Baru-baru ini tercetus satu isu tentang pemilihan teks sastera dan komsas yang disuarakan oleh kesatuan guru dan juga beberapa tokoh. Antara cadangan yang diutarakan adalah untuk memilih teks sastera dan komsas hasil karya Sasterawan Negara dan juga pemenang SEA Write Awards. Secara peribadi kenyataan tersebut menampakkan beberapa perkara yang negatif dan sikap mementingkan diri pihak-pihak tertentu.
Secara peribadinya juga saya menyatakan bahawa bukan semua karya Sasterawan Negara sesuai untuk dijadikan teks kajian di sekolah. Memang betul jika dilihat dari sudut sastera per se, karya-karya berkenaan memiliki mutu pemikiran dan falsafah tertentu. Akan tetapi hal ini tidak bermakna teks karya mereka sesuai untuk dikaji oleh golongan remaja yang baru disogokkan dengan sastera. Dalam pemilihan teks yang lalu juga beberapa karya sasterawan negara amat tidak sesuai digunakan kerana unsur struktural karya berkenaan tidak jelas dan mengelirukan. Saya tidak perlu menyebut karya-karya berkenaan tetapi sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan pendidikan sastera dan komsas, saya berasa sangat janggal untuk mengajar apabila menggunakan teks hasil buah tangan sasterawan negara tersebut. Ada yang terlalu tinggi pemikirannya, dan ada pula yang langsung tidak layak untuk dibincangkan sama ada secara struktural mahupun formalistik.
Cadangan untuk menggunakan teks karya pemenang SEA Write Awards juga boleh dipertikaikan kewajarannya. Cadangan tersebut lebih bersifat kepentingan peribadi kerana sama seperti karya SN, tidak semua karya pemenang berkenaan sesuai untuk diperkenalkan di peringkat sekolah. Tidak dinafikan, ada sebahagian karya sesuai digunakan, akan tetapi bukan semua.
Pada pandangan saya, pemilihan teks hendaklah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat pemilihan. Panel pemilih pula biarlah terdiri daripada kalangan guru sastera dan bahasa kerana merekalah nanti yang akan menggunakan teks-teks berkenaan di kelas. Pihak lain tidak wajar campur tangan kerana penglibatan pihak-pihak luar lebih bersikap kepentingan kelompok dan individu yang bakal mencetuskan pelbagai konflik. Kemelut panjang yang terjadi dalam pemilihan teks sebelum ini wajar dijadikan pengajaran.
Pihak Kementerian Pelajaran pula tidak harus melayan pengaruh-pengaruh yang berada di luar kementerian dalam membuat keputusan. Berdasarkan pengalaman lampau terlalu banyak pengaruh luar akan meninggalkan terhadap guru-guru yang bakal melaksanakan pengajaran di kelas.
Sebagai cadangan, sukatan pelajaran kesusasteraan wajar dikaji dengan memasukkan unsur amali atau praktikal supaya murid dapat mengaplikasi kemahiran sastera mereka secara amali. Hal ini lebih bermakna berbanding mempelajari sastera melalui mata pelajaran KM dan Komsas yang bersifat pemahaman semata-mata. Murid-murid wajar dilibatkan secara langsung dalam usaha penghasilan dan mengenali tokoh-tokoh sastera di negara ini secara praktikal, bukan sekadar melalui pembacaan biodata. Dalam kata lain, sudah tiba masa kedudukan sasterawan dan penulis diangkat dan dikenali oleh generasi masa kini.
Hanya sekadar pandangan dan cadangan peribadi.