Khamis, Mac 22, 2018

Travelog Padang 2018


Seperti biasa, saya tidak merancang untuk melancong.  Keputusan untuk ke Padang saya buat dua hari sebelum berangkat.  Kami berangkat dengan pasawat Air Asia pada 19 Mac 2018 jam 7.25 pagi.  Sesampai di bandar Minangkabau, saya menyewa sebuah van untuk kegunaan kami di Padang dan Bukit tinggi.  Bayarannya RM550  untuk empat hari. 




Sebaik sahaja sampai, kami ke pasar pagi di kota Padang.  Suasananya seperti pasar minggu di Malaysia.  Kemudian kami ke Pantai Air Manis.  Kami menyewa dua buah ATV  dengan bayaran 100,000  rupiah setiap satu untuk tempoh satu jam.  Kami meronda di sekitar pantai dan melawat lokasi legenda Malin Kundang.  Kemudian, kami makan siang di sebuah restoren berdekatan.  Kami menginap di hotel Axana.  Malam itu kami keluar makan malam di Pondok Ikan Bakar, berhampiran pantai.  Oleh sebab hujan, kami pulang ke hotel agak awal.






Besoknya, kami keluar ke pasar rakyat berdekatan hotel.  Malangnya pasar tersebut baru dibuka.  Kami menaiki sebuah ‘angkut’ dan pusing-pusing kota sambil berfoto.  Menurut pemandu angkut tersebut, hotel Axana tempat banyak kematian.  Saya pun terkejut tapi tidak sempat bertanya lebih kerana sudah sampai ke hotel.  Rupa-rupanya hotel tersebut telah musnah akibat gempa bumi pada 30 September 2009.  Ramai mangsa yang terkorban di hotel berkenaan.




Tengah hari itu kami bertolak ke Bukit Tinggi.  Dalam perjalanan kami berhenti beberapa kali di kawasan tarikan wisata dan pusat kraftangan.  Saya dapati ramai pelancong Malaysia yang datang ke Padang kerana ketika ini cuti sekolah.  Di Bukit Tinggi kami menginap di Novotel.  Sebelah malamnya, kami ke dataran Jam Gadang untuk beli-belah.  Sebenarnya ini kali kedua saya ke Bukit Tinggi.  Kali pertama pada tahun 2015, datang melalui Pekanbaru.  Malam itu kami hanya santai sambil menonton persembahan nyanyian di hotel.

















Keesokannya kami membeli buah tangan sebelum berangkat ke Puncak Lawang dan Danau Maninjau untuk menikmati pemandangan indah.  Rancangan awal untuk bermalam di sekitar danau tidak jadi kerana hari masih terlalu awal.  Dalam perjalanan kami berhenti beberapa kali.  Antaranya di kawasan pembuatan gula tebu secara tradisional.  Kami juga berhenti untuk makan durian di Parit Panjang.  Harga durian di sini sangat murah berbanding di Malaysia.  Saya membuat keputusan untuk pulang ke Padang. Di Pandang Panjang kami singgah di pusat kebudayaan dan bergaya dengan pakaian tradisional orang Minangkabau.






  

Malam terakhir di Padang kami menginap di Hotel Rocky memandang beberapa hotel di tepi pantai sudah penuh.  Kami meronda di sekitar hotel tetapi hujan turun dan kami terpaksa pulang awal.  Pagi esoknya saya berborak-borak dengan penduduk tempatan.  Selepas itu kamu ke muzium berdekatan untuk mendapatkan maklumat tentang kejadian gempa bumi 2009 itu.  Dari gambarnya dapat dilihat bahawa peristiwa tersebut sangat dahsyat dan mengerikan. Sebahagian besar Kota Padang Musnah dalam kejadian tersebut.   Saya sangat terkesan dengan cerita seorang pemuda  terpaksa memotong kakinya sendiri yang tersepit kerana tidak tahan menanggung kesakitan.  Saya berfikir betapa beruntung rakyat Malaysia kerana terhindar daripada bencana gempa bumi.

Tiada ulasan:

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...