Rabu, Julai 29, 2009

Mengedit cerpen lama

Sejak beberapa hari yang lalu saya mula membuka kembali cerpen-cerpen saya yang terbenngkalai. Ada antaranya yang saya tulis tajuk sahaja. Banyak juga yang hanya menanti penutup cerita. Ada yang sampai setengah jalan. Begitulah dunia kreativiti, ada kalanya penulis dapat menyiapkan karya dalam beberapa jam, ada kalanya pula satu cerpen mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Penulisan juga berdasarkan mood dan persekitaran. Ada penulis yang menyewa hotel semata-mata untuk menyiapkan karya. Akan tetapi saya tidak sampai macam tu. Saya menulis suka-suka sahaja.
Dari Fail Tribuhak
Oleh Ghazali Lateh
Kes 1
Sekonyong-konyong Ahmad Debab telah ditangkap ketika makan roti canai di sebuah warong mamak dalam bulan puasa. Ketika itu Ahmad Debab tengah sedap membalun roti canai ketiganya.
“Siapa nama awak?” tanya pegawai Jabatan Agama yang menangkap Ahmad Debab.
“Nama saya Ahmad Debab,” jawab Ahmad Debab dengan yakin kerana itulah namanya. Cuma suaranya agak tersekat-sekat kerana ketika itu dia masih mengunyah roti canai banjir berkuah dal pekat. Dia tersengih-sengih seperti biasa kerana itulah tabiatnya.
“Sahlah awak orang Melayu!” kata pegawai itu lagi.
“Saya tak kata saya bukan Melayu. Mak bapak saya Melayu, datuk nenek saya juga Melayu!” Jawab Ahmad Debab penuh yakin juga. Bibirnya masih berminyak lantaran roti canai mamak yang rangup berkrim itu.
“Awak telah melanggar undang-undang!” kata pegawai yang satu lagi. Dia menjatuhkan hukuman laksana seorang hakim. Begitulah lazimnya, manusia memang gemar menjatuhkan hukuman sebelum benar-benar yang dihukum itu bersalah atau sebaliknya.
“Saya tak buat salah apa-apa pun!” kata Ahmad Debab lagi sambil sempat menghirup teh tarik berbuih hingga ke titisan yang terakhir.
“Awak makan dan minum dalam bulan puasa awak kata tak salah?!” kata pegawai Jabatan Agama yang menjalankan tugas itu. Suaranya tinggi menggambarkan kemarahannya. Sesekali dia menelan air liur memandang ke arah kuah roti canai yang pekat berlinang.
“Bukankah makan minum ini hak asasi manusia. Setiap makhluk yang hidup memerlukan makanan. Kalau saya tak mahu puasa, itu hak asasi saya,” Ahmad Debab mempertikaikan dakwaan pegawai-pegawai yang datang secara mengejut sehingga dia tidak sempat melarikan diri. Beberapa orang kawannya yang sama-sama melantak roti canai bersamanya tadi entah ke mana. Memandangkan bentuk badan Ahmad Debab yang sedemikian rupa saiznya, dia tidak sempat berbuat apa-apa dalam keadaan kelam-kabut itu. Jika dia melarikan diri pun dia tidak yakin dapat lepas.
“Ohh... hak asasi kata awak? Kalau begitu pergilah buat aduan kepada Tribuhak,” kata-kata pegawai itu seolah-olah mencabar pula bunyinya. Barangkali mereka mengerti di kota ini sudah ada tribunal hak asasi manusa yang diakronimkan menjadi Tribuhak. Berkali-kali sudah tribuhak menyanggah keputusan undang-undang kerana melanggar hak asasi manusia. Perkara hak asasi tidak boleh dimuat main-main. Tribuhak akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hak asasi sesiapa sahaja, waima pencuri, perompak, perasuah, lanun, gangster, along, penyeleweng, samseng, pengkhianat negara, malaun, dan sesiapa sahaja yang layak dipanggil manusia.
“Okay! Saya akan laporkan perkara ini kepada Tribuhak! Saya yakin Tribuhak saja yang tahu akan hak asasi manusia. Orang lain semuanya tak tahu!” Ahmad Debab merengus melepaskan perasaan marahnya. Dia berasa sangat terbela nasibnya setelah mendengar nama Tribuhak itu. Dia tidak akan diapa-apakan selagi ada Tribuhak. Dia akan selamat.
Kes 2
Sekonyong-konyong Cikgu Majid balik dari kelas sambil menutup mukanya. Perbuatannya itu nyata membangkitkan persoalan dalam kalangan rakan-rakan. Akhirnya, pecah cerita yang mengatakan Cikgu Majid ditumbuk oleh seorang pelajar tingkatan lima. Pelajar tersebut, Fazli, telah mengambil tindakan membelasah gurunya kerana dimarahi akibat tidak menyiapkan kerja rumah.
