Ahad, Ogos 18, 2019

Travelog Bangkok 2019


Hanya seminggu membuat perancangan, saya berangkat ke Bangkok.  Pada hari Rabu 14 Ogos kami terbang ke Don Muang tanpa banyak persediaan. Di  Sesampai sahaja di hotel penginapan di Silom, Bang Rak, kami mula turun merayau.  Kami tidak ada tujuan.  Hasrat yang paling jelas masa itu, kami mahu mencari tempat untuk makan makanan halal.   Tiba-tiba saya teringat seorang kawan yang menyatakan kawasan di Masjid Haroon.  Pada malam sebelumnya saya menonton youtube Mark Wein yang memaparkan makanan di kawasan Masjid Haroon itu.

Kami menaiki tut tut.  Akhirnya kami sampai di sekitar kawasan yang didiami oleh penduduk Muslim.  Ada beberapa gerai tepi jalan yang menjual makanan halal.  Kami makan malam di sebuah restoren yang agak eksklusif di situ.  Selepas itu saya ke masjid Haroon untuk solat maghrib.  Saya bertanya penjaja tentang pasar malam di sekitar Bangkok.  Beliau mencadangkan saya ke Asiatique atau Riverfront.

Saya menempah perkhidmatan Grab untuk ke sana.  Benar, kawasan Asiatique sangat meriah.  Pengunjungnya ramai.  Pelbagai barangan buah tangan ada dijual. Terdapat juga pelbagai hiburan yang disediakan.  Setelah penat kami balik ke hotel dengan Grab.  Perkhidmatan Grab di Bangkok sangat baik.

Hari kedua kami ke beberapa destinasi tarikan pelancong di Bangkok.  Kami menempah sebuah van untuk bersiar-siar.  Pemandunya Sam sangat baik dan mencadangkan beberapa tempat kepada kami. Mula-mula kami mahu ke Floating Market. Dalam perjalanan kami berhenti di Ladang Garam, iaitu tempat memproses garam daripada air laut.  Hari kedua aktiviti kami tertumpu di floating market dan menunggang gajah di Damnoen Park.

Sam mencadangkan kami mencuba Dinner Cruise di Sungai Chao Phraya.  Katanya jika tempahan dibuat melaluinya, harganya lebih murah.  Kami menempah pelayaran makan malam yang mengambil masa selama dua jam.   Malam itu kami makan malam di atas kapal White Orchid.  Sam menempah tingkat paling atas di kapal tersebut.  Pemandangan di sekitar Sungai Chao Phraya waktu malam sangat mengujakan. 

Sam memberikan cadangan agar kami ke Pattaya pada hari ketiga.  Namun saya sangat berhasrat untuk ke Kanchanaburi iaitu melihat jambatan dan landasan kereta api maut di River Kwai.  Cadangan ke Pattaya juga menarik, tapi saya lebih suka melihat peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua.   Kami bertolak ke Kanchanaburi selepas sarapan.  Sam mewakilkan bapanya untuk membawa kami ke sana.  Perjalanan agak jauh itu dalam dua jam lebih.  Kami melawat kawasan perkuburan Perang Dunia Kedua, Jambatan Sungai Kwai dan Muzium Kereta Api Maut.   Selepas itu kami kembali.  Cadangan kami untuk melawat lading bunga matahari tetapi waktu ini bukan musim bunga matahari.  Hujan lebat sepanjang perjalanan pulang ke Bangkok.

Malam itu kami berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel.  Ternyata Bangkok sangat ramai pelancong.  Mereka menggunakan segala sumber yang ada untuk menarik pelancong.  Suasana Bandar bersih dan penduduk Bangkok sangat mesra dan suka membantu.

Pada hari ketiga kami menaiki Grab ke Chaktuchak Market.  Pasar ini sangat besar sehingga saya berasa penat berjalan.  Bermacam-macam barang dijual di pasar ini.  Terdapat beberapa buah warong makanan halal di kawasan pasar ini.  Jadi, tidak sukar bagi pengunjung Muslim untuk makan di sini.   Kami balik ke  hotel dan berkemas untuk pulang.

