Rabu, April 25, 2012

Rindu yang Mati



Dialah yang mengetuk pintu malam,
ketika bulan bermuram,
di sini telah terpadam lirik cinta,
yang kita dendangkan saban purnama,
kiranya arah perjalanan tiada lagi panji-panji rindu,
terbakar dalam sukma yang kelu.

Aku mohon pulang sebentar,
membawa cebisan hasrat yang hambar,
leraikan cengkaman lidahmu,
pada ujar mesra bersira bisa,
kerana kita hampir pasti membuang jejak,
untuk membunuh rindu yang marak.

Maafkan aku jika cokmar cinta telah patah,
mahkota di jemala asmara pudar sinar,
pertahankan sisa kasih yang terakhir,
sampai aku pulang mencantas khuatir.

Kini,
pintu malam yang terkunci,
biar kuratapi dalam sepi,
belasungkawa sebuah rindu yang mati.

27/03/2000

Khamis, April 05, 2012

BICARA BUAT ISTERI II



Telah kutinggalkan resah di luar pintu,
Ketika aku pulang mengemis restu,
Isteriku!
Senyumanmu ruang tamu yang luas,
Belaianmu kamar syahdu yang puas.

Kau tidak menagih lebih,
Dari kudrat suami marhaen tersisih,
Yang kaufahami kepayahan,
Sejak terikat perhubungan.

Bermusim derita menanggalkan mesra,
Dan setia tersangkut pada rebah malam,
Aku hanya memugar ladang mimpi,
Di musim gersang dan terbiar,
Di luar pandang dan ikrar.

Kau suburi lembah cinta kita,
Dengan jernih air mata,
Kau penuhi laman asmara kita,
Dengan bebunga sukma pancawarna.

Ketika aku terjaga dari kolong angan,
Kau tersenyum menghulur tangan,
Di sini kutemui denai harapan,
Untuk kembali melabuh pelayaran,
Sebuah rumah tangga impian,
Yang telah lama kuidamkan.

Ghazali Lateh,
12/2/2003,
Banting.

RAYA 2017