Selasa, Oktober 20, 2015

TRAVELOG TURKI 2015

Saya tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke Turki.  Detik bermula apabila saya memenangi satu anugerah perkhidmatan di tempat saya bertugas.  Hadiahnya bernilai RM7000, dalam bentuk geran yang membolehkan saya menghadiri seminar atau konferens di peringkat antarabangsa.  Ketika itulah saya terjumpa satu konferens yang diadakan di Yildiz  Technical University, Istanbul.  Saya terus meminta pembantu saya menyediakan kertas konferens yang sesuai dengan tema yang ditetapkan.
                Pada 13 Ogos 2015, jam 11.35 malam, saya ditemani oleh isteri dan anak berlepas dengan Turkish Airline.  Pesawat Boeing 777 itu agak besar dan selesa untuk penerbangan tanpa henti ke Istanbul.  Layanan di dalam pesawat baik. Penumpang dihindangkan dengan makanan Turki yang enak.  Setiap pelanggan diberikan sebutir lokum iaitu manisan tradisi masyarakat Turki yang sangat terkenal.
                Kami mendarat di Lapangan Terbang Atartuk, Istanbul pada jam 5.45 pagi waktu Turki.  Kami dapati pelancong yang datang ke negara tersebut sangat ramai.  Barisan untuk urusan imigeresen panjang dan dibuat beberapa lorong.  Akhirnya, kami melepasi urusan berkenaan dengan agak cepat.  Saya terus mengambil teksi untuk ke hotel penginapan kami di Sultanahmet, iaitu kawasan yang sangat popular dengan pelancong kerana lokasinya sangat strategic.
                Oleh sebab waktu daftar masuk adalah pada pukul 12.30,  kami tidak dapat masuk ke hotel.  Saya meminta kebenaran untuk meninggalkan bagasi kami di lobi hotel berkenaan. Kami berjalan kaki mengikut lorong-lorong Istanbul sempit dan diturap dengan batu bongkah.  Akhirnya kami sampai ke kawasan lapang yang indah.  Rupa-rupanya itulah kawasan Aya Sophia, satu lokasi tarikan pelancong.  Oleh sebab masih awal, kawasan sekitarnya sangat damai.  Kami menjelajah ke segenap kawasan Blue Mosque dan sekitarnya. 
                Setelah penat meneroka dan bergambar di sekitar Aya Sophia, jam baru menunjukkan pukul 10 pagi waktu tempatan.  Masih ada dua jam lebih sebelum kami dapat mendaftar masuk ke hotel.  Kami ke perhentian tram.  Saya bertanya kepada pekerja tram tentang cara membeli tiket.  Akhirnya saya membli tiket yang berharga 4 lira Turki seorang.  Token diberikan untuk memasuki kawasan perhentian yang dikawal oleh pintu elektronik. 
                Kami pun duduk sahaja dalam tram dan tidak turun di mana-mana stesen.  Setelah sampai di penghujung jalan, tram berpatah balik.  Kami tidak turun sehingga sampai ke perhentian terakhir.  Sekali lagi tram berpatah balik.  Ketika berhenti di satu perhentian, pengumuman dibuat.  Akan tetapi kami langsung tidak memahani bahasa Turki.  Semua penumpang bergegas turun.  Kami masih duduk kerana tidak tahu apa yang sedang berlalu.  Kemudian ada seorang penumpang yang mencuit bahu saya dan bercakap dalam bahasa Inggeris bahawa penumpang akan bertukar tram.  Barulah saya turun dan menaiki tram yang datang kemudiannya. Agak melucukan.           Setelah turun di perhentian Sultanahmet, kami pun kembali ke hotel untuk mendaftar masuk. Hotel di Istanbul banyak bilangannya, tetapi saiznya agak kecil.  Bilik hotel bajetnya muat-muat untuk tidur sahaja.
                Sebelah petangnya, kami mula meneroka ke kawasan Grand Bazaar yang sangat terkenal dengan bilangan kedai yang banyak.  Saya masuk sekejap sahaja dan kaki mula berasa penat memasuki lorong-lorong yang bersimpang-siur sehingga seakan-akan tidak habis berjalan.  Lalu kamipun keluar untuk melihat gerai-gerai di tepi jalan.  Kami leka menyusuri lorong sehingga akhirnya kami sesat.  Panduan yang diberikan oleh penduduk tempatan tidak membantu.  Akhirnya, kami terpaksa mengambil teksi untuk pulang ke hotel.  Rupa-rupanya sudah jauh kami tersasar dari laluan pulang.  Sebelum pulang dengan teksi kami menikmati pemandangan di tepi Selat Bosphorus yang sibuk.  Pada malam itu kami kepenatan dan tidur awal.
