Selasa, Januari 29, 2008

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Sempena 50 Tahun Merdeka

Petang tadi berlangsung majlis penyampaian hadiah sayembara menulis sempena 50 tahun merdeka di DBP. Ketika menghadiri majlis ini, dapat ditemui ramai kenalan penulis, sama ada yang lama mahupun generasi penulis baharu yang prolifik seperti WS Rendra, Cikgu Rohaidah, Jamaludin D, Saidin, Shaari AB, Azizi Abdullah, Amiruddin Ali. Sempat juga bersalam dengan Datuk Dr Anuar Rethwan, Datuk Dr Kemala, Prof. Taha, Ami Masra, Hanafi Ibrahim, Nazmi Yaacob, Saifulizan Yahya, dll. Sempat juga bertanya khabar dengan Amran Daud di kedai buku. Menerima hadiah ketiga dalam kategori puisi merupakan pencapaian yang menarik juga, kerana sejak aku melanjutkan pelajaran, aku kurang menulis. Semoga anugerah ini akan mendorong aku menulis dengan lebih banyak, walaupun sering ketiadaan kelapangan. Sebelum bertolak ke DBP tadi, aku menerima satu lagi tawaran menulis yang tidak kurang menarik dan lumayan. Akan tetapi aku belum membuat keputusan.

Dapat bergambar bersama-sama beberapa penulis tersohor menjadikan aku teruja. Mula-mula bertemu dengan Jamaludin D, Osman Ayob, dan juga Azizi Abdullah. Nama mereka telah lama kukenali baru kini dapat bertemu mata, bersapa mesra. Sempat juga berborak ringkas dengan Azli Lee yang menemani isterinya menerima hadiah novel. Tahniah buat semua yang memang. Sayangnya Pak Shahnon tidak datang walaupun memenangi dua kategori hadiah.
Ada juga kelucuan yang berlaku, apabila sesi bergambar dengan pemenang hanya melibatkan pemenang kategori puisi, kategori lain tidak diteruskan kerana Datuk Seri Hamid Albar telah meninggalkan majlis. Barangkali beliau tidak diberitahu terlebih dahulu. Aku bernasib baik, sempat juga bergambar bersama-sama Datuk.
Pagi tadi aku tertarik dengan makalah tentang Komsas yang tersiar dalam akhbar Berita Harian. Rasa-rasanya hati terpanggil untuk respons. Terutamanya tentang ketidakpekaan pihak menulis terhadap realiti dunia sastera masa kini. Aku bersetuju dengan penjelasan pegawai perhubungan KPM tentang perkara tersebut. Yang lain tidak lebih daripada terus melobi dan melobi pihak-pihak yang diwakili.



Perlukah Kita Menjadi Patung?


Perlukah kita menjadi patung?
berpaling tidak mengerling,
berdiri tidak berdikari,
melihat tiada kelibat,
berkata tiada terkota.

Perlukah kita menjadi patung?
dikongkong bagai digantung,
dibelenggu tidak beruntung,
hidup tidak berjantung.

Perlukah kita menjadi patung?
hidup ditentukan telunjuk,
bergerak tiada petunjuk,
bersedih tidak dipujuk,
panas tiada penyejuk.

Perlukah kita menjadi patung?
hanya mengikut tanpa periksa,
berfikir bagai dipaksa,
melawan terlalu berdosa,
menentang bakal binasa!
Sekali kita menjadi patung,
selamanya kita akan dikongkong,
biar manis mata menghitung,
hina maruah bahu menanggung!

Sabtu, Januari 26, 2008

Antara Laut, Pasir, dan Bunga


Antara laut, pasir, dan bunga,

semuanya ada pesona,

biar berbeza warna,

tapi mengutuskan makna.



Aku terkesima sendirian,

dalam membuat pilihan,

kerana alam mengirim impian,

barangkali tidak kesampaian.

Sekadar Catatan Hari Ini


Hari ini aku kurang sihat. Akan tetapi aku terpaksa bergegas ke Shah Alam atas urusan projek penerbitan yang agak besar juga. Hampir lima jam berdiskusi akhirnya aku pulang hampir pukul 3 ptg. Semalam mendapat khabar, Sdra Shamsuddin Othman kemalangan akibat dilanggar mat rempit. Aku tertarik dengan sms Shamsuddin yang berbunyi "Penyair dirempuh mat rempit, mat rempit yang popular". Begitulah nasib penyair. Bersabarlah. Barangkali itulah dugaan yang diutuskan Ilahi terhadap hamba-Nya.


