Isnin, Disember 28, 2015
Selasa, Disember 01, 2015
Ahad, November 29, 2015
Kucing Ortakoy
Orang Turki sangat sayang akan haiwan terutama kucing dan anjing. Di luar premis kediaman disediakan makanan dan minuman untuk kucing yang berkeliaran. Saya mengambil idea ini untuk menulis sebuah cerpen yang berjudul Kucing-kucing Ortakoy.
Ahad, November 22, 2015
Selasa, Oktober 20, 2015
TRAVELOG TURKI 2015
Saya tidak
pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke Turki. Detik bermula apabila saya memenangi satu
anugerah perkhidmatan di tempat saya bertugas.
Hadiahnya bernilai RM7000, dalam bentuk geran yang membolehkan saya
menghadiri seminar atau konferens di peringkat antarabangsa. Ketika itulah saya terjumpa satu konferens
yang diadakan di Yildiz Technical
University, Istanbul. Saya terus meminta
pembantu saya menyediakan kertas konferens yang sesuai dengan tema yang
ditetapkan.
Pada 13 Ogos 2015, jam 11.35
malam, saya ditemani oleh isteri dan anak berlepas dengan Turkish Airline. Pesawat Boeing 777 itu agak besar dan selesa
untuk penerbangan tanpa henti ke Istanbul. Layanan di dalam pesawat baik. Penumpang
dihindangkan dengan makanan Turki yang enak.
Setiap pelanggan diberikan sebutir lokum iaitu manisan tradisi
masyarakat Turki yang sangat terkenal.
Kami mendarat di Lapangan
Terbang Atartuk, Istanbul pada jam 5.45 pagi waktu Turki. Kami dapati pelancong yang datang ke negara
tersebut sangat ramai. Barisan untuk
urusan imigeresen panjang dan dibuat beberapa lorong. Akhirnya, kami melepasi urusan berkenaan
dengan agak cepat. Saya terus mengambil
teksi untuk ke hotel penginapan kami di Sultanahmet, iaitu kawasan yang sangat
popular dengan pelancong kerana lokasinya sangat strategic.
Oleh sebab waktu daftar masuk
adalah pada pukul 12.30, kami tidak
dapat masuk ke hotel. Saya meminta
kebenaran untuk meninggalkan bagasi kami di lobi hotel berkenaan. Kami berjalan
kaki mengikut lorong-lorong Istanbul sempit dan diturap dengan batu
bongkah. Akhirnya kami sampai ke kawasan
lapang yang indah. Rupa-rupanya itulah
kawasan Aya Sophia, satu lokasi tarikan pelancong. Oleh sebab masih awal, kawasan sekitarnya
sangat damai. Kami menjelajah ke segenap
kawasan Blue Mosque dan sekitarnya.
Setelah penat meneroka dan
bergambar di sekitar Aya Sophia, jam baru menunjukkan pukul 10 pagi waktu
tempatan. Masih ada dua jam lebih
sebelum kami dapat mendaftar masuk ke hotel.
Kami ke perhentian tram. Saya
bertanya kepada pekerja tram tentang cara membeli tiket. Akhirnya saya membli tiket yang berharga 4
lira Turki seorang. Token diberikan
untuk memasuki kawasan perhentian yang dikawal oleh pintu elektronik.
Kami pun duduk sahaja dalam tram
dan tidak turun di mana-mana stesen.
Setelah sampai di penghujung jalan, tram berpatah balik. Kami tidak turun sehingga sampai ke
perhentian terakhir. Sekali lagi tram
berpatah balik. Ketika berhenti di satu
perhentian, pengumuman dibuat. Akan
tetapi kami langsung tidak memahani bahasa Turki. Semua penumpang bergegas turun. Kami masih duduk kerana tidak tahu apa yang
sedang berlalu. Kemudian ada seorang
penumpang yang mencuit bahu saya dan bercakap dalam bahasa Inggeris bahawa
penumpang akan bertukar tram. Barulah
saya turun dan menaiki tram yang datang kemudiannya. Agak melucukan. Setelah
turun di perhentian Sultanahmet, kami pun kembali ke hotel untuk mendaftar
masuk. Hotel di Istanbul banyak bilangannya, tetapi saiznya agak kecil. Bilik hotel bajetnya muat-muat untuk tidur
sahaja.
