Sabtu, Mei 30, 2009

10 mata pelajaran untuk SPM

Apabila calon SPM dihadkan untuk mengambil 10 mata pelajaran sahaja, terdapat pelbagai andaian yang muncul kerana belum ada penjelasan yang tetap tentang perkara ini. Dengan pengurangan mata pelajaran teras, bilangan mp elektif semakin bertambah. Nampaknya penambahan mp elektif akan mendatangkan pelbagai masalah yang lain.
Jika banyak mp elektif dibenarkan, maka calon akan membuat kombinasi elektif yang pelbagai kerana mereka bebas memilih mp tersebut. Hal ini akan menyukarkan pihak sekolah dan kemungkinan masalah kekurangan guru akan terjadi. Penyusunan jadual waktu juga bakal terjejas kerana terlalu banyak mp elektif maksudnya pihak sekolah perlu menyusun kombinasi mp dan juga jadual waktu.
Selain itu, mp teras yang dikurangkan akan menjejaskan syarat persijilan. Jika enam mp dijadikan teras, sekurang-kurangnya KPM dapat menetapkan pencapaian minimum untuk diberikan sijil. Kini barangkali dengan hanya TIGA mp, seseorang itu dianggap telah lulus dalam SPM. Secara tidak langsung nilai sijil SPM sudah jatuh dan tidak dapat digunakan sebagai syarat kelulusan minimum untuk sesuatu tujuan, sama ada untuk melanjutkan pelajaran atau memohon pekerjaan.
Pandangan ini hanyalah pandangan peribadi saya. Apakah pandangan tuan-tuan?

Khamis, Mei 28, 2009

Sekitar Hari Guru Negeri Selangor

Saya dan Aminhad menanti majlis bermula.
Bergambar di hadapan pentas selepas majlis

Aminhad sabar menanti

AJK Jamuan yang baik hati bergambar bersama-sama Aminhad




Rabu, Mei 27, 2009

Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2009

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada hari Khamis 28 Mei, bertempat di Dewan Seri Jugra. Saya mendapat jemputan, sebagai AJK dan juga pemenang hadiah peraduan menulis cerita kanak-kanak.

Teknologi Mendekatkan Manusia

Saya bukanlah seorang yang arif sangat dalam bidang ICT. Tapi oleh sebab tidak mahu ketinggalan zaman saya belajar juga sikit-sikit. Terkini saya mula menjengah ke alam Facebook. Tapi tak ada masa yang panjang untuk meneroka dengan lebih mendalam. Melalui facebook, saya mula mendekati rakan-rakan, bekas anak murid, dan sesiapa sahaja yang suka dengan teknologi ini.
Saya juga berasa sangat bangga apabila mendapati bekas murid saya begitu pakar dalam ICT. Membaca blog mereka dan mengikuti perkembangan mereka melalui facebook, saya tahu mereka mempunyai kepakaran yang lebih tinggi daripada saya. Blog mereka juga sangat canggih dan menarik.

Isnin, Mei 25, 2009

Gambar-gambar Ceramah Penulisan



Memulakan ceramah
Contoh karya yang ringkas dan mudah



Antara novel kanak-kanak yang saya tulis



Membincangkan teknik pemasukan ilmu bantu dalam karya



Antara peserta yang mengikuti kursus


Mudah-mudahan ceramah ini memberikan manfaat kepada guru-guru


Ahad, Mei 24, 2009

Terima Kasih


Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang berada dalam dewan semasa saya berceramah. Sejujurnya saya amat gusar ceramah saya tidak dapat menarik perhatian peserta, memandangkan audiens terdiri daripada latar belakang yang berbeza-beza. Akan tetapi respons yang dapat saya lihat nampaknya guru-guru SMK TD mempunyai ramai penulis yang pasti hebat jika menulis secara aktif. Saya bertekad akan membimbing guru-guru yang berminat dengan aktiviti penulisan. Saya bukanlah penulis yang hebat, tetapi mungkin ada sedikit pengalaman dalam bidang yang saya ceburi selama 16 tahun ini.
Malangnya, gambar saya berceramah tidak dapat dimasukkan kerana saya terlupa nak bawa kamera. Mungkin kerana terlalu nervous nak berhadapan dengan peserta kali ini, saya terlupa perkara yang selalunya ada dalam beg komputer saya.


