Rabu, Mei 19, 2010

Hikayat Tuntung Pasir Berdengung


Adapun inilah ceritera yang diceritakan kepada kita dari hamba hina dina buat disampaikan pula kepada anak cucu kita supaya tahulah mereka akan cerita warisan berzaman dikisahkan orang sampai bila-bila.
Sebermula maka adalah sebuah negeri entah di mana duduknya tapi ada dalam pengetahuan orang tua-tua. Maka di negeri itu tidak lainlah hanya dipenuhi pasir sejauh mata memandang umpama padang pasir gurun tanah Arab keadaannya. Tiadalah lain melainkan pasir semata-mata.
Maka perkara yang menarik tentang pasir itu ialah pasir itu mengeluarkan bunyi apatah lagi apabila datang angin bertiup. Semakin kuat angin yang bertiup maka berdengung-dengung bunyi pasir berterbangan. Adapun oleh raja dan pembesar bunyi itu amatlah menghiburkan. Pada malam hari tiada lain yang didengar oleh seluruh rakyat melainkan bunyi dengung yang sangat mengasyikkan itu. Maka orang pun asyiklah mendengar dengung itu sehingga tertidur jugalah setiap malam.
Maka oleh sebab terlalu banyak pasir itu, ada kepada suatu ketika semua orang pun kurang senanglah hidup mereka akibat pasir itu. Berjalan pun kurang bingkas tingkah langkahnya kerana tersandung pasir itu ke mana-mana jua. Susahlah hidup sekalian orang akibat pasir yang melaut luasnya. Hendak makan juga susah kerana habislah nasi dimasuki pasir. Lalu dibuat pepatah oleh orang jangan masukkan pasir ke dalam periuk untuk mengingatkan sesiapa yang membuat kerja dungu juga adanya.
Arakian tersebutlah perkhabaran akan pasir itu seantero dunia. Alkisah pasir itu pula berneka-neka warnanya. Maka datanglah manusia atas angin melihat akan keadaannya pasir yang tidak terpamanai banyaknya. Terkejutlah mereka bukan kepalang lagi melihat saujana mata memandang akan pasir yang luas itu.
Maka Paduka Raja Demang Pasir pun bertitahlah pada suatu ketika, “Aduhai mamanda menteri, difikirlah akan cara kita menghadapi menghadapi masalah pasir ini,”
Maka kata mamanda menteri, “Baiklah Tuanku! Patik akan memanggil semua pembesar untuk memikirkan akan keadaan pasir ini,”
Seraya mamanda menteri pun mengeluarkan warta tentang titah Raja Paduka itu. Maka berduyun-duyunlah orang datang untuk memberikan pandangan. Orang-orang atas angin, bawah angin, dan rakyat jelata pun datanglah tidak terpamanai banyaknya.
Maka tersebutlah akan pasir itu banyak guna jika dipakai akal. Maka bermacam-macamlah dibuat orang dengan pasir itu. Sejak diketahui banyak gunanya maka pasir itupun mulalah diambil orang.
Arakian mamanda menteripun teringatlah oleh akalnya untuk menjual pasir itu. Maka diikuti oranglah tindakan mamanda menteri itu. Maka banyaklah orang berjual pasir di negeri Pasir Berdengung itu. Sedikit demi sedikit dikorek oranglah pasir itu untuk dijual. Semakin lama semakin kuranglah pasir di seluruh pelosok negeri.
Sebermula maka tersebutlah cetera orang yang berebut-rebut pasir itu. Ada yang membawa andur, ada yang membawa pedati untuk membawa pasir itu pergi waima ada yang memikul karung-karung pasir di atas belakang. Ada yang mengambil pasir secara sah dan ada yang mengambil pasir secara haram. Pembesar-pembesar negeri pun sudah kaya rayalah kerana mereka juga menjual pasir. Barangsiapa yang mahu mengambil pasir maka perlulah mereka membayar pampasan kepada pembesar juga adanya.
Maka lama-kelamaan pasir di negeri itu pun habislah. Setelah habis pasir itu, maka segala bukit dirobohkan untuk dijadikan pasir juga adanya. Maka meriahlah seluruh negeri dengan gelagat orang-orang sedang meroboh bukit dan gunung untuk dijadikan pasir. Dasar-dasar sungai yang masih tersisa pasirnya dikorek semahu-mahunya. Maka semua sungai itupun keruhlah airnya. Segala makhluk sungai seperti ikan, udang, ketam, tuntung, belut, ular, katak, habislah mati bergelimpangan kerana sungai sudah dikorek. Yang tinggal hanya lumpur tengik dan lekit bertepek-tepek. Tebing sungai tempat tuntung bertelur sudah tidak ada. Maka rakyat jelata tidak dapat menikmati telur tuntung lagi sejak itu.
