Khamis, Disember 27, 2007

Sebuah tempat yang cantik

Sebuah tempat yang cantik,
ada dalam angan berbisik gemersik
ini bukan tempat kita
yang terpapar di depan mata
tetapi ada entah di mana.
sebuah tempat yang cantik
bakal kita sampai dalam sedetik
pabila iman sudah berputik
pabila takwa senyum melirik.
Sebuah tempat yang cantik
barangkali bakal kita jejaki
di alam yang satu lagi.


Makan, Makan, dan Makan


Kadang-kadang aku berasa begitu taksub dengan selera dan nafsu. Keinginan untuk memenuhkan nafsu makan kadang-kadang keterlaluan. Kadang-kadang pula terasa betapa rezeki yang dilimpahkan oleh Allah menjadikan diri terlalu alpa dengan kewajiban selain menunaikan zakat dan fitrah. Ketika kita menjamu selera masih ada manusia seagama dengan kita berlapar dahaga, menerima ujian-Nya. Dan kita tetap juga melayan selera. Ada waktu-waktunya, diri berasa terlalu menjadi hamba selera, menikmati apa-apa sahaja yang diidamkan ketika kecil. Dalam usia sebegini, sebenarnya diri harus menilai hakikat selera tetap akan ada, selagi nafsu bermaharajalela.

Jumaat, Disember 21, 2007

Landasan



"Adakah kita berada di landasan yang betul?" Kita sering bertanya tentang landasan. Sengaja aku bangkitkan persoalan tentang landasan. Ada beberapa perkara yang dapat dikaitkan dengan landasan. Ketika pulang ke kampung aku melihat landasan berhampiran rumah tua kami. Khabarnya, landasan itu akan dijadikan landasan berkembar bagi menghubungkan Ipoh dan Padang Besar di Thailand. Penduduk yang menumpang di tanah rezab KTM mula risau kerana terpaksa berpindah. Selama ini mereka hanya menumpang di tanah air sendiri. Tidak ada pembelaan. Berita pembinaan landasan berkembar itu membuatkan mereka tidak nyenyak tidur sementelah tidak ada bayangan pampasan yang akan diberikan. Selama inipun tidur mereka tidak nyenyak akibat bunyi enjin keretapi yang menggegarkan otak. Namun oleh sebab tidak ada tempat berlindung, di situlah sahaja mereka mendamba sisa-sisa kehidupan di tanah merdeka ini.


Ketika aku bersiar-siar di landasan bersama-sama keluarga, aku lihat besi-besi yang mengunci landasan di kayu pelipat banyak yang tidak ada. Maksudnya, ada unsur-unsur kecurian berlaku. Besi yang mampat itu sudah tentu berat dan mahal harganya. Setakat yang aku lihat, besi itu diambil berselang-seli (mungkin pencuri besi bimbang keretapi akan terbalik). Apakah yang akan terjadi jika pencuri sudah ketiadaan punca pendapatan dan mencabut semua besi pengunci itu. Sudah tentu akan berlaku tragedi yang menguntungkan pihak media. Jadi, landasan yang betul bukan lagi jaminan kehidupan manusia akan selamat, kerana landasan yang betul ini melahirkan pula perkara-perkara yang tidak betul.


Semalam, aku ke Kelang menziarahi sanak-saudara sempena aidil adha. Oleh sebab haluan banyak berubah aku terlanjur ke Dataran Kelang. Apa yang kulihat amat menjelekkan. Pendatang asing menguasai setiap inci dataran tersebut. Malah diperhetian bas, penduduk tempatan terpinggir kerana lautan manusia yang asing ini. Jadi, persoalannya, adakah kita masih berada di landasan yang betul dalam urusan pengedalian tenaga kerja asing di Malaysia yang merdeka?


Khamis, Disember 13, 2007

Seminggu Berpergian












Seminggu aku tidak mengemaskinikan blog. Setelah balik kampung, aku membawa keluarga melancong ke Pulau Langkawi. Percutian tanpa perancangan ini menyebabkan urusan kelam-kabut sedikit.
Seperti biasa jika aku pulang ke kampung, aku akan ke Tanjung Dawai menikmati juadah ikan bakar yang menyelerakan dan murah. Pelanggan terlalu ramai sementelah di Tanjung Dawai ada Pesta Tanjung Dawai. Kemudian aku ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Kami ke Langkawi setelah perancangan awal hendak Ke Thailand terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir. Aku bimbang untuk masuk ke Danok, apatah lagi membawa keluarga. Suasana di seberang sempadan di luar jangkauan maklumat. Untuk itu, sebagai ganti (kerana rancangan untuk ke Sabah juga terbatal) kami ke Langkawi. Menginap di sebuah hotel dalam pekan Kuah. Besoknya kami menaiki kereta kabel di Gunung Macincang. Gerun juga menaiki kereta kabel ini, jauh lebih menyeramkan daripada keret kabel Genting. Kereta kabel ke Pulau Sentosa, Singapura langsung tidak ada thrill kerana hanya melintasi laut dari atas bangunan ke Pulau Sentosa. Di Langkawi kereta kabel ini nampaknya percubaan teknologi dan pengetahuan manusia mencabar alam. Lebih-lebih lagi fasa akhir sebelum sampai ke platform pertama. Sungguh menyeramkan kerana kabel naik menegak.

Kemudian, sempat beli-belah. Bagi kaum wanita, apa lagi kalau tidak pinggan mangkuk.

Khamis, Disember 06, 2007

Hujan Menguyur Sepanjang Hari


Sejak pagi hujan mengguyur, jujuh, ketika aku berlepas ke UPM. Menunggu Aminhad di kedai buku UPM, sempat juga aku membeli majalah dan tiga buah buku. Nyata sekali aku teruja dengan buku-buku karangan nama-nama gah dan besar. Namun daripada semuanya, aku mampu membeli kali ini, buah tangan Faisal Tehrani 'Manikam Kalbu' dan hasil tukangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad 'Mahabbah'. Dalam kerancuan ini aku berharap dapat menelaah kedua-dua novel ini dalam jangka waktu terdekat. Sebuah lagi buku yang kubeli ialah Seni Mengarang tulisan Sulaiman Masri dan sahabatku Ahmad Khair Mohd Nor. Kulihat isi kandungan buku ini baik dan dapat membantu proses mengarang sesiapa sahaja yang berminat untuk mengarang.

Selepas menyelesaikan urusan bersama-sama Aminhad, kami menjamu selera di cafe UPM. Dan aku terus sahaja mahu pulang. Banyak lagi tugasan yang menanti.
Berbicara tentang hujan aku menjadi terlalu nostalgia akan masa laluku di kampung. Hujan membawa seribu erti dalam hidup. Hujan membawa kesedihan. Hujan membawa kegembiraan. Kesedihan yang dibawa hujan adalah apabila arwah bapaku akan bermenung di muka pintu menanti hujan teduh. Hujan yang panjang bermakna rezeki semakin pendek. Pokok getah pasti tidak dapat ditoreh besok pagi. Hujan juga bermakna bubu bapa tidak dimasuki ikan. Hujan juga bermakna getah jemuran tidak akan kering. Lebih susu getah tidak akan menjadi skrap. Hujan bermakna atap rumbia akan bocor dan kami terpaksa kesejukan dan kelembapan. Akan tetapi arwah bapa tidak pernah melahirkan gundahnya. Dia banyak berdiam jika perasaannya diladeni gelisah.
Namun hujan juga membawa kegembiraan padaku, yang masih kecil ketika itu. Air akan memenuhi longkang di depan rumah, tempat aku bermain rakit batang pisang. Atau membuat palung menggunakan pelepah betik. Atau paling tidak aku mengumpul tanah liat untuk dibentuk menjadi benda-benda yang kuidamkan tetapi tidak dapat dimiliki. Yang paling menyeronokkan, hujan akan menyebabkan aku tidak ke sekolah pada esoknya. Kasut akan basah. Malah segala-galanya akan menjadi lembab bersama-sama datang hujan.
Hujan, sebenarnya anugerah-Nya dari langit. Beberapa tahun yang lalu aku terlalu obses menulis puisi tentang hujan. Kucatatkan salah sebuah puisi tentang hujan yang pernah kutulis.
Seorang Lelaki dan Hujan
Ghazali Lateh

Ketika malap kerdip mata,
ufuk hilang di sebalik tabir musim,
berat dan sarat,
lalu turun deru pada bumbung malam,
dan berkocak kolah rindu,
disergah syahdu.