Maka pengetuapun memanggil Fazli. Beliau menyoal siasat pelajar kelas 5G itu untuk mendapat gambaran sebenarnya tentang kisah muka Cikgu Majid yang lebam kemerah-merahan. Dengan rasa bangga Fazli mengaku dialah yang menumbuk Cikgu Majid. Tubuh badannya yang gempal dan sasa itu memang sesuai dengan sikap panas barannya.
Mahu tidak mahu, pengetua terus membuat keputusan. Besoknya, di hadapan perhimpunan pagi sekolah tersebut, pengetua merotan Fazli dua kali. Peristiwa itu disaksikan oleh pelajar-pelajar lain dan guru-guru.
Berita hukuman rotan yang dikenakan terhadap Fazli sampai ke pengetahuan bapanya. Apa lagi, melentinglah orang tua itu. Terus sahaja dia terlintas untuk menghubungi Tribuhak.
Apabila kes itu dirujuk kepada pihak Tribuhak, tribunal itu mendapati hukuman terhadap Fazli menyalahi hak asasi manusia. Maka pengetua telah dianggap melanggar hak asasi kerana mengikut pendapat Tribuhak, walaupun pelajar melakukan kesalahan, mereka tidak boleh dirotan kerana perbuatan itu melanggar hak asasi seorang pelajar. Akhirnya tribunal membuat keputusan. Pengetua dan Cikgu Majid ditukarkan ke sekolah lain. Mereka didapati bersalah kerana melanggar hak asasi manusia. Begitulah besarnya kuasa Tribuhak dan hak asasi manusia itu sendiri. Sesiapapun kini tidak boleh mencabar hak asasi. Hak asasi adalah segala-galanya.
Kes 3
Seorang gadis Melayu yang comel berasal dari kampung datang ke kota untuk mencari pekerjaan sementelah di kampungnya kaum wanita semua sudah tidak bekerja lagi. Lebih-lebih lagi wanita cantik sepertinya. Selama ini dia hanya duduk menanti kalau-kalau ada orang datang meminangnya. Akan tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Kawannya yang berhijrah ke kota beberapa tahun yang lalu pulang dengan segala kemewahan yang amat diidamkan oleh semua manusia.
Oleh sebab terlalu dikongkong di kampung tradisi yang rata-rata penduduknya berserah kepada takdir itu, si gadis berhasrat untuk ke kota mencari pengalaman hidup dan kesenangan yang tidak ada di kampungnya. Di bandar, si gadis bekerja di sebuah kilang. Rupa parasnya yang menawan menjadi intaian setiap jejaka. Hanya jejaka yang tidak waras sahaja tidak mahu menikmati kejelitaan wajah ciptaan Tuhan itu. Dan salah seorang jejaka itu ialah Johny Walker, seorang berketurunan kacukan Asia-Eropah.
Jejaka beragama lain ini jatuh cinta dengan si gadis dan ingin menjadikannya sebagai isteri. Di pihak gadis itu pula sama menaruh hati terhadap jejaka berlainan agama itu. Dalam hatinya dia berkata bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Bukankah, selama ini dia disogokkan bahawa kemiskinan di kampungnya telah ditakdirkan. Manusia tidak boleh melawan takdir. Kini dia sedang berdepan dengan takdir dirinya.
Maka berlakulah kekalutan apabila upacara perkahwinan si gadis itu dijalankan di sebuah rumah ibadat agama lain. Si gadis terlalu percaya bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Dia tidak kisah. Yang menjadi kisah apabila bapanya membawa beberapa orang untuk merampasnya daripada suaminya yang sah di sisi undang-undang itu.
“Engkau telah murtad. Engkau perlu kembali ke pangkal jalan,” herdik bapanya menghukum anak gadisnya yang selama ini tidak pernah terdedah kepada anasir-anasir luar.
“Siapa kata saya murtad. Inilah takdir. Sebagai manusia saya tidak boleh melawan takdir,” jawab si wanita muda itu dengan tegas. Selama inipun dia diajar bertegas oleh orang-orang kampung.
“Tapi perkahwinan kamu ini tidak sah. Suami kamu bukan beragama Islam,” bapanya bertambah berang apabila lelaki bukan Islam yang menjadi menantinya datang untuk mempertahankan isterinya.
“Kami akan bawa perkara ini ke Tribuhak!” kata si suami kepada wanita Melayu dari kampung itu.
“Tribuhak tu apa? Besar sangat ke kuasa dia?” tanya si bapa dengan marah.
“Tribuhak itu ialah kependekan kepada Tribunal Hak Asasi Manusia. Setiap manusia akan mendapat pembelaan Tribuhak. Saya manusia, isteri saya manusia. Jadi kami berhak melaporkan perkara ini kepada Tribuhak,” jawab lelaki itu dengan berani. Dia berani kerana dia akan dibela. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi hak asasi manusia. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi Tribuhak.