Keseluruhannya, lawatan ke Bangkok adalah menyeronokkan.  Banyak perkara yang boleh diterokai semasa di kota ini.  Bangkok sangat besar kotanya dan agak maju dari segi infrastruktur dan juga sistem pengangkutan awamnya. Jalan rayanya baik.  MRT juga sangat efisien.  Sebagai sebuah kota besar, kesesakan lalu lintas memang satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Sabtu, April 27, 2019

Cerpen XUXI oleh Ghazali Lateh

Apabila dia dipanggil ke istana, barulah Nayan sedar bahawa ulang tahun Dato’ Orkabo kini kembali.  Setiap tahun tugasnya sama.  Dialah yang diharapkan untuk menjalankan aktiviti kesukaan Dato’ Orkabo. Setiap tahun, ketika menyambut  ulang tahun, sayembara mendukung biawak hidup akan diadakan.  Setiap tahun ada pemenang yang memenangi hadiah.
            “Tahun ini aku akan tambah hadiah!”  kata Dato’ Orkabo kepadanya. Nayan kaget sekejap.  Kalau hadiah yang ditawarkan lebih tinggi, kerjanya semakin berat.  Dia terpaksa mencari biawak yang benar-benar  ganas.
            “Berapa Dato’?”  tanyanya spontan.  Dato’ Orkabo memang kaya.  Dia pengusaha ubat tenaga untuk lelaki yang berjaya.  Mendapat gelaran Dato’ sejak berusia belasan tahun.
            “Tahun ini aku akan tawarkan satu juta xuxi,”   balas Dato’ Orkabo.  Dia ternganga mendengar jumlah hadiah yang ditawarkan.
            “Xuxi tu apa Dato’?”  pertama kali dalam hidupnya dia mendengar perkaraan itu.  Tahun-tahun yang lepas macam-macam bentuk hadiah yang ditawarkan.  Ada wang tunai. Ada emas, harta dan sebagainya.
            “Xuxi tu mata wang aku sendiri.  Aku orang kaya. Aku boleh buat mata wang sendiri.  Kau apa tahu?”  sombong sekali bunyi jawapan Dato’ Orkabo.  Dia tunduk.  Ada rasa jengkel tumbuh di jiwanya.  Sedikit memberontak.
            “Sama dengan ringgitkah?”   Nayan maih mahu kepastian. 
            “Lebih!  Nilai ringgit sekarang sudah jatuh.  Nilai xuxi lebih tinggi,”  mendengar jawapan itu  dia mula membayangkan nilai sejuta xuxi itu.  Sudah pasti melebihi satu juta ringgit.
            “Apakah tugas saya Dato’?”   hatinya mula berbunga.  Jika hadiah sejuta xuxi, dia cuba membayangkan upah yang akan diberikan oleh Dato’ Orkabo kepadanya.
            “Aku mahu kau cari biawak paling ganas.  Sebaik-baiknya yang tidak dapat didukung ke garisan penamat,”  arah Dato’ Orkabo.  Dia mula membayangkan isi hati Dato’ Orkabo.  Orang kaya itu tentu tidak ikhlas menawarkan hadiah sebanyak sejuta xuxi itu.  Jadi sekarang peranan terletak di bahunya.  Dia tahu Dato’ Orkabo mengharapkan dia mencari biawak yang paling ganas.
            Tugasnya sejak beberapa tahun menjadi semakin sukar.  Semua  jenis biawak sudah dibawanya dalam sayembara yang lalu.    Paling akhir, tahun lepas dia membawa biawak komodo.  Bayangkan betapa sukar dia pergi ke pulau Komodo untuk menangkap biawak tersebut.  Apatah lagi dia mesti membawanya hidup-hidup.  Beratnya sahaja 70 kilogram hingga 120 kilogram bagi yang jantan matang. Yang betina pula antara 50 kilogram hingga 100 kilogram.  Panjangnya pula mencecah dua meter.  Itu tidak termasuk bisa gigitannya yang boleh membunuh seekor kerbau.
            Namun, oleh sebab upah lumayan yang ditawarkan oleh Dato’ Orkabo dia berhasil membawa pulang.  Hasilnya sayembara mendukung biawak hidup itu berjalan lancar.  Ada pemenangnya. Peserta hanya diperlukan mendukung biawak hidup itu sejauh sepuluh ela. 
            Sekembalinya dari rumah Dato’ Orkabo, dia pula berfikir.  Tugasan yang diberikan kali ini sukar.  Apa lagi spesies biawak yang lebih ganas daripada biawak komodo.  Mula-mula dulu dia disuruh menangkap biawak pasir.  Mudah baginya.  Kemudian dia menangkap biawak air.  Tahun berikutnya dia membawa biawak serunai. Tahun berikutnya lagi dia membawa biawak kudung.  Yang penting setiap kali sayembara mendukung biawak hidup itu suasananya sangat meriah.  Setiap kali itu juga dia mendapat upah yang lumayan daripada Dato’ Orkabo.  Kemuncaknya, tahun lepas apabila ada peserta yang mati digigit Varanus komodoensis, biawak komodo itu.  Dato’ Orkabo sangat berpuas hati apabila ada peserta yang luka-luka dan mati akibat sayembara tersebut.
            “Mana aku nak cari biawak yang lebih ganas?”  dia merungut seorang diri.  Namun membayangkan upah dan hadiah besar yang ditawarkan, hatinya berbunga kembali.  Peluang ini tidak harus dilepaskan.  Jika hadiahnya sejuta xuxi, upah untuk mencari biawak itu sudah tentu lumayan. Berulang-ulang fikiran itu datang.