Lelaki itu mencapai pena,
untuk menghanyutkan ilhamnya,
ke muara pesona,
membasuh kelodak nestapa,
dalam alir yang tersisa.

Dalam hujan itu,
telah datang segala bayang,
menerpakan rangka-rangka kesusahan,
di sudut pojok yang terlupa,
kerana dilupakan.

Lelaki itu mengerling kejauhan,
anak-anak mongel mencari kepanasan,
ketika hujan mencairkan warna kota,
dan mengalir ke ranjang noda,
hingga malam kehilangan makna.

Di lorong-lorong metro,
hujan tidak pernah mematikan langkah,
dalam siang, dalam malam,
semuanya menanti titis-titis terakhir,
dengan impian yang terukir.

Seorang lelaki itu,
hidup dengan derai hujan,
dia menafsir kelam desa,
dan mentadbir temaram kota,
lalu kembali menyarung penanya,
ketika pelangi hadir bercanda.

6/2/2006

Ahad, Disember 02, 2007

Ke kebun Pagi Minggu



Beberapa hari belakangan ini, kesihatan agak tidak stabil. Barangkali minggu lepas komitmen terhadap kerja berada pada tahap 150%. Berjaga malam kini tidak lagi menyelesakan, mungkin kerana usia semakin lanjut. Oleh itu keghairahan menulis tidak serancak dahulu lagi.




Pagi ini, untuk menghilangkan rasa yang kurang selesa itu aku bersama-sama isteri telah ke kebun. Melihat kebun yang telah bersih, hati berasa lapang. Di Cheeding, kebun telah siap diracun oleh pekerja. Begitu juga dengan kebun di Jenjarum. Kelapa sawit semakin subur dan mula mengeluarkan hasil. Pada asalnya aku sudah buat keputusan untuk menjual kebun ini. Akan tetapi setelah keadaan kebun bersih, rasa sayang pulak nak jual. Biarlah jadi aset untuk hari tua dan warisan untuk anak-anak.


Rabu, November 28, 2007

Kemandulan DBP atau Kebaculan MP?

Isu terkini tentang bahasa Melayu ialah dakwaan seorang anggota parlimen berkaitan KEMANDULAN DBP dalam mencipta istilah baharu. Hal ini merujuk kepada entri-entri dalam Kamus Dewan yang banyak diadaptasikan daripada bahasa Inggeris. Tiba-tiba sahaja Dr. Wan Hashim membangkitkan persoalan bahasa Melayu. Persoalan juga di manakah suara anggota parlimen semasa bahasa Melayu diperlekeh suatu masa dahulu. Malah ketika nama bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, mengapakah anggota parlimen berkenaan tidak bangun untuk mempertikaikan sebelum menyatakan persetujuan? Nampak persoalan bacul dan mandul bukan lagi sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat kita.
Sepatutnya ahli-ahli parlimen tidak bacul untuk mempertahankan martabat bahasa Melayu. Hal itulah lebih besar sebenarnya berbanding istilah-istilah dalam korpus bahasa Melayu. Tiba-tiba sahaja melenting dan menuduh orang sebagai mandul adalah tidak wajar. Adakah oleh sebab pilihan raya semakin hampir, wakil-wakil rakyat mahu menonjolkan diri dengan bercakap tanpa pertimbangan.
Bahasa Melayu sebenarnya bukan sekadar entri dalam kamus. Bahasa ialah entiti yang dinamik dan berkembang. Sedarkan kita bahawa sebahagian besar istilah dalam bahasa Melayu sendiri merupakan pinjaman daripada Sanskrit, Inggeris, Parsi, Arab, dan sebagainya. Selagi pengambilan istilah asing membantu perkembangan bahasa, rasa tidak ada apa-apa kesalahan pihak yang bertanggungjawab terhadap bahasa. Lihat sahaja bahasa Indonesia yang begitu serius usaha adaptasinya. Natijahnya bahasa Indonesia berkembang pesat dan tidak berlaku krisis identiti seperti yang dialami oleh bahasa Melayu.
Pemimpin sepatutnya memperjuangkan martabat bahasa, bukan menuduh orang lain untuk menonjolkan diri.

Sabtu, November 24, 2007

Beberapa Hari di Royal Adelphi, Seremban




Bersama-sama Pengarah MBKM yang baharu Encik Abdul Halim


Sejak hari Rabu aku berada di Hotel Royal Adelphi bersama-sama rakan penulis untuk final checking projek buku adaptasi dari Sejarah Melayu. Namun masaku banyak kuhabiskan untuk menyiapkan tugasan membuat soalan komsas novel. Rasanya tugasan ini terlalu menekan kerana masa yang suntuk. Namun aku tetap berusaha untuk memenuhi amanah yang diberikan.

Bersendirian di bilik hotel yang selesa.

Sesi kali ini seperti biasa. Cuma yang menyedihkan banyak cerita sedih yang menyelubungi projek ini. Antara yang paling ketara ialah orang kuat MBKM, Mazlin yang menggerakkan projek ini akan bercuti tanpa gaji kerana mengikut suami ke Bangkok. Masa depan projek yang dalam proses juga tidak dapat ditentukan. Begitulah keadaan kehidupan ini, adakalanya ke atas dan adakalanya ke bawah.



Yang menarik dalam sesi kali ini ialah perbincangan dengan Dr Roselan Baki. Katanya aku sukar untuk mendapat jawatan di IPTA kerana kehadiranku dianggap sebagai ancaman. Betulkah? Aku tidak pernah terfikir tentang perkara ini. Aku hanya manusia biasa dan tidak pernah membelakangi konsep ketentuan dan takdir juga rezeki. Yang penting aku berusaha untuk memajukan diri. Jika ada rezeki, aku akan mendapat jawatan yag kupohon. Jika sudah ditakdirkan bukan rezeki aku terpaksa menerimanya. Malah aku bersyukur sehingga kini rezekiku (terutama dalam bidang penulisan) tidak pernah berkurangan. Hanya yang perlu ialah sikap dan pandangan positif terhadap apa-apa yang diamanahkan.

Bersama-sama Mazlin yang akan meninggalkan MBKM setelah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi. Semoga mendapat kebahagiaan di Bangkok.

Yang menarik juga perbincangan bersama-sama rakan seperti Aminhad, Haji Shamsudin Othman, Lutfi, Haji Nafi, Omar Mamat, Samsiah Mat Nor, dan lain-lain juga amat menghangatkan. Mereka semua merupakan rakan dan individu yang sangat baik dan bermotivasi. Begitu juga dengan Kak Samsul Kamariah yang mesra, Cikgu Zainon, Cikgu Sureini, Cikgu Normah Mustaffa, Hamir Habeed, Cikgu Zaidah, Siti Hajar, Cikgu Niza, dan wakil e-media Encik Ishak. Kehadiran editor dari Cerdik Publication juga turut menyemarakkan sesi kali ini.

Semoga projek seperti ini dapat merapatkan hubungan penulis-penulis terutama dalam kalangan guru. Selamat berjumpa lagi.

Rabu, November 21, 2007

Galeri Seni Shah Alam







Dalam perjalanan menghantar anak ke UPSI semalam, sempat juga aku dan family singgah sekejap di Galeri Shah Alam. Uniknya, semasa lawatan itu hanya aku sekeluarga sahaja yang datang melawat. Mungkin orang Selangor sudah tidak ada kecenderungan lagi untuk menikmati seni lukis sementelah Selangor telah berstatus negeri maju. Suasana di galeri sunyi, hanya dua orang petugas duduk ngobrol sendirian. Dia pejabat, terdengar suara dari luar, barangkali mereka sedang merancang untuk mempromosikan seni di Selangor.



Di luar galeri, daun-daun kering memenuhi laluan, barangkali MB terlupa memberikan penyapu kepada petugas di sini. Almaklumlah, negeri ini sekarang tersohor dengan nama Negeri Penyapu.

