Khamis, April 05, 2012

BICARA BUAT ISTERI II



Telah kutinggalkan resah di luar pintu,
Ketika aku pulang mengemis restu,
Isteriku!
Senyumanmu ruang tamu yang luas,
Belaianmu kamar syahdu yang puas.

Kau tidak menagih lebih,
Dari kudrat suami marhaen tersisih,
Yang kaufahami kepayahan,
Sejak terikat perhubungan.

Bermusim derita menanggalkan mesra,
Dan setia tersangkut pada rebah malam,
Aku hanya memugar ladang mimpi,
Di musim gersang dan terbiar,
Di luar pandang dan ikrar.

Kau suburi lembah cinta kita,
Dengan jernih air mata,
Kau penuhi laman asmara kita,
Dengan bebunga sukma pancawarna.

Ketika aku terjaga dari kolong angan,
Kau tersenyum menghulur tangan,
Di sini kutemui denai harapan,
Untuk kembali melabuh pelayaran,
Sebuah rumah tangga impian,
Yang telah lama kuidamkan.

Ghazali Lateh,
12/2/2003,
Banting.

Tiada ulasan:

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...