Hasrat untuk memancing udang galah sejak beberapa hari yang lalu tidak kesampaian kerana banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Ajakan kawan-kawan terpaksa kutolak kerana kesibukan.


Sekembali dari Shah Alam aku diberitahu tentang surat jemputan ke majlis penyampaian hadiah pertandingan menulis sempena 50 tahun merdeka. Setelah dibaca, aku memenangi salah satu hadiah dalam kategori puisi. Barangkali hadiah sagu hati kerana tidak dinyatakan kedudukan. Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 29 Januari 2008, 2.30 ptg di DBP. Harap dapat berjumpa kawan-kawan penulis di sana nanti. Kalau tak salah, puisi yang memang itu ditulis semasa aku berada di Langkawi bersama-sama Shamsudin Othman, Aminhad, Lutfi, Ariff, dan lain-lain. Seingat aku kami bergurau untuk saling mengatasi satu sama lain dalam pertandingan tersebut. Barangkali rakan-rakan yang lain turut memenangi pertandingan tersebut kerana mereka juga penulis yang hebat. Dalam perkara ini aku teringat akan gelaran yang diberikan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said kepadaku suatu waktu dulu sebagai "penulis yang kuat beradu". Namun kini aku tidak lagi begitu ghairah menyertai pertandingan akibat kekangan tugas dan urusan-urusan lain yang mendesak.


Rabu, Januari 23, 2008

Menikmati Senja di Pantai Kelanang



Debur ombak membadai pantai ketika senja mula melabuhkan tirai, hatipun terpana pada temaram warna, tiada kata-kata menikmati ciptaan-Nya. Tika senja mula menyapa, sayunya rasa membelai jiwa, di kejauhan laut bersuara, mengusik sukma seorang perasa.
Senja pasti datang kerana janji-Nya tidak pernah kecundang. Menikmati senja ini seperti menanti malam hitam tanpa azam selain melelapkan kelelahan yang terkutip sepanjang siang. Sesekali menikmati senja adalah perjudian usia dalam perjalanan menuju destinasi, meninggalkan seribu ritma jiwa yang sumbang, kehilangan ruang di hujung pandang.

Ahad, Januari 20, 2008

Sepuluh Hari di Kuala Lumpur

Selama sepuluh hari aku menghabiskan masa menghadiri kursus PTK DG44 di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur. Ada macam-macam perasaan selama tempoh itu. Seronok juga sebab dapat berjumpa dengan rakan-rakan sejawatan dari seluruh negeri, malah ada yang datang dari Perak dan Sarawak. Kursus sebegini agak membebankan kerana peserta terpaksa mengharungi 3 hari kuliah, tiga hari persembahan tugasan termasuk Public Speaking (yang jadi public reading), tugasan individu, dan persembahan kumpulan.


Sepanjang kursus, aku hanya keluar dari hotel tiga kali sahaja. Pertama aku berjalan ke Chow Kit pada waktu malam. Namun Chow Kit tidak lagi menarik seperti 20 tahun yang lalu. Semakin lewat aku berjalan kembali ke hotel melalui lorong dan aku melalui beberapa individu wanita yang memperagakan diri dalam cahaya temaram lampu kota yang semakin muram.


Keduanya aku sempat juga memandu kereta ketika hujan lebat untuk ke Sogo dan Kompleks Pertama. Ketika minum petang di sebelah Pertama Complex aku tertarik dengan gelagat anak-anak Kuala Lumpur. Di depan mejaku, kulihat 3 orang gadis sunti Melayu berpakaian seperti lelaki, berkemeja lengan panjang putih, berseluar hitam, ada yang semuanya hitam. Mereka duduk berbual sambil menghisap rokok. Aduh, anak siapakah mereka itu? Atau adakah mereka anak yang tidak ketahuan bapanya? Nauzubillah!!


Aku tertarik juga membaca artis yang membuka pakaian ketika membuat persembahan. Primitif, itulah tanggapan pertama yang hadir dalam fikiran. Itulah artis zaman batu.


Ada seorang rakan yang hantar sms tentang pemilihan teks sastera. Aku tidak pasti siapa? Dia merungut tentang kemelut pemilihan teks Komsas. Aku tak mahu komen, tetapi sebagai guru biar Pusat Perkembangan Kurikulum yang membuat keputusan tanpa terpengaruh dengan kelompok-kelompok atau individu yang berkepentingan dalam sastera. Bagiku, biarlah bahan yang dipilih itu benar-benar dapat menarik minat remaja. Kalau karya sasterawan negara atau pemenang Sea Write pun tapi dah tak difahami oleh pembaca buat apa nak pilih.