Pada pagi minggu aku dan family ke Pulau Indah. Sekadar melihat suasana baharu di sini, menyaksikan pertandingan jetski dan ke kampung-kampung di Pulau Indah. Gambar di bawah ialah gambar di kawasan perumahan baharu di Pulau Indah. Lokasinya menarik kerana terletak di pinggir sungai.


Isnin, November 19, 2007

Gambar Memancing Pagi Isnin


Lihatlah hasil pertama yang dapat kupancing pagi ini. Lihat pula si sepit biru yang berjaya dinaikkan oleh Rezaimi. Pak Ya teruja dengan udang galah jantan itu.

Pagi-pagi lagi aku ke Kg Sawah dengan Pak Ya. Rezaimi telah menunggu di sana. Ptg semalam sempat mengorek cacing di padang sekolah depan rumah. Bukan apa, hanya untuk suka-suka, membuang masa, melepaskan tekanan. Namun pagi ini, rezeki tidak begitu menggalakkan. Begitulah nasib orang yang mencari rezeki di laut/sungai. Nasib nelayan yang tidak tahu akan rezeki yang tersembunyi di dasar sungai. Jika ada, syukurlah. Jika tiada, syukur juga kerana berusaha untuk mendapatkan rezeki.




Sabtu, November 17, 2007

Catatan Hari Pertama Cuti Sekolah 2007

Sungai Langat suatu petang

Pagi-pagi lagi aku bergegas ke Seremban untuk menghadiri temu duga jawatan tutor/pensyarah sambilan di OUM (Open Universiti Malaysia) cawangan Seremban. Dalam temu duga itu aku ditanya mengapa tidak memohon untuk mengajar di universiti tempatan memandangkan aku memiliki PhD. Aku jawab, memang aku ada memohon. Akan tetapi permohonanku ditolak kerana aku tidak ada kenalan atau kabel di mana-mana universiti. Penemuduga itu juga bersetuju dengan jawapan itu. Nah, itulah hakikatnya sekarang di negara Malaysia yang cemerlang, gemilang, dan terbilang ini. Kadang-kadang aku keliru dengan sistem di negara ini. Kalau sesebuah organisasi diketuai oleh orang dari negeri tertentu, maka seluruh warga akan datang dari negeri yang sama. Kalau seorang ahli politik menjadi menteri, maka semua projek akan berpindah ke kawasannya. Mentaliti begini tidak membantu sebenarnya. Orang awam seperti aku mula bosan dengan sistem kronisme yang totok ini.

Ada kegilaan baharu yang aku alami kini. Kegilaan memancing udang galah di Sungai Langat. Dua hari lepas aku menghabiskan petang duduk di tebing sungai. Setelah dua jam, aku dapat memancing lima ekor udang galah. Kira ok jugalah. Yang penting aku dapat meredakan tekanan. Rasa lapang dada dan indah melihat sinar mantari terbias di muka sungai yang penuh keladak. Anehnya, udang galah masih banyak di sungai ini. Kuasa Allah!

Dalam pada itu aku memerhatikan rakanku Rezaimi yang tekun melontarkan umpan ke laut dan mendapat tujuh ekor udang galah bersepit biru.


Seorang Pemancing

Dia tidak tahu nasibnya,
tetapi yakin dengan umpan,
dan rezeki Tuhan,
menunggu tanpa jemu,
khabar yang tidak tentu,
dari sungai yang kelabu,


Seorang pemancing,
adalah seorang wira,
yang tidak pernah berbicara hampa,
tentang nasib yang ditempa,
kerana esok masih ada,
untuk melontarkan cita-cita,
di sungai usia.


Seorang pemancing,
seorang penanti yang sabar,
tidak pernah berasa gusar,
tetapi kekadang tercabar,
ketika onar menghampar,
dan perit menampar,
hingga nasib terdampar.








Ahad, November 11, 2007

Jalan-jalan Hari Minggu


Lukisan yang aku beli di galeri kampung Bagan Lalang dengan harga RM30.00
(Aminhad pasti teruja melihat lukisan ini)

Selepas sarapan di gerai Majlis Daerah, aku memandu ke arah Morib, terus ke Bagan Lalang bersama-sama isteri dan anak-anak. Singgah di pantai Bagan Lalang (yang kotor dipenuhi sampah), dan sempat juga singgah di sebuah galeri lukisan yang menurut tuannya, baru dibuka tiga hari. Lukisan abstraknya agak unik kerana menggunakan pasir laut sebagai medium. Pasir yang dicampur gam dilukis ke kanvas dan dikenakan warna akrilik yang menarik. Sempat juga membeli sekeping lukisan abstrak berharga RM30.00. Kukira murah kerana hasil seni agak baik.

Balik melalui KLIA, singgah melihat kawasan banglo di Bagan Lalang dan di bandar Enstek. Dulu aku pernah berhajat untuk membeli di Enstek, tetapi oleh sebab jaraknya agak jauh ke dalam wilayah Negeri Sembilan, aku membatalkannya.



Di Pantai Bagan Lalang kulihat ramai pengunjung, tetapi sayangnya pantainya agak kotor dengan sampah bertaburan memenuhi kawasan tepi jalan. Mungkin majlis Dearah Sepang tak nampak sampah-sampah itu kerana Gold Coast yang konsepnya seperti di Dubai sedang rancak dalam pembinaan. Projek ini nampaknya gah, tetapi dari aspek ekosistem, nampaknya bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan.


Khamis, November 08, 2007

Mimpi Rekayasa Melayu



(i) Intro mimpi
Aduh, sukarnya jika harus memaksa mimpi. Tambahan pula jika mimpi ini mimpi ngeri. Malah menyeramkan. Sesiapapun akan menyanggah jika mimpi yang kupaksa ini kuceritakan.
Mimpi hanya mainan tidur. Aku tahu akan ungkapan klise itu. Akan tetapi mimpi ini memang kupaksa. Telah lama ini aku ingin bermimpi seperti ini. Dan akhirnya mimpi yang kupaksa ini terjadi juga. Dan mimpi ini menyiksakan. Terlalu menyiksakan jiwa Melayuku.
Aduh! Aku tidak mahu mimpi begini. Terlalu berat. Bagaimanakah akan kuceritakan mimpiku nanti. Tapi, aku tidak mampu. Pagar mimpiku ampuh. Tidurku terlalu nyedar untuk bangun. Dingin dan selesa amat. Aku tidur dalam damai dan nyaman. Dan mimpiku berlangsung terus. Terus dan terus.

(ii) Latar mimpi
Latar mimpi ini tidak jauh dan tidak dekat. Sekitarku dan sekitar siapa-siapa. Sekitar orang Melayu. Dan silogismenya begini;
Aku bermimpi
Aku Melayu
Melayu bermimpi!
Aduhh..!! Latar masa mimpiku panjang amat. Sejak zaman presejarah, zaman kegemilangan Melayu, zaman Islam, zaman penjajahan, zaman ini, dan zaman akan datang. Melayu tidak hilang di dunia, kata Laksamana Hang Tuah. Kata orang ungkapan itu bukan kata Hang Tuah. Akan tetapi kata pengarang Hikayat Hang Tuah.
Ruang lingkup mimpiku amat luas. Seluruh Kepulauan Melayu dan seluruh ketamadunan Melayu. Seluruh orang Melayu. Meliputi tanah semenanjung, kepulauan Indonesia, Mindanao, Madagascar, Sri Lanka, malah semua bumi yang pernah dikenali sebagai bumi Melayu. Sementelah orang Melayu telah memenuhi dunia Melayu ini. Semenjak 2500 sebelum masihi, telah datang orang Melayu. Kemudian datang satu gerombolan lagi, juga orang Melayu, membentuk bangsa Melayu, Banjar, Minangkabau, dan macam-macam lagi. Semuanya Melayu.
Perjalanan mimpi di semua latar tempat dan masa amat pantas. Sekelip fikir. Semakin lama aku semakin pantas, meneroka setiap latar, merasai perbezaan, membuat perbandingan. Sehingga aku menjadi penat. Aduh, bangunkan aku segara dari mimpi ini. Aku penat. Aku tidak mahu bermimpi terus! Tapi mimpi ini berlarutan, berjela-jela!

