Rabu, Februari 06, 2008

Cuti Tahun Baru Cina


Hari ini cuti Tahun Baru Cina bermula. Hari ini aku dikunjungi tiga orang pelajar UPM untuk menemuramah sebagai memenuhi keperluan assignment mereka. Agakanku tepat kerana mereka sememangnya mengambil kursus kajian puisi yang diajarkan oleh Tuan Haji Nafi. Aku membantu sekadar yang termampu. Aku berharap mereka beroleh kejayaan. (Sayangnya aku terlupa untuk bergambar bersama-sama mereka, jika tidak boleh dipaparkan di sini)


Hari ini aku lebih banyak terperap di depan komputer, sementelah banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Peluang-peluang penulisan yang baharu melimpah ruah, InsyaAllah akan aku kerjakan kerana penulisan merupakan 'passion' yang kudambakan selama ini. Allah telah melimpahkan rezekiku melalui penulisan. Alhamdulillah. Cuma, masa untuk bersantai agak terhad memandangkan aku perlu mengejar sasaran waktu yang ditetapkan.


Aku baru selesai menulis sebuah cerpen untuk menyertai pertandingan menulis sempena perayaan Hari Guru 2008. Cerpen itu berjudul "Segugus Kyuho Untuk Cikgu" berdasarkan tema yang ditetapkan iaitu "Terima Kasih, Cikgu". Cerpen tersebut berkisar tentang penglibatan generasi muda dalam sektor pertanian, kerana masa kini pertanian merupakan sumber pendapatan yang baik. Jika ada rezeki dapatlah aku merayakan Hari Guru peringkat kebangsaan. Tahun lepas aku mendapat tempat pertama, dan aku diraikan di Johor Bahru. Guru-guru patut mengambil peluang ini untuk mengasah bakat. Aku pasti Cikgu Rohaidah Yon dan Cikgu Taufik pasti turut serta. Cerpen Cikgu Rohaidah Yon sangat mantap, tidak hairanlah baru-baru ini beliau memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka.
Akan tetapi aku bersimpati dengan Amin yang sudah serik untuk masuk pertandingan ini. Kenapa? Hanya dia yang tahu.


Dua hari lalu aku dihubungi oleh seorang bekas murid. Katanya dia sudah menghadiri Minggu Penulis Remaja. Kini dia semakin aktif menulis dan karyanya sering terbit di majalah-majalah DBP. Tahniah Ghazali Mohd Ros. Teruskan usaha anda. Ciptalah nama ketika masih muda.
Sempena Tahun Baru Cina, aku ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada rakan-rakan sekolah SMK Guar Chempedak yang masih menghubungiku hingga kini termasuk Chong Seng Ming, Lim Swee Lee, Chan Chong, dan Chan Wah.
Semoga Tuan Haji Shamsudin Othman cepat sembuh daripada kemalangan yang dialaminya.

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...