Isnin, November 28, 2011

Gunung Jerai

Kabus menyusup ke ruang kamar
pemandangan alam merebak samar
titis dingin menyapa
semilir lembut meliukkan dedaun manja.

Bersandar melepas resah
terdampar menawar lelah
tiba-tiba gerimis menyasar
berubah menjadi titis hujan yang kasar
nyaman sore tiada ternoda
hanya suara alam syahdu bercanda.

Awan gemawan melendut di ufuk laut
makin hilang ditelan kabus berpuput
kedamaian yang kurindui
semakin datang menyentuh hati.

Di puncak libur
sekeping hati akan terhibur
Gunung Jerai masih terbalut hijau subur
biarpun warna alam semakin luntur
masih terungkap asmara rindu berbaur.

Sore menyapa malam
dan cinta semakin anggun berbalam
pagi masih sepi
hanya suara angin mengusap pipi
ketika melangkah pergi
dan berjanji akan datang lagi
suatu hari nanti.

Kamar 203,
Regency Gunung Jerai,
24/11/2011

Ahad, November 27, 2011

Catatan Perjalanan ke Betong, Thailand

 Sebaik sahaja sampai di Betong, saya berhenti untuk makan tengah hari di sebuah restoren Muslim.  Menunya sama seperti kedai-kedai makanan Thai di Malaysia.  Tek tarik pun ada.
 Di Betong terdapat sebuah terowong peninggalan pengganas komunis dan hotspring.  Saya tidak berkesempatan untuk melawat tempat-tempat tersebut kerana masa lebih banyak digunakan untuk beli-belah.
 Semasa berjalan-jalan di pekan, saya berjumpa dengan Encik Anip.  Dia seorang pemandu teksi.  Saya meminta Encik Anip membawa saya meronda di pekan Betong.   Dia membawa saya ke beberapa tempat.  Encik Anip ketawa apabila saya beritahu saya menginap di Garden View Hotel. Ada sebabnya dia ketawa.
 Gambar kabur ini disebabkan saya tidak cekap menggunakan DSLR.  Salah satu tempat menarik di Betong.  Sayangnya kurang penjagaan.  Di sekitar bandarnya juga agak kotor dan tidak teratur.  Lalu lintas juga kelam kabut.
 Pertama kali saya melihat terung panjang berwarna hijau.
Rebung jeruk merupakan makanan kegemaran orang Betong.  Di pasar ada sebuah gerai yang menjual rebung jeruk pelbagai jenis.  Lawatan saya ke Betong menemukan jawaban betapa orang Malaysia ramai ke sana.  Sebenarnya pekan ini hidup dengan rakyat Malaysia.  Semasa di sempadan, saya mendapati pegawai imigresennya agak kurang mesra tetamu.  Wajahnya masam dan tunjuk garang kepada pengunjung. 
  Kehidupan malam di pekan ini sangat luar biasa.  Keadaan di pekan ini jauh rendah tarafnya berbanding di Malaysia.  Apabila saya melawat di seberang sempadan, barulah saya tahu bahawa Malaysia ialah negara yang sangat baik berbanding negara-negara jiran.

Sabtu, November 19, 2011

Buku Bahasa Malaysia Tingkatan 4 untuk 2012

Buku model Bahasa Malaysia Tingkatan 4 terbitan Cerdik Publications.  Buku ini sudah ada di pasaran. Sesiapa yang berminat boleh dapatkannya di kedai-kedai buku seluruh negara.

Rabu, November 16, 2011

Hipokrasi

Entah apa yang menggugat rasa
semangat luntur bagai dipuput dengus angin
jenama bukan lagi imbauan mimpi
hanya riak selesa dalam destinasi.

Kemahuan yang memuncak telah padam
seperti lilin yang cair dimamah api
kehebatan bukan lagi diburu hati
hanya kedamaian berputih di bucu ilusi.

Sesekali aku harus menipu diri
dan berselindung di sebalik keikhlasan hati
mereka sering memungkiri janji
hanya aku terlalu setia mengukir budi.

Biarlah aku terjun ke arus kelodak
sesekali merasai pahit getir di tekak
kejernihan sudah hilang telusnya
kemurnian sudah lupus tulusnya.

Aku ingin menjadi pemecah tradisi
menolak warna putih yang tidak bergizi
dan meladeni rencam rona penuh maknawi
biar masa menentukan takdir hakiki.