(iii) Watak mimpi
Watak mimpiku satu tetapi banyak. Yang kukenal pasti ialah watak Melayu. Satu dan banyak. Satu tapi banyak. Banyak tapi satu. Banyak dan kurang. Satu dan kurang. Kurang daripada satu. Maknanya watak Melayu semakin kurang Melayunya. Jika kekurangan ini berterusan watak Melayu akan terus kurang. Kurang Melayu atau Melayu kurang. Aku cuma kaget dalam mimpi ini, apabila Melayu menjadi kurang dan kurang dan tiada lagi. Tiada!! Melayu tiada, Melayu hilang. Lupus. Jati diri Melayu lupus. Minda Melayu lupus. Bahasa Melayu lupus. Tanah Melayu...??!
Watak-watak mimpi juga bersilih ganti. Akan tetapi semuanya watak Melayu. Adakala ada watak asing, bukan berkulit sawo matang tetapi cerah dan gelap. Gelap dan cerah. Semuanya bercampur-baur mewarna mimpi Melayuku. Tapi ini tetap mimpiku. Mimpi Melayu.

(iv) Tema mimpi

Tema mimpiku tetap sama. Sejak dulu, kini, dan selama-lamanya. Tema Melayu. Akan tetapi aku takut untuk menghebahkan tema Melayu ini. Aku ingin mengubah Melayu. Aku ingin mengubah istilah Melayu! Aduh, aku sudah menceritakan. Maafkan aku kerana mimpi tidak tertakluk kepada akta, kepada undang-undang. Mimpiku memang bertemakan Melayu. Asal-usulnya Melayu itu berbagai-bagai teori yang ada. Katanya sempena Sungai Melayu di Jambi, yang airnya berlari deras dan selari pula dengan kata melayu dalam bahasa Jawa. Makna Melayu itu adalah berlari. Akan tetapi aku tidak pernah lari. Aku tetap di bumi Melayu ini. Tanah Melayu.
“Mana Tanah Melayu?”
“Tanah Melayu telah tiada. Namanya sudah ditukar!”
“Kenapa ditukar nama Tanah Melayu itu?”
“Tanah Melayu sudah merdeka. Kemerdekaan menjadikan semuanya bebas. Tukarlah apa-apa sahaja, kerana kita semua merdeka…!!”
Wah! Mimpiku kembali meladeni sejarah. Mengikut sejarah Tanah Melayu yang menerima kemasukan sesiapa sahaja kerana kemewahan Tanah Melayu. Datanglah! Datanglah ke Tanah Melayu. Kami orang Melayu tidak pernah ambil kisah. Datanglahh!!
Aku menangis dalam mimpi ini kerana Tanah Melayu tiada lagi. Tanah untuk orang Melayu tiada lagi. Kami bukan orang Tanah Melayu lagi. Kami sudah jadi orang Malaya! Sedap juga nama negara baharu kami. Malaya!! Ya, Malaya! Malaya pasti merdeka. Merdeka!!!
Dan akhirnya Malaya memang merdeka. Tanah Melayu sudah tiada. Melayu semakin tiada. Semangatnya tiada. Kalau nama Tanah Melayu kekal, semangat Melayu sudah tentu berkobar-kobar. Orang Melayu pasti lebih sayang akan tanah mereka. Mereka tentu tidak akan menjualnya untuk mendapatkan wang, beras, pangkat, kedudukan, dan politik. Orang Melayu sudah pandai main politik, sebab itu negeri kita menjadi Malaya. Penjajahan minda.
Akhirnya Malaya merdeka! Wahhh, seronok hidup dalam kancah kemerdekaan. Bebas! Bebas sampai ke bulu-bulunya, seperti kata sasterawan negara. Dan merdeka menjadikan Melayu terus berlari seperti arus Sungai Jambi. Ke mana arah?
Malaya sudah tidak enak lagi. Mari kita tukar nama Malaya! Mari kita tukar. Wah mimpi ini semakin menerawang jauh dan jauh. Maka suatu ketika dalam mimpi itu Malaya ditukarkan. Malaysia! Yeh, kita ada nama baharu. Akan tetapi apakah makna Malaysia kepada orang Melayu. Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang atas angin? Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang bawah angin? Malay si a! Malay si a! Bagus! Bagus! Bagus! Semuanya bagus!
Waduh, jauh sudah destinasi mimpiku. Bermula dengan kedatangan Melayu Proto, Melayu Deutro, dan Melayu moden yang sudah hilang Melayunya. Kini aku orang Malaysia. Bahasaku bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa untuk semua. Walaupun tidak semua yang tahu bercakap dalam bahasa Malaysia. Masuk kandang mahkamah kena ada jurubahasa. Tulisan jawi sudah tidak ada. Yang ada tulis berjuring tajam tercacak-cacak, berpuntal-puntal. Bukan tulisan Rencong atau huruf Ka Ga Nga warisan persuratan Melayu dahulu. Asing tetapi menguasai.
“Mana bahasa Melayu?”
“Bahasa Melayu telah mati…!”
“Mana tahu mati?”
“Kerandanya telah diusung sekian lama?”
“Di mana pusaranya?”
“Di mana-mana sahaja!”

Mimpiku sudah mula melalut. Bahasa mana boleh mati! Verba volen scripta manent. Maknanya bahasa pertuturan akan terbang, bahasa tulisan akan kekal. Maksudnya bahasa Melayu yang tercatat pada naskhah lama akan kekal. Masalahnya naskhah lama Melayu juga sudah hilang, dibawa orang berkulit merah dalam era penjelajahan dan penjajahan.

(v) Kemuncak Mimpi
Dalam binaan plot mesti ada kemuncak mimpi. Mimpiku sudah sampai ke kemuncaknya. Bukan kemuncak mimpi berahi. Kemuncak mimpi tentang jati diri, tentang bangsa sendiri.
“Aku mahu merekayasa bangsaku! Melayu perlu direkayasa! Melayu mesti direkayasa!”
“Engkau bermimpi…?”
“Ya, aku bermimpi ingin merekayasa bangsaku!”
“Bangsa tidak boleh direkayasa! Hanya orang politik yang boleh mengubah bangsa. Mereka telah mengubah bangsa kita dengan banyaknya. Mereka telah mengubah negeri kita dengan besarnya. Nama negeri kita berubah-ubah. Nama bahasa kita berubah-ubah. Dan mereka akan terus merubah. Kita hanya melopong menelan perubahan itu. Dan jauh sekali kita akan menentang. Kita orang baik. Pantang orang Melayu menderhaka.
“Aku akan mengubah nama bangsaku!”
“Kerja gila!”
“Dalam mimpi tidak ada yang waras, tidak ada yang gila!”
“Ikut suka engkaulah! Selepas terjaga nanti, mimpi kau akan hilang juga.”