Sebenarnya, kehidupan ini penuh dengan simpang-siur seperti persimpangan di kota metropolitan Kuala Lumpur.

Khamis, Januari 10, 2008

Selamat Tahun Baharu Hijrah

Selamat Tahun Baharu Hijriah 1429. Permulaan tahun baharu ini diharapkan membawa sinar keimanan yang bertambah terang. Banyak perkara yang mendatangkan sedikit kesan dalam hati dan perasaan sepanjang tahun lalu. Pertama sekali tentang manusia, yang sering kali lebih banyak mementingkan diri daripada menunjukkan keikhlasan hati. Adakalanya bicara terlalu manis untuk didengar, akan tetapi hakikatnya manusia hanya berpura-pura, sangat cemar peribadi dalamannya. Namun, aku tidak menyesal dengan ketentuan Allah. Semua yang terjadi adalah dengan kehendak-Nya jua.


Aku memulakan tahun ini dengan membeli kitab Fikhah yang bagiku agak lengkap (kerana diri amat dangkal pengetahuan agama). Harapannya, tidak sekadar mahu menambahkan penghayatan terhadap agama tetapi juga dapat membantu dalam penulisan akan datang (jika mahu menulis lagi). Penulisan masa kini tidak lagi begitu mementingkan kreativiti tetapi lebih berat ke arah pengisian ilmu.



Tahun ini juga permulaan yang baik bagi anak lelakiku kerana dia tiba-tiba sahaja meminta untuk masuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) Banting sementara menunggu keputusan SPM. Selama ini dia tidak pernah mahu meninggalkan rumah. Namun perasaan risau wujud juga kerana pertama kali tinggal di asrama mendatangkan banyak masalah kepadanya. Semoha dia cekal berhadapan dengan selama macam kerenah.

Bermula 12 Januari nanti aku akan berkursus PTK di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur. Harapannya, tahun baharu ini membawa semangat dan iltizam baharu untuk melayari kehidupan dengan lebih bermakna.

Isnin, Januari 07, 2008

Rindu akan Kepemimpinan yang Lalu

Sejak akhir-akhir ini pelbagai kemelut mewarna senario di negara kita. Apabila persekolah bermula, kecoh tentang bayaran tambahan. Ingat tak bagaimanakah isu ini bermula. Sebenarnya pengumuman pemansuhan yuran sekolah dan yuran peperiksaan mencetuskan pelbagai reaksi. Selain itu teka-teki tentang tarikh pilihan raya juga memainkan peranan. Masyarakat beranggapan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat. Jadi, masa inilah mereka ingin mengugut untuk mendapat segala-galanya secara percuma. Kalau boleh seluar dalam juga hendaklah diminta subsidi dari kerajaan. Jika tidak dilayan mereka tidak akan menyokong kerajaan.
Soalnya, mengapakah kebanyakan pemimpin kita mendiamkan diri daripada bangkit dengan tegas menangani isu-isu yang berbangkit.
Kemudian kecoh pula ketiadaan minyak masak di pasaran, isu pelampau etnik, dan macam-mcam lagi. Semua ini menjadikan aku amat rindu akan kepemimpinan yang lalu. Bagaimanakah kalian?

