Rabu, Mei 11, 2011

Syair Guru 2011

Menjadi guru bukannya mudah,
Mengajar mendidik tentulah sudah,
Mengasuh menjaga menguak padah,
Mengadun atur hidup yang indah.

Setiap hati sentiasa peka,
Walau sedikit tiada leka,
Mencipta fikir minda terbuka,
Memberi manfaat baik belaka.

Guru bertugas tak kira masa,
Di mana-mana menabur jasa,
Membina insan gagah perkasa,
Mencapai wawasan membangun nusa.

Guru yang baik sentiasa berhemah,
Pekerti mulia mesra peramah,
Selalu ikhlas membimbing ummah,
Mengenal pasti kuat dan lemah.

Zaman berubah semakin mencabar,
Guru bersiaga sentiasa sabar,
Memangkin ilmu semangat berkobar,
Pasti ceria hidup yang hambar.

Melengkap diri pelbagai ilmu,
Mencari maklumat tiada jemu,
Murid dilayan bagai tetamu,
Sepanjang hayat terkenang jasamu.

Biar cemuhan datang melanda,
Berfikir baik jadi agenda,
Bertekad teguh bosan tiada,
Terima ada hati nan reda.

Murid diajar satu amanah,
Masa hadapan jangan dimusnah,
Lembut bicara elak seranah,
Hidup berguna menempah jannah.

Pendidik tangkas meneraju zaman,
Menolak bingkas semua acuman,
Menjana fikiran negara aman,
Rakyat sejahtera jadi idaman.

Enak bicara elak bertengkar,
Bagaikan ular menyusur akar,
Bara amarah jangan dibakar,
Bakal bertembung jalan yang sukar.

Mendidik bangsa kerjaya agung,
Amanah besar di bahu tertanggung,
Tegur nasihat usah tersinggung,
Agar langkah tiada canggung.

Guru menerap asuhan rohani,
Membentuk insan syumul harmoni,
Bangsa berkembang masyarakat madani,
Seluruh jagat nusa disegani.

Guru bekerja jangan berkira,
Ilmu diajar biar ketara,
Tegar menjana maruah negara,
Berkembang maju melangkau era.

Ilmu disalur jangan tersasar,
Orang keliru fikiran gusar,
Sindiran musuh giat berkisar,
Aib yang kecil menjadi besar.

Murid diajar bersungguh-sungguh,
Masuk ke kelas jangan bertangguh,
Matlamat dibina tetap dan teguh,
Murid berjaya menjadi jaguh.

Kalau mengajar mesti amanah,
Jangan sekali buat kerenah,
Silap sedikit membawa musnah,
Ilmu diajar jadi khazanah.

Ghazali Lateh
11/5/2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cikgu Ghazali,
Hebat benar puisi ini....puitis dan kena dgn mesej bg sekalian guru....xsalah kiranya saya pinjam utk dibaca sempena hari guru esok (16 Mei 2011)..
Saya akan sebutkan nama Cikgu kerana sajak ini saya pinjam utk dibaca di khalayak pelajar...terima kasih ya...

Ghazali Lateh berkata...

Terima kasih kembali kpd tuan yang sudi singgah dan menghayati puisi saya.

Raya 2024