng Ming dan Wahab merupakan pengawas, malahan Wahab menjadi ketua murid. Mereka memang berwibawa. Saya hanya pelajar biasa dan duduk di belakang kelas. Ketika itu saya rapat dengan Allahyarham Shukri Bakar. Rakan saya itu meninggal dalam kemalangan jalan raya, meninggalkan seorang anak yang masih kecil. Semasa di sekolah dia sangat rapat dengan saya. Semasa meninggal, dia bertugas sebagai akauntan di KWSP cawangan Alor Star.
Seng Minng pula dulu masuk maktab perguruan, satu batch dengan saya. Tapi dia meninggalkan kursus keguruan dan menyertai pasukan polis sebagai inspektor. Dia bersara dari polis ketika berpangkat ketua inspektor untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang. Kini dia memiliki firma guaman. Seorang lagi classmate saya ialah Ng Choo Hock, juga memiliki firma guaman di SP.
Wahab pula seorang yang sangat progresif dalam kehidupan. Dia pernah menjadi orang besar dalam Nestle'. Kini Wahab mengendalikan konsultansi sendiri dan seorang yang berjaya dalam apa-apa sahaja bidang yang diceburi. Saya sangat berbangga kerana kawan-kawan sekolah saya berjaya.

Isnin, September 14, 2009

Terus dari Kilang.

Oleh sebab permintaan tinggi, air tidak sempat dimasukkan ke dalam kotak.
Sekumpulan pekerja warga Bangladesh yang bekerja di kilang tersebut sedang mengupas ubi untuk dijadikan kerepek ubi. Sudah tiba masanya negara memberikan pada Bangladesh untuk membekalkan pekerja asing yang lebih ramai. Hal ini demikian kita perlu mengurangkan warga Indonesia kerana kebanjiran mereka menyusahkan rakyat Malaysia.

Sebagai persediaan untuk menyambut hari raya, saya membeli air minuman berkarbonat di kilang Jaez Industries yang terletak di Kampung Sungai Kelambu. Kilang ini menghasilkan air minuman dengan jenama Jaez. Rasa air produk kilang ini bagus kerana kurang gasnya dan enak. Kilang ini merupakan sebuah kilang IKS yang berjaya. Sambutan terhadap produk kilanng ini sangat baik sehingga tidak sempat dimasukkan ke kotak sudah pun ada yang membeli. Di samping menghasilkan minuman kilang ini juga menghasilkan kerepek pisang, kerepek ubi, dan kuih-muih.

Di Banting, banyak perusahaan seperti ini dijalankan oleh penduduk tempatan. Kerepek keluaran Banting kini sudah dieksport ke luar negara. Orang Melayu sudah mula melibatkan diri dalam sektor pengeluaran bahan makanan berasaskan pertanian. Saya bangga kerana kebanyakan mereka sudah maju. Sama-samalah kita bantu perniagaan bumiputera.

Ahad, September 13, 2009

Ke Alamanda, Putrajaya

Salah sebuah jambatan di Putrajaya
Pemandangan di luar Masjid Besi, Putrajaya
Beriani ayam di Gedung Jati Rumah Hijau, Dengkil RM10.00
Petang tadi saya ke Alamanda Putrajaya. Pengunjung di Alamanda sangat ramai. Penuh sesak. Niatnya nak beli baju Melayu kat butik di Alamanda. Sebaliknya lain pula yang dibeli. Sedar-sedar dah 6.30 petang. Cari tempat nak berbuka puasa, semuanya penuh dengan pengunjung. Seawal jam 6.30 itu pelanggan sudah bersedia di meja dengan minuman dan makanan sudah tersedia di atas meja. Mahu tidak mahu terpaksa saya ke Precint 8. Malangnya makanan sudah habis. Jadi terpaksa berbuka dengan minuman sahaja.

Kemudian ke Masjid Besi sebelum balik dan singgah makan di Gerai Beriani di Gedung Jati Rumah Hijau di Dengkil.

Perihal di Kampung II

Seperti tahun-tahun yang lalu, malam-malam akhir Ramadan saya suka melihat suasana sambutan di kampung di sekitar Banting. Dalam pukul 11 atau 12, saya bersama-sama keluarga berkereta memasuki kampung seperti Kanchong Darat, Sungai Lang, Sungai Kelambu, dan kadang-kadang sampai ke Olak Lempit atau Labohan Dagang. Tujuannya untuk melihat pelita atau panjut yang banyak dan sangat cantik kelihatannya pada malam-malam sebelum aidilfitri.
Namun, tahun ini keadaan itu agak berlainan. Tidak banyan rumah yang memasang pelita di laman seperti tahun-tahun yang lalu. Dalam satu lorong hanya ada satu dua rumah sahaja yang memasang pelita. Barangkali tahun ini, masa agak terhad. Anak-anak sekolah yang memasang pelita juga masih bersekolah dan sedang menghadapi peperiksaan. Mungkin inilah sebabnya sambutan kali ini tidak begitu meriah.
Malam tadi ketika melalui Kampung Kanchong Darat, saya dapati ada sebuah rumah menggantungkan tanglung bulat dengan tulisan Cina sebagai lampu hiasan di pondok depan rumah. Nampaknya tuan rumah tersebut sedang menghayati semangat 1 Malaysia.

