Travelog Lombok 2016
Kami
mendarat di Lombok pada 11.15 pagi, 9 Disember 2016. Kenalan FB saya, Pak Heri menunggu di luar
bangunan lapangan terbang. Beliau membawa kami ke kota Mataram. Perancangan awal untuk lawatan terpaksa
ditukar kerana hujan lebat. Kami ke pusat perusahaan tenunan. Kain tenunan orang Lombok ada ciri-ciri
kraftangan Sarawak. Kemudian kami ke pasar seni yang tidak ada pengunjung lain
selain kami bertiga beranak.
Tengah
hari itu kami makan di gerai Ayam Taliwang.
Ayam taliwang ialah ayam muda yang masih kecil. Makanan orang Lombok
agak pedas. Kemudian kami di bawa ke beberapa kedai cenderamata. Selepas itu kami di bawa ke Villa Hantu iaitu
sebuah bangunan tinggal di tepi cerun bukit.
Pemandangannya sangat indah apabila matahari terbenam, sayangnya petang
itu cuaca agak mendung.
Kami
dihantar ke hotel penginapan selepas itu. Pada malamnya, kami dibawa oleh Pak
Heri ke kampungnya. Ketika itu orang
kampong mengadakan majlis kenduri. Kami
pun dijemput untuk makan kenduri. Hidangannya lauk daging, masakan umbut
pisang, sup daging (bebalung) dan keropok kulit lembu. Saya makan masakan umbut pisang sahaja. Selepas itu kami dibawa menonton keramaian di
kampong sempena maulidur rasul. Sebelum
pulang ke hotel, kami dibawa ke kota Mataram untuk melihat suasana waktu
malam.
Hari
kedua kami dibawa ke Gili Terawangan, Gili Meno, dan Gili Air. Perjalanan dengan perahu sangat mencabar
kerana laut berombak besar. Isteri dan
anak saya muntah beberapa kali. Sejam lebih barulah kami sampai ke Gili
Terawangan. Pemandangan di pulau wisata itu sangat cantik kerana airnya sangat
jernih. Banyak pelancong kulit putih
bersidai di pantai. Pulau ini terkenal dengan aktiviti snorkeling kerana banyak
hidupan akuatik dan karang. Kami menaiki
kereta kuda untuk mengelilingi pulau.
Kemudian
kami ke Gili Meno dan bersantai di tasik yang nyaman. Tidak ada pengunjung lain di situ. Selepas singgah di Gili Air, kami pun
berlayar pulang. Pelayaran pulang lebih
mencabar kerana hujan lebat. Kami semua
basah lencun dibasahi hujan dan ombak.
Akhirnya kami sampai ke daratan dan terus balik ke hotel dalam
kebasahan.
Hari
ketiga kami berpindah ke hotel Lombok Raya di kota Mataram. Kami melawat perkampungan tradisi orang
Sasak. Kami ke pantai Kuta Lombok dan
Bukit Meresek. Pemandangan di Bukit
Meresek sangat indah kerana terletak di tepi lagun yang jernih. Kami singgah juga di pantai Selong Belanak
(kawasan sukan luncur) untuk melihat
matahari terbenam.
Hari
keempat kami hanya beli-belah di kota Mataram.
Kami terbang pulang pada pukul 8.00 malam setelah terlewat 45
minit. Pulau Lombok memang sesuai untuk
mereka yang suka akan aktiviti laut. Alam sekitarnya masih terpelihara.