Tanpa banyak persediaan, saya
membuat keputusan untuk melancong ke Seoul. Saya terbang ke Seoul pada 28 Ogos,
dengan Air Asia. Kami tiba di Incheon
dalam jam 3.30 petang waktu Seoul. Saya
mengambil teksi dan terus ke hotel di Insadong yang telah ditempat melalui
seorang teman FB. Setelah masuk ke hotel, kami turun untuk ke lorong Insadong
yang penuh dengan kedai cenderamata dan kedai makan. Kami makan di restorem halal Little India.
Kami makan di Restoren Little India, Insadong.
Setelah meninjau sekitar pasar
malam tersebut, kami balik ke hotel.
Esoknya, kami ke Namsan Park, tempat terletak Seoul Tower. Kami naik ke
bukit itu dengan menggunakan kereta kabel.
Bayarannya 8500 won seorang. Di atas, pemandangan sangat menarik. Rupa-rupanya di sinilah terletaknya
pagar-pagar yang dipenuhi kunci seperti yang ditonton dalam drama-drama Korea
itu. Pengunjung juga berpeluang untuk memakai pakaian tradisi Korea secara
percuma di sini. Pada sebelah petang, pertunjukan kebudayaan Korea diadakan. Kami beredar ke Itaewon selepas itu untuk
mencari restoren makanan halal.
Akhirnya kami sampai di Itaewon.
Kami makan di Restoren Siti Sarah, milik seorang wanita Indonesia yang
bersuamikan orang Mesir. Pekerjanya
terdiri daripada pelajar-pelajar Indonesia yang belajar di Korea. Terbanyak banyak restoren halal di kawasan
ini, termasuk restoren Turki, India dan seumpamanya. Namun tidak ada restoren Melayu.
Hari ketiga kami ke Pulau
Nami. Di Pulau Nami kami menikmati
pemandangan pulau yang dijadikan set penggambar drama Korea Winter Sonata. Drama inilah yang melonjakkan drama-drama
Korea dan juga pulau tersebut.
Pengunjung sangat ramai. Pada
musim panas, pemandangan agak biasa sahaja, namun sudah ada tanda-tanda musim
luruh akan tiba kerana ada tumbuhan di sini sudah mula bertukar warna daunnya.
Dalam perjalanan balik ke Seoul, kami singgah di Petit France, sebuah kawasan
yang berdirikan negeri Perancis seperti yang terdapat di Bukit Tinggi, Pahang.
Hari keempat kami melawat istana
yang menjadi tarikan pelancong di Seoul.
Istananya sangat besar, dan seni binanya sangat unik. Istana ini juga sering dijadikan latar
drama-drama purba Korea. Pengunjung boleh mencuba pakaian tradisional
Korea. Di sekitar kawasan istana ada
kedai yang menyewakan pakaian Hanbok kepada sesiapa yang ingin mencuba. Sesiapa yang memakai Hanbok dibenarkan masuk
ke istana secara percuma. Pada malamnya,
kami cuba mencari pasar malam Dangdaemun, tetapi malangnya diberitahu hanya
beroperasi pada hujung minggu.
Hari kelima kami menaiki bas
mengelilingi bandar Seoul. Dengan tiket 12000 won, penumpang boleh menaiki
mana-mana bas City Tour dan berhenti di mana-mana. Kami ke Itaewon semua untuk beli-belah
cenderamata. Banyak ditemukan pelancong
dari Malaysia di Itaewon. Malangnya pelancong
Malaysia (Melayu) hanya buat-buat tidak kenal apabila bertemu dengan kami, jauh
sekali hendak bertegur sapa. Saya cuba
untuk berinteraksi dengan beberapa orang Melayu tetapi pada kadar minimal
sahaja. Di hotel penginapan saya juga
terdapat beberapa kumpulan pelancong dari Malaysia. Yang Melayu kebanyakannya berat mulut. Saya jumpa satu keluarga Cina dari Sungai
Patani dan kami berbual rancak apabila tahu kami juga dari Malaysia. Begitu juga sekumpulan tiga orang gadis Cina
Malaysia yang nampaknya lebih ramah dan mesra. Satu hal yang menarik, ramai peniaga Korea di Itaewon yang mampu berbahasa Melayu.
Malam itu, pengurus hotel
bermurah hati untuk memberikan tiket River Cruise secara percuma kepada kami
bertiga. Kami ke Youinaru dengan
subway. Rangkaian subway di Seoul sangat
sistematik dan efisien. Menggunakan sistem subway di Seoul seolah-olah kita
berada di sebuah dunia lain di bawah tanah. Malam itu kami menaiki feri untuk
menikmati keindahan panorama malam di sepanjang Sungai Han. Tempoh masa
perlayaran adalah hampir dua jam. Pemandangan
di kedua-dua belah tebing sungai kelihatan sangat indah dihiasi bangunan dan
lampu berwarna-warni.
Balik dari River Cruise, kami
menaiki subway ke Ueljiro 1 (il-ga). Kami ke pasar malam Myeondong. Ternyata
kedatangan di sini berbaloi kerana suasana pasar malam yang meriah. Banyak terdapat peniaga yang berniaga dan
banyak yang menjual makanan halal. Kami
menemukan banyak juga pelancong Melayu dari Malaysia, tetapi seperti biasa
mereka kebanyakannya tidak begitu mesra dan sering buat-buat tidak memandang
apabila bertemu. Saya yang sering
menegur, kadang-kadang tersilap tegur pelancong Indonesia.
Akhirnya, hari akhir kami
bersedia untuk pulang. Sementara
menunggu dihantar ke lapangan terbang, kami sempat lagi beli-belah di Insadong
untuk kali terakhir. Lawatan ke Seoul
sangat memuaskan hati kerana kami tidak terikat dengan jadual tertentu. Kami menikmati
lawatan sehingga puas sebelum melawat ke tempat lain.
Keseluruhannya, masyarakat Korea
sangat maju dari segi mentaliti dan kecanggihannya. Tandas awam sangat bersih, tidak berbau
walaupun penggunaannya tidak dikenakan bayaran.
Taraf hidup di Korea juga jauh lebih tinggi daripada Malaysia. Saya sempat berbual dengan beberapa orang
Korea dan saya dapat menilai falsafah hidup mereka yang positif. Suasana di
kota Seoul aman. Saya lihat setiap jalan dan lorong ditempatkan anggota polis.
Kelihatan juga kota ini dilengkapi dengan kamera CCTV yang banyak. Generasi
mudanya ramai yang dapat berbahasa Inggeris dan mereka sedia membantu apabila
diminta. Banyak perkara yang perlu kita contohi daripada Korea.