Rabu, April 26, 2017

Travelog Pulau Bintan 2017

Pulau Bintan ialah sebuah pulau di tenggara Pulau Batam.  Pada 22  Mac 2017 saya telah berkunjung ke Tanjung Pinang, Pulau Bintan.  Tanpa perancangan, saya memandu ke Johor Bahru.  Dalam pukul 3.30 petang saya tiba di jeti Stulang Laut. Saya mengambil tiket feri untuk ke Tanjung Pinang.  Feri bertolak pada jalan 5.00 petang.  Pada jangkaan saya, perjalanan hanya mengambil masa selama satu setengah jam.  Namun, apabila berada di dalam feri, saya bertanya kepada penumpang lain, katanya tempoh perjalanan lebih daripada tiga jam.

Saya tiba di Bandar Tanjung Pinang sekitar dalam 8.00 mlm (7.00 ptg waktu Indonesia).  Saya telah menempah hotel sewaktu di Stulang Laut melalui aplikasi Booking.com.   Sesampai sahaja di Tjg Pinang, saya menyewa sebuah van untuk ke hotel yang terletak tidak jauh sangat dari jeti.  Kemudian saya keluar makan.  Makanan di gerai sama seperti di Malaysia. Ada nasi goring kampung, nasi pataya, dan sebagainya.  Sebelum balik ke hotel, kami sempat meronda di Dataran Tanjung Pinang.

Besoknya, kami ke pasar di pekan Tanjung Pinang.  Ada berbagai-bagai sayuran yang unik.  Di sebuah gerai, kami makan roti canai.  Di samping kuah kari, kami diberikan juga sepiring acar timun untuk dimakan dengan roti canai.  Ikan kering banyak dijual dan agak murah.  Isteri saya sempat membeli kain di bazaar.  Kemudian kami menaiki bot ke Pulau Penyengat.  Perjalanan dalam 10  hingga 15 minit sahaja.  Kami menaiki sebuah beca motor mengelilingi pulau.  Kami melawat makan Raja Ali Haji, pencipta Gurindam 12 yang terkenal itu.  Kami ke pusat budaya Melayu.  Sempat juga membeli tanjak.  Rupa-rupanya tanjak merupakan pakaian biasa di Bintan.  Pada hari Jumaat, kebanyakan pekerja awam memakai tanjak untuk ke pejabat.


Petang itu kami mencari penginapan yang lain.  Kami ke Bintan Agro Resort.  Suasananya sangat tenang dan cantik.  Kami tidur semalam di resort tersebut.  Besoknya kami kembali ke kota.  Singgah di pasar raya Matahari, sebuah gedung beli-belah yang baharu.  Kami membeli beberapa pasang pakaian kerana harganya agak murah berbanding di Malaysia.  Sebelum pulang, kami ke bazaar sekali lagi untuk beli-belah.  Pukul 3.00 ptg (4.00 ptg waktu Malaysia)  kami menaiki feri untuk pulang.

Merenung Senja

Senja di Dataran Sri Serdang, Bandar Baharu, Kedah Darulaman pada 22 April 2017

Isnin, April 17, 2017

Biar Jasa Jadi Kenangan

Biar Jasa Jadi Kenangan

Liciknya mereka mencabut kuku
dan mematahkan paruhmu
kata-kata mulus itu halus
menusuk saraf dan denyut nadi
hingga kau pincang tari
dan buntu gerak-geri.

Satu demi satu 
mereka cabut kepak semangat
kulitpun terlalu nyeri
ngilu hingga ke hujung kuku
kaku.

Terbanglah kembali 
aku mahu lihat engkau tinggi
menerkam dan menerpa lagi
kerana perjuangan belum usai
biar mereka renggut taringmu
biar mereka padam serimu
kau harus terus berjuang
menggapai angan
biar jasa jadi kenangan.

Ghazali Lateh
© Hak cipta terpelihara
17/4/17

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...