Mimpi semakin pekat dan hitam. Awan bergumpal memenuhi langit bumi Melayu ini. Tiba-tiba hujan turun. Lebat dan menghanyutkan kelodak di muka bumi Melayu ini.
Ketika aku menggigil kesejukan dalam mimpi itu, aku disapa oleh seseorang. Riak wajahnya dia seorang berbangsa sepertiku. Bercakap sebahasa denganku. Barangkali dia itu aku. Dia Melayu. Aku Melayu. Dia ialah aku.
“Siapa Tuan yang muncul selepas hujan?”
“Asal-usulku sama seperti kamu! Akan tetapi aku sudah bertukar nama bangsaku,” jawab orang itu jelas. Adakah dia itu aku?
“Tuan pastinya orang Melayu sepertiku! Tuan berbahasa Melayu,”
“Tidak! Aku mahu mengubah Melayuku..!!”
“Kalau tidak Melayu, kamu jadi apa?” tanyaku kepadanya, kepadaku.
“Apa-apa sahaja yang tidak melayu!”
“Melalut?!” Diam.
“Melatah?!” Diam.
“Melepak?!” Diam.
“Mela… yang?!” Diam.
“Mela… cur?!” Jegil tapi diam.
Barangkali dia marah kerana cadanganku untuk menggantikan melayunya itu secara negatif, yang kotor-kotor. Buruk sekali fikiranku terhadap bangsanya. Bangsaku juga!
“Maafkan saya, Tuan..!” Masih takut aku. Masih terasa bersalah aku.
“Aku tidak mahu bangsaku dikaitkan dengan perkara yang buruk-buruk,” tegas orang itu dengan suara yang menggetarkan latar mimpiku. Aku terdiam, menyesali keceloparan. Ahhh… jika aku berbangsa Melayu begitu buruk tanggapan terhadap bangsaku, apatah lagi bangsa lain. Akan tetapi bahasa Melayu telah ditukar namanya. Adakah itu tidak bersalah? Sedangkan dalam perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Ahhh…. Perlembagaan itu ciptaan manusia. Sedangkan kalam Tuhan juga sudah banyak yang mentafsirkan sesuka hati.
“Apakah nama yang Tuan cadangkan untuk menggantikan nama Melayu?” Tanyaku semakin berani. Aku memang berani sebab aku bermimpi. Dunia mimpi tidak ada gangguan, tidak ada undang-undang. Tidak ada mahkamah dalam mimpi. Tidak! Perlu apa aku berasa takut?
“Menyegarrrr….!!!” Jawabnya pantas lagi yakin. Lancar sekali sebutannya.
“Menyegarrr…??!!” Kaget amat aku.
“Setiap kali kita menyebut nama bangsa, kita seperti mendoakan bangsa kita. Jika kita terus mendoakan bangsa supaya layu, maka akan layulah bangsa kita,” hujahnya. Dan aku tidak berkata apa-apa. Itu pandanganya, yang dilontarkan dalam mimpiku.
“Jadi, bangsa kita akan segar jika kita sebut Menyegar?!” tanyaku kelinglongan. Gawat. Nama bangsaku sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bangsa Melayu. Jika ditukar, barangkali ada pihak yang akan menyaman orang yang berdiri di depanku ini. Dia itu sama denganku. Barangkali dia itu aku.
“Apa bangsa kamu?” tiba-tiba orang itu bertanya.
“Mela… err, Menyegar…!!” jawabku terketar-ketar. Lantas orang itu ketawa berdekah-dekah. Mimpi yang kupaksa itu berkecai. Aku terbangun. Aku melompat untuk mencapai kad pengenalan dari dalam dompetku. Aku membacanya terpisat-pisat. Ternyata aku masih Melayu.

(vi) Denouemen mimpi
Di luar, malam masih gelap, masih jauh dari sinar fajar yang pasti akan menyerlah jua. Aku ingin tidur kembali. Aku ingin memaksa mimpi datang lagi. Sekali lagi mimpi rekayasa Melayu, dalam versi yang lain pula; kerana aku sememangnya Melayu.







Ahad, November 04, 2007

Ingin Kembali Menulis Karya Kreatif

Telah lama juga saya tidak menulis cerpen. Bulan ini dalam Dewan Sastera disiarkan cerpen saya yang bertajuk Cerita Andur dan Pedati. Mudah-mudahan cerpen ini akan mengembalikan minat saya untuk menulis karya kreatif. Sesungguhnya menulis karya kreatif merupakan satu kepuasan walaupun imbuhannya tidak sebenar mana. Dan saya menulis bukan untuk imbuhan. Memadailah, apabila karya diterbitkan dan dibaca serta dihayati mesej yang terkandung dalam karya berkenaan (jika ada).
Apabila membicarakan perkara ini, aku jadi teringat akan arwah Mohd Ismail Sarbini. Baru-baru ini, sempena lebaran, saya dan isteri berhasrat untuk menziarahi balu arwah. Sebaik sahaja kami bersiap untuk berbuat demikian, seorang sahabat datang bersama-sama keluarganya dan menceritakan dia baru saja singgah di rumah arwah. Malangnya, setelah beberapa ketika memberi salam, balu arwah seakan-akan tidak bersedia untuk menerima tetamu. Saya, isteri, dan sahabat tersebut faham akan situasi tersebut dan membatalkan hasrat berbuat demikian. Namun dalam hati saya, arwah tetap abadi. Lebih-lebih lagi arwah sangat berjasa dalam merealisasikan kajian PhD saya dahulu.

Rabu, Oktober 31, 2007

30 Oktober 30 Tahun yang Lalu

Selepas maghrib aku bertahlil seorang diri. Hari ini 30 Oktober, 30 tahun yang lalu, arwah bapaku Lateh bin Yusof telah kembali ke rahmatullah di depanku, dua hari setelah aku selesai menduduki LCE. Namun semangat arwah bapaku banyak meresap ke dalam jiwa dan perjuanganku. Cuma aku terkilan tidak dapat membalas jasanya. Ketika hayatnya arwah sangat gigih berusaha walaupun kemiskinan tetap dirasai sehingga ke akhir hayatnya. Dalam usia yang agak lanjut ketika itu, beliau masih menunjang basikal menoreh getah. Sesampai di rumah beliau memproses susu getah di bangsal dekat telaga, memesin getah dengan kudrat yang terhad. Akulah tukang pulas reroda mesin getah sebelum getah itu dijemur untuk rezeki sesuap nasi esoknya. Sebelah petang arwah akan ke sawah. Paling tidak arwah akan menjelajah serata baruh menahan bubu, tuar, sepila, pelompat, taut, mengail puyu, mengelau. Sayangnya, aku tidak sempat mempelajari kehebatan arwah membuat bubu buluh yang unik.
Bapaku juga rajin bercucuk tanam, pantang ada ruang kosong ada-ada sahaja yang akan ditanamnya di laman rumah. Cili, sawi, pucuk manis, ubi kayu, sirih, semuanya ada. Akan tetapi pemergian arwah membawa pelbagai rintangan dalam hidupku.
Oleh sebab itu ketika aku melalui Cyberjaya, ketika ternampak bukit yang masih dipenuhi pokok getah, aku terasa ingin menoreh. Sementelah harga getah semakin mahal. Padahal pada masa dahulu menoreh getah merupakan kerjaya paling rendah statusnya kerana baunya meloyakan.
Semoga roh arwah bapaku diletakkan bersama-sama roh orang yang soleh. Amin.

