Ahad, Jun 05, 2011

Cerpen Libas (Berita Minggu 5/6/2011)

Memang benar. Perlawanan ini bukan sahaja perlawanan akhir tetapi perlawanan untuk menentukan maruah. Peluang untuk memang tetap ada walaupun pasukan yang akan ditentang nanti johan menunggu. Sebelum ini pun pasukan Libas Balun hampir berjaya menewaskan pasukan Libas Gulung itu. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi.

“Kita kena bersedia fizikal dan mental,” kata Mat Dubuk, tekong pasukan Libas Balun. Mat Angguk, yang menjadi apit kanan hanya tersenyum sambil mengurut janggut. Mat Kaduk hanya tersengih dengan mata sepetnya melilau. Dia apit kiri yang bertanggungjawab melibas bola tanggung yang diumpan oleh Mat Dubuk.

“Kita perlu cari sokongan juga. Kalau ramai orang yang menyokong kita, pasti psikologi Libas Gulung akan terjejas,” kata Mat Kaduk.

Inilah dunia sepaktakraw. Kombinasi tiga orang pemain sangat penting. Tekong menanti bola yang diumpan oleh apit kanan. Mat Angguklah apit kanan mereka. Dia tidak mampu melibas. Dia hanya pengumpan bola.

Mat Angguk tahu peranannya dalam pasukan. Dia tahu peraturan sepak takraw. Permainan itu berasal dari permainan Cina iaitu ‘cuju’ bermaksud menendang bola. Sukan ini terkenal di Malaysia dan Thailand pada tahun 1400. Dikenali sebagai ‘takraw’ dalam Thai. Dalam bahasa Melayu disebut sepak raga, di Filipina disebut ‘sipa’, di Burma disebut ‘Chinlone’, di Laos disebut ‘kator’. Pada 1740 peraturan-peraturan permainan diperkenalkan. Khabarnya permainan itu dimainkan pertama kali di Negeri Sembilan.

“Kali ini kita mesti menang!” kata Mat Dubuk yakin. Walaupun usianya semakin tua, dia tetap bersemangat. Semangat dubuk. Sudah lama dia mengidam untuk menjadi juara. Namun kehebatan pasukan Libas Gulung sukar ditandingi. Sejak dahulu umpanan mereka tepat, sepakan tekong juga amat mengelirukan dan tajam. Sementara libasan gulung pasukan tersebut sukar ditampan, apatah lagi untuk dikembalikan. Lebih hebat lagi, penyokong Libas Gulung memang ramai. Setiap kali perlawanan penyokong mereka berduyun-duyun memberikan sokongan.

“Jangan bimbang! Kali ini kita akan menang. Kita akan bawa Piala Agung,” kata Mat Dubuk yang baru sahaja mengambil alih posisi tekong sejak beberapa tahun yang lalu. Sebelum ini Mat Kaduk yang menjadi tekong, tetapi bola sering sahaja bolos di celah-celah kangkangnya.

Mereka pun mengatur strategi untuk menang. Strategi awal sangat penting.

“Kita buat jerayawara. Kita burukkan pasukan Libas Gulung,” kata Mat Dubuk dengan penuh semangat. “Kita buat cerita tekong mereka ada skandal,” tambahnya.

“Betul! Cadangan itu memang bagus. Sekarang kita perlu lemahkan psikologi dan pengaruh Libas Gulung,” sampuk Mat Kaduk. Mat Angguk turut mengangguk.

Tidak membuang masa, jerayawara pun diadakan. Tiap-tiap hari pasukan Libas Balun bergerak berceramah. Macam-macam keburukan pasukan Libas Gulung didedahkan. Fitnah ditabur semata-mata untuk menang. Kemenangan adalah segala-galanya. Halal dan haram usah dikira.

“Tekong pasukan Libas Gulung selalu menipu dalam permainan. Mereka telah merasuah penjaga garisan. Mereka menang dengan rasuah... rasuah... rasuah!!” Mat Dubuk mengapi-apikan khalayak. Penonton bersorak gamat meluahkan perasaan marah kepada pasukan Libas Gulung.

“Tekong Libas Gulung ada skandal. Kalau ikut peraturan, dia tak layak bertanding. Apit kirinya pula tidak stabil emosinya, tetapi tidak mahu mengaku,” tambah Mat Dubuk. Mat Kaduk bertepuk sekuat tenaga setiap kali Mat Dubuk berhenti mengambil nafas. Mat Angguk tetap mengangguk tanda setuju. Sesekali dia hanya sebagai penumpang dalam pasukan itu.

“Jangan sokong mereka lagi. Penjaga garisan kita lantik yang baharu. Yang lama, yang rasuah, kita pecat mereka. Kita hantar mereka ke penjara. Kita hantar mereka ke neraka,” Penyokong sangat teruja dengan kata-kata Mat Dubuk. Ternyata Mat Dubuk bukan sahaja berkebolehan menjadi tekong, tetapi juga pandai berkata-kata. Semangat dubuknya memang terserlah.

