Ahad, Februari 07, 2010

Langkah


Kaki yang terjerat ini
terasa tidak mahu melangkah
lantaran semua mata mahu menikam
dan senyuman bisa sahaja mendendam.

Beban menyeret duri di kaki, di hati
adakalanya tidak terpikul oleh semua pundak
apatah tubuh kering terpukul seribu gejolak
yang baru berputik semangat
selepas fajar mengerdip cahaya
sedang bermula erti berjaya, bahagia.

Kita selalunya merancang cemerlang
tetapi tidak mengundang kecundang
yang tetap akan datang
dalam prasiaga kita dibalun gelombang,
tumbang.

Setelah terbangun dari kemanjaan mimpi
kita harus tegas memancang destinasi
seribu beban yang mencengkam kaki
jangan sampai menjadi tradisi
rugi.

Setiap detik waktu adalah bumbu
dan kehidupan tidak selalu syahdu
yang pasti perjalanan perlu ada hala tuju
dengan akrab tekad di sudut kalbu.


Banting,

7/2/2010

1 ulasan:

Sufi berkata...

sekejap sekejap saja cikgu dapat hasilkan puisi ya? Ni yang kene dapatkan tip ni

Travelog Jogjakarta 2026

Saya melancong ke Jogjakarta pada 11 Februari hingga 14 Februari.   Kunjungan ini merupakan kali kedua selepas 14 tahun.   Saya tiba di Kulo...