Ahad, Ogos 31, 2008

Ramadan Berkunjung Lagi


Ramadan Berkunjung Lagi

Oleh Ghazali Lateh

Ketika kemilau ufuk diterjah cahaya Ramadan,
hati nirmala terluang seluas pasrah,
dari langit terbias seribu duga
dengan dingin hujan,
dengan pijar sinaran.

Tangan-tangan iman seluruh umat,
biar akrab kudus wuduk setiap saat,
agar ampuh menguak gerbang ujana syurgawi,
dengan setiap butir zikir,
dan rentetan panjang tahmid dan takbir.

Segera luruskan saf-saf hadapan,
selurus patuh dan takwa anbia,
menjelang sore ketika mersik muazin melontar alun,
kembalilah ke dalam barisan,
dengan tangan berganding,
setelah sekian lama terasing.

Malammu Ramadan,
adalah denai ke laman jannah,
memetik bebunga mekar narwastu,
hingga santak dini hari,
pasrah belum teruji pasti,
sehingga saat kembali meraih mimpi.

Dan malampun jangan sampai terbuang usang,
tanpa sujud yang panjang,
dan subuh itu jangan sampai kecundang,
ditujah ilalang.

Sepurnama itu…
siapkah sebuah lorong tanpa ranjau?
menyambut takbir mengimbau,
menangislah!
sementara menanti saat diberi kunci,
membuka hati,
dan Ramadan berkunjung lagi.


Banting,
18/10/99

1 ulasan:

Dr.Siddiq Azani berkata...

maaf cikgu jika tersalah tatabahasa. sekadar mahu mencuba.

Hari ini negara kita menyambut kemerdekaannya yang ke-51.

Kita bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.

Janganlah kita lupa kepada nama-nama pejuang kemerdekaan yang telah mengorbankan nyawa mereka dahulu demi memberikan kesenangan kepada kita semua.

Tok Janggut, Tok Gajah, Datuk Maharajalela, Naning, Rosli Dobi, Leftenan Adnan, Kanang (masih hidup), dan bapa kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman.

Setelah sekian lama, kita hidup dalam keadaan aman dan damai. Tiada siapa mempersoalkan hak sesiapa. Tiada siapa merompak hak sesiapa.

Tetapi hari ini kita sudah mula tidak tenang. Kita memberontak. Kita mula merasakan hak kita dirompak. Kita mula benci sesama sendiri. Amat malang ini berlaku kerana ia adalah mainan sesetengah ahli politik yang mahu merampas kuasa secara bacul.

Ahli-ahli politik seperti ini lah yang mengakibatkan negara huru-hara. mereka ini telah mencipta suatu suasana untuk menggambarkan bangsa lain seperti jahat dan sebagainya.

Jika di Pakistan atau di Filipina, ahli politik seperti Bhutto dan Akino ini sudah lama dibunuh.

Tetapi terbukti di Malaysia, kita masih aman kerana ahli-ahli politik seperti ini masih boleh terus meneruskan agenda jahat mereka.

Yang amat sedih, golongan muda dan tua termakan tipu daya mereka. Berbudayakan ikut-ikut, tanpa memikirkan secara waras, mereka taksub dengan pemimpin mereka. Alangkah sedihnya.

Kita mesti menoleh sejarah, dan fahami matlamat penubuhan Malaysia. Mengapa hampir 50 tahun kita bisa hidup begini, sekarang tidak lagi?

Adakah selepas 50 tahun, ia sudah tidak relevant? Adakah selepas 50 tahun, ia sudah menjadi suatu undang-undang yang lapuk? Janganlah begitu. Adillah kepada diri sendiri dan orang lain.

Kita hidup didalam sebuah negara yang berbilang kaum, seharusnya kita menghormati antara satu sama lain dan elakkan dari membincangkan perkara yang sensitif.

Marilah kita bermuhasabah seketika, menghayati erti kemerdekaan kita.
MERDEKA!

siddiq azani

Ulang tahun Perkahwinan