Memang tidak mustahil penjaga garisan menerima rasuah. Dia hanya perlu mengatakan ‘luar’ atau ‘dalam’. Satu patah perkataan itu akan mengurangkan peluang pasukan untuk menang. Bola sepakan bukannya perlahan. Bola rotan itu menjunam bagaikan peluru. Gelanggang permainan pula bukannya kecil. Panjangnya 13.42 meter dan lebarnya 6.10 meter. Lebar garisan pula hanya 5 sm. Sukar mata kasar untuk menentukan sama ada bola jatuh di luar atau di dalam garisan. Di sinilah letaknya peranan penjaga garisan.

“Dalam perlawanan yang lalu kita kalah kerana pasukan Libas Gulung tipu semuanya. Tiangnya ditinggikan. Jaringnya direndahkan. Kita terlupa untuk menyukat jaring. Jaring mesti dibuat daripada bahan benang kasar, tali, atau daripada nilon dengan ukuran lubang-lubangnya 4.5 sm. Lebar jaring 72 sm dan panjangnya tidak lebih daripada 6.71 m. Pada pinggir atas, bawah dan samping dibuat pita selebar 5 sm yang diperkuat dengan tali yang diikatkan pada kedua gelung besi. Tinggi jaring 1.55 m dari tanah atau lantai. Kita tidak mengukur semuanya dalam perlawanan yang lalu. Kita terlalu percaya dengan penganjur. Penganjur pun sama-sama menipu,” tegas Mat Dubuk bersungguh-sungguh supaya orang percaya bahawa pasukan lawan menipu dalam perlawanan.

Mat Dubuk dan pasukannya nampak yakin. Kali ini mereka akan menang besar. Piala Agung akan menjadi milik mereka. Selama ini mereka tidak pernah berhasil memegang piala kebanggaan itu. Malah Mat Dubuk sering bermimpi-mimpi untuk menjulang piala itu. Apatah lagi dia pernah berada dalam pasukan Libas Gulung suatu ketika dahulu. Oleh sebab dia berebut hendak menjadi tekong, dia telah dipecat. Sejak itu dia berdendam untuk mengalahkan Pasukan Libas Gulung. Kini kekuatannya sudah cukup, penyokongnya sudah ramai. Mat Angguk turut menguatkan pasukan. Mat Kaduk apatah lagi, memang menanti peluang untuk menang.

Pasukan Libas Gulung pula tidak banyak diketahui strategi mereka. Mereka berlatih dalam diam. Mereka yakin mereka akan menang besar kali ini. Dalam perlawanan lalu tekong mereka tidak begitu kuat. Banyak bola tajam tidak dapat ditampan dengan baik. Malah ada ketikanya tekong itu melarikan diri apabila bola hantaran Mat Dubuk terlalu tajam. Kadang-kadang dia tertidur dalam gelanggang. Lebih buruk lagi, dia tidak mahu ditukarkan. Dia tetap mahu menjadi tekong. Banyak hantarannya terkeluar gelanggang. Kalau masuk pun lantunannya terlalu lembut dan melambung, mudah bagi pasukan Libas Balun mematikannya.

Kini tekong baharu nampak lebih cergas. Betisnya juga keras dan mampu mengangkat kaki melepasi kepala. Begitulah adatnya bermain takraw. Kalau servis tidak kencang, sukar untuk mematikan lawan. Dulu tekong itu bermain apit kiri. Teruk juga badannya menahan libasan pasukan Libas Balun. Sampai lebam-lebam. Bola rotan yang dilibas ke badan memang memeritkan. Kini bola rotan diganti dengan bola sintetik. Malah permainan tekong baharu ini kini mendapat perhatian luar negara. Kalau dulu takraw menjadi sukan popular di negara Asia Tenggara sahaja. Kini sukan sepak takraw telah berkembang di hampir 20 negara di dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, China, Korea. Malah kaum wanita turut bermain takraw.

Hari perlawanan tiba juga akhirnya. Gelanggang utama sudah dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan. Pasukan Libas Gulung seperti biasa turun dengan jersi biru kesukaan mereka. Masing-masing berpakaian lengkap dari jenama mahal. Status juara bertahan mesti ditonjolkan. Penyokong bersorak-sorak dan tidak kurang juga yang mencemuh.

Sebentar kemudian pasukan Libas Balun masuk. Tekong memakai baju biru muda bercorak garisan melengkung. Apit kanan pula memakai jersi hijau putih dengan ikatan kepala yang besar. Apit kiri pasukan Libas Balun masuk dengan pakaian putih dan bergaris merah di lengan. Semuanya terlompat-lompat dengan penuh keyakinan akan menang dalam perlawanan kali ini. Di atas podium piala rebutan bersinar-sinar membalikkan cahaya lampu sorot stadium.

Perlawanan akan dimulakan. Pengadil mengambil tempat. Penjaga garisan mengambil tempat di semua penjuru gelanggang.

“Kami mahu penjaga garisan kami sendiri,” jerit Mat Dubuk.

“Pihak penganjur sudah menyediakan penjaga garisan,” kata pengadil.