                Hari kedua, kami bersarapan di hotel.  Makanan yang disediakan ialah roti dan jem, the Turki, kek, emping jagung, dan telur rebus. Roti yang disediakan agak keras. Telur rebus seakan-akan menjadi kemestian dalam menu sarapan di hotel.  Mahu tidak mahu terpaksalah makan sarapan berkenaan agar tidak lapar. Kemudian kami menyusuri jalan-jalan di tengah-tengah kawasan Sultanahmet.  Memasuki Bazaar Lama, kami teruja dengan jualan lampu hiasan buatan tangan yang berwarna-warni.  Begitu juga dengan manisan yang banyak dijual.
                Tengah hari itu kami mendaftar keluar untuk berpindah ke kawasan Basiktas.  Tujuannya agar lebih dekat dengan tempat konferens yang bakal saya hadiri keesokannya.  Saya telah menempah sebuah apartmen di Basiktas.  Saya mula berasa saspens apabila teksi membawa kami ke kawasan perumahan di lereng bukit. Dengan berpandukan alamat yang saya berikan, teksi berhenti di hadapan sebuah tangga di lereng bukit.  Rumah tumpangan kami terletak di lereng bukit berkenaan.  Bayangkan dengan beg bagasi anak saya yang besar dan pemegangnya yang sudah patah, saya menyeret beg untuk mendaki tangga.  Di kiri kanan tangga pula ada beberapa ekor anjing yang memerhatikan gelagat kami menyeret beg.
                Kami disambut oleh pembantu apartmen yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris.  Setelah mendaftar masuk, saya memberitahu isteri bahawa saya akan membatalkan penginapan untuk dua hari yang berikutnya kerana keadaan sekitar yang sangat terasing.  Setelah masuk ke apartmen, saya terlentang keletihan, peluh membasahi seluruh badan saya.  Saya mula berasa menyesal kerana menempah apartmen berkenaan.
                Beberapa minit kemudian pintu diketuk.  Apabila saya membuka pintu, saya dapati seorang wanita muda tersenyum di pintu.  Rupa-rupanya dia ialah pemilik apartmen berkenaan.
                “Harap awak seronok tinggal di sini,”  katanya dengan senyuman.  Dia memperkenalkan dirinya sebagai Nilay.
                “Tidak!  Saya akan mendaftar keluar segera.  Apartmen ini tidak seperti yang dipaparkan dalam internet,”  balas saya cepat.
                “Tidak.  Tempat ini sangat bagus, dekat dengan kawasan tumpuan.  Nanti saya bawakan ke tempat yang saya maksudkan,”   katanya.  Saya hanya mendiamkan diri kerana agak kecewa dengan tempat berkenaan.
                Petang itu Nilay mengajak kami mengikutinya.  Rupa-rupanya benar kata Nilay.  Hanya dalam jarak 200 meter, menuruni bukit yang landau, kami sampai ke Ortokay Sahil,  iaitu pantai peranginan yang menarik.  Di sini juga terletak jeti untuk menaiki feri di Selat Bosphorus.  Pengunjunganya sangat ramai, suasana sangat meriah.  Terdapat juga sebuah masjid yang cantik.  Ada restoren dan banyak kedai.  Nilay menjadi pemandu pelancong kami. Dia menunjukkkan kepada kami restoren-resntoren yang baik.  Dia juga memperkenalkan makanan kegemaran di pantai tersebut iaitu kumpir.  Kumpir ialah kentang panggang dan dimakan dengan pelbagai perencah.  Satu bungkus harganya 15 lira.   Selepas kami selesa di pantai itu, Nilay meminta diri untuk pulang.
                Saya membeli sebungkus kumpir untuk dikongsi dengan isteri.  Itulah makanan yang boleh dimakan, memandangkan makanan lain agak asing.  Kebab Turki tidak seperti kebab di Malaysia.  Malam itu kami datang lagi ke Pantai Ortokay untuk makan malam.  Kemudian kami menaiki feri untuk menjelajah Selat Bosphorus pada waktu malam.  Suasananya sangat indah, kerana pada waktu malam di sepanjang tebing Bosphorus dilimpahi cahaya lampu yang cantik.  Satu jam perjalanan menelusuri selat yang memisahkan benua Asia dan Eropah itu dikenakan bayaran 15 lira seorang.