Dangau Marhaen,
16/11/2011

Selasa, November 08, 2011

Sg Klah


Haba meruap dari perut bumi
merengsa ari-ari
dan mendesak denyut nadi
maka datang bertandang melihat kudrat Ilahi
merendam kaki
membasah diri
sepanjang hari.

Sg Klah
kau adalah anugerah
betapa bumimu indah dan megah
asap dan hangat bagai tergubah
dalam jambangan madah
menentang lumrah.

Sebentar singgah melepas lelah
aku tahu hidupmu bakal meriah
membuang gundah
anak-anakmu yang pasrah
saling membuka langkah
ke medan gagah.

Sg. Klah Hotspring,
Sungkai
7/11/11

Sabtu, November 05, 2011

Jernih Korban


Beribu tahun sudah sungai korban itu,
mengalir ke lembah takwa,
membiak mercup bebunga,
kembang dan ranum,
di tangan ummah milik warisan,
harus kautegakkan serumpun iman,
benih pesaka anbia,
biarpun berat pemberian,
justeru korban tamsil ibaratnya,
memutuskan tangkai hati,
cagarnya mati.

Pun tuntas pertanyaan,
mencanai wajar kewajipan,
harus kita ukir tugu keikhlasan,
seteguh iman Ibrahim,
seputih takwa Ismail,
merenjis ambar pegangan,
dalam jernih sungai korban,
yang mengalir di halaman.

Cuma akhir-akhir ini,
alir sungai warisan itu,
dalam arus yang celaru,
kerana sudah ada yang tega,
melafazkan tanya,
"Sanggupkah kita merenanginya?"


Ghazali Lateh
Banting,
16/1/2000

Jumaat, November 04, 2011

Sinar, Mendung, dan Hujan

Sinar, mendung, dan hujan
berbaur menjadi hiasan perjalanan
sesekali meruwetkan perasaan
kedinginan dan kekaburan
disolek sinar keceriaan
memercupkan harapan.

Biar apapun iklim dan musim
kesyukuran hendaklah selalu intim
mendasari kerendahan hati
menyanjung tinggi kesederhaan hakiki
menjunjung tinggi martabat budi.

Sinar, mendung, dan hujan
datang bersilih ganti
semuanya membenih uji
kehidupan ini bukan ilusi mimpi
tapi sebenarnya untaian tali
bersalut seribu duri
sebuah perjalanan menuju destinasi
laman firdausi.

Banting,
4/11/2011

Rabu, November 02, 2011

Penyair, Cinta dan Sebuah Masjid (HSKU 2010)

Lewat kata-kata penyair itu melebarkan pesona
Menyentuh segala deria dan jiwa
Dia memugar ilusi
Menjangkau sanubari
Menawan nurani
Menjajah hati.

Banyak hati terbeli
Dan banyak janji terpatri
Sang penyair pun menghiasi malam-malam suram
Dengan semua puisi yang agam
Meluahkan suara temaram
Membisikkan rindu terpendam
Mengheret hati yang kusam
Ke puncak ilham.

Ketika cinta memuncak
Rindupun membugar kelopak
Di sini sehampar kasih
Di sini selaut cinta
Di sini segunung sayang
Di sini selembah harapan

Cinta yang dibeli dengan kata-kata
Kiranya mengundang mega bencana
Malap malam kini menutup ruang
Menutup matang
Menutup bebayang
Tinta kesumba tidak terbaca lagi
Bait-bait cinta hilang dalam rancu mimpi
Sang penyair pun mencuba sekuat hati
Mengukir arca berahi
Yang pecah di sudut emosi

Muazin yang melaungkan kebesaran
Adalah takdir yang memanggil
Sang penyair gontai membilang langkah
Dan harus pasrah
Dalam sujud yang kalah
Ketika dia meninggalkan laman
Tertoleh melihat kebesaran
Bahawa sebuah masjid harus dipertahankan
Biarpun diancam ribut dan taufan.


Banting
1/1/10
Ghazali Lateh

Selasa, November 01, 2011

HSKU 2010 di Royale Chulan, Kuala Lumpur





Hadiah Sastera Kumpulan Utusan telah diadakan di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 31 Okt. 2011.  Saya mendapat hadiah penghargaan dalam kategori puisi. Yang penting saya dapat berjumpa dengan penulis-penulis hebat di tanah air.

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...