Selasa, Oktober 14, 2008

Tips Komsas PMR

KLIMAKS DALAM NOVEL KOMSAS TINGKATAN SATU

Oleh Ghazali Lateh

Dalam kajian novel, aspek binaan plot merupakan satu perkara penting. Binaan plot merujuk kepada jalan cerita yang disampaikan oleh pengarang meliputi bahagian permulaan, perkembangan, klimaks, dan peleraian. Klimaks ialah kemuncak cerita yang menjadi titik paling tinggi dalam konflik watak utamanya. Sesebuah karya pasti memiliki titik klimaks ini kerana tanpa klimaks cerita akan mendatar dan tiada daya tarikan.
Dalam menentukan klimaks dalam novel Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan 1, terdapat pelbagai pandangan berdasarkan buku-buku ulasan dan rujukan yang ditulis oleh beberapa orang penulis. Pandangan-pandangan ini ada kalanya berbeza-beza antara satu sama lain. Keadaan ini akan mengelirukan murid yang merujuki buku-buku berkenaan.
Novel-novel yang digunakan sebagai bahan bacaan komponen sastera tingkatan satu termasuklah Meniti Kaca, Anak Din Biola, Aku Anak Timur, dan Limpahan Darah di Sungai Semur. Bagi tingkatan dua pula novel-novel yang dikaji ialah Pahlawan Pasir Salak, Timulak Kapal Perang, Kapten Hassan Wira Bangsa, dan Tragedi Empat Disember. Manakala novel-novel tingkatan tiga pula Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, Panas Salju, Ekspedisi, dan Merdeka! Merdeka!
Untuk memudahkan murid mengenal pasti klimaks yang terdapat dalam novel-novel kajian, beberapa perkara hendaklah diberikan perhatian. Perkara-perkara tersebut termasuklah;

i. Klimaks ada kaitan dengan tema dan persoalan novel.
ii. Klimaks biasanya melibatkan watak utama.
iii. Klimaks membawa perubahan kepada diri watak.
iv. Klimaks menyelesaikan konflik watak utama dengan watak-watak lain.

Dalam hubungan ini, terdapat buku-buku ulasan dan rujukan yang tersalah memilih klimaks dalam kajian mereka. Sebagai contoh, dalam novel Anak Din Biola, peristiwa yang dianggap klimaks ialah peristiwa penangkapan Pak Mat Tukang Masak di rumah pangsa kawannya. Pemilihan peristiwa tersebut sebagai klimaks adalah tidak tepat. Walaupun peristiwa itu dianggap penting, namun tidak menyentuh perjuangan sebenarnya watak utamanya iaitu untuk memenangi Bintang Biola Remaja Kotaraya. Peristiwa tersebut juga tidak ada kaitan dengan tema novel.
Oleh itu klimaks yang lebih tepat ialah pengumuman Budiman sebagai juara Bintang Biola Remaja. Hal ini demikian kerana sepanjang perkembangan plotnya, fokus utama cerita ialah usaha Budiman untuk belajar bermain biola dan memenuhi wasiat bapanya. Jadi apabila Budiman diumumkan sebagai juara, maka terjawablah segala konflik yang diwujudkan sejak awal cerita.
Perkara ini dapat diringkaskan seperti yang berikut;
Tema
Kegigihan seorang remaja melaksanakan amanat arwah bapanya supaya dia berjaya dalam bidang muzik

Watak utama
Budiman

Konflik:
Memenuhi wasiat arwah bapa.

Klimaks:
Budiman berjaya menjadi juara Bintang Biola Remaja Kotaraya.

Penyelesaian konflik
Budiman telah berjaya memenuhi impian arwah bapanya.

Bagi novel Aku Anak Timur, klimaksnya agak mudah dikesan. Peristiwa yang dialami oleh watak utama iaitu Zarina di rumah rakan Niek amat nyata melibatkan kriteria-kriteria penentuan klimaks. Peristiwa tersebut membawa perubahan pada diri Zarina. Tambahan pula peristiwa tersebut merupakan peristiwa yang paling penting dan mudah dikesan oleh pembaca. Jadi, tidak ada masalah bagi pelajar menentukan klimaksnya.

Tema
Pertembungan budaya barat dan timur yang menimbulkan pelbagai masalah dan kesan serta perlu ditangani dengan tegas dan berhemah
Watak utama
Zarina
Sering ditegur oleh ibu bapa dan dikawal pergaulan dengan rakan-rakan yang berketurunan barat.
Klimaks
Zarina melarikan diri dari rumah rakan Niek setelah dia cuba dipeluk ketika lampu terpadam.
Penyelesaian konflik
Zarina insaf dan sedar akan kebenaran nasihat ibu bapanya.

Dalam novel Meniti Kaca, klimaks yang sering diketengahkan dalam buku-buku rujukan ialah peristiwa kematian Mahyun, iaitu ibu Nazar ketika hujan lebat. Namun begitu, peristiwa ini tidak boleh dianggap sebagai klimaks kerana tidak melibatkan watak utama. Peristiwa ini memang penting tetapi tidak dianggap berperanan sebagai klimaks, kerana peristiwa itu hanya salah satu cabaran atau konflik besar bagi watak utama. Jadi klimaks cerita ini adalah apabila Nazar berjaya masuk ke sekolah asrama penuh setelah melalui pelbagai cabaran. Perkara ini bertepatan dengan tema iaitu ketabahan dan kesabaran Nazar menghadapi cabaran.


Tema
Ketabahan dan kesabaran seorang remaja menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Watak utama
Nazar
Konflik
Terpaksa menghadapi cabaran akibat ibu mengalami penyakit jiwa.
Klimaks
Nazar berjaya memasuki sekolah berasrama penuh untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor.
Penyelesaian konflik
Nazar berjaya memenuhi cita-cita yang diimpikan walaupun ibu dan bapanya telah meninggal dunia.

Novel Limpahan Darah di Sungai Semur pula mengetengahkan tema keberanian Jamaludin Mohamed berhadapan dengan pihak musuh demi mempertahankan kedaulatan tanah air. Oleh itu kemuncak cerita ini mestilah berkaitan watak utamanya. Dalam novel ini, peristiwa yang menjadi klimaks agak jelas dan mudah dikesan. Hal ini demikian kerana dalam novel bercorak perjuangan, episod peperangan yang terakhir dan membawa kejayaan akan menjadi klimaksnya.

Tema
Keberanian seorang anggota tentera dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis.
Watak utama
Jamaludin Mohamed
Konflik
Terpaksa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis.
Klimaks
Jamaludin ditangkap dalam pertempuran di Sungai Semur tetapi dibebaskan kemudiannya.
Penyelesaian konflik
Jamaludin berjaya memenuhi impiannya menjadi seorang anggota tentera.


Oleh yang demikian, murid-murid harus berhati-hati dalam membuat rujukan. Fakta-fakta yang terdapat dalam buku-buku ulasan hendaklah dibandingkan dengan teliti. Murid-murid juga perlu berbincang dengan guru-guru untuk mengenal pasti fakta-fakta yang betul untuk dpelajari. Kekeliruan atau fakta yang tidak tepat akan meninggalkan kesan yang tidak baik terhadap murid, terutama apabila mereka menjawab kertas peperiksaan.

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...