Ahad, September 03, 2017

Travelog Seoul Korea 2017

Tanpa banyak persediaan, saya membuat keputusan untuk melancong ke Seoul. Saya terbang ke Seoul pada 28 Ogos, dengan Air Asia.  Kami tiba di Incheon dalam jam 3.30 petang waktu Seoul.  Saya mengambil teksi dan terus ke hotel di Insadong yang telah ditempat melalui seorang teman FB.  Setelah masuk ke  hotel, kami turun untuk ke lorong Insadong yang penuh dengan kedai cenderamata dan kedai makan.  Kami makan di restorem halal Little India.

Kami makan di Restoren Little India, Insadong.

Setelah meninjau sekitar pasar malam tersebut, kami balik ke hotel.  Esoknya, kami ke Namsan Park, tempat terletak Seoul Tower. Kami naik ke bukit itu dengan menggunakan kereta kabel.  Bayarannya 8500 won seorang. Di atas, pemandangan sangat menarik.  Rupa-rupanya di sinilah terletaknya pagar-pagar yang dipenuhi kunci seperti yang ditonton dalam drama-drama Korea itu. Pengunjung juga berpeluang untuk memakai pakaian tradisi Korea secara percuma di sini. Pada sebelah petang, pertunjukan kebudayaan Korea diadakan.  Kami beredar ke Itaewon selepas itu untuk mencari restoren makanan halal.



Akhirnya kami sampai di Itaewon. Kami makan di Restoren Siti Sarah, milik seorang wanita Indonesia yang bersuamikan orang Mesir.  Pekerjanya terdiri daripada pelajar-pelajar Indonesia yang belajar di Korea.  Terbanyak banyak restoren halal di kawasan ini, termasuk restoren Turki, India dan seumpamanya.  Namun tidak ada restoren Melayu.


Hari ketiga kami ke Pulau Nami.  Di Pulau Nami kami menikmati pemandangan pulau yang dijadikan set penggambar drama Korea Winter Sonata.  Drama inilah yang melonjakkan drama-drama Korea dan juga pulau tersebut.  Pengunjung sangat ramai.  Pada musim panas, pemandangan agak biasa sahaja, namun sudah ada tanda-tanda musim luruh akan tiba kerana ada tumbuhan di sini sudah mula bertukar warna daunnya. Dalam perjalanan balik ke Seoul, kami singgah di Petit France, sebuah kawasan yang berdirikan negeri Perancis seperti yang terdapat di Bukit Tinggi, Pahang.


Hari keempat kami melawat istana yang menjadi tarikan pelancong di Seoul.  Istananya sangat besar, dan seni binanya sangat unik.  Istana ini juga sering dijadikan latar drama-drama purba Korea. Pengunjung boleh mencuba pakaian tradisional Korea.  Di sekitar kawasan istana ada kedai yang menyewakan pakaian Hanbok kepada sesiapa yang ingin mencuba.  Sesiapa yang memakai Hanbok dibenarkan masuk ke istana secara percuma.  Pada malamnya, kami cuba mencari pasar malam Dangdaemun, tetapi malangnya diberitahu hanya beroperasi pada hujung minggu.


Hari kelima kami menaiki bas mengelilingi bandar Seoul. Dengan tiket 12000 won, penumpang boleh menaiki mana-mana bas City Tour dan berhenti di mana-mana.  Kami ke Itaewon semua untuk beli-belah cenderamata.  Banyak ditemukan pelancong dari Malaysia di Itaewon.  Malangnya pelancong Malaysia (Melayu) hanya buat-buat tidak kenal apabila bertemu dengan kami, jauh sekali hendak bertegur sapa.  Saya cuba untuk berinteraksi dengan beberapa orang Melayu tetapi pada kadar minimal sahaja.  Di hotel penginapan saya juga terdapat beberapa kumpulan pelancong dari Malaysia.  Yang Melayu kebanyakannya berat mulut.  Saya jumpa satu keluarga Cina dari Sungai Patani dan kami berbual rancak apabila tahu kami juga dari Malaysia.  Begitu juga sekumpulan tiga orang gadis Cina Malaysia yang nampaknya lebih ramah dan mesra. Satu hal yang menarik, ramai peniaga Korea di Itaewon yang mampu berbahasa Melayu. 


Malam itu, pengurus hotel bermurah hati untuk memberikan tiket River Cruise secara percuma kepada kami bertiga.  Kami ke Youinaru dengan subway.  Rangkaian subway di Seoul sangat sistematik dan efisien. Menggunakan sistem subway di Seoul seolah-olah kita berada di sebuah dunia lain di bawah tanah. Malam itu kami menaiki feri untuk menikmati keindahan panorama malam di sepanjang Sungai Han. Tempoh masa perlayaran adalah hampir dua jam.  Pemandangan di kedua-dua belah tebing sungai kelihatan sangat indah dihiasi bangunan dan lampu berwarna-warni.


Balik dari River Cruise, kami menaiki subway ke Ueljiro 1 (il-ga). Kami ke pasar malam Myeondong. Ternyata kedatangan di sini berbaloi kerana suasana pasar malam yang meriah.  Banyak terdapat peniaga yang berniaga dan banyak yang menjual makanan halal.  Kami menemukan banyak juga pelancong Melayu dari Malaysia, tetapi seperti biasa mereka kebanyakannya tidak begitu mesra dan sering buat-buat tidak memandang apabila bertemu.  Saya yang sering menegur, kadang-kadang tersilap tegur pelancong Indonesia.


Akhirnya, hari akhir kami bersedia untuk pulang.  Sementara menunggu dihantar ke lapangan terbang, kami sempat lagi beli-belah di Insadong untuk kali terakhir.  Lawatan ke Seoul sangat memuaskan hati kerana kami tidak terikat dengan jadual tertentu. Kami menikmati lawatan sehingga puas sebelum melawat ke tempat lain. 




















Keseluruhannya, masyarakat Korea sangat maju dari segi mentaliti dan kecanggihannya.  Tandas awam sangat bersih, tidak berbau walaupun penggunaannya tidak dikenakan bayaran.  Taraf hidup di Korea juga jauh lebih tinggi daripada Malaysia.  Saya sempat berbual dengan beberapa orang Korea dan saya dapat menilai falsafah hidup mereka yang positif. Suasana di kota Seoul aman. Saya lihat setiap jalan dan lorong ditempatkan anggota polis. Kelihatan juga kota ini dilengkapi dengan kamera CCTV yang banyak. Generasi mudanya ramai yang dapat berbahasa Inggeris dan mereka sedia membantu apabila diminta. Banyak perkara yang perlu kita contohi daripada Korea.

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...