Jumaat, Mei 22, 2009

Ceramah Penulisan untuk Guru-guru SMKTD

Saya akan menyampaikan ceramah penulisan makalah dan penulisan kreatif untuk guru-guru SMK Telok Datok, pada 23 hb Mei 2009. Saya akan risau kerana dalam kalangan guru bukan semuanya meminati bidang penulisan kreatif. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang mata pelajaran. Oleh sebab kursus ini merupakan LADAP yang perlu dihadiri, maka mereka terpaksa datang. Jadi, saya harap guru-guru sekalian dapat menerima ceramah saya dengan hati yang terbuka. Jangan marah...

Rabu, Mei 20, 2009


NAFSU

Oleh: Ghazali Lateh

Kuinginkan...
semua keindahan
yang hilang bersama angin dingin
dan ombak di pantai.

Kuinginkan...
semua kenikmatan
yang hilang bersama kabus telus
dan gerimis pagi.

Kuinginkan...
semua kepuasan
yang hilang dalam diri sendiri
dan kini masih kucari.

Kuinginkan...
segala yang tak tercapai tangan.

Kg. Ruat, Yan
22/01/1983

Seingat saya, puisi ini merupakan puisi pertama saya secara formal. Ketika itu saya masih belajar di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh. Puisi ini terhasil ketika saya dengan rakan baik saya Idris Yahya, menerokai pantai di Kampung Ruat, Yan, Kedah.

Ahad, Mei 17, 2009

Pelbagai Perspektif

Satu perkara yang saya tidak suka adalah untuk berjumpa dengan orang-orang atasan apabila berhadapan dengan masalah. Akan tetapi kali ini entah semangat apa yang saya peroleh. Pada malam majlis makan malam di rumah MB Trengganu yang lalu, saya memberanikan diri berjumpa dengan Tan Sri KSU untuk meminta berjumpa dengan beliau di Putrajaya. Kebetulan pagi tadi semasa menunggu penerbangan, Tan Sri duduk bersebelahan saya. Pada mulanya saya amat malu untuk bertanya tentang masalah pelepasan dengan izin saya. Namun demikian, Tan Sri merupakan seorang yang sangat mudah didekati dan mahu mendengar masalah saya.
Jawapan yang diberikan juga agak positif. Jika saya sanggup membayar sejumlah kontrak yang belum selesai dengan Bahagian Biasiswa, pelepasan saya tidak menjadi masalah. InsyaAllah, akan saya usahakan.
Kadang-kadang kehidupan ini perlu dilihat dari pelbagai perspektif untuk mendapatkan gambaran yang sebenar.

Sabtu, Mei 16, 2009

Selamat Hari Guru 2009

Menerima hadiah daripada YAB Menteri Besar Trengganu, Datuk Ahmad Said
Bergambar kenangan bersama-sama MB sebelum majlis penyampaian hadiah bermula




Malam tadi saya menghadiri Majlis Jamuan Negeri Akal Budi di kediaman MB Trengganu. Majlisnya agak tidak begitu memuaskan kerana tempat agak sempit untuk menampung 1550 jemputan. Pengacaraannya juga agak kucar-kacir. Makanan tidak teratur. Saya tidak makan kerana berasa malu untuk berebut-rebut.


Nasib baik rakan saya Mubin (pemilik jaranganakmelayu.blogspot.com) datang ke hotel untuk menjemput saya. Saya memesan vanilla shake dengan sepinggan kuayteow goreng. Kami bersembang sampai 12.45 malam. Banyak cerita yang dikongsikan setelah bertahun-tahun lamanya tidak berjumpa. Begitulah resam penulis, rakan-rakan yang menulis akan menjadi sahabat akrab walaupun tidak selalu bertemu.





Jumaat, Mei 15, 2009

Minum Petang Bersama-sama Pengarah JPN Selangor

Dr. Zahari (Pengarah) Tn Haji Bajuri (Timbalan Pengarah), En, Suhaimi (Pengurus Pasukan Bahas), dan Encik Ghani (Pegawai JPNSelangor) berbangga dengan pencapaian pasukan Selangor.

Petang ini Pengarah JPN Selangor Dr. Zahari Aziz, mengadakan minum petang bersama-sama kontinjen Selangor. Nampaknya pasukan JPN Selangor mencipta banyak kemenangan dalam pelbagai pertandingan sempena sambutan Hari Guru tahun ini. Antaranya, bahas guru kategori BM (Johan), bahas guru kategori BI (Naib Johan), beberapa kemenangan dalam pertandingan menulis peringkat sekolah menengah.

Terima Kasih Marni

Sebuah bas bandar di Kuala Trengganu



Setelah shopping di Pasar Payang, saya kembali cepat ke hotel (sebab hari ini Jumaat). Di Trengganu, Jumaat ialah hari cuti hujung minggu.