Perihal di Kampung


Saya berasal dari kampung. Kehidupan saya semasa kecil sangat miskin. Ibu bapa saya sangat miskin. Sekarang ibu saya masih dalam keadaan miskin kerana dia tidak mahu hidup dalam keadaan senang walaupun anak-anak mendesak. Akan tetapi itu bukan perkara yang hendak saya katakan.


Baru-baru ini, dalam bulan Ramadan ini, ibu saya sangat gembira. Pondok buruk kami, dikunjung oleh seorang yang bergelar YB. Wakil rakyat Pakatan Rakyat datang dan masuk ke pondok ibu saya untuk menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan. Umur ibu saya sudah melewati 80-an tahun. Dia ialah antara ahli UMNO paling awal, seawal parti itu ditubuhkan. Namun selama ini pondok buruk kami tidak pernah dijejaki mahupun dihampiri oleh wakil rakyat. Inilah pertama kali berlaku dalam sejarah, pondok buruk kami dimasuki oleh YB. Dengarnya YB itu berketurunan Cina. Inilah baru 1 Malaysia.


Kalau dulu, ada juga bantuan. Semuanya diturunkan dari atas sampai ke bawah melalui pelbagai lapisan birokrasi. Paling bawah ialah JKKK. Biasanya bantuan yang sampai itu hanyalah baki-baki yang sisa. Dan ibu saya tidak pernah merungut jika tidak mendapat sekalipun, kerana kami memang orang miskin.


Perihal ini perlu diperhatikan oleh mereka yang berpolitik. Di negara ini kebijaksanaan berpolitik semakin jelas dipandang. Kalau dulu, pemimpin politik bawahan ialah mereka yang ada pendidikan menengah sahaja. Yang ada ijazah atau kakitangan profesional tidak dibenarkan berpolitik. Hal ini dikatakan oleh Prof. Imeritus Datuk Khoo Kay Kim, yang ada kuasa tidak ada pengetahuan dan yang ada pengetahuan tidak ada kuasa. Oleh sebab itu orang mula buka mata. Yang ada kuasa itu hanya mementingkan tembolok sendiri. Dalam keadaan kegawatan politik sekarang, kumpulan itu masih menyeret temboloknya yang mencecah tanah.


Saya bukan aktivis politik. Saya hanya memerhatikan semuanya dari kaca mata seorang marhaen yang berfikir.

Jumaat, September 11, 2009

Bangga Menjadi Rakyat Malaysia

Saya membaca beberapa blog dari Indonesia. Bloggers di sana tidak habis-habis mengganyang negera ini dalam blog mereka. Yang peliknya sasaran serangan mereka lebih tertumpu pada orang Melayu di negara ini. Malaysia dianggap sebagai negara kecil yang berambisi besar dan arogan. Malah ada blogger yang sangat memuji negara Turki, yang dianggap menjadi sahabat sejati negara itu. Buktinya, semasa tsunami melanda Aceh, bantuan Turki yang paling awal dan paling besar diterima.
Mereka tidak sedikit pun menyebut sifat murah hari Malaysia, NGO, yang tidak pernah berhenti membantu jika terhadap sebarang bencana berlaku. Yang terkini, ketika mereka berdemonstrasi hendak mengganyang Malaysia, negara kita menubuhkan tabung untuk membantu mangsa gempa yang melanda luar Pulau Jawa. Ketika tsunami, dan hingga kini mangsa tsunami mendapat pelbagai bantuan drai Malaysia langsung tidak disebut. Yang disebut hanya kerakusan sikap Malaysia mengklaim itu dan ini dari negara jiran itu.
Mereka juga mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru. Tidakkah mereka tahu DEBlah yang membolehkan rakyat mereka turut merasai nikmat dan rezeki, datang berduyun-duyun secara sah mahupun haram semata-mata kerana sikap baik hati rakyat dan pemimpin negara ini.
Yang penting rakyat Malaysia tidak harus melatah dengan sikap emosional mereka. Yang penting juga bangsa yang besar dan bertamadun ialah bangsa yang berhemah dalam apa-apa jua tindakan. Saya bangga jadi rakyat Malaysia.

Ahad, September 06, 2009

Beli-belah pertama

Suasana agak tenang di Jusco, Bukit Raja. Barangkali minggu depan orang makin ramai.
Tanpa perancangan, saya, isteri, dan anak-anak keluar ke Kelang untuk beli-belah buat pertama kali pada petang Sabtu. barangkali selepas ini, saya terpaksa keluar lagi memandang korum tak cukup. Anak sulung saya tidak ada sebab sedang exam di UPSI.


Hanya ke Jusco, Kelang. Keadaan masih tidak begitu ramai, boleh beli-belah dgn agak selesa. Saya tertarik dengan baju linen di East India, dan harganya juga agak berpatutan. Isteri dan anak-anak membeli ala kadar kerana mungkin sebagai remaja, anak-anak saya lebih senang untuk membeli pakaian mereka sendiri. Kadang-kadang saya dan isteri berasa anak-anak itu seperti 10 tahun yang lalu dan masih kecil. Barangkali sudah tiba masanya mereka diberikan kebebasan untuk beli-belah sendiri.


Kami berbuka puasa di Kampung Kuantan, Kelang. Sudah agak lama saya tidak ke sana. Dulu beberapa kali juga saya berbuka di restoren tersebut. Malangnya kali ini, masakannya tidak seenak dulu, dan harganya juga sudah jauh lebih tinggi.

RAYA 2017