Sebelah petangnya, kami mula
meneroka ke kawasan Grand Bazaar yang sangat terkenal dengan bilangan kedai
yang banyak. Saya masuk sekejap sahaja
dan kaki mula berasa penat memasuki lorong-lorong yang bersimpang-siur sehingga
seakan-akan tidak habis berjalan. Lalu
kamipun keluar untuk melihat gerai-gerai di tepi jalan. Kami leka menyusuri lorong sehingga akhirnya
kami sesat. Panduan yang diberikan oleh
penduduk tempatan tidak membantu.
Akhirnya, kami terpaksa mengambil teksi untuk pulang ke hotel. Rupa-rupanya sudah jauh kami tersasar dari
laluan pulang. Sebelum pulang dengan
teksi kami menikmati pemandangan di tepi Selat Bosphorus yang sibuk. Pada malam itu kami kepenatan dan tidur awal.
Hari kedua, kami bersarapan di
hotel. Makanan yang disediakan ialah
roti dan jem, the Turki, kek, emping jagung, dan telur rebus. Roti yang
disediakan agak keras. Telur rebus seakan-akan menjadi kemestian dalam menu
sarapan di hotel. Mahu tidak mahu
terpaksalah makan sarapan berkenaan agar tidak lapar. Kemudian kami menyusuri
jalan-jalan di tengah-tengah kawasan Sultanahmet. Memasuki Bazaar Lama, kami teruja dengan
jualan lampu hiasan buatan tangan yang berwarna-warni. Begitu juga dengan manisan yang banyak
dijual.
Tengah hari itu kami mendaftar
keluar untuk berpindah ke kawasan Basiktas.
Tujuannya agar lebih dekat dengan tempat konferens yang bakal saya
hadiri keesokannya. Saya telah menempah
sebuah apartmen di Basiktas. Saya mula
berasa saspens apabila teksi membawa kami ke kawasan perumahan di lereng bukit.
Dengan berpandukan alamat yang saya berikan, teksi berhenti di hadapan sebuah
tangga di lereng bukit. Rumah tumpangan
kami terletak di lereng bukit berkenaan.
Bayangkan dengan beg bagasi anak saya yang besar dan pemegangnya yang
sudah patah, saya menyeret beg untuk mendaki tangga. Di kiri kanan tangga pula ada beberapa ekor
anjing yang memerhatikan gelagat kami menyeret beg.
Kami disambut oleh pembantu
apartmen yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris. Setelah mendaftar masuk, saya memberitahu
isteri bahawa saya akan membatalkan penginapan untuk dua hari yang berikutnya
kerana keadaan sekitar yang sangat terasing.
Setelah masuk ke apartmen, saya terlentang keletihan, peluh membasahi
seluruh badan saya. Saya mula berasa
menyesal kerana menempah apartmen berkenaan.
Beberapa minit kemudian pintu
diketuk. Apabila saya membuka pintu,
saya dapati seorang wanita muda tersenyum di pintu. Rupa-rupanya dia ialah pemilik apartmen
berkenaan.
“Harap awak seronok tinggal di sini,” katanya dengan senyuman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Nilay.
“Tidak! Saya akan mendaftar keluar segera. Apartmen ini tidak seperti yang dipaparkan
dalam internet,” balas saya cepat.
“Tidak. Tempat ini sangat bagus, dekat dengan kawasan
tumpuan. Nanti saya bawakan ke tempat
yang saya maksudkan,” katanya. Saya hanya mendiamkan diri kerana agak kecewa
dengan tempat berkenaan.