Khamis, Oktober 25, 2007

Apabila Lirik Lagu Mengabaikan Sastera

Mutakhir ini tercetus polemik tentang kemasukan lagu-lagu Indonesia ke negara kita. Keghairahan rakyat Malaysia mendengar lagu-lagu dari tanah seberang menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penggiat seni suara tanah air. Mereka menyalahkan juruhebah-juruhebah dan stesen-stesen radio dengan dakwaan terlalu memandang tinggi terhadap lagu-lagu dari luar. Memang dakwaan ini sekali imbas ada kebenarannya.
Namun demikian, jika kita renung kembali akan isu ini, kita mungkin bertanya kembali pada diri kita. Lagu dan lirik merupakan satu hasil seni yang dicipta oleh karyawan penuh dengan nilai estetika untuk tatapan awam. Kita berhak menikmati hasil seni yang menjadi santapan jiwa. Dua komponen yang wujud dalam sesebuah lagu ialah melodi dan liriknya.
Sebagai seorang yang meminati sastera, lirik merupakan perkara asas yang diperhatikan apabila mendengar sesebuah lagu. Dalam hal ini ternyata lagu-lagu dari tanah seberang sangat tinggi nilai sasteranya berbanding lagu-lagu tempatan. Jika boleh dibuat perbandingan, jelas lagu-lagu ciptaan tempatan masa kini telah mengabaikan aspek sastera dalam lirik yang dicipta. Kita harus bertanya punca lagu-lagu Melayu dahulu sangat diminati walaupun saingan dari negara sebarang tetap wujud. Lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee misalnya sangat kaya dengan nilai sasteranya. Oleh sebab itu lagu-lagu berkenaan sedap untuk dinikmati hingga hari ini. Begitu juga lagu-lagu pada zaman 70-an dan 80-an, nyanyian Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini, Allahyarham Sudirman, dan banyak lagi. Lagu-lagu nyanyian mereka melekat dalam jiwa kita kerana nilai sastera yang tinggi, di samping melodi yang menusuk jiwa.
Perkembangan terkini menunjukkan lirik lagu dari seberang sangat mementingkan nilai estetik yang dipanggil sastera. Biarpun lagu tersebut berirama rock, dangdut, pop, dan sebagainya, liriknya amat menyentuh untuk dihayati. Lagu-lagu kumpulan dari Indonesia itu kebanyakannya memiliki lirik yang sangat utuh nilai seninya sehingga kita tidak dapat menafikan kehadiran lagu-lagu itu di sini. Sebaliknya, lagu-lagu ciptaan komposer dan penulis tempatan gagal bertahan kerana liriknya tidak ada nilai sastera. Perbandingan ini dapat dibuat secara jelas dan sesiapapun akan mengakui hakikat kedangkalan sastera penulis lirik tempatan. Sebagai contoh cubalah kita bandingkan lirik lagu ”Hai” nyanyian Adam AF2 dengan lagu ”Dealova” nyanyian kumpulan Dewa. Begitu juga bandingkan lagu lagu ”Drama” nyanyian Ning, Nikki, dan Yani dengan lagu-lagu nyanyian Rossa mahupun Krisdayanti. Nyata, nilai sastera dalam lirik tempatan tidak wujud. Ditambah pula dengan susunan muzik yang memenuhi selera satu kelompok pendengar sahaja. Oleh sebab itu, pendengar Malaysia hari ini beralih pandangan untuk menikmati lagu-lagu dari seberang. Penggiat muzik tanah air harus bertanya kepada diri, alasan yang menyebabkan lagu-lagu tempatan tidak diminati. Jangan hanya menyalahkan pendengar dan penyiar. Pendengar mendengar yang terbaik. Penyiar pula pasti memilih yang diminati oleh pendengar mereka. Salah siapa?
Natijahnya, penulis-penulis lirik di negara kita perlu merenung kembali kreativiti mereka dalam proses menghasilkan lirik. Jika melodi sesebuah lagu itu kuat, tetapi liriknya tidak ada nilai sastera, lagu tersebut tidak akan diterima juga. Tambahan pula akhir-akhir ini lagu-lagu Melayu sudah kehilangan jati diri akibat terlalu taksub dengan pengaruh muzik barat.
Ternyata lirik perlu diberikan perhatian khusus dalam proses penciptaan lagu. Sastera ialah seni yang meliputi segenap aspek kehidupan, lebih-lebih lagi yang melibatkan kesenian berbahasa. Jangan disebabkan ingin mengikut pengaruh kebaratan, lirik lagu-lagu Melayu tidak ada lagi nilai seninya. Jika aspek ini tidak diberikan perhatian, jangan salahkan pendengar jika mereka tidak lagi meminati lagu ciptaan tempatan.


Rabu, Oktober 17, 2007

Selepas Ramadan dan Lebaran

Salam ukhuwah dan Salam lebaran,

Setelah sekian lama tidak mengemas kini blog, hari ini aku ada sedikit kelapangan untuk berbuat demikian. Itupun setelah meninjau blog rakan-rakan yang terus hidup sempena Ramadan dan Syawal. Baru kembali dari kampung malam tadi, aku rasa ada banyak perkara yang boleh dikongsi. Tentunya tentang labaran tahun ini. Meriah, seperti biasa, cuma aku sering terpesong fikiran mengingat kerja-kerja yang belum selesai.
Sebelum hari raya, ramai yang mengeluh tidak mendapat bayaran bonus. Akan tetapi kulihat orang membeli keperluan hari raya sedikit pun tidak berkurangan. Malah semasa aku ke Kuala Lumpur untuk shopping, kota raya itu seperti dipenuhi aliran semut yang tidak putus-putus. Manusia bertali arus. Aku ingin masuk ke Sogo juga tidak dibenarkan oleh pihak polis yang mengawal lalu-lintas. Nahhh... orang Malaysia (Melayu) memang sering berhabis-habisan apabila musim perayaan menjelang. Begitu juga di Mid Valley, sesak. Aku berpatah balik ke Plaza Alam Sentral di Shah Alam. Sesak juga, tetapi ada parking. Maka di situlah aku membelikan pakaian untuk anak-anak sebelum ke Alamanda pula pada esoknya. Hanya anak-anak yang seronok berhari raya.
Aku teringat pada zaman aku masih kanak-kanak dan remaja. Hari raya bukanlah hari yang menyeronokkan, sementelah kesusahan hidup di kampung memang sukar untuk digambarkan. Apatah lagi jika hujan turun sebelum hari raya, getah tidak dapat ditoreh. Arwah bapaku akan murung sepanjang masa. Walaupun kami tidak meminta pakaian, tetapi seorang bapa tetap akan bersusah hati. Kadang-kadang arwah akan menoreh pada wantu petang untuk mendapatkan sedikit belanja. Jika tidak ketupat dan kari daging tidak akan ada pada pagi raya. Ketika arwah bapa tiada lagi, aku semakin susah. Pernah aku ceritakan aku pernah membawa joran ke tengah baruh ketika orang lain merayakan hari raya. Itulah gambaran kepayahan yang kualami dalam sejarah hidupku. Namun kepayahan itulah yang menjadi bekalan untuk aku membina keperibadian sehingga aku dianugerahi oleh Allah dengan pelbagai kerahmatan dan kenikmatan yang tidak terhingga. Alhamdulillah, syukur kepada Allah azzawajalla.
Aku pulang beraya di Kedah pada hari raya kedua. Namun di Kedah, sambutannya tidaklah semeriah di Selangor. Hari pertama sampai ketiga sahaja agak meriah. Anak-anakku hairan kerana setiap rumah yang kami kunjungi, kuihnya amat terhad berbanding di Selangor, kadang-kadang sampai penuh meja dengan juadah. Tahun lepas aku beraya di kampung, waktu sembahyang aidil fitra juga agak lewat dilaksanakan di masjid tempatku. Pukul 9.30 jemaah masih bertakbir sakan, sedangkan di Banting jam tepat 8.30 Imam sudah terpacak untuk mengetuai solat sunat itu.
Aku akhiri entri kali ini dengan sembah salam untuk kenalan dan pengunjung blog. Barangkali ada perkara yang kurang menyenangkan dalam blog ini, maka ampunkan aku, insan yang tidak lekang dari melakukan kesilapan. Semoga hubungan dan ukhuwah terus kekal mesra selama-lamanya. Aminnnn...
(Sayangnya gambar hari raya tidak dapat dimasukkan atas sebab teknikal)

Ahad, September 30, 2007

Buku Rujukan Terbitan Terbaru

Entri 30 September 2007

Alhamdulillah, buku-buku baharu tulisan saya dan rakan Encik Ghalib telah terbit di pasaran. Buku-buku ini merupakan hasil terbaik kami kerana kami telah memasukkan bahan-bahan terkini sesuai dengan keperluan murid-murid sekolah untuk menghadapi peperiksaan kertas Bahasa Malaysia PMR dan SPM. Saya harap buku-buku ini dapat membantu murid-murid dan guru-guru untuk membaiki proses P & P di bilik darjah. Oleh itu, dapatkan buku-buku ini di pasaran sebab selalunya buku kami akan habis dengan pantas. (promo sikit). Akan tetapi begitulah keadaannya kerana terhadap beberapa orang guru yang memberitahu saya mereka sukar untuk mendapat buku itu di pasaran. Apabila saya menghubungi penerbit, kata mereka stok sudah habis.

Selain itu, jika terdapat sebarang kemusykilan tentang Komsas dan Tatabahasa, kami boleh dihubungi melalui emel yang disertakan di bahagian kulit belakang buku-buku kami. InsyaAllah kami akan membantu setakat yang termampu.



Selain buku rujukan, kami juga menerbitkan siri buku kerja yang dikenali dengan nama Tutorial Terbilang untuk tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Buku-buku ini juga wajar dimiliki kerana dapat membantu murid-murid meningkatkan prestasi mereka dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Secara keseluruhannya kami berjaya menghasilkan tujuh judul untuk tatapan dan kegunaan murid serta guru di Malaysia.








