Jumaat, Januari 24, 2014

Salju


Hati yang gersang
menjadi dingin dan nyaman
pawana mulus yang hadir
membawa usapan di pipi
terasa menusuk
ke kamar hati.

Jurai dari langit-Nya
menutup pandangan mata
memutih ufuk saujana
di mana-mana
terkesima.

Salju itu anugerah-Mu
mendingin dan membeku
biar indah pesona salju
menebarkan syahdu
tapi aku tahu
tempatku bukan di situ.

Biar kudambakan indahmu
dan putihmu menggebu
aku hanya perindu
yang bebas saban waktu
dari perit gigitanmu.

UPM
24/1/2014

Rabu, Januari 22, 2014


Kesetiaan II

Kesetiaan umpama cengal
yang tahan hakisan angin
dan sepuh cahaya
lali dalam rempuh hujan
tegar di deru musim.

Kesetiaan itu pasti mahal
menjadi antik dan dipuja
kerana nilainya nyata
meningkat mengikut masa
bak permata.

Kesetiaanku
biarlah seteguh cengal
kukuh dan mahal
tidak terjual
dalam tawaran anjal.

UPM
22/1/2014


SYUKUR

Seribu rerama masuk ke rongga kalbu
membawaku terbang ke langit biru
menelusur pelangi berwarna-warni
mengusap awan nan putih suci.

Indahnya kemanisan yang kuraup
dari perjalanan melewati seribu teluk
kudup-kudup bunga telah mekar
menebarkan harum wangian segar.

Jangan ada yang menabur duri
meresapkan upas ke dalam relung hati
aku bahagia menikmati anugerah
yang kuraih dalam lelah dan payah.

Biarkan aku melayang terawang-awang
menakluki saujana luas terbentang
aku bahagia mengutip kerdip bintang
mensyukuri nikmat setiap detik dan ruang.

 UPM

Isnin, Januari 20, 2014

Suatu Ketika di Muar dan Air Hitam, Johor






Usia II


Usia II

Seperti akan terlupa tafsirnya
bahawa usia menginjak tua
menghakis hasrat dan cita
di sepanjang likunya.

Kemahuan tidak pernah luntur
sedang kudrat semakin mengendur
pabila lelah menjejaskan langkah
barulah kutahu betapa usia membantah
saat tergayut pundi nafsu yang pecah.

Duduklah sebentar
menghitung usiamu
yang terbuang dan tersisa
dan manfaatkan bakinya
mumpung masih ada masa.

Ketika usia semakin tirus
himpunkan semua doa kudus
di pangkal iman yang tulus
di kanvas putih yang mulus.

20/1/2014

Isnin, Januari 13, 2014

Mandiri

Ketika kau gemburkan  denai benci
aku hanya mampu berdiam diri
dan bersembunyi di sebalik mimpi
bersama-sama ngeri
yang terlepas dalam janji.

Jangan ditanya lagi selepas ini
kerana dunia semakin sepi
aku ingin menyendiri
membungkus ilusi
dengan derita hati
tidak diubati.



Ahad, Januari 12, 2014

Menikmati Senja di Morib

Biar kumiliki senja
meskipun kian pudar warnanya
kerana perjalanan terlalu lelah
disergah musibah tanpa sedar
saat kealpaan sering mekar.

Biar senja indah ini
memujuk rawan hati
dalam diam sendiri
tiada siapa yang mengerti.

12/1/2014

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...