Rabu, September 03, 2008

Ramadan Yang Putih


RAMADAN YANG PUTIH

Oleh Ghazali Lateh

Dalam langkah menguak duri hari,
padang putih terbentang saujana,
kuhampiri mercup tunas takwa,
bebunga syurga kembang pancawarna,
meliuk dipuput pawana syurga.

Di muka jambatan emas,
hurul aini menuangkan narwastu,
memenuhi segenap cangkir waktu,
di sana sudah berbaris para aulia,
melaungkan zikir tasbih jernih bersilih,
dengan suara semerdu simfoni yang lirih.

Di padang putih ini,
anak-anak hilang di celah rumpun tawaduk,
memilih tangkai benih bernas bersih,
dicambah ketika melewati jambatan itu,
buat bekalan seberkat azimat,
di pintu kiamat.

Nun, santaklah keranjang ibadat,
ketika purnama Syawal cagun tercegat,
berkibar panji-panji taufik dan hidayat,
bersama gema takbir yang hebat.

Inilah padang putih itu,
medan permainan anak-anak mengusir nafsu,
dan semuga nurani insani,
berubah bersih,
setelah melalui Ramadan yang putih!

Banting,
18/11/99

1 ulasan:

DI KULIT BUMI KARYA-MU berkata...

Salam puisi,
sebuah puisi putih nan syahdu.
sebuah kasih bersih dan terpandu.

Ulang tahun Perkahwinan