Khamis, Jun 30, 2011

Nyanyian Kasmaran

Setiap butir tutur yang terlafaz
adalah gambaran dari nurani
hitam putih yang terbias
tertumpah di raut wajah.

Bibit aksara yang tercatat
pada ruang terbuka
adalah pancaran dari hati
tinggi rendah harga diri.

Biarlah kita lafazkan yang indah
daripada melacurkan untaian madah
ada hati yang terluka
ada penanti yang derhaka
kerana kata-kata setajam sembilu
menghiris kalbu
membiak seteru.

Biarlah yang kita tulis itu manis
daripada mencetuskan dambaan tragis
ada mata yang tersiksa
ada jiwa yang lara
memendam rasa
melunak sengsara.

Dendangkan nyanyian kasmaran
untuk meladeni jiwa tertekan
kerana rencah hidup tidak menjanjikan
seperti yang terpatri dalam impian.

30/6/2011

Tiada ulasan:

Raya 2024