Ahad, September 23, 2007

Entri Hari Ini 23/9/07


Lama juga aku tak masukkan entri untuk blog ini. Sibuk dengan kerja penulisan untuk buku teks. Begitulah kerja seorang penulis, kerjaya yang sunyi, terperuk di penjuru rumah, memerah otak, mencari idea untuk dinilai dan ditatap oleh orang lain. Begitu pun, aku memang meminati penulisan. Sudah lama kutekuni kerja ini. Minggu lepas aku dihubungi oleh Editor Dewan Sastera untuk menyiarkan cerpenku yang berjudul Ceritera Andur dan Pedati, kalau tak silap untuk keluaran Disember. Terima kasih banyak-banyak. Aku hanya menulis dan menghantar karya. Jika dipilih untuk disiarkan, alhamdulillah. Aku tidak pernah menghubungi editor untuk merayu atau melobi agar karyaku disiarkan.


Aku mendapat tahu, karya anak didikku juga terbit dalam sisipan Tunas Cipta bulan ini. Tahniah buat penulis itu yang mencipta nama dalam usia yang sgt muda.


Untuk kali ini aku ingin masukkan sajakku yang berjudul Dalam Melankolia Lebaran.


Dalam Melankolia Lebaran,

Oleh Ghazali Lateh

Dalam melankolia lebaran,
waktu takbir mengapung di atmosfera,
aku pulang,
mencari masa silam yang rontok,
di padang usia.

Semilir bayu desa,
tidak lagi menyapa mesra,
kerana waktu bukan lagi keindahan,
yang tersemat pada hijau pepohonan,
sawah ladang bukan lagi permainan,
anak-anak tidak betah,
memijak lecah.

Gerimis pun bercanda,
ketika mencari pusara ayahanda
kehilangan tanda,
justeru kemboja itu,
telah habis umurnya.

Dalam melankolia lebaran,
aku kembali untuk menanti,
nostalgia yang bersilih ganti,
setahun lagi.

Banting,
21 November 2004


Rabu, September 19, 2007

Tentang "Melayu"



Sengaja aku paparkan gambar yang aku ambil ketika aku pulang ke kampung sebelum puasa yang lalu. Gambar seorang yang cacat penglihatan sedang bermain muzik untuk mencari rezeki di Pasar Minggu Kg Kilang Kecil, Air Putih,Pendang, Kedah. Aku teruja melihat kemampuan orang tua ini bermain muzik. Malah akulah penonton yang sanggup berlama di hadapannya walaupun dia barangkali tidak menyedari akan kehadiranku. Dia orang Melayu yang mencari secebis belas ihsan dalam negara Melayu yang 'makmur'. Di dewan persidangan, pelbagai peruntukan diluluskan dalam bajet untuk orang 'Melayu' sepertinya. Malangnya dia tidak pernah dapat merasakan 'kemakmuran' yang diuar-uarkan setiap saat melalui corong media. Persoalannya, ke manakah peruntukan berjuta-juta itu?

Sebagai rakyat marhaen, aku dapat merasakan sesuatu yang seperti tidak kena dalam perkembangan negara masa kini. Kadar jenayah semakin meningkat, kanak-kanak hilang menjadi-jadi. Kemiskinan di luar bandar dan di bandar semakin bertambah ketika usaha membasminya semakin meningkat. Pelbagai misi dan pendekatan dilaksanakan, kemelut sosial semakin ketara. Apakah ini yang dinamakan pembangunan dan kemajuan? Aku tidak tahu untuk bertanya kepada siapa kerana aku hanya marhaen makan gaji kerajaan.

Kini negara didedahkan dengan laporan Ketua Audit tentang penyelewengan kewangan yang menjadi-jadi. Kini juga aku baru mengerti mengapakah kontraktor Melayu ramai yang gulung tikar. Jiranku seorang kontraktor Kelas F, akhirnya terpaksa mengalibabakan lesennya kerana kerenah penyelewengan yang bukan-bukan. Patutlah juga bangunan yang didirikan di sekolah-sekolah runtuh, bocor, retak. Inilah akibatnya jika sistem penyampaian yang tidak kesampaian. Jelasnya, pelaksana dasar yang menahan lukah di pergentingan setiap kali ada dana untuk melaksanakan pembangunan.

Aku hanya rakyat marhaen yang hanya mengeluh sekali-sekali kerana keluhanku tidak ada yang mungkin mendengar.

Sesekai fikiran jahatku mencetus hasut, barangkali nama Melayu perlu ditukar kepada 'Menyegar', ahhhh... jahatnya aku!





Khamis, September 13, 2007

Tentang Ramadan


Setelah nanar kau bergerak dalam ritma dosa,

inilah waktunya untuk membuka peta syurga,

yang kauhilangkan sejak diri derhaka,

di puncak kesima dunia,

melaung canda ke lubuk atma.


Ramadan bagaikan dermaga,

yang menanti jaringan gelora,

di sini pasir putih dan angin lirih,

mewarna setiap denyut nadi,

ke muara Ilahi.


Ramadan,

aku masih menikmati anugerah-Nya,

sekali lagi berjanji dalam hati,

entah tertunai nanti,

atau sekadar eligi,

yang muncus esok pagi.


Ghazali Lateh.

Khamis, September 06, 2007

Lawatan ke Pusat Angkasa Negara


Rupa-rupanya di Banting ada Pusat Sains Negara. Pusat ini mengendali satelit untuk mengambil imej bumi dari angkasa yang dikenali sebagai satelit LEO Low Earth Orbit. Terletak di Kg Sungai Lang, terpencil dari kesesakan. Aku bersama staf diterima melawat dengan mesra. Banyak pengetahuan yang kami peroleh semasa lawatan tersebut. Yang membanggakan, pusat ini dikendalikan oleh tenaga muda yang berkaliber, lulusan dalam bidang kejuruteraan komputer dan sains komputer sama ada dari universiti dalam atau luar negeri.


Aku berdiri di depan panel kawalan satelit bumi di Sg Lang. Di sinilah pakar-pakar muda menghantar arahan dan mendapat maklumat dari satelit di angkasa. Kami ditunjukkan laluan satelit dan radar bumi yang mengikuti perjalanan satelit di orbit. Menarik!


Kami juga ditunjukkan bilik bersih tempat RazakSat ditempatkan sebelum dilancarkan di Pulau Omelek pada tahun depan. Sesungguhnya, lawatan singkat mendedahkan kami kepada ilmu baharu yang sebelum ini hanya terdapat di negara luar. Aku juga tertarik dengan seorang anak muda berkerusi roda yang merupakan seorang pegawai pusat berkenaan. Beliau lulusan sains komputer dari UM. Hebat, sepatutnya murid-murid sekolah didedahkan dengan tempat ini sebagai satu cara meningkatkan motivasi.

Semasa balik kampung minggu lepas aku sempat singgah di sekolah lamaku iaitu SMK Guar Chempedak. Aku bersekolah menengah di sekolah ini bermula di tingkatan peralihan Inggeris hingga tingkatan 5. Banyak perbezaan yang berlaku di sekolah ini sejak aku meninggalkannya hujung tahun 1979.

Demikianlah catatan ringkas hari ini. Banyak tugas yang sedang menanti untuk dibereskan. Jumpa lagi.







Isnin, September 03, 2007

Catatan pada hari Kemerdekaan dan selepasnya.

(i)

Ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 disambut dengan pelbagai acara. Aku pulang ke kampung sempena cuti umum kemerdekaan. Di sepanjang jalan aku melihat pelbagai konvoi diadakan sempena sambutan kemerdekaan. Beberapa kumpulan rakyat Malaysia bermotosikal besar berkuasa tinggi memecut jentera mereka membingitkan telinga. Mereka ingin membuktikab bahawa mereka sudah merdeka. Kemerdekaan bagi mereka adalah kemampuan bermotosikal besar di boncengi wanita muda.


Di Tanjung Dawai, Kedah aku terjumpa sekumpulan anak muda bermotosikal Vespa lama dan satu kumpulan lagi memandu kereta Kancil. Semuanya memasang bendera dan berpakaian yang bertemakan kemerdekaan. Dan mereka juga mahu membuktikan bahawa mereka anak merdeka yang serba merdeka.