Saya membaca blog dan tercatat komen dari bekas murid saya Marni. Melalui komen itu saya membuka blog beliau. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana masih mengingati saya yang pernah menjadi guru (yang tidak sepertinya) pada tahun 1993/4. Gambar yang dimasukkan juga turut mengembalikan nostalgia ketika itu. Saya bangga kerana sebahagian bekas murid saya berjaya dalam bidang masing-masing. Ramai juga yang menjadi guru dan Marni sendiri sedang menyiapkan PhD dan bertugas sebagai pensyarah di Uniten. Syabas semua bekas murid saya.
Gambar saya bersama murid Tingkatan 6A1 1994. Sebahagian besar nama murid saya masih saya ingat.

Pagi di Primula Beach Resort

Sarapan pagi pulut digaul kelapa bersama ikan bakar. Sarapan ini mengimbau kenangan semasa saya masih kecil di kampung saya. Orang Kedah biasanya bersarapan pagi dengan pulut kelapa parut dan ikan haruan bakar.
Catur gergasi.


Pemandangan di sekitar pantai di Primula Beach Resort


Khamis, Mei 14, 2009

Sepanjang Perjalanan ke Kuala Terengganu


Sepatutnya pesawat berangkat pada pukul 7.45 ptg. Namun disebabkan masalah teknikal, penerbangan berlepas pada pukul 8.15 malam. Tapi, yang penting selamat sampai pada 9.15 mlm. Sesampai sahaja di Primula Beach Resort, saya turun mencari gerai untuk mengisi perut. Malangnya, makanan yang saya pesan tidak menyelerakan.
Semasa menunggu pesawat di pintu B2, saya sempat menggarap puisi yang berbunyi begini:
Senja di KLIA

Cahaya neon memercup
Tika senja merayapi bumi saujana
Di sini sayap malam mula melebar
Menutup ufuk jauh
Dan diam bersama suram.

Aku masih menanti
Saat keberangkatan dalam mesra
Jarak yang tidak terlihat mata
Bakal kujejaki dalam realiti
Kerana hidup ini perjalanan
Yang telah bermula sekian lama
Lantas langkah kuteruskan jua
Ke mana-mana sahaja.

Senja di KLIA
Adalah destinasi hari
Membuka perjalanan kelam
Ke hujung malam
Tetapi di sini tidak pernah padam
Neon dan gemersik jentera
Mengejar pesona
Ke hujung dunia.

KLIA
14/5/09
7.22 malam

Selasa, Mei 12, 2009

Bangunan Lama Diruntuhkan


Setelah hampir setahun menanti, akhirnya bangunan lama yang menempatkan bilik guru SMK Telok Datok dirobohkan. Tujuannya untuk membolehkan sebuah bangunan baharu empat tingkat didirikan. Keadaan di sekitar sekolah agar tidak teratur. Murid tingkatan 6 Bawah pula baru sahaja mendaftarkan diri. Habuk dan debu beterbangan. Bekalan elektrik asyik terputus. Keadaan ini merupakan cabaran bagi warga pendidik di sekolah ini. Keadaan ini merupakan cabaran-cabaran yang terpaksa kami dihadapi oleh warga pendidik. Akan tetapi bagi pendidik yang berjiwa besar, cabaran ini tidak akan mematahkan semangat untuk menyampaikan pendidikan ke arah pembentukan modal insan pada masa akan datang.

Ahad, Mei 10, 2009

Penulisan Puisi

Saya memberi respons terhadap Bulya Iswandi yang bertanya tentang teknik penulisan puisi. Saya bukanlah seorang penulis puisi yang baik atau berjaya. Setakat ini hanya dalam 30 buah puisi saya yang tersiar di penerbitan. Akhir-akhir ini saya tidak lagi menghantarkan puisi saya ke penerbitan kerana tidak banyak karya baharu yang saya hasilkan.
Menyentuh soal penulisan puisi, saya tidak ada satu teknik yang khusus. Segala lahir sebagai sebuah ilham yang spontan. Sesuatu ilham itu saya lahirkan dengan bahasa yang melebihi sedikit drp bahasa sehari-harian. Saya garap bahasa dengan unsur bunyi yang mempunyai rima tertentu. Oleh sebab itu kebanyakan puisi saya ada pengaruh puisi tradisional. Jadi, yang penting dalam penulisan puisi ialah BAHASA yang dapat MENYERLAHKAN tema yang cuba disampaikan.
Aspek nilai dalam puisi merupakan satu aspek penting. Namun demikian, penelitian tema bukanlah tugas penulis. Penulis hanya menerapkan semua kualiti dan kreativiti dalam karya. Yang akan menilai sama ada karya itu membawa tema, nilai, dan apa-apa sahaja aspek struktural puisi ialah pembaca, penganalisis, dan pengkritik karya tersebut (itupun jika karya dibaca pihak tersebut).
Seorang penulis puisi tidak harus terlalu memikirkan aspek-aspek nilai, tema, dan aspek struktural yang lain semasa menghasilkan karya. Biarlah orang lain yang menilai karya kita. Akan tetapi jika kita menulis berdasarkan tema, nilai, dan apa-apa sahaja yang ditetapkan, kita harus memikirkan perkara-perkara tersebut sebelum melahirkan karya.