Kes 4
Malam itu hujan lebat. Lokman sedang memandu keretanya untuk pulang ke kampung di Kilang Besar, di Kedah. Baru lima belas minit tadi dia meninggalkan rumahnya di sebuah taman perumahan di ibu kota.
“Mana telefon ayah?” tiba-tiba anaknya Boy bertanya. Anak yang berusia dalam usia sepuluh tahun itu kesunyian seorang diri dalam kereta. Di depan bapa dan emaknya tidak berbual apa-apa sepanjang perjalanan. Manusia moden hari ini tidak banyak berkomunikasi secara berdepan. Sehingga urusan nikah cerai juga sudah boleh dilaksanakan melakukan alat-alat komunikasi yang artifisial sifatnya.
“Jangan main ‘game’, nanti bateri habis,” pesan Lokman kepada Boy sambil menunjukkan telefon bimbit yang terletak di tempat menyimpan barang dalam keretanya.
“Hello!” tiba-tiba Boy bercakap melalui telefon.
“Boleh saya cakap dengan Encik Lokman?” Boy seolah-olah bercakap dengan seseorang di hujung talian. Lokman yang sedang memandu tidak ambil kisah. Anak-anak sekarang memang bijak berlakon.
“Encik Lokman tak ada di rumah,” itulah yang didengarnya. Suara seorang lelaki di hujung talian menjawab.
“Dia ke mana?” tanya Boy lagi.
“Dia balik kampung. Ada apa-apa pesanan?” tanya suara lelaki di hujung talian.
“Tak apalah,” kata Boy sambil mematikan telefonnya. Dia bersandar selamba.
“Ehhh... siapa yang telefon di rumah kita tadi?” tiba-tiba Boy bertanya kepada bapanya yang sedang memandu.
“Apa Boy cakap?!” tanya Lokman dengan penuh kehairanan.
“Tadi Boy telefon ke rumah kita. Ada orang yang angkat...!!”
Lokman memberhentikan kereta serta merta. Kepala isterinya terhantuk ke cermin depan. Selepas itu mereka berpandangan antara satu sama lain.
Tanpa bercakap, Lokman mencari tempat untuk membuat pusingan. Dia memecut keretanya untuk pulang segera. Siapa pula yang menjawab telefon sedang mereka anak beranak dalam perjalanan balik kampung? Dalam perjalanan Lokman menelefon kawannya seorang pegawai polis supaya datang ke rumahnya.
“Assalamualaikum...!” Lokman memberi salam di luar pintu pagar rumahnya.
“Waalaikumussalam...!” terkejut sekali Lokman apabila seorang lelaki menjawab salamnya. “Nak cari siapa?” tanya lelaki itu lagi.
“Lokman ada di rumah tak?” Lokman mendapat akal yang diilhamkan oleh anaknya Boy.
“Katanya dia balik kampung. Tadipun kawannya dah telefon,”
“Awak ni siapa?” tanya Lokman dengan muka selamba.
“Dah tuan rumah tak ada, saya datanglah ambil apa yang patut. Saya tak ambil banyak, cukup untuk dijual buat membeli makanan anak-anak,” jawab lelaki itu.
“Awak ini pencurilah ye?” ujar Lokman.
“Mencuri pun satu pekerjaan juga, hi.. hi.. hi,” gelak kecil lelaki itu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, sedangkan dia mencuri barang-barang berharga di rumah yang dimiliki oleh Lokman.
“Ini rumah saya..!!” tegas Lokman. Dia mula baik berang dengan sikap pencuri tersebut.