Anak cucu ikan juga sudah sesak nafas dan mati juga akhirnya. Rumput-rumput tepi tebing sungai sudah tidak ada. Semuanya angkara kegilaan rakyat jelata mengambil pasir. Pesta mengambil pasir itu pun sangat meriahlah adanya. Setiap pagi petang waima sampai ke malam pun masih ada pesta mengorek pasir itu.
Adapun oleh Paduka Raja tiadalah lagi terdengar akan bunyi berdengung dek pasir di negeri itu. Lama-kelamaan diamlah negeri daripada bunyi dengung pasir yang menjadi lagu-lagu waktu malam Paduka Raja hendak beradu. Hairanlah baginda sedikit mengenangkan kejadian itu.
Arakan baginda pun terasalah ingin tahu akan duduk perkara kota menjadi diam begitu. Apabila Paduka Raja meninjau keluar jendela istana, terkejutlah baginda melihat semua pasir di negeri itu sudah tiada lagi barang sebutir pun. Oleh sebab terkejut yang sangat-sangat itu maka Raja Paduka pun terduduk di situ juga, tidak ubah orang sesak nafas jua adanya. Seraya bagindapun diusung juak-juak ke kamar peraduan. Dari semasa ke semasa nampaknya Raja Paduka itu mula gering. Mulutnya tidak berbicara lagi.
Maka pawang raja pun dipanggil oranglah untuk menilik raja yang gering secara tiba-tiba itu. Menurut pawang raja untuk mengubati Paduka Raja Demang Pasir, maka mestilah dicari telur tuntung barang sebiji dua untuk dijadikan penawar.
“Aduhai Pawang Raja, di manakah dapatnya telur tuntung itu kiranya? Jika diberitahu akan letaknya maka mudahlah kami mencarinya untuk dibuat ubat Raja,” kata Mamanda Menteri ketua segala pembesar negeri.
Maka Pawang Raja pun menceritakan bahawa telur tuntung itu bukanlah sukar untuk didapati sekiranya ada pasir maka adalah tuntung yang bertelur. Di negeri itupun dahulu sangat banyak telur tuntung bergelimpangan di tebing sungai. Maka tuntung pun banyaknya tidak terpemanai lagi.
“Kalau dahulu tuntung ini hidup dengan banyak di Tasik Nagasari. Banyaklah sudah orang melihat tuntung di tasik itu kerana pasirnya putih menjadi tempat tuntung mengeluarkan telurnya,” kata Pawang Raja.
Arakian Mamanda Menteri pun mengerahkan orang bawahannya memacu kuda ke Tasik Nagasari. Berdetup-detaplah selaksa kuda berlari ke arah bukit untuk mencari telut tuntung itu.
Setelah beberapa lama bergerak maka akhirnya sampailah mereka di hulu negeri. Namun keadaannya datar tidak menampakkan ada Tasik Nagasari itu. Maka bertanya mereka kepada orang yang lalu lalang membawa cangkul dan pasir di dalam pongkes itu.
Maka dilihat oleh orang istana tiadalah lagi rupa tasik itu melainkan tanah landai yang dipenuhi lumpur saujana memandang. Tiada sebutir pasir pun terdapat di tasik itu. Maka sugullah di hati Mamanda Menteri melihat keadaan tasik yang sudah tidak ada itu. Segala sungai dan parit sudahlah tidak ada lagi pasirnya, inikan pula tasik sebenar itu sudah hilang segala pasirnya. Padahal dulu di sekeliling tasik itu hanyalah pasir semata-mata, tiada lain melainkan pasir sahaja.
Maka habislah sudah ikhtiar Mamanda Menteri untuk mencari telur tuntung itu. Habislah dikerah orang untuk mengorek lumpur, menyelam ke dasar sungai, menggagau lubuk, semuanya tidak ada.
Sekonyong-konyong ada kepada suatu masa datanglah seorang budak berjumpa dengan Mamanda Menteri. Akan budak itu dilihatnya Mamanda Menteri duduk termenung menongkat dagu seorang diri dengan wajah berkerut-kerut juga adanya.
