Khamis, Mac 27, 2014

Tragedi

Terlalu lamakah kita berleka-leka
menghirup nafas dalam dari pawana selesa
senantiasa
tidak terbayang akan kepedihan
sebuah tragedi paling membekas kesan
meragut semua kebanggaan.
 
Terlalu besar beban menghempas pundak
tidak tertanggung oleh sesiapapun
hanya doa pasrah atas hikmah kehendak
tiada lagi harapan
tiada lagi haluan
tiada lagi tujuan
hanya berserah pada-Mu Tuhan.

Yang terhempas itu sebenarnya maruah
yang hilang itu citra kita yang megah
yang datang itu sebesar-besar musibah
yang bertandang itu armada masalah.

Kita harus kembali merenung diri
betapa bencana ini mengirim utusan misteri
barangkali ini aniaya, sedangkan kita tidak bermaya
barangkali ini dendam, hasad tak pernah padam
barangkali ini konspirasi,
sedangkan kita hanya mampu menangisi
barangkali ini peringatan,
betapa kita sering kelewatan.

Tragedi ini benar-benar melumpuhluluhkan
tangisan dan sendu mengaburi perasaan
bakal berkumandang tohmah dan cerca
luka terhiris dek tikaman kaca kata-kata
hati-hati yang menanti
khabar hidup atau mati
meredai tapi menagih bukti
semuanya padah bengis menanti.

Tegaklah biar payah
kerana kita terpilih untuk diduga susah
bangun kembali dari kejatuhan
agar selamanya kita mampu kekal bertahan.
 
Ghazali Lateh,
UPM Serdang
27 Mac 2014

Khamis, Mac 20, 2014

Perjalanan

(Untuk Seorang Guru yang Akan Bersara)
 
Telah kau mulakan langkahmu
dengan perjalanan seribu liku
kau junjung sebuah hasrat yang padu
menjadi guru.

Dengan jerih payah dan keluh kesah
kau membina sebuah nama yang megah
mendaki gunung menuruni lembah
kau bertahan dalam citra yang gagah.

Perjalananmu sebagai pendidik bahasa
hanya bermula sebagai guru biasa
berkat semangat dan tekun sentiasa
kau tiba akhirnya di puncak perkasa.

Inilah sebuah perjalanan hakiki
kaukutip seribu pengalaman bersilih ganti
hari ini kau mampu tersenyum pasti
melihat anak-anak didikmu hidup bererti.

Detik ini
kami ingin mengenang kembali
akan bicaramu semulia pekerti
akan pesonamu insan berbudi
akan mesramu menarik hati
akan hadirmu menceriakan hari
akan pergimu  tiada galang ganti
yang pasti kami akan merindui
seorang guru yang kami senangi.             

Inilah peta perjalanan
seorang guru melengkapkan kehidupan
mencurah bakti tiada henti
budimu mulia kami sanjungi.

Persaraan ini satu kehilangan
buatmu tuan, guru sanjungan
segala yang indah menjadi kenangan
kami di sini dilupakan jangan.

 
Nukilan
Dr. Ghazali Lateh,
UPM.
18 Mac 2014

Khamis, Mac 13, 2014

Kehilangan

Bagai disambar garuda
hilang sekelip mata
ke mana
di mana
tiada sekelumit tanda
tiada.

Yang ada hanya air mata
dan sebak sengsara
penantian tiada hujungnya
bila...

Inilah kehilangan
yang meracun perasaan.

Jumaat, Mac 07, 2014

Sejingga Musim Luruh

 
Jingga ialah warna indah
mewarna alam
mewarna hidup
dalam ceria
dan cinta

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...