Sabtu, Januari 05, 2008

Pemilihan Teks Sastera dan Komsas

Baru-baru ini tercetus satu isu tentang pemilihan teks sastera dan komsas yang disuarakan oleh kesatuan guru dan juga beberapa tokoh. Antara cadangan yang diutarakan adalah untuk memilih teks sastera dan komsas hasil karya Sasterawan Negara dan juga pemenang SEA Write Awards. Secara peribadi kenyataan tersebut menampakkan beberapa perkara yang negatif dan sikap mementingkan diri pihak-pihak tertentu.
Secara peribadinya juga saya menyatakan bahawa bukan semua karya Sasterawan Negara sesuai untuk dijadikan teks kajian di sekolah. Memang betul jika dilihat dari sudut sastera per se, karya-karya berkenaan memiliki mutu pemikiran dan falsafah tertentu. Akan tetapi hal ini tidak bermakna teks karya mereka sesuai untuk dikaji oleh golongan remaja yang baru disogokkan dengan sastera. Dalam pemilihan teks yang lalu juga beberapa karya sasterawan negara amat tidak sesuai digunakan kerana unsur struktural karya berkenaan tidak jelas dan mengelirukan. Saya tidak perlu menyebut karya-karya berkenaan tetapi sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan pendidikan sastera dan komsas, saya berasa sangat janggal untuk mengajar apabila menggunakan teks hasil buah tangan sasterawan negara tersebut. Ada yang terlalu tinggi pemikirannya, dan ada pula yang langsung tidak layak untuk dibincangkan sama ada secara struktural mahupun formalistik.
Cadangan untuk menggunakan teks karya pemenang SEA Write Awards juga boleh dipertikaikan kewajarannya. Cadangan tersebut lebih bersifat kepentingan peribadi kerana sama seperti karya SN, tidak semua karya pemenang berkenaan sesuai untuk diperkenalkan di peringkat sekolah. Tidak dinafikan, ada sebahagian karya sesuai digunakan, akan tetapi bukan semua.
Pada pandangan saya, pemilihan teks hendaklah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat pemilihan. Panel pemilih pula biarlah terdiri daripada kalangan guru sastera dan bahasa kerana merekalah nanti yang akan menggunakan teks-teks berkenaan di kelas. Pihak lain tidak wajar campur tangan kerana penglibatan pihak-pihak luar lebih bersikap kepentingan kelompok dan individu yang bakal mencetuskan pelbagai konflik. Kemelut panjang yang terjadi dalam pemilihan teks sebelum ini wajar dijadikan pengajaran.
Pihak Kementerian Pelajaran pula tidak harus melayan pengaruh-pengaruh yang berada di luar kementerian dalam membuat keputusan. Berdasarkan pengalaman lampau terlalu banyak pengaruh luar akan meninggalkan terhadap guru-guru yang bakal melaksanakan pengajaran di kelas.
Sebagai cadangan, sukatan pelajaran kesusasteraan wajar dikaji dengan memasukkan unsur amali atau praktikal supaya murid dapat mengaplikasi kemahiran sastera mereka secara amali. Hal ini lebih bermakna berbanding mempelajari sastera melalui mata pelajaran KM dan Komsas yang bersifat pemahaman semata-mata. Murid-murid wajar dilibatkan secara langsung dalam usaha penghasilan dan mengenali tokoh-tokoh sastera di negara ini secara praktikal, bukan sekadar melalui pembacaan biodata. Dalam kata lain, sudah tiba masa kedudukan sasterawan dan penulis diangkat dan dikenali oleh generasi masa kini.
Hanya sekadar pandangan dan cadangan peribadi.

Selasa, Januari 01, 2008

Selamat Tahun Baharu 2008


MONOLOG TAHUN BARU

Ghazali Lateh

Prolog
Detik telah berhimpun
menjadi padang waktu yang luas
sehingga tidak tercari
titis usia yang tercicir.

I
Menjengah ke jendela musim baru,
betapa diri terasa begitu dikejar kemelut
yang semakin akrab bertaut
pada pilar kehidupan
sehingga kerentaan terpamer pada lenggok bicara
dan warna usia
hasrat terkepung dalam musibah yang liar
andai nyaris menggugurkan tampuk nafas
semakin reput dan sesak.

Ketika datang semua amaran
dalam mimpi dan realiti
benih gusar pun bercambah tunas
dedaun hari gugur satu persatu
sampai kini teras iman masih utuh
menahan asakan gelombang sejuta arah
dan tega meratah akidah.

II
Betapa kalendar baru membawa erti
hidup berkurang lagi dalam kantung destinasi
papan tanda di perjalanan semakin mengubah makna
jalan mana, hala mana,
detik bila, tika bila,
kerana perhentian terlalu dekat dan terhimbau
dari jarak yang tidak terlangkau.

Jiwa mula terasa mahu mengutip kembali
usia yang tercicir dan mengapung
kerana lorong di depan mengecut dan semakin kosong
ketika urat dan sendi terasa ngilu
langkah layu
bicara bisu.


III
Namun dalam menafsir kemungkinan
yang tercatat dalam kamus azali
cubalah yakini seperti hidup seribu tahun lagi
atau bakal mati pada esok hari
detik waktu akan terus melemparkan isyarat
sebelum terlambat mencari kalimah taubat
mengisi catatan perjalanan
ke hujung sempadan
sebuah perhentian.

Khabar tentang rakan-rakan yang pulang
semakin menghanyutkan igauan
kerana mereka pernah berbicara
memohon dalam tawadduk doa
tentang hasrat besar seorang manusia
biar apa natijahnya.

IV
Melewati takat pengalaman yang semakin mengecil
menjelajahi keinsafan betapa diri ini kerdil
maka hari depan bukanlah keabadian
yang tergantung di ufuk zaman
hanya secebis kisah terbaur dalam adunan
nantilah masa yang pasti datang
dengan hati yang lapang.

Sebelum berlabuh sebuah pelayaran