Isnin, Oktober 05, 2009

Apabila PhD Menjadi Liabiliti

Baru-baru ini isu gelaran dan PhD palsu hangat diperkatakan. Nampaknya ada segelintir masyarakat yang begitu ghairah untuk memiliki gelaran anugerah atau gelaran akademik atas motif dan objektif kepentingan diri. Namun demikian, dalam kes saya, kelulusan PhD tidaklah menjanjikan sesuatu yang saya harapkan, bahkan bertukar menjadi liabiliti bagi diri saya sendiri.
Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang tertinggi dengan tajaan biasiswa JPA dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Malangnya setelah berhempas pulas selama tiga tahun, kelulusan yang saya capai seolah-olah menutup peluang saya untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi saya. Beberapa buah universiti tempatan telah menawarkan jawatan sebagai pensyarah kanan berdasarkan kelulusan dan pengalaman luas saya dalam bidang pengkhususan saya. Malangnya, permohonan dan rayuan untuk mendapatkan pelepasan dengan izin tidak diluluskan walaupun saya sanggup membayar kembali kontrak saya dengan Kementerian Pelajaran. Saya akur dengan keputusan tersebut sambil berharap saya akan dapat meningkatkan profesionalisme sebagai guru di sekolah.
Berbekalkan kekuatan yang saya ada, saya memohon untuk perjawatan guru tingkatan enam. Namun apabila senarai nama guru tingkatan dikeluarkan, nama saya tidak ada walaupun saya memang mengajar murid-murid tingkatan enam sejak berbelas-belas tahun yang lalu. Kemudian apabila tawaran untuk memohon jawatan guru cemerlang dikeluarkan, saya pun memohon dengan harapan ditawarkan jawatan tersebut berdasarkan prestasi saya. Apabila pencerapan guru-guru cemerlang dijalankan, sekali lagi saya tercicir. Jangankan ditawarkan jawatan, termasuk dalam senarai pendek calon yang dicerap pun tidak berjaya.
Hal ini membuatkan saya berfikir sejenak, iaitu saya mula beranggapan kelulusan PhD saya sudah bertukar menjadi liabiliti. Dengan kelulusan tersebut saya seolah-olah disekat daripada meningkatkan status sosial dan ekonomi saya. Persoalan demi persoalan mula tercetus dalam minda saya apabila langsung tidak tersenarai sebagai calon yang layak dicerap untuk jawatan guru cemerlang. Tidak cemerlangkah saya walaupun memiliki PhD? Tidak cemerlangkah saya walaupun cemerlang dalam PTK? Tidak cemerlangkah saya yang pernah membentangkan pelbagai kertas kerja di peringkat kebangsaan? Tidak cemerlangkah saya yang menulis berpuluh-puluh judul buku, dan ada antaranya digunakan sebagai buku teks KBSM? Tidak cemerlangkah saya yang menulis beratus-ratus karya kreatif, dan ada antaranya dipilih untuk dijadikan bahan bacaan di sekolah? Tidak cemerlangkah saya yang sering menyampaikan ceramah dan bimbingan kepada murid-murid dan guru-guru untuk meningkatkan prestasi? Tidak cemerlangkah saya yang pernah dinobatkan sebagai Guru Inovatif peringkat negeri sempena sambutan Hari Guru? Tidak cemerlangkah saya yang saban tahun memenangi anugerah sempena Hari Guru peringkat kebangsaan? Tidak cemerlangkah saya yang membantu sekolah saya mencapai keputusan 100% dalam peperiksaan SPM?
Untuk memujuk hati, saya mengambil keputusan untuk memohon bersara pilihan tidak lama lagi. Saya harap kali ini permohonan saya tidak disekat hanya kerana saya seorang guru yang memiliki ijazah PhD. Jika perkara yang sama terjadi, maka sayalah manusia yang paling menyesal kerana memiliki PhD yang ditaja oleh kementerian tempat saya bernaung mencari rezeki selama lebih daripada suku abad.

2 ulasan:

PopularOpinion berkata...

Tuan Dr Ghazali,

Tuan Dr masih mempunyai banyak pilihan.

1. Mengajar sebagai pensyarah pelawat di IPTS
2. Berhijrah ke luar negara yang menjanjikan pendapatan lumayan sambil memerlukan kepakaran Tuan Dr, ie Australia, Singapura, New Zealand dan USA

good luck

NGINAP SRENGENGE berkata...

Saudara Li,

Bila mengisi borang opsyen dalam bahagian sebab nak bersara ,cuma isikan satu perkataan 'JEMU".

Itu pengalaman ku dulu.Jangan beri sebab yang lain.

Wassalam.

Ulang tahun Perkahwinan