                Besoknya,  saya menghadiri konferens di Universiti Teknikal Yildiz.  Maka aktiviti perlancongan tidak banyak.  Isteri dan anak saya tinggal di apatmen.  Nasib baik kami ada membawa bekalan makanan dari Malaysia. Kami juga membeli telur dan roti dari kedah berdekatan.  Mi segera memang kami bawa sebagai bekalan. Di apartmen pula disediakan dengan kemudahan memasak. Jadi, untuk tiga hari mengicap di apartmen kami tidak menghadapi masalah makanan.  Pada sebelah petang kami keluar ke pekan Ortokay untuk makan malam.  Rupa-rupanya, pekan kecil itu sangat meriah, lorong-lorong dipenuhi kedai-kedai tempat jualan pelbagai barang.  Harga barang keperluan di Turki agak tingga berbanding di negara kita. 
                Pada hari ketiga di Ortokay, kami menaiki feri menyusuri Selat Bosphorus sekali lagi, kali ini pada waktu siang.  Pelayaran pada waktu siang tidak kurang menarik.  Kali ini kami disertai oleh ramai pelancong dari pelbagai negara.  Besoknya, kami belum ada perancangan untuk ke mana-mana.  Jadi malam itu kami mula merancang untuk ke tempat lain memandangkan kami masih ada beberapa hari sebelum pulang ke tanah air.
                Niat untuk keluar cepat dari apartmen Nilay tidak menjadi kenyataan.  Sebalik kami semakin seronok menginap di Ortokay.  Nilay membantu saya untuk mendapatkan pakej pelancongan.  Dia mencadangkan saya ke Cappadocia.  Namun oleh sebab agak mahal, kami berhasrat untuk balik ke pusat Bandar Istanbul dan menginap di sana satu malam sebelum merangka rancangan berikutnya.
                Kami kembali menginap di kawasan Sultanahmet. Petang itu saya ke pejabat agensi pelancongan yang terletak berdekatan dengan hotel penginapan kami.  Saya telah menempah pakej untuk ke Cappadocia dengan menaiki bas.  Harga pakej tersebut ialah €280 seorang, termasuk perjalanan, penginapan, makanan, dan juga ekspedisi belon panas.
                Pihak agen pelancongan menghantarkan kami ke stesen bas Taksim.  Kami menaiki Suha Ekspres dan bertolak pada jalan 8 malam.  Saya diberitahu bahawa perjalanan akan mengambil masa selama 10 jam ke Goreme, Cappadocia.  Malam itu kami tidur di atas bas.  Bas tersebut besar dan ada pelayan seperti pramugara.  Ketika berhenti untuk ke tandas, saya terkeliru untuk naik semula kerana semua bas berwarna putih. Saya terlupa untuk melihat nombor plat bas yang saya naiki. Terpaksalah saya bergerak dari bas ke satu bas yang lain.  Pada awalnya saya panik kerana isteri dan anak saya tidak turun untuk ke tandas.  Saya pula masih tercari-cari bas yang mana satu.  Untuk bertanya, orang Turki tidak tahu berbahasa Inggeris.  Nasib baik akhirnya saya jumpa juga bas yang betul.
                Menjelang pagi kami sampai di Goreme, pekan kecil tempat penginapan kami.  Van hotel sudah menunggu.  Lantas kami terus ke hotel penginapan, iaitu sebuah hotel berbentuk gua batu.  Namun kami hanya membersihkan diri seketika kerana sesi lawatan akan bermula selepas itu.
               

                

Khamis, Oktober 01, 2015

Lembah Ihlara



Renik-renik sinar menyorot langkah
pijar bumi dihanyutkan ke alur kali
jernih dan mulus nadi lembahmu
Ihlara!

Bongkah-bongkah agam
menabiri hijau lembut pepohon
denai-denai yang kami telusuri
adalah pencarian alami
secangkir cinta dan makrifat
kebesaran-Nya.

Ihlara menemukan aku kemesraan
makna kemanusiaan rentas sempadan
bayu dan alir bersatu 
menumbuhkan kehijauan rindu
di pojok kalbu.

Jejakku sedetik cuma
suara pesonamu tetap terus bergema
dalam lipatan nostalgia
selamanya Ihlara.

Lembah Ihlara,
Aksaray, Anatolia, Turki.
19/8/2015

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...