Jumaat, Mei 08, 2009

Hari Guru 2009

Tahun ini sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan akan diadakan di Kuala Trengganu. Insya-Allah saya akan bersama-sama memeriahkan majlis sambutan tersebut di Trengganu. Jumpa di sana nanti.


KITALAH ITU...

Kitalah itu,
yang melukis pada sebuah kanvas
memercikkan warna-warni kehidupan,
cerialah citra
sebuah bangsa merdeka
sebuah negara tercinta.

Kitalah itu,
yang mengukir arca wawasan
dengan tukul semangat
dan pahat keazaman,
mengupas karat peradaban
mengikis hitam perlakuan,
tugu generasi kita tegakkan
menjulang teras kedaulatan
lambang sebuah keunggulan.

Kitalah itu,
yang membina jambatan
menghubung era hadapan
meniti mercu kemajuan,
dengan lidah dan tangan
kita kibarkan kemegahan
kita semarakkan perjuangan!

Kitalah itu,
yang bernama guru
tidak mengenal erti jemu
mendidik memberi ilmu
agar anak-anak watan
tidak hanyut sendirian
di laut hasutan dan bisikan
tumpas mencari haluan.

Kitalah ...
yang sekali dipanggil cikgu
seumur hidup pun begitu
Guru tetap menjadi guru
biar sapa membisu
biar tingkah menjadi kaku.


Ghazali Lateh
Banting,

Khamis, Mei 07, 2009

Malam Kelakian

Pengetua, Tuan Hj Wahid menyampaikan cenderamata kepada Tuan Haji Azman.
Hidangan dah tersedia, menunggu masa sahaja untuk dijamah.

Salah satu daripada 4 ekor ikan jenahak sumbangan Zainuddin dan 4 ekor ikan siakap yang disumbangkan oleh Hj Kamarudin. Mereka berdua memang kaki pancing yang sangat berjaya dalam bidang yang diceburi. Lain kali boleh sponsor lagi.


Sudah menjadi tradisi warga lelaki sekolah saya untuk meraikan rakan yang berpindah. Majlis ini khusus dianjurkan oleh dan untuk staf lelaki sahaja. Oleh sebab itu kami namakan Malam Kelakian. Kali ini kami meraikan Tuan Haji Azman yang telah dinaikkan pangkat sebagai PK HEM SMK Sultan Abdul Samad. Majlis ini sangat meriah dan dapat mengeratkan silaturrahim antara staf lelaki di sekolah kami.

Selasa, Mei 05, 2009

Membentuk Minda Kelas Pertama. Mungkinkah?

Hari ini saya dijemput untuk berceramah di sebuah sekolah. Mengikut jadual ceramah akan berlangsung selama dua jam, dari 8.00 pagi hingga 10.00 pagi. Saya sampai pada pukul 7.45 pagi. Setelah saya tunggu, tak ada pun orang yang menanti saya. Saya tertunggu-tunggu sehingga jam 8.05. Jadi selepas itu, saya mula bimbang, kemungkinan saya tersalah tarikh. Akhirnya saya membuat keputusan untuk balik. Dalam perjalanan balik (dah hampir sampai ke rumah) saya menerima panggilan telefon daripada kaunselor sekolah berkenaan bertanya di manakah saya berada. Saya menjawab bahawa saya sudah balik kerana saya menunggu hampir setengah jam tidak ada sebarang tanda yang kedatangan saya dialu-alukan. Ternyata jadual saya tidak salah, begitu juga dengan waktunya.
Ada beberapa natijah daripada peristiwa ini. Yang pertama amalan menghormati tetamu perlu kita pertingkatkan. Jika kita menjemput orang datang ke tempat kita, setidak-tidaknya lantiklah seseorang untuk menunggu supaya tetamu kita tidak termangu-mangu. Yang kedua ialah aspek menepati masa dalam masyarakat kita masih terlalu lemah. Pengurusan masa yang lemah ini menjadi penghalang proses pembangunan minda masyarakat. Jadi dalam konsep SATU MALAYSIA yang diuar-uarkan, perkara ini wajib diberikan perhatian untuk melahirkan masyarakat Malaysia berminda kelas pertama. Mungkin masih jauh untuk mencapainya, kerana masyarakat kita memang berminda kelas ketiga. Setidak-tidaknya ada usaha ke arah itu.