            Bagi Dato’ Orkabo pula, dia tidak peduli.  Setiap kemahuannya mesti dijadikan kenyataan.  Tahun ini ulang tahunnya ke seratus.  Dia kaya. Hasil jualan produk tenaga lelakinya menjadikan dia benar-benar kaya.  Orang kaya sepertinya boleh berbuat apa-apa sahaja.  Kali ini dia mahu melihat sayembara lebih meriah.  Dia yakin dengan kemampuan orang suruhannya, Nayan untuk memenuhi hasratnya.
            Hari yang ditunggu-tunggu tiba akhirnya. Sayembara mendukung biawak hidup diadakan. Syaratnya, peserta perlu menangkap dan mendukung biawak ke garisan penamat.  Jaraknya dua puluh lima ela. Peserta yang berjaya melakukannya, Dato’ Orkabo akan memberikan hadiah sejuta xuxi.  Guni yang penuh dengan wang kertas itu diletakkan di atas meja di pentas utama, dijaga oleh pengawal bersenjata.
Peserta-peserta sudah datang ke padang di depan istana Dato’ Orkabo.  Kali ini yang datang bukan calang-calang orang.  Paling awal datang ialah Raja Pawang.  Dia memakai sut berwarna kelabu, lengkap dengan dasi dan songkok tinggi.  Dia diiringi oleh beberapa orang pembantu yang membawa kelengkapannya.
            Raja Pawang mengadakan sesi ritualnya di luar padang, dibantu oleh pembantunya yang berpakaian lengkap pahlawan Melayu.  Ritual dimulakan dengan acara membaling buah durian musang king ke tanah.  Kemudian Raja Pawang mengeluarkan teropong ajaibnya. Dia meneropong ke seluruh angkasa.  Hadirin memerhatikan gelagat Raja Pawang dengan penuh minat. 
            “Menurut alamat teropong ajaib ini,  saya akan berjaya mendukung biawak hidup itu hingga ke garisan penamat,”   dengan yakin Raja Pawang membuat pengumuman.  Hadirin bertepuk tangan. 
            Kemudian datang pula peserta raja tomoi.  Dia juga memulakan ritual tomoinya di luar padang.  Tertonggek-tertonggek dia ke hulu ke hilir menunjukkan kehebatannya.  Jampi serapah dibacanya sambil dihembus-hembus ke udara beberapa kali.  Orang ramai bertepuk tangan juga.  Kali ini memang sengit sayembara mendukung biawak ini.
            Datang pula raja kuntau, raja jampi, raja silat pulut, raja karate, raja judo, raja lawak dan macam-macam raja lagi.  Semuanya mempunyai niat yang sama.  Peluang mendapat hadiah sejuta xuxi tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
            Apabila pertandingan bermula, semuanya berkumpul di tepi padang.  Peserta-peserta telah diundi untuk mendapatkan giliran.  Masing-masing yakin akan memenangi sejuta xuxi itu. Kemudian petugas pertandingan membuka pintu sangkar besar yang bertutup.  Apabila pintu sangkar dibuka, kelihatan seekor biawak yang sangat besar merangkak keluar.  Hadirin mula membuat bising.  Kali ini biawak yang akan didukung oleh peserta memang besar, lebih besar daripada tahun-tahun yang lalu.
            Dari atas pentas Dato’ Orkabo bertepuk tangan.  Melihat saiz biawak tersebut, ada kemungkinan tawaran hadiah tersebut dapat diselamatkan.  Dia mendapat keuntungan. untung kerana setiap peserta yang mengambil bahagian terpaksa membayar yuran penyertaan yang tinggi.  Hadirin juga dikenakan bayaran kerana tahun ini pertarungan sangat sengit. 
            Raja silat pulut memdapat giliran pertama.  Dia pun masuk ke tengah padang dengan sembah silatnya yang cantik.  Pasukan gendang silatnya memalu gendang dengan rancak. Dia pun melangkah ke arah biawak besar yang sedang menanti.
            Ditangkapkan biawak itu dengan jurus lima. Dikilasnya sebelah kaki depan biawak itu. Apabila hendak diangkat ke atas belakangnya, dia terasa ada sesuatu yang menusuk di rusuk kanannya.
            “Aduhhh…!!”  jeritnya, seraya melepaskan biawak itu ke tanah.  Ada darah mula membasahi baju silat pemberian gurunya.  Orang ramai menjerit kegirangan.  Dato’ Orkabo bertepuk tangan dengan kuat apabila ternampak raja silat puluh tergesa-gesa ke luar padang. 
            Kemudian masuk pula raja tomoi.  Selepas melaksanakan ritual buka gelanggangnya, diapun menerpa ke arah biawak itu.  Akhirnya dia berjaya memasung biawak dan diangkat ke atas belakangnya.  Namun, tiba-tiba raja tomoi  menjerit.  Biawak itu dilepaskan.  Tangannya memegang tengkuknya yang mula berdarah.  Ternyata tengkuknya telah digigit dengan kuat oleh biawak yang cuba didukungnya.