Bagiku, kemerdekaan sebenar bukanlah pada aspek luaran semata-mata seperti memasang bendera pada kereta, melilit bendera di leher, atau berkonvoi. Bagiku kemerdekaan ialah peningkatan maruah bangsa, melalui peningkatan mentaliti. Pemimpin kita sering menyeru ke arah perpaduan kaum. Namun, aku sangat percaya, hanya orang Melayu sahaja yang beria-ia ke arah itu. Yang lain hanyalah bermuka-muka untuk kepentingan yang sangat kompleks sifatnya. Aku tidak mahu berhujah dengan lebih mendalam kerana kita perlu fikir sendiri, sejauh manakah orang Melayu merdeka. Jangan sampai kita merdeka tetapi secara diam-diam kita dipaksa untuk menggadaikan apa-apa yang kita miliki. Sedikit demi sedikit kemerdekaan seperti menjerut leher orang Melayu. Merdekakah kita?
(ii)


Tentang sampan
Sampan itu tidak akan ke mana-mana,
tetapi diikat pada jetinya,
kerana riak, ombak, dan gelombang,
sering menghanyutkan,
meninggalkan dermaga,
ke laut curiga.


Begitulah kita,
seharusnya tidak perlu diikat lagi,
akan tetapi riak, ombak, dan gelombang,
bakal membawa kita terumbang,
meninggalkan kemerdekaan,
ke muara bimbang.

(iii)

Di kampung, ada beberapa perkara yang ingin kucatatkan. Pertama, aku ke Tanjung Dawai untuk menikmati makan tengah hari di restoren ikan bakar yang terkenal. Pengunjungnya terlalu ramai sehingga kami terpaksa berebut tempat duduk yang terhad. Aku pernah beberapa kali mengunjungi gerai ikan bakar di Melaka, Selangor, Johor, dan sebagainya. Namun keenakan restoren ikan bakar di Tanjung Dawai memang tiada tandingannya. Harganya pula sangat murah. Seekor siakap besar, lima udang bakar bersaiz besar, dan beberapa juadah samping untuk 5 orang, hanya berharga RM50.00. Tambahan pula, kami menikmati makan tengah hari hanya 15 kaki dari laut. Angin laut menyebabkan selera bertambah dan membuat aku terlupa aku sedang berdiet.



Bermalam di Hotel Seri Malaysia Alor Setar, aku dan keluarga menonton persembahan Gempak Selebriti Astro. Ramailah bintang AF5 yang membuat persembahan. Malamnya ada expo usahawan di pinggir stadium Darul Aman. Besoknya ketika bersarapan (yang tidak enak) di Seri Malaysia, terserempak pula dengan beberapa orang artis seperti Haliza Misbun, Ali Mamak, Haiza, Ahmad Jais, Andre Goh, dan Ramlah Ram. Dalam ramai-ramai itu Ramlah Ram amat mesra dan datang bersalam dengan kami sambil menceritakan bahawa mereka semua ada show di Kuala Nerang.



Kami meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam. Plan asal nak ke Langkawi tetapi terpaksa dibatalkan kerana anakku Nurul Ain ada aktiviti di universitinya dan tak dapat ikut. Di Bukit Kayu Hitam yang lengang aku sempat membeli beberapa helai pakaian di Kompleks Bebas Cukai, perfum, dan cokelat. Harganya tidaklah semurah di Langkawi, tetapi sekadar lepas hajat nak belah-belah.

Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, lebuh raya sangat sesak bermula di Slim River. Mata mengantuk, badan letih. Dari Slim River ke Tjg Malim, aku terpaksa mengambil masa 2 jam lebih. Akhirnya aku terpaksa buat keputusan untuk berhenti dan bermalam di Tjg Malim. Dalam hujan, aku mendaftar masuk di Hotel Sahara. Aku kepenatan dan tidur segera.






Rabu, Ogos 29, 2007

Ceramah akan datang

Besok aku akan menyampaikan ceramah teknik menjawab soalan karangan bagi murid-murid SMK Telok Datok. Aku sudah menyampaikan ceramah di beberapa buah sekolah lain. Kini masanya aku ingin mencurahkan ilmu kepada anak-anak didikku sendiri. Akan tetapi mereka bukanlah murid yang kuajar kerana buat masa ini aku mengajar di tingkatan 6 bawah.
Pada 5 September, aku akan menyampaikan ceramah kepada guru-guru Bahasa Melayu daerah Petaling Perdana di Kelab Shah Alam. Mudah-mudahan sesi ceramah tersebut akan sukses dan memberikan pengalaman kepada rakan-rakan guru yang lain.
Hari Jumaat nanti aku akan balik ke kampung kerana sudah 2 bulan lebih aku tidak menjenguk kampung lantaran kesibukan tugas dan kerja-kerja penulisan.

Rabu, Ogos 22, 2007

Raptai Konvokesyen





(i)
Pagi tadi aku menghadiri raptai konvokesyen di Dewan Besar UPM. Aku menghadirinya untuk membiasakan diri kerana aku berada dalam sesi 1 konvokesyen yg ke-31 itu. Maknanya aku akan mendapatkan ijazahku daripada DYMM Sultan Selangor selaku Canselor UPM. Namun tidak banyak yang berbeza dengan konvokesyen-konvokesyen terdahulu. Gambar sebelah menunjukkan anakku Nurul Ain menggayakan pakaian konvokesyen Doktor Falsafahku. Aku harap dia bukan sekadar menggayakannya, tetapi akan merasainya sendiri suatu hari nanti. Set yang digayakan oleh Nurul Ain itu telah kutukar kerana terlalu labuh dan topinya (bonnet) terlalu sempit.





Bercakap tentang konvokesyen, acara ini sangat bermakna bagi mereka yang mengalaminya buat kali pertama. Seperti aku mendapat ijazah pertama dulu. Sungguh mengujakan. Oleh sebab itu aku melihat adik-adik yang mendapat ijazah bacelor sangat ghairah dengan majlis tersebut. Bagiku, konvoksyen buat kali yang ketiga ini hanya memenuhi rutin pengajian. Belajar dan menerima ijazah dalam konvokesyen merupakan satu rutin akademik yang biasa.

Sempat berbual-bual dengan Dr. Zaitul Azma di biliknya sebentar, selepas menghantarkan salinan tesis kepada Dr. Arbai. Sebelum itu Haji Shamsudin Othman menghubungi, katanya nak ajak makan-makan. Malangnya, mungkin dia terlalu sibuk dengan kelas, aku balik setelah menunggu setengah jam. Mungkin kami akan berjumpa lagi pada kali yang lain.



(ii)
Membaca blog Tanah Nurani, aku turut terkesima dengan pelbagai kemelut bahasa dan pendidikan kini. Sebagai seorang guru bahasa (semestinya pencinta bahasa Melayu) aku tidak berpuas hati dengan perkembangan yang melanda bangsa dan bahasa Melayu kini. Sepatutnya setelah 50 tahun merdeka, Bahasa Melayu sudah menjadi satu-satunya bahasa yang dituturkan di bumi Melayu ini. Sebaliknya, sudah ada pihak mula menunjukkan taring mereka, yang bakal menidakkan peruntukan perlembagaan tentang bahasa Melayu. Namun, aku bukan orang politik. Aku berharap politikus Melayu supaya merenung kembali hak-hak kita yang sudah terlalu banyak kita berikan kepada orang lain. Padaku hanya orang Melayu sahaja yang sering berkompromi dan mengalah dalam banyak hal. Sudah tiba masanya kita kembalikan martabat Melayu seadanya. Jangan terlalu berlembut. Janganlah kerana terlalu ingin akan kedudukan politik dan mahu menjadi popular kita gadaikan segala-galanya, termasuk martabat bahasa dan bangsa sendiri.

(iii)
Dalam perjalanan ke UPM aku ditelefon oleh Zulkifli (editor Longman) bertanya tentang tarikh pemergian arwah Mohd Ismail Sarbini. Rupa-rupanya sudah setahun arwah meninggalkan kita, iaitu pada 2 Sept 2006. Aku sangat-sangat terasa pemergian arwah, lebih-lebih lagi apabila aku akan berkonvokesyen. Arwahlah yang banyak membantuku dalam menjalankan kajian di sekolah, memungut data, dan membuat rakaman semasa pengajianku berlangsung. Sayangnya, arwah tidak sempat melihat kejayaanku dan aku tidak sempat mengucapkan penghargaan kepada beliau. Alfatihah, aku berdoa agar roh arwah dicucurkan rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh mukmin yang soleh. Amin. (Gambar kenangan dengan arwah semasa bermesyuarat di Trengganu dalam tahun 2002).

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...