Ahad, Mei 03, 2009

Nostalgia Ketika Remaja

Semasa saya belasan tahun, saya ada sebuah radio kecil. Ketika itu pada pukul 7.45 malam hingga pukul 8.00 malam, sebuah rancangan yang bernama Melodi Senja berkumandang setiap hari. Rancangan ini merupakan kegemaran saya kerana menyiarkan lagu-lagu yang indah melodinya. Saya amat tertarik dengan lagu-lagu kumpulan Mercy's ketika itu. Antaranya lagu Kembalilah, Usah Kau Harap, Tiada Lagi, dan lain-lain. Melodinya malar segar hingga ke hari ini.





Sabtu, Mei 02, 2009

Mengenang Afrini Adham


Seberang Nyonya dan Sebuah Nama
(Mengenang Affrini Adham)

Seberang Nyonya dan mega murung,
aroma laut dan lincah belacak.

Telah terlahir sebuah nama
yang akrab dengan pasang surut kehidupan
tega bercanda dengan lumpur dan buih pengalaman
sehingga terdaya berlari
mengutip butir-butir aksara
yang tidak pernah gugur dari langit.

Seberang Nyonya dan angin pijar,
terik kolonialisme dan tegang patriotisme
berbaur dalam atma teruna.

Telah membesar nama itu
dan tegal meraut seligi semangat
mual sudah merenung telunjuk
justeru berdirilah dengan jiwa
untuk menggubah kata-kata
menjadi jambangan menguja
“Malaya Pasti Merdeka”
kerana tahu dia kebebasan
tidak pernah turun bersama hujan.

Seberang Nyonya dan senyum kesuma,
Wangi setanggi dan ceria anak bangsa.

Betapa terlalu nikmat seorang warga
melihat nusa melangkah gagah
melepasi cengkam penjarah
bumi bangun menumbuhkan rahmat-Nya
dan dia hanya marhaen kelana
membawa minda di hujung karya.

Seberang Nyonya,
Gugup rindu dan cengang kehilangan.

Telah pulang pejuang itu
membawa pesona seorang legenda
tintanya masih tersimpan di galeri sastera
cintanya masih terkesan di hati kita
betapa jasanya melarik citra di kancah wibawa.

Seberang Nyonya dan sebuah nama
tetap abadi di sudut nostalgia.


Ghazali Lateh
Banting.
23/2/06

Kecewa?


Sebenarnya saya bukanlah orang yang mudah kecewa. Saya terlalu komited dengan apa-apa yang saya buat. Oleh sebab itu Allah mengurniakan kekuatan jiwa kepada saya. Setiap cabaran yang hadapi, saya akan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya. Alhamdulillah, saya wujud seperti saya sekarang ini. Jika saya kecewa mendapatkan sesuatu, akan saya usahakan untuk mendapatkan yang lebih baik. Setiap kali itu juga Allah mengizinkannya terjadi.

Jumaat, Mei 01, 2009

Biarkan Hari Ini Berakhir




Hari ini bakal berakhir
dengan titis embun
dan nyanyian pepohon,
aku masih belum berhasil
membuka pintu rindu
buat melepaskan cengkaman rasa
yang terbuku
sejak putik-putik jernih
bertaut di puncak sukma.

Sangkar malam terlalu kejam,
mengurung sayap mimpi,
yang terkulai di ranting luka,
dan angin seperti menyepi
mati di akar hari.

Kaulepaskan ikatan curiga ini,
biarkan aku berlari di batas realiti,
kerana hari ini bakal berakhir,
dan esok masih dirona takdir.

Kembalikan padaku,
angin musim hijau yang wangi,
sinar ceria di bingkai pelangi,
biarkan hari ini berakhir,
tanpa sepatah janji,
aku masih setia menanti.

Ghazali Lateh,
Banting,
14/11/98

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...