Khamis, Mei 16, 2013



Yang Dilupakan

Tiga dasawarsa bergelumang aksara
berbicara, berjenaka, berbahasa
membimbing, menegur, dan menunjuk cara
akhirnya diri kehabisan daya
melangkah lelah meninggalkan arena
biarpun tanpa pinta dan rela
lantaran perjalanan tiba di sempadan usia
seperti sewajarnya.

Begitupun mercup juga sedikit bangga
kiranya berhasil menginsankan manusia
beribu-ribu murid yang  kini dewasa
di mana-mana sahaja berada
yang dekat atau jauh di mata
yang  masih ingat atau sudah lupa
kerana mereka pernah disebut nama
suatu ketika.

Kesunyian aku
daripada suara ceria segenap penjuru
tiada lagi anak-anak kecil dan remaja menunggu
tiada lagi gelak tawa di bilik guru
tiada lagi timbunan buku
tiada lagi hadiah hari guru.

Begini nasib seorang pesara
pencen sebagai  seorang guru biasa
kini diri hanya seorang warga tua
menghabiskan kudrat yang tersisa
di pojok usia.

Ketika semuanya meneruskan agenda
aku sendirian menyembunyikan hiba
ketika semuanya meneruskan perjuangan
kiranya akulah guru yang dilupakan.

UPM, Serdang,
16 Mei 2013.




Tiada ulasan:

Ulang tahun Perkahwinan