Petang itu Nilay mengajak kami
mengikutinya. Rupa-rupanya benar kata
Nilay. Hanya dalam jarak 200 meter, menuruni
bukit yang landau, kami sampai ke Ortokay Sahil, iaitu pantai peranginan yang menarik. Di sini juga terletak jeti untuk menaiki feri
di Selat Bosphorus. Pengunjunganya
sangat ramai, suasana sangat meriah.
Terdapat juga sebuah masjid yang cantik.
Ada restoren dan banyak kedai.
Nilay menjadi pemandu pelancong kami. Dia menunjukkkan kepada kami
restoren-resntoren yang baik. Dia juga
memperkenalkan makanan kegemaran di pantai tersebut iaitu kumpir. Kumpir ialah kentang panggang dan dimakan
dengan pelbagai perencah. Satu bungkus
harganya 15 lira. Selepas kami selesa di pantai itu, Nilay
meminta diri untuk pulang.
Saya membeli sebungkus kumpir
untuk dikongsi dengan isteri. Itulah
makanan yang boleh dimakan, memandangkan makanan lain agak asing. Kebab Turki tidak seperti kebab di
Malaysia. Malam itu kami datang lagi ke
Pantai Ortokay untuk makan malam.
Kemudian kami menaiki feri untuk menjelajah Selat Bosphorus pada waktu
malam. Suasananya sangat indah, kerana
pada waktu malam di sepanjang tebing Bosphorus dilimpahi cahaya lampu yang
cantik. Satu jam perjalanan menelusuri
selat yang memisahkan benua Asia dan Eropah itu dikenakan bayaran 15 lira
seorang.
Besoknya, saya menghadiri konferens di Universiti
Teknikal Yildiz. Maka aktiviti perlancongan
tidak banyak. Isteri dan anak saya
tinggal di apatmen. Nasib baik kami ada
membawa bekalan makanan dari Malaysia. Kami juga membeli telur dan roti dari
kedah berdekatan. Mi segera memang kami
bawa sebagai bekalan. Di apartmen pula disediakan dengan kemudahan memasak.
Jadi, untuk tiga hari mengicap di apartmen kami tidak menghadapi masalah
makanan. Pada sebelah petang kami keluar
ke pekan Ortokay untuk makan malam.
Rupa-rupanya, pekan kecil itu sangat meriah, lorong-lorong dipenuhi
kedai-kedai tempat jualan pelbagai barang.
Harga barang keperluan di Turki agak tingga berbanding di negara kita.
Pada hari ketiga di Ortokay,
kami menaiki feri menyusuri Selat Bosphorus sekali lagi, kali ini pada waktu
siang. Pelayaran pada waktu siang tidak
kurang menarik. Kali ini kami disertai
oleh ramai pelancong dari pelbagai negara.
Besoknya, kami belum ada perancangan untuk ke mana-mana. Jadi malam itu kami mula merancang untuk ke
tempat lain memandangkan kami masih ada beberapa hari sebelum pulang ke tanah
air.
Niat untuk keluar cepat dari
apartmen Nilay tidak menjadi kenyataan.
Sebalik kami semakin seronok menginap di Ortokay. Nilay membantu saya untuk mendapatkan pakej
pelancongan. Dia mencadangkan saya ke
Cappadocia. Namun oleh sebab agak mahal,
kami berhasrat untuk balik ke pusat Bandar Istanbul dan menginap di sana satu
malam sebelum merangka rancangan berikutnya.
Kami kembali menginap di kawasan
Sultanahmet. Petang itu saya ke pejabat agensi pelancongan yang terletak
berdekatan dengan hotel penginapan kami.
Saya telah menempah pakej untuk ke Cappadocia dengan menaiki bas. Harga pakej tersebut ialah €280 seorang,
termasuk perjalanan, penginapan, makanan, dan juga ekspedisi belon panas.
Pihak agen pelancongan
menghantarkan kami ke stesen bas Taksim.