“Ampunkan hamba orang kaya. Mengapakah gerangan orang kaya duduk demikian rupa?” sapa Hang Ladim setelah melihat sugulnya pembesar negeri itu.
“Ah, kamu budak kecil! Jangan campur urusan orang tua-tua, apatah lagi ini urusan istana, urusan raja,” bentak Mamanda Menteri.
“Jangan begitu orang kaya. Besar kecil bukan ukuran pandai tidaknya manusia. Adapun adakalanya akal orang tua lebih banyak membawa mudarat juga. Tengoklah negeri kita ini, akal orang tualah yang menggadai semuanya. Pasir hilang, bukit runtuh, kayu kayan semuanya sudah tergadai dek akal orang tua-tua jua. Suatu hari nanti negeri ini juga akan tergadai,” kata Hang Ladim.
Maka oleh Mamanda Menteri pun terfikirlah juga akan kata-kata Hang Ladim itu. Terfikir juga oleh Mamanda Menteri akan nasib Hang Ladim jika diketahui pembesar-pembesar yang lain. Sudah tentu dia akan disula di pasar kerana petah cakap dan bijak akalnya.
“Adapun raja sedang gering di istana. Pawang Raja menyuruh orang mencari telur tuntung untuk dijadikan penawar. Penat sudah kami mencari telur tuntung itu tetapi tiada kedapatan barang sebutir pun,” ujar Mamanda Menteri dengan sugulnya.
“Kalau mahu telur tuntung, mesti dicari ibunya dahulu,” kata Hang Ladim memberikan buah fikiranya.
Seyogia Mamanda Menteri pun mengerah orang mencari ibu tuntung di seluruh pelosok negeri Pasir Berdengung. Maka tidak berapa lama berdatanglah sembah orang membawa seekor ibu tuntung kurus yang dicari orang di negeri sempadan. Maka dikurunglah ibu tuntung itu di hujung negeri supaya bertelur dia. Setelah sekian lama menunggu tiadalah juga ibu tuntung itu mahu bertelur. Mulalah Mamanda Menteri mahu murka pada Hang Ladim budak hingusan itu.
“Ampunkan hamba orang kaya. Adapun ibu tuntung itu tidak akan bertelur jika tiada jantannya,” kata Hang Ladim.
“Benarlah kata kamu Hang Ladim. Aku juga terlupa bahawa hidup ini berpasangan, betina dengan jantannya, bumi dengan pokoknya, tanah dengan pasirnya, bukit dengan lembahnya tasiknya,” ujar Mamanda Menteri.
Maka dikerah lagi orang mencari tuntung jantan ke seluruh Pasir Berdengung. Makam berasak-asaklah orang meredah paya lumpur, hutan belukar, mencari tuntung jantan. Setelah beberapa hari datanglah orang memikul tuntung jantan ke dalam kota. Mamanda Menteri amatlah suka hatinya melihat tuntung jantan dibawa orang ke dalam kota.
Maka tuntung jantan dan betina itu disatukan di dalam kurungan. Seluruh penduduk Pasir Berdengung pun tidak sabar-sabar mahu melihat tuntung jantan dan tuntung betina itu melaksanakan tugasnya membuat telur. Semuanya menunggu di sekeliling kurungan untuk menyaksikan saat-saat indah itu. Mamanda Menteri juga tertonggok menunggu tuntung jantan memanjat belakang tuntung betina. Namun setelah sekian lama tidak juga mahu tuntung jantan itu melaksanakan tugas kejantanannya.
“Ampunkan hamba orang kaya, tidaklah tuntung jantan itu akan mendekati si betina dalam keadaan begini. Adapun binatang juga tahu aib dilihat orang,” kata Hang Ladim lagi. Arakian Mamanda Menteri pun menitahkan semua orang meninggalkan kurungan tuntung itu. Maka semua orang pun meminggir, walaupun ada yang enggan.
Tersebutlah beberapa hari kurungan itu dibiarkan sepi, maka tuntung jantan pun bergeraklah ke arah tuntung betina. Sebagai tuntung jantan, peluang untuk mendekati tuntung betina yang semakin pupus itu tidak dilepaskan. Setelah sekian lama mengitari si betinanya, tiba-tiba si jantan pun berjayalah memujuk tuntung betina. Akhirnya tuntung jantanpun berjayalah melaksanakan tugasnya.
