Sabtu, Mei 02, 2009

Mengenang Afrini Adham


Seberang Nyonya dan Sebuah Nama
(Mengenang Affrini Adham)

Seberang Nyonya dan mega murung,
aroma laut dan lincah belacak.

Telah terlahir sebuah nama
yang akrab dengan pasang surut kehidupan
tega bercanda dengan lumpur dan buih pengalaman
sehingga terdaya berlari
mengutip butir-butir aksara
yang tidak pernah gugur dari langit.

Seberang Nyonya dan angin pijar,
terik kolonialisme dan tegang patriotisme
berbaur dalam atma teruna.

Telah membesar nama itu
dan tegal meraut seligi semangat
mual sudah merenung telunjuk
justeru berdirilah dengan jiwa
untuk menggubah kata-kata
menjadi jambangan menguja
“Malaya Pasti Merdeka”
kerana tahu dia kebebasan
tidak pernah turun bersama hujan.

Seberang Nyonya dan senyum kesuma,
Wangi setanggi dan ceria anak bangsa.

Betapa terlalu nikmat seorang warga
melihat nusa melangkah gagah
melepasi cengkam penjarah
bumi bangun menumbuhkan rahmat-Nya
dan dia hanya marhaen kelana
membawa minda di hujung karya.

Seberang Nyonya,
Gugup rindu dan cengang kehilangan.

Telah pulang pejuang itu
membawa pesona seorang legenda
tintanya masih tersimpan di galeri sastera
cintanya masih terkesan di hati kita
betapa jasanya melarik citra di kancah wibawa.

Seberang Nyonya dan sebuah nama
tetap abadi di sudut nostalgia.


Ghazali Lateh
Banting.
23/2/06

Tiada ulasan:

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...