“Saya tak kata rumah ini rumah saya,” balas pencuri itu. Serentak dengan itu penumbuk Lokman hinggap di muka orang yang menceroboh rumahnya itu.
“Saya akan laporkan perkara ini ke pihak Tribuhak. Awak telah melanggar hak asasi manusia. Walaupun saya mencuri, perbuatan awak menumbuk saya menyalahi hak asasi manusia,” ujar si pencuri dengan lantang. Lokman terlopong mendengar kata-kata orang yang mengendong berbagai-bagai makanan dalam beg yang disandangnya. Lokman tahu barang-barang itu memang miliknya.
“Tribuhak!!!?” Tanya Lokman pantas dan terkajut.
“Ya, Tribunal Hak Asasi Manusia..” balas pencuri itu dengan penuh yakin.
“Apa yang Tribuhak boleh buat?” Tanya Lokman cemas.
“Tribuhak boleh buat apa-apa sahaja sekiranya hak asasi manusia dicabul,” jawab si pencuri dengan penuh bangga kerana dia tahu haknya akan tetap terbela walaupun dia mencuri.
Mendengar jawapan itu Lokman terdiam sejenak. Si pencuri berlalu pergi menghilangkan diri dalam malam yang semakin gelap.
Persidangan Lembaga Juri Tribuhak
Setelah semua kes dibacakan, maka juri-juri Tribuhak pun bersidanglah untuk menentukan keputusannya. Semua orang tertunggu-tunggu akan keputusan yang bakal dibuat walaupun sebenarnya keputusan itu sudah diketahui.
“Dalam kes 1, dengan Tribuhak telah memberikan kemenangan kepada Encik Ahmad Debab dengan keputusan 9-0. Kes 2 pula Tribuhak memberikan kemenangan kepada Fazli juga 9-0. Kes 3 pula Tribuhak memberikan kemenangan 9-0 kepada pihak gadis yang berkahwin dengan lelaki beragama lain. Kes 4 juga begitu keputusannya, si pencuri telah menang dengan keputusan 9-0. Tamat!”
Keputusan telah diumumkan. Rayuan tidak dibenarkan. Sanggahan juga tidak diperakukan. Kuasa Tribuhak memang hebat. Sesiapapun tidak boleh mencabar. Kini hak asasi sangat besar pengaruhnya. Remaja Palestin akan dihukum kerana melanggar hak asasi membaling batu terhadap tentera Israel yang membedil mereka dengan senapang. Rakyat kulit hitam Amerika turut dihukum kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pasukan polis kulit putih yang menghentam mereka dengan cota besi. Rakyat Iraq akan dihapuskan kerana melanggar hak asasi mengebom penjajah tanah air mereka.
Komunis-komunis tua dijemput dan diraikan atas nama hak asasi. Pencemar lagu-lagu patriotik disanjung atas nama hak asasi. Pengkhianat-pengkhianat negara diberikan layan kelas pertama atas nama hak asasi. Dan juri-juri Tribuhak juga bebas melakukan apa-apa sahaja atas nama hak asasi.
Kemenangan hak asasi kini diraikan. Pihak yang menang atas ihsan hak asasi melompat-lompat dan terkinja-kinja. Para juri Tribuhak turut menari sambil membogelkan diri di depan khalayak hak asasi. Tidak ada apa-apa lagi yang akan salah dan kalah kerana semua berlandaskan hak asasi.