            Seorang demi seorang peserta masih gagal mendukung biawak itu untuk ke garisan penamat. Akhirnya tibalah giliran Raja Pawang.  Dengan ilmu kepawangannya dia berhasil mendapat giliran terakhir. Ada banyak kelebihan apabila mendapat giliran terakhir.  Sudah tentu biawak itu sudah lemah dikerjakan oleh peserta-peserta terdahulu.  Tugasnya akan menjadi lebih mudah. Peluang untuk menang amat cerah.  Dia sudah membayangkan betapa banyaknya hadiah sejuta xuxi itu. Yang penting wang hadiah itu halal, bukan hasil rasuah atau penyelewengan.
            Raja Pawang melangkah dengan yakin ke tengah padang.  Dia membaca jampi serapahnya beberapa ketika.  Kemudian dia menabur beras kunyit ke arah biawak yang akan ditentangnya.  Dengan teropong hikmatnya, dia meneropong ke arah biawak itu, kemudian menghala laras teropongnya ke angkasa.  Dia memberikan teropong itu kepada pembantunya.
            Dengan mulut kumat-kamit dia berjalan ke arah biawak besar itu. Beberapa ketika biawak itu kelihatan lemah. Dia merenung tunak ke mata biawak itu. Raja Pawang tersenyum yakin.  Dia akan menjadi kaya.  Darjatnya Raja Pawang yang dipegangnya akan melonjak. Sudah lama dia diketawakan.  Kali ini dia akan menjadi lebih dihormati.  Hadiah sejuta xuxi itu akan menjadi miliknya.  Tugasnya sekarang hanya menangkap biawak itu dan mendukungnya. Dia cuma perlu mendukung biawak hidup itu sejauh dua puluh lima ela.
            “Ahhhh…!!!”  Raja Pawang bertempik kuat.  Serentak dengan itu dia melompat ke hadapan biawak yang kelihatan semakin lemah. Dengan pantas Raja Pawang menangkap biawak besar itu.  Dia berhasil mendukungnya. Sepenuh kudratnya dikerah. Terasa berat biawak itu menekan belakangnya. Namun biawak itu sudah kurang melawan. Jampi serapah yang dibacanya berhasil melemahkan biawak hidup itu.
            Raja Pawang melangkah ke arah garisan penamat. Selangkah demi selangkah.  Dia semakin yakin. Sorakan penonton semakin bingit, tiada kedengaran apa-apa lagi.  Sorakan itu benar-benar membakar semangat Raja Pawang.
            Sudah lima ela dia melangkah. Biawak itu tidak mencakar, tidak menggigit seperti yang dialami oleh peserta lain.  Hebat sungguh ilmu perbomohan Raja Pawang. Kini sudah sepuluh ela dia melangkah.  Tiba-tiba langkah Raja Pawang terhenti.
            “Kau jangan berhenti.  Kau tahu apa yang terjadi pada peserta sebelum ini?  Aku ada pisau. Kau bawa aku sampai ke garisan penamat. Tapi hadiah sejuta xuxi itu mesti kauserahkan kepadaku nanti. Kau janji.  Kalau tidak aku tikam kau sekarang juga…!”  terdengar suara ugutan biawak itu. Dia menjeling ke kanannya. Ternampak pisau tajam berkilat di tangan biawak itu menghala ke arah lehernya.  Terasa cuak di hatinya. Dia terlupa segala jampi yang dipelajarinya selama ini.   “Janji!!”  desak biawak itu dengan suara berbisik.
            “Aku janji! Aku janji!”  Raja Pawang terasa kecut. Dengan kudrat yang ada, perlahan-lahan dia melangkah ke garisan penamat.  Sorakan penonton semakin gamat.  Biawak di belakangnya meronta-ronta kecil. Akhirnya Raja Pawang tiba ke garisan penamat.  Biawak itu dilepaskan dan merangkak lemah masuk ke kadang di tepi padang.
            Di pentas, Raja Pawang dijulang oleh pembantu-pembantunya.  Dato’ Orkabo telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dengan muka yang masam.  Seguni duit yang bernilai sejuta xuxi telah bertukar tangan menjadi milik Raja Pawang.  Maka majlis sayembara mendukung biawak hidup sempena ulang tahun kelahiran Dato’ Orkabo pun berakhir.
            Pagi itu Nayan bangun awal.  Dia ingin ke bank untuk menukar mata wang xuxi yang dimenangi oleh Raja Pawang ke mata wang ringgit. Guni duit itu akan dipikulnya seorang diri.  Semasa melewati rumah Raja Pawang, dia ternampak kelibat Raja Pawang berpakaian sut lengkap sedang menggunakan teropong hikmatnya, meneropong ke angkasa.  Nayan ketawa sendirian.  “Gila!!”  tambahnya.
            “Maaf Encik!  Dalam rekod mata wang dunia, tidak ada mata wang xuxi ini,”  pegawai bank memberitahu Nayan sambil tersenyum sinis. “Mungkin bank belakang rumah encik boleh tukar,”  tambah pegawai itu.  Nayan terasa pandangannya kabur.  Dia melangkah keluar bank dengan langkah yang lemah.
            “Encik, bawa duit encik ni sekali…!  Jerit pegawai bank itu.
            Dalam perjalanan pulang, Nayan masih nampak Raja Pawang meneropong ke angkasa.  Dia pun terus mendapatkan Raja Pawang.
            “Boleh saya pinjam teropong?”  pinta Nayan.

