Jumaat, Januari 30, 2009

Menternak Pelangi


Waktu yang berlalu kadang-kadang seperti tidak terasa. Pantas dan senyap. Tahu-tahu, diri terasa sudah semakin dimamah usia. Kadang-kadang terasa ingin bertanya pada diri sendiri, apakah lagi yang dikejarkan dalam hidup ini. Tidak cukupkah kurniaan Ilahi dengan segala kenikmatan dan kemewahan yang dimiliki. Apabila persoalan-persoalan itu menerpa, diri terasa terlalu ingin meninggalkan segala unsur keduniaan, dan hanya mengabdikan diri.


Namun, adakah harus ditinggalkan segala macam rencah kehidupan ini, sedangkan belum banyak bakti yang ditaburkan. Begitulah kehidupan ini, kadang-kadang terasa terlalu ingin menyendiri, tetapi pada yang sama, terlalu pula berasa ingin menabur bakti. Kehidupan ini kini dirasakan tidak ubah seperti Menternak Pelangi.





Bertahun-tahun sudah kiranya,
kau penuhkan kandang usiamu,
dengan pelangi terpilih,
lalu kau tambatkan pada tumang hasrat,
membesar dan memekar.

Saban tahun juga,
kau lepaskan pelangi itu,
ketika pagar-pagar gerigis,
mengepung kandang usia lesu,
semakin lapuk,
dimamah kecewa.

Di ufuk kirmizi,
kau tanduskan sebuah padang terbentang,
menghijau dan saujana,
kerana di situlah,
pelangimu sirna.

Dalam kerandut usia yang lentur,
kau masih mengharapkan,
telur-telur peliharaan,
akan menetas,
setiap bermulanya tahun baharu,
dan kau masih di situ,
mengulet pelangimu,
sehingga terkedu,
ditinggalkan waktu..

Ghazali Lateh
Banting,
27 November 2004

Selasa, Januari 27, 2009

Menenangkan Fikiran di Bagan Lalang

Sejak dua tiga hari yang lalu, kesihatan diri agak terganggu. Barangkali oleh sebab terlalu penat dengan urusan kerja dan aktiviti di rumah. Hari ini sengaja mengajak isteri dan anak-anak pergi makan-makan di Bagan Lalang. Sempat juga menjalani rawatan refleksologi di pantai tersebut.
Warong tempat kami makan betul-betul terletak di tepi pantai. Makanan agak sederhana. Begitu juga harganya. Akan tetapi, apabila melihat harga sepiring sayur campur berharga RM10.50, itu sangat keterlaluan. Kebersihan warong perlu dipertingkatkan. Beginilah kebiasaannya peniaga makanan kita yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan aspek kebersihan dan perkhidmatan yang dapat menarik minat pelanggan jangka panjang.

Suasana di Bagan Lalang agak sesak. Tambahan pula terdapat ekspo kecil yang diadakan di jalan tepi pantai. Kawasan berkelah juga semakin terhad apabila sebahagian besar kawasannya telah dijadikan kawasan eksklusif dengan terbinanya Sepang Gold Coast, sebuah kawasan pelancongan mewah seperti marina palma di Dubai. Aku terfikir, berapa keratkah rakyat tempatan yang mampu ke situ apabila siap nanti...


Ahad, Januari 25, 2009

Pemergian Sasterawan Tanah Air


Hari ini negara kehilangan seorang lagi Sasterawan besar Pak Arenawati. Pagi-pagi Tn Hj Shamsudin Othman menghantar sms tentang berita sedih itu. Saya terkedu sejenak kerana minggu lepas sahabat sastera saya Sazalee Yaacob telah kembali ke rahmatallah. Saya tidak mengenali Pak Arenawati secara peribadi, tetapi saya membaca karya arwah ketika saya obses dengan sastera, terutama ketika pengajian sarjana. Ketika itu kesusateraan Melayu merupakan major yang saya pilih, di bawah penyeliaan seorang lagi sasterawan besar arwah Pak Dharmawijaya.

Sazalee Yaacob pula memang saya kenali secara peribadi ketika arwah tinggal di Sijangkang. Kebetulan arwah seorang tulang belakang Kemudi ketika itu. Lebih akrab lagi, saya pernah menjempat arwah untuk mendidik anak didik saya mendeklamasikan sajak untuk sayembara deklamasi sajak Hari Kebangsaan 1996. Ketika itu anak didik saya Intan Norsaina telah berjaya mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan dalam usia seawal 16 tahun. Arwah Sazalee Yaacob merupakan pakar rujuk saya ketika itu. Hasilnya, Intan Norsaina kini menempah nama dalam dunia penyiaran dan lakonan masa ini.