Selasa, Julai 28, 2009

Politik Mendominasi Segala-galanya

Kadang-kadang saya menjadi terlalu muak membaca, menonton, mendengar bualan, dan membaca blog. Hal ini demikian kerana di negara kita sepanjang masa politik mendominasi segala-galanya. Perasaan muak ini mengganggu perhatian dan kehidupan seharian. Politik penting dalam kehidupan, akan tetapi jika keterlaluan diperkatakan timbul pula rasa kurang selesa terhadap mereka yang bergelar politikus.

Jumaat, Julai 24, 2009

Sejenak dalam hidup ini

Ketenangan yang kudambakan
barangkali sukar kutemui dalam usia ini
kerana kocak alam menggegar
riak tasik membuak
ritma maya mendesak.
Duduklah sejenak di tepi kolam hayat
nikmati suara pawana dari ufuk kirmizi
gema usia telah sampai ke laman firdausi
menanti embun pagi
di hujung ilusi.
Telah lama kaki melangkah
menginjak seribu daerah ghairah
dan lopak-lopak musibah
sesekali kita perlu berhenti
menjuntaikan emosi
ke dasar hakiki
di hujung hari.
24 Julai 2009.

Khamis, Julai 23, 2009

Hanya Sebuah Sajak

Malam sering mencuri sedikit rindu
tentang masa lalu
ketika langkah tidak terarah
diamuk pasrah.

Malam adalah saat bungkam
menangisi kelam
dan sarat dendam
yang kian terpadam
dalam ingatan berbalam
tentang masa silam.

Tidurlah aduhai permaisuri hati
buanglah segala sangkutan duri
yang menyiksa nurani
ke sudut pagi
kiranya dikau bermimpi nanti
hadirlah daku membawa ilusi
yang tidak bertepi.

Dan esok
segalanya belum pasti
masih ceriakah mentari
atau suram sepanjang hari.

Kala itu aku bukan lagi seorang penanti
yang kehilangan memori
tentang lumrah hidup ini
penuh cinta yang misteri
sebelum kita berangkat pergi.

Rabu, Julai 22, 2009

Bahasa Melayu VS populariti

Dalam Berita yang saya tonton tadi, kerajaan memutuskan untuk menimbangkan pemberian insentif kepada guru B Inggeris yang mengajar di luar bandar. Nampaknya guru-guru BI sedangn mencongak insentif tersebut seperti yang dialami oleh guru-guru PPSMI dahulu. Sekarang pun guru-guru BI sedang menerima insentif tersebut kerana subjek BI dianggap sebagai subjek kritikal. Dalam hal ini sekali lagi guru-guru BM akan mengigit jari. Walaupun slogan untuk memartabatkan BM melalui pemansuhan PPSMI telah diuar-uarkan, nampaknya BM akan tetap akan menjadi subjek kelas dua yang tidak dianggap sebagai kritikal.
Oleh yang demikian jangan terkejut kalau ramai yang lulus BM dalam peperiksaan tetapi tidak tahu bertutur dalam BM suatu hari nanti. Jangan terkejut bahasa rojak akan menjadi bahasa formal masyarakat Malaysia nanti. Jangan terkejut jika BM akan menghadapi fenomena VERBA VOLEN SCRIPTA MANEN, iaitu bahasa yang dituturkan akan terbang (pupus) dan bahasa yang ditulis akan kekal. Hal ini pernah berlaku pada bahasa Hebrew di Israel satu ketika dulu. Akan tetapi semangat orang kita tidak sama, jadi jangan terkejut BM akan pupus dari bibir orang Malaysia nanti. Bukan kerana hanya tiada insentif diberikan kepada guru BM, tetapi sikap dan keutamaan sistem dan juga pemimpin kita yang tidak terarah ke arah itu. Sebenarnya penentangan yang sebenar ialah bukan dari BI tetapi populariti segelintir manusia.