Kami menaiki Suha Ekspres dan bertolak pada jalan 8 malam. Saya diberitahu bahawa perjalanan akan
mengambil masa selama 10 jam ke Goreme, Cappadocia. Malam itu kami tidur di atas bas. Bas tersebut besar dan ada pelayan seperti
pramugara. Ketika berhenti untuk ke
tandas, saya terkeliru untuk naik semula kerana semua bas berwarna putih. Saya
terlupa untuk melihat nombor plat bas yang saya naiki. Terpaksalah saya
bergerak dari bas ke satu bas yang lain.
Pada awalnya saya panik kerana isteri dan anak saya tidak turun untuk ke
tandas. Saya pula masih tercari-cari bas
yang mana satu. Untuk bertanya, orang
Turki tidak tahu berbahasa Inggeris.
Nasib baik akhirnya saya jumpa juga bas yang betul.
Menjelang pagi kami sampai di
Goreme, pekan kecil tempat penginapan kami.
Van hotel sudah menunggu. Lantas
kami terus ke hotel penginapan, iaitu sebuah hotel berbentuk gua batu. Namun kami hanya membersihkan diri seketika
kerana sesi lawatan akan bermula selepas itu.
Khamis, Oktober 01, 2015
Lembah Ihlara
Renik-renik sinar menyorot langkah
pijar bumi dihanyutkan ke alur kali
jernih dan mulus nadi lembahmu
Ihlara!
Bongkah-bongkah agam
menabiri hijau lembut pepohon
denai-denai yang kami telusuri
adalah pencarian alami
secangkir cinta dan makrifat
kebesaran-Nya.
Ihlara menemukan aku kemesraan
makna kemanusiaan rentas sempadan
bayu dan alir bersatu
menumbuhkan kehijauan rindu
di pojok kalbu.
Jejakku sedetik cuma
suara pesonamu tetap terus bergema
dalam lipatan nostalgia
selamanya Ihlara.
Lembah Ihlara,
Aksaray, Anatolia, Turki.
19/8/2015
Khamis, September 17, 2015
Senja di Bosphorus
Jika mampu kupilih senja
biar kupilih senja nan damai
Bosphorus indah tanpa gelora
warna jingga tanpa cela
untuk kuabadikan rasa
di riak ombaknya.
Jika senja ini berirama
biar kupilih melodi cinta
sayu menusuk sukma
dalam ritma melankolia
dibawa bayu asmara
gemalai ke ribaannya.
Senja di kota nostalgia
aku terdiam seribu bahasa
balikan cahaya tumpah ke muka
lautpun beralun manja
membelai keindahan rasa
selamanya.
Ortakoy Sahil, Istanbul.
16/8/2015
Rabu, September 16, 2015
Pohon Maple
Ingatan mengembang
menjadi putik-putik rindu
bergayut di dahan maple
menghijau.
Lorong gesit dan pijar
tidak sesekali memutuskan cinta
kerana selamanya ada warna rasa
di kanvas kembara.
Dedaunan mimpi
yang pernah hadir saat remaja
saat berkelana dalam khayal
tidak tercapai tangan
hanya angan-angan.
Kini aku berdiri di luar diri
menyentuh pepohon inspirasi
ternyata dalam realiti
bukan sekadar ilusi.
Sultanahmet, Istanbul.
15/8/15
Selasa, Ogos 25, 2015
Isnin, Ogos 24, 2015
Khamis, Julai 30, 2015
Langgan:
Catatan (Atom)
TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024
Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta. Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel. Pada petangnya kami ke Thamrin City, ke...
-
Tiba jua di persimpangan ini, Barulah kita tahu besarnya erti budi, Makna jalinan kasih yang abadi, Semarak mesra yang mercup dalam manis bi...
-
Inilah kisah kerjaya mulia, Mendidik mengajar selagi terdaya, Ibarat lilin memberi cahaya, Bukan balasan harta pintanya. Guru itu sanggup be...
-
Bak Air Yang Mengalir Bak air yang mengalir. Tiba jua kiranya di muara waktu, Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu, Pada jejak...