“Horeee...!!” tidak semena-mena terdengarlah bunyi sorakan orang. Rupa-rupanya seluruh rakyat tidak balik ke rumah melainkan bersembunyi di sebalik semak. Mereka tidak sabar untuk melihat tuntung jantan dan betina membuat telur. Mamanda Menteri juga terlonjak-lonjak kegembiraan. Adapun rupa-rupanya Mamanda Menteri juga turut bersembunyi untuk menyaksikan kejadian itu.
Maka seluruh rakyat Pasir Berdengung pun bergembiralah menanti tuntung betina bertelur. Di dalam kurungan itu dibuatlah segala hiasan yang indah-indah. Majlis keramaian pun diadakan. Tidak lama lagi tuntung akan bertelur. Syahadan dengan itu dapatlah raja yang sedang gering itu diubati segera.
Arakian hari berganti hari, minggu berganti minggu. Namun tuntung betina tidak juga bertelur. Ada juga kelihatan mukanya seperti menahan sakit hendak bertelur tetapi telurnya tidak keluar-keluar juga.
“Hai budak, apakah gerangan tuntung betina itu tidak mahu bertelur juga?” tanya Mamanda Menteri.
“Ampunkan hamba orang kaya! Adapun tuntung itu bertelur di pasir sungai. Tidaklah guna orang kaya meletakkan tilam kekabu, segala macam hiasan itu. Jika tiada pasir sungai sudah tentulah tuntung itu tidak akan bertelur,” kata Hang Ladim.
Mamanda Menteri tercengang seperti ayam terkejut biawak. Adapun pasir sebutir pun tidak ada lagi di negeri Pasir Berdengung itu. Semuanya sudah dijual secara sah waima secara haram oleh pembesar-pembesar negeri, pedagang-pedagang, dan rakyat jelata. Mamanda Menteri sendiri pun menjadi kaya kerana menjual pasir di hulu negeri.
“Habis bagaimana gerangannya mahu kita dapatkan telur tuntung itu,” tanya Mamanda Menteri kebingungan.
“Kita seluk ke dalam badan tuntung itu dan keluarkan telurnya,” ada suara yang mencadangkan.
“Kita belah perutnya,” kata yang lain pula.
“Kita pijak belakangnya sampai telurnya terpacul keluar,” kata rakyat Pasir Berdengung yang lain.
“Adapun hukum alam ini tidak bolehlah kita ubah orang kaya. Mahu tidak mahu kita terpaksa juga mencari pasir dan kembalikan ke tebing-tebing sungai. Kemudian lepaskan tuntung betina di situ,” kata Hang Ladim.
Mamanda Menteri pun mengerahkan orang meminta pasir dari negeri sempadan. Akhirnya setelah merayu dan meminta simpati, dapat sedikit pasir dibawa balik dan diletakkan di tebing sungai negeri Pasir Berdengung.
Maka diletakkanlah tuntung itu di tebing sungai. Arakian setelah beberapa lama menunggu maka ternampak telur tuntung terjojol keluar melalui salurannya. Maka bersoraklah seluruh rakyat jelata dikepalai oleh Mamanda Menteri sendiri.
Maka dengan segera telur tuntung yang baru keluar itupun diarak orang ke istana. Maka Pawang Raja pun tidak mahu berlengah lagi memulakan upacaranya. Dipegangnya telur tuntung itu mahu dipecahkan ke atas ceper emas bertatah intan. Apabila dipecahkan telur tuntung itu, tidak semena-mena lari bertempiaranlah semua orang lantaran busuk yang amat sangat.
Sekonyong-konyong raja yang gering tidak sedarkan diri itupun bangun termuntah-muntah kerana tidak tahan bau busuk itu. Rupa-rupanya sekian lama terperap di dalam perut tuntung betina, maka telur itupun menjadi tembelang.
Pawang Raja pun jatuh pengsan tidak sedarkan diri lagi. Rajapun tersungkur selepas termuntah-muntah. Orang ramai pun bertindih-tindan lari tidak tahan bau busuk. Ada yang mati bergelimpangan kena pijak sesama sendiri. Maka gemparlah seluruh negeri Pasir Berdengung itu. Maka selepas itu negeri itupun lumpuhlah. Hanya diceritakan orang sekali sekala apabila orang bercerita tentang pasir. Demikianlah adanya ceritera kita seperti yang dikisahkan kepada kita dahulu.

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...