Tentang Polemik

Sekarang ini apa-apa sahaja yang terjadi biasanya akan menjadi bahan polemik. Nampaknya dunia politik Malaysia sangat meriah dengan pelbagai polemik. Kadang-kadang terfikir juga tentang politik Malaysia yang sangat rencam dan pelbagai. Maklumlah negara majmuk. Yang terbaru kematian seorang setiausaha politik turut menjadi polemik yang serius dan melibatkan banyak pihak dari golongan atasan dan dibualkan di peringkat paling bawah. Akan tetapi dalam hal ini saya lihat pendekatan defensif yang digunakan oleh pihak kerajaan terlalu memakan diri. Dalam permainan bola sepak, permainan bercorak defensif tidak akan mendatangkan kemenangan walaupun sekuat manapun pasukan itu. Permainan bercorak 'attacking' lebih berkesan kerana kadang-kadang pemain pasukan lawan akan menjaringkan gol sendiri.

Kemudian kita disajikan pula polemik UPSR yang dicadangkan supaya dimansuhkan. Polemik Kampung Buah Pala, polemik rumah bekas MB, polemik pusat sembelihan babi, dan macam-macam lagi. Dalam konteks pusat penyembelihan tersebut, saya amat menyokong tindakan kerajaan Kedah. Saya akan lebih menyokong jika kedai menjual daging haiwan tersebut di tengah-tengah Pekan Gurun turun dipindahkan ke tempat lain. Kalaulah kerajaan Kedah mendukung slogan 'Membangun Bersama Islam' nescaya kedudukan kedai tersebut sangat tidak manis. Itupun jika pembesar negeri sering melalui pekan tersebut.

Banyak lagi polemik yang akan muncul. Tidak kurang juga polemik tokoh politik yang berperanan seperti Jalud yang bercakap dengan suara orang lain. Seronoknya menjadi rakyat Malaysia. Sentiasa meriah dengan polemiknya...

Tentang Pemergian

Terkedu saya membaca blog bekas murid saya yang mengatakan salah seorang daripada rakannya semasa dalam tingkatan 6 dulu telah kembali ke rahmatullah. Saya sedih kerana saya pernah menjadi guru kelas mereka selama dua tahun iaitu pada tahun 1993/4. Ketika itu saya baru saja bertugas sebagai guru siswazah di Banting. Mungkin satu kelebihan saya, saya mudah mengenali dan mengingat nama murid-murid saya. Sebahagian besar nama murid saya masih sayang ingat sampai sekarang walaupun bilangan mereka sudah beribu-ribu. Ketika berjumpa kembali, saya mengambil masa sejenak dan selalunya saya akan ingat kembali nama mereka.
Berita pemergian bekas anak murid saya memang menyentap perasaan saya. Namun, kita harus menerima ketentuan Ilahi. Hanya alfatihah dapat disedekahkan kepada arwah Rubinah, bekas murid saya itu. Terima kasih Shidah yang menyiarkan berita itu dalam blognya. Kalian tetap dalam ingatan saya.

Khamis, Julai 16, 2009

Blog Ilmu Cikgu Ghalib

Saya ingin mempromosikan sebuah blog ilmu (khususnya untuk guru-guru BM) iaitu blog Cikgu Ghalib. Blog ini sangat bermanfaat terutama untuk guru dan murid yang belajar dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Malahan, pengunjung juga dapat menjadi ahli Kelab Rakan Guru Bahasa Melayu (KRGBM) untuk mendapatkan bahan-bahan edaran daripada pengendali blog. Untuk Cikgu Ghalib, saya mengucapkan syabas dan teruskan usaha murni anda.

