Ahad, Ogos 30, 2009

Ramadan


Malam jernih dan angin mulus

menguyur hujan sekali-sekali mercik di jendela

bulan tersenyum dipalit awan comel

langit telah ceria sejak mula

bahagia.


Hari bukan panas tetapi syahdu

menusuk segala rasa yang bergayut

di tubir senja suara lunak membelai

indah musim enak usia mengengsot

ke hujung pagi.


Tidak pernah hilang rasa mesra

sekelumit doa dan ratib hamba

dalam syukur rindu berbaur

kelmarin telah sirna dan esok menguja

nurani berseri dalam tujahan mimpi

di dinihari.


Getar sukma di bucu neraca

bakal terjawab seribu nista yang fana

di sini bersimpuh segala bidadari

memujuk naluri agar cinta lestari

sampai nanti destinasi hakiki.


30/8/09

Tiada ulasan:

Raya 2024