Khamis, April 30, 2009

Tujuan Saya Menulis

Gambar ini tidak kena mengena dengan catatan saya hari ini. Petang tadi saya ke Bukit Jugra untuk menyaksikan pertandingan Payung Terjun Tepat Peringkat Antarabangsa, tapi besok baru bermula. Saya ke bahagian belakang Bukit Jugra. Di sini terdapat sebuah bangunan lama yang dibangunkan semula. Bangunan ini merupakan bekas balai polis lama pada zaman Jugra sebagai bandar pelabuhan utama di Selangor suatu ketika dahulu. Kini bangunan ini menjadi artifak sejarah semata-mata.


Semasa saya menulis saya tidak pernah terfikir karya saya akan dirujuk atau diperkatakan oleh orang lain. Saya menulis hanya kerana saya memang suka menulis dan banyak cerita untuk saya paparkan. Semasa saya kecil arwah bapa saya sering bercerita, barangkali arwah bapa saya yang mempengaruhi saya, dan saya juga suka bercerita. Malahan, ada cerita yang arwah bapa saya berikan telah saya dokumenkan sebagai cerpen dan novel saya.


Dalam dunia penulisan tanah air, nama saya tidak ada. Jika orang sastera membicarakan karya-karya penulis, nama saya tidak pernah disebut. Dalam Dewan Sastera juga saya tidak pernah diperkatakan, apatah lagi dijadikan bahan dalam penulis atau karya bulan ini. Nama saya juga tidak ada dalam Biography of Malaysian Writers. Saya juga memang tidak mahu dikenali secara peribadi. Oleh sebab itu saya jarang hadir dalam aktiviti-aktiviti sastera kecuali ada rakan-rakan rapat yang mempelawa.


Saya menulis tanpa bercita-cita tinggi dalam sastera. Saya suka menyertai pertandingan, kerana selain mendapat hadiah jika menang saya mahu mencuba kemampuan minda dan kreativiti saya. Jika tidak memangpun saya tidak kisah apa-apa. Begitu juga jika saya menghantarkan karya ke penerbitan. Jika kebetulan terbit saya gembira. Saya tidak menghubungi editor bertanya bilakah karya saya akan disiarkan. Jika tersiar saya tidak bertanya tentang bayaran. Banyak juga karya saya yang disiarkan tanpa sebarang bayaran. Akan tetapi saya tidak pernah meminta. Ada juga rakan-rakan yang meminta karya saya untuk diterbitkan. Setelah terbit mereka pun menghilangkan diri tanpa pesan dan bayaran. Saya tidak pernah mempertikaikan.


Ada juga penerbit yang menterjemahkan karya saya tanpa memberitahu saya dan meletakkan nama penulis lain. Saya tidak kisah kerana rezeki saya tidak pernah berkurangan dengan tindakan buruk itu. Itulah saya. Sebenarnya saya bukanlah boleh dianggap sebagai penulis. Saya hanya seorang penyampai cerita yang tidak ada apa-apa selain cerita-cerita sahaja.


2 ulasan:

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE berkata...

salam dari banggol derdap.
begitu lama aku tak menjengok.
aku suka lagu yang disiarkan.

Ghazali Lateh berkata...

Salam Pak Cha,
Lama tak dengag berita. Semoga sihat sentiasa. Lagu tu nostalgia masa belajag dulu. Masa mula nak kenai lagu oghang putih. he he

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...