Natijahnya, akhir-akhir ini perkembangan dunia sastera kita agak suram, dan disuramkan lagi dengan pemergian mereka yang sudah lama begitu akrab dengan dunia sastera. Harapan kita dunia sastera Melayu akan lebih bersinar kini dengan barisan muda yang kreatif, prolifik, dan bertanggungjawab memartabatkan sastera tanah air, bukan yang sering bertelagah antara satu sama lain.

Sabtu, Januari 17, 2009

Tangisan Palestin


Bagi Israel tangisan itu tidak pernah reda untuk bolos
dan meletupkan seluruh generasi secara tidak bertamadun,
dan tangisan itu tidak pernah akan melembutkan hati
sang penjarah yang berfikir bahawa baik atau buruk
terletak pada pemikiran individu
bukan ditentukan oleh orang lain.

Bagi Amerika tangisan itu adalah sorak-sorai dendam
yang terbuku tidak pernah padam
lalu meletakkan tamadun manusia di bawah tapak kaki sendiri.
Justeru mereka berbuat apa-apa sahaja yang tercetus
dari jiwa yang busuk dan wajah yang hodoh.
Dalam senyuman menutupi kehodohan itu
mereka sebenarnya mentertawakan
satu keperitan warisan
dan meletakkan tanda sirna
semua yang akan diwariskan.

Bagi Palestin tangisan itu barangkali
bukan atas nama kesedihan
tetapi lebih kepada nasionalisme yang utuh
walaupun hak semakin terhakis
kerana bangsa semakin lemah menanti masa
untuk hilang dari kitab sejarah
bersama sempadan negara yang semakin pudar
di atas peta tamadun yang semakin kucar.

Bagi kita tangisan itu adalah penghinaan bukan sedikit
terhadap agama yang diranapkan martabat oleh umat
setelah Rasulullah menjulang keagungan.
Dan kita tidak mampu berbuat apa-apa
sekalipun simpati mercup bersama denyut nadi
dan alir darah kerana kita sebenarnya tidak upaya,
kerana kita hanya mampu mengenang
keagungan yang hilang ditelan zaman.

Bersama tangisan itu kita seharusnya bangkit
dalam satu citra agama yang akbar
dan menggegar!

Banting,
27/4/2002

Ahad, Januari 11, 2009

Entri Bahan Akademik dalam Laman Ghazali Lateh

Mulai sekarang, saya akan memasukkan entri bahan-bahan akademik untuk diakses oleh murid-murid yang menduduki SPM dan STPM, iaitu bagi subjek Bahasa Melayu. Bahan-bahan ini ialah bahan pengajaran saya dan juga ambilan daripada tulisan-tulisan saya sebelum ini. Mudah-mudahan bahan ini dapat diguna pakai oleh murid-murid yang berminat.

Jumaat, Januari 09, 2009

Terkulai

Terkulai anak-anak bermata biru,
di atas aspal merah,
nyaring suara ngeri dari setiap jiwa
takut dan amarah berbaur
menjadi perjuangan yang tidak pernah selesai
panjang dan sengsara
di bumi yang hilang kemanusiaan.

Tangisan mana ada maknanya
tanyalah!
pembela tidak lagi ada
untuk bergantung harap
kerana mereka juga dicengkam dendam
wibawa padam
hitam.

Palestin adalah sejarah sepanjang zaman
yang hitam dan merah
tidak pernah berhenti larian tinta
mencatat wacana dukalara
dalam tamadun manusia.

Aku bukan demonstran,
yang melaungkan kemarahan di jalanan
kerana suara mereka mati dibawa pawana
sirna.

Terkulai di sana
terkulai di mana-mana...

Selasa, Januari 06, 2009

Setelah Sekian Lama

Setelah agak lama mendiamkan diri, kini saya kembali mengemaskinikan blog ini. Setelah berpindah, rumah baharu saya tidak dilengkapi dengan talian telefon. Kini setelah kembali bertugas barulah berpeluang untuk mengemaskinikan laman ini.

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...