Selasa, Julai 14, 2009

Pemikiran yang Subjektif

Kehidupan ini selalunya dinilai secara subjektif dan relatif. Jika sesuatu itu dianggap baik bagi seseorang, barangkali tidak baik bagi orang lain. Barangkali sesuatu yang susah bagi seseorang, tidak begitu susah bagi orang lain. Banyak yang bertanya alasan yang masih bertugas di sekolah, sedangkan saya sepatutnya bertugas di IPG, kementerian, jabatan, dan sebagainya. Barangkali hal itu sangat relevan dengan saya sekarang. Akan tetapi bagi saya, saya ada alasan tersendiri untuk terus bertugas di sekolah.
Alasan yang pertama saya memang suka mengajar. Apabila saya mengajar saya telah berkongsi ilmu dengan anak-anak didik saya. Jika saya bertugas di tempat lain, barangkali ilmu saya tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Namun bagi orang lain, tindakan saya salah. Lagipun saya berasa senang dengan kehidupan sekarang, saya berasa selesa, mengajar, menulis, berceramah, dan berkarya. Barangkali dari sudut ekonomi keadaan sekarang lebih baik daripada saya keluar bertugas di tempat lain.
Walau apa-apapun, saya berasa sudah berada di kemuncak kehidupan. Maha besar Tuhan yang melimpahkan kurnia-Nya.

Sabtu, Julai 11, 2009

Rombak Kurikulum

Dalam menyongsong perubahan zaman, pendidikan merupakan satu agenda penting yang menentukan hala tuju negara pada masa depan. Tidak dinafikan sistem pendidikan kita sering berubah-ubah untuk bergerak seiring dengan perubahan zaman. Namun demikian adakalanya perubahan itu agak lambat kerana kita memerlukan masa untuk membuat keputusan. Hal ini penting kerana sesuatu keputusan yang dibuat akan menjadi kayu ukur keberkesanan sesuatu dasar.
Kurikulum dalam sistem pendidikan hari agak sudah lama digubal. Berbanding dengan negara-negara maju, kurikulum kita agak ketinggalan. Sistem persekolahan kita juga masih jauh berbanding sistem di negara maju. Jadi, jika ingin seiring dengan negara maju, kita sepatutnya sudah bersedia untuk merombak kurikulum. Bagaimana? Kita bicara lagi nanti...

Jumaat, Julai 10, 2009

Apabila Kita Tidak Tahu Keutamaan

Mengetahui keutamaan (priority) merupakan satu strategi hidup (survival) yang sangat penting. Dalam apa-apa sahaja urusan, seseorang manusia perlu mengetahui keutamaan yang harus diberikan perhatian. Kegagalan manusia mengetahui keutamaan akan memudaratkan diri. Jika kita berkata orang Melayu masih terkebelakang dalam apa-apa sahaja bidang, kita akan membuat kesimpulan bahasa orang Melayu tidak mengetahui keutamaan.
Sama halnya dengan dasar-dasar yang dilaksanakan. Bagi pandangan peribadi saya, pihak-pihak yang melaksanakan dasar tidak mengenal pasti keutamaan apabila menghebahkan sesuatu. Tanpa berselindung, hal ini dikaitkan dengan pelaksanaan dasar pemantapan BI seperti yang dicadangkan baru-baru ini. Dasar tersebut sememangnya diumumkan tanpa mengambil kita keutamaan yang diinginkan oleh masyarakat terbanyak. Jadi, natijahnya sangat besar, sama ada secara jangka pendek dan jangka panjang. Sedang demonstran berarak di jalanan menuntut pemartabatan bahasa Melayu, tiba-tiba yang muncul lain pula. Dalam hal ini keutamaan yang sepatutnya diberikan terhadap bahasa Melayu telah beralih pada bahasa Inggeris. Sepatutnya dalam pengumunan tersebut BM didahulukan seadanya sebelum BI dibicarakan. Orang akan bertanya "yang manakah keutamaannya, bahasa Melayu atau bahasa Inggeris?"
Jika kita renung beberapa peristiwa yang berlaku dalam dua tahun yang lalu, banyak perkara yang dapat kita pelajari apabila kita tidak mengetahui keutamaan dalam membuat keputusan. Peristiwa yang paling ketara ialah pilihan raya yang lalu. Impak tidak mengetahui keutamaan dijelmakan dalam keputusan yang diperoleh. Percaya tidak bonus tahunan yang tidak dibayar menyebabkan golongan marhaen jauh hati dan terkilan. Mungkin hal ini remeh, tetapi bagi rakyat terbanyak hal ini merupakan satu keutamaan.
Contoh tersebut hanyalah contoh kecil. Sebenarnya banyak lagi contoh besar fenomena tidak mengetahui keutamaan yang meninggalkan dampak besar dalam senario sosiopolitik di negara ini.
Hanya pandangan marhaen kecil yang tidak didengari.