Sabtu, Februari 16, 2019

Sajak Persaraan Guru Bahasa Melayu/Sastera Melayu


SANJUNGAN BUDI LESTARI KASIH

Telah kau bermula dalam damba jiwa
menjadi pendidik pemangkin wibawa
mendaulatkan bahasa ibunda
menyemarakkan pesona sastera
ke puncak persada.

Telah kau telusuri semua liku perjalanan
mengutip butir-butir mutiara pengalaman
mengorak langkah kemahuan
menanjak  tangga keazaman
kau gapai segala kekaguman.

Tanpa sedar luas sudah medan terpugar
suaramu semakin megah menggegar
berjuang dengan minda dan rasa
berdagang dengan budaya dan bahasa
berpegang pada citra nan perkasa.

Kini kau tiba di suatu persimpangan
setelah kau raih segala piala kemenangan
melengkapi sebuah perjuangan
menobat agenda kegemilangan
budimu tuan menjadi sanjungan.

Kini kami kehilangan kata-kata
rusuh mengepung titis nyeri di tubir mata
kesedihan tidak terungkap nyata
menghitung budi lestari abadi
menilai kasih dan indah peribadi
di sudut memori.

Ke mana harus kami mengadu sendu
bagaimana harus kami luahkan rindu
sedangkan saat keberangkatan ini tentu
kau akan meninggalkan legasimu
setelah lama menabur ilmu
setelah akrab menobatkan mutu
di setiap liku penjuru
perkhidmatanmu.

Doa kami untukmu tuan sanjungan
segala budi tetap lestari dalam kenangan
kasihmu tuan biarlah berpanjangan
ikatan ini dileraikan jangan.

Sapalah jika masih ada ingatan
tegurlah jika tiada keberatan
berangkatlah dalam doa keberkatan
di hati kami, tuan umpama gemerlap intan.

Dr Ghazali Lateh
Banting
2/1/19

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...