“Tidak! Penjaga garisan yang ada semuannya rasuah,” tegas Mat Dubuk. Suasana kecoh sebentar. Akhirnya keputusan dibuat agar penjaga garisan kedua-dua pasukan dibenarkan menjaga garisan. Maka penuhlah kawasan di sekeliling gelanggang itu dengan penjaga garisan. Ada yang memakai baju biru, merah, hijau, putih, dan ramai juga yang tidak memakai baju. Ada yang membawa sepanduk menyokong pasukan Libas Balun. Suasana menjadi semakin kecoh.

Permainan pun dimulakan. Pasukan Libas Gulung yang akan memulakan servis. Apit kanan memegang bola rotan dengan penuh tumpuan. Mat Dubuk menunduk sedikit menanti bola hantaran tekong pasukan Libas Gulung. Kakinya dikangkang lebar sambil memasang kuda-kuda. Begitu juga Mat Angguk dan Mat Kaduk. Semuanya sudah bersedia.

Lambungan bola dibuat, tinggi ke arah tekong. Tekong pun menyepaknya kencang ke arah gelanggang lawan. Mat Dubuk mengangkat bola dengan jayanya ke arah Mat Angguk. Mat Angguk akan menimang bola ke atas jaring. Mat Kaduk bersedia untuk melibas ala kungfu. Akan tetapi Mat Dubuk bertindak sendiri. Dia menimang bola sendiri ke arah depan jaring. Tiba-tiba dia melibas sendiri. Pasukan lawan tidak menyangka Mat Dubuk yang akan melibas. Mereka berpandangan melihat bola terjatuh di atas lantai gelanggang. Penyokong pasukan Libas Balun bersorak. Cahaya kemenangan semakin bersinar. Sepanduk dan poster dijulang untuk membakar semangat Mat Dubuk dan pasukannya.

Kali ini giliran pasukan Libas Balun membuat servis. Mat Angguk mengambil tempat. Dia melemparkan bola ke arah Mat Dubuk dengan hati-hati. Mulutnya kumat-kamit membaca doa agar sepakan Mat Dubuk laju sehingga mencederakan pasukan lawan.

Bola dilambung. Mat Dubuk menyepak tinggi di udara. Bolanya melayang entah ke mana. Mat Kaduk hanya melihat bola itu melayang. Servis mereka hilang. Kedudukan kembali seri matanya.

Servis berpihak kepada lawan. Pasukan Libas Balun bersedia. Tekong pasukan Libas Gulung membuat servis kuda. Bola melantun ke arah Mat Angguk. Mat Angguk berjaya menanduk tinggi ke arah Mat Kaduk. Bola betul-betul berada di depan jaring. Mat Kaduk mengambil lajak untuk melibas. Mat Angguk turut melonjak. Dia ingin menanduk bola sekuat tenaga. Namun sebelum kaki Mat Kaduk dan kepala Mat Angguk mencecah bola, ada kaki lain yang menerjah. Wah, Mat Dubuk telah menerpa ke depan untuk melibas. Kakinya menerjah muka Mat Kaduk dan kepala Mat Angguk. Kaki Mat Kaduk pula menerjah muka Mat Dubuk. Ikatan kepala Mat Angguk terburai dan membelit kaki Mat Dubuk dan Mat Kaduk. Ketiga-tiganya jatuh tergolek.

“Kamu tekong, kenapa kamu datang melibas ke depan?” sergah Mat Kaduk ke arah Mat Dubuk yang terlentang di lantai.

“Aku geram tengok bola tanggung,” balas Mat Dubuk sambil menyapu darah di hidungnya. Hentakan Mat Kaduk telah menyebabkan hidungnya berdarah. Di kanan gelanggang Mat Angguk hanya memegang kepalanya yang benjol.

“Tugas kamu hanya mengumpan bola, bukan melibas!” herdik Mat Kaduk kepada Mat Angguk. Dahi Mat Kaduk mula bengkak akibat terjahan tapak kasut Mat Dubuk.

Suasana kelam-kabut. Mat Dubuk, Mat Angguk, dan Mat Kaduk cedera. Mereka tidak dapat meneruskan perlawanan. Penyokong-penyokong mula riuh. Mereka kecewa. Piala Agung nampaknya gagal direbut. Akhirnya pengadil memberi kemenangan kepada pasukan Libas Gulung. Suasana bertambah kecoh.

Penyokong-penyokong mula berdemonstrasi di luar dewan. Mereka tidak berpuas hati. Mereka memaki hamun pengadil, penjaga garisan, pemain lawan, malah pemain mereka sendiri. Ada yang masuk ke gelanggang dan menendang Mat Dubuk yang tidak ikut peraturan permainan. Dia hanya mahu menang tanpa mengambil kira peraturan. Dia tidak kira bola hadapan atau bola belakang. Dia tidak kira bola sendiri atau bola orang, semua hendak dibalunnya. Akhirnya dia kalah tanpa bertanding.

Mat Dubuk, Mat Kaduk, dan Mat Angguk diusung keluar ketika pasukan Libas Gulung mengusung Piala Agung sekali lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

karya yang mempunyai maksud yang sangat mendalam! : )

Ulang tahun Perkahwinan