Khamis, Julai 09, 2009

5 bilion untuk pengajaran BI

Walhasil balik asal! Begitulah gambarannya apabila pengumuman peruntukan 5 bilion disediakan sebagai usaha memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah nanti. Kita tidak mempertikaikan jumlah tersebut dan juga usaha untuk memantapkan BI. Namun dalam keghairahan itu, soal pokok yang diperjuangkan sudah terpinggir. Asas perjuangan supaya PPSMI dimansuhkan adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi negara ini. Namun demikian hal yang terjadi sekarang bukan difokuskan pada usaha tersebut tetapi usaha untuk memartabatkan bahasa Inggeris pula.


Saya berasa pada peringkat ini, pihak-pihak yang berpengaruh masih ada peluang dan ruang untuk membetulkan keadaan. Pihak-pihak ini perlu berusaha untuk meletakkan BM setingkat di atas kedudukan BI. Jika tidak kemelut dan polemik yang sama akan berlaku apabila generasi muda lebih mengenali Illiad dan Oddessey daripada Ranjau Sepanjang Jalan dan lebih mengenali Shakespear daripada A Samad Said.

Rabu, Julai 08, 2009

PPSMI: Keputusan yang memang dijangkakan

Akhirnya, keputusan yang ditunggu-tunggu telahpun dibuat. PPSMI dimansuhkan. Pejuang-pejuang yang menentang PPSMI tentunya bersyukur dengan keputusan tersebut. Bagi saya, mansuh atau tidak sama sahaja. Memang mansuh atau tidak ada kebaikan dan keburukannya. Akan tetapi pemansuhan tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut. Barangkali pertimbangan yang rasional telah dibuat sebelum keputusan diumumkan. Walaupun keputusan tersebut nampaknya dalam keadaan tergesa-gesa (mungkin kerana manik-manik kian terurai di Manik Urai) alasan yang diberikan agak bertentangan dengan laungan-laungan kejayaan sebelum ini. Jadi secara tidak langsung, fakta dan data yang diketengahkan sebelum ini (semasa mempertahankan PPSMI) hanya rekaan semata-mata.

Sebagai guru BM biasa, keputusan tersebut tidak membawa apa-apa perubahan. Akan dianggap perubahan jika ELUAN GURU-GURU BM dipertimbangkan seperti ELAUN GURU BI DAN PPSMI dulu. Sementelahan, usaha memartabatkan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) semakin diuar-uarkan, tidak mungkin status guru BM begitu rendah berbanding bahasa Inggeris.

Saya sebenarnya tidak mempunyai apa-apa lagi ghairah dalam semua hal ini. Permohonan saya untuk mendapatkan pelepasan nampaknya sangat jauh daripada menjadi kenyataan. Slogan 1 Malaysia, rakyat diutamakan itu hanyalah pemanis mulut. Memohon untuk bertemu dengan orang atasan dalam KPM tersangatlah susahnya, apatah lagi saya hanya guru biasa. Begitu lumrahnya dan saya tidak menyesalinya. Harap-harap saya dapat bertahan dua tahun lagi sebelum memohon untuk bersara awal. Harap-harap juga permohonan untuk bersara awal tidak sesukar permohonan untuk mendapatkan pelepasan dengan izin.

Rabu, Julai 01, 2009

Anugerah


Segara biru dan tompok-tompok pulau,
mercup dari air berkaca saujana,
telus ke dasar,
ikan dan karang berkilau,
membias suria ceria,
kemilau.

Aku menginjak tapak di landai pantai,
yang berbaur pasir dan cengkerang relai,
mencecah anugerah nan indah,
berbekas di hati sudah,
kedamaian dan ketenangan,
di bawah rimbun pepohon,
dan hembusan bayu nan santun.

Mari kira raikan anugerah Ilahi,
dengan wacana suci bestari,
agar semua yang kita miliki,
terus lestari,
abadi.

Pulau Manukan, Kota Kinabalu.
29 Jun 2009.

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...