Khamis, April 22, 2010

Syair Guru

Inilah kisah kerjaya mulia,
Mendidik mengajar selagi terdaya,
Ibarat lilin memberi cahaya,
Bukan balasan harta pintanya.

Guru itu sanggup berbakti,
Membentuk insan mulia pekerti,
Kejayaan murid sangat bererti,
Jasa dikenang sampai ke mati.

Daripada guru kita belajar,
Huruf dan angka disebut lancar,
Membaca mengira tiada sukar,
Jiwa yang lemah menjadi mekar.

Jika berkasar bukannya marah,
Dia mengajar menunjuk arah,
Masa depan hendaknya cerah,
Ke mana pergi rezeki murah.

Awal pagi guru pun datang,
Bakti dicurah sampai ke petang,
Murid disayang mahu ditatang,
Mendorong minda bijak dan matang.

Bukan kaya ukuran harta,
Murid berjaya itulah semata,
Jasa dikenang bukan diminta,
Sehingga saat menutup mata.

Sekali guru selamanya begitu,
Sentiasa berikhtiar tiada buntu,
Melepas musibah satu persatu,
Jaya akhirnya sudahlah tentu.

Tiada guru yang buruk sikapnya,
Menjadi teladan mulia hatinya,
Senang merujuk tempat bertanya,
Semua yang kusut lerai akhirnya.

Di mana sahaja sedia berkhidmat,
Tutur katanya sentiasa cermat,
Tingkah laku selalu berhemat,
Jadi ikutan pasti selamat.

Guru pemangkin hasrat wawasan,
Mendidik memimpin tiada bosan,
Mengharap balas bukan alasan,
Jadilah guru sanjungan insan.

Sering guru memberi nasihat,
Jauh segala gejala tak sihat,
Jangan dicuba tipu muslihat,
Di dalam hati terus terpahat.

Ilmu itu sentiasa dicari,
Jadilah guru manusia bestari,
Banyak membaca lengkapkan diri,
Elakkan utama kepentingan sendiri.

Jangan bezakan diri pelajar,
Semua mereka sama diajar,
Nama gelaran jangan dikejar,
Buatlah yang baik selagi wajar.

Bukan pangkat jadi taruhan,
Tetapi berkat jadi pilihan,
Buat amalan ikut suruhan,
Martabat bangsa itu tempahan.

Jika ada murid yang nakal,
Guru yang bijak mengguna akal,
Kuatkan azam hatipun cekal,
Didikan yang baik perlu dibekal.

Falsafah negara itu matlamat,
Hidup harmoni semua selamat,
Cabaran wawasan jadikan azimat,
Kukuh iltizam di hati tersemat.

Demikian sudah resamnya guru,
Yakin terpuji tiada terburu,
Sedia berbakti segenap penjuru,
Pembimbing masyarakat ke alaf baru.

Ghazali Lateh.
(Dewan Sastera, Mei 2006)

20 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih kerana menjadi pemudah cara :) jasamu dikenang

Tanpa Nama berkata...

SANGAT MENARIK.

Tanpa Nama berkata...

thank....senanag sikit nak syair nanti.....

Tanpa Nama berkata...

panjang jugak syair nii.....

Tanpa Nama berkata...

terima kasih syair ini brmanfaat bgi kita semua

Tanpa Nama berkata...

wow keren....

Ghazali Lateh berkata...

Sempena Hari Guru, saya dapati ramai yang mengakses entri ini. Sayangnya, tidak ramai yang sudi menitipkan catatan sebagai tanda penghargaan.

Tanpa Nama berkata...

Wow amazing!! Sedap syair nhe :-D

Cikgu Nazir berkata...

Menusuk.
Selamat Hari Guru, cikgu.

awei81 berkata...

tqvm. saya minta izin ambil lirik ini untuk persembahan guru skbt1.

Ghazali Lateh berkata...

Silakan Cikgu, kalau sesuai gunalah..

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih cikgu :)
Selamat Hari Guru!

Ghazali Lateh berkata...

Terima kasih kembali, siapa ni ye?

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas bait bait syair tuan... Saya hanya mampu mendoakan agar tuan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah
.amin... Diba...

Ghazali Lateh berkata...

Terima kasih kembali... Diba

SUFFIA berkata...

Terbaik..mohon izin untuk saya lontarkan syair ini..😊😊

MIA maths is awesome berkata...

Ada seorang murid India sekolah rendah buat persembahan rap nyanyi lagu syair ini di konti sempena Hari Guru 2021. Bila di tanya di mana dapat lirik lagu dia kata "Lagu syair Cikgu Ghazali Bukit Jenun, Kedah. Boleh lihat di sini timingnya start 1:10:12 habis 1:12:47
https://youtu.be/TQIbT5C0RXo

Tanpa Nama berkata...

Syair yang sangat menarik. Mohon izin untuk persembahan murid2 saya ya. Semoga hidup tuan sentiasa diberkati.

Unknown berkata...

Minta izin menggunakan syair untuk Majlis Persaraan Guru Di SMK Seri Tangkak

QalamAbdullah berkata...

Assalamualaikum, minta izin untuk saya dendangkan syair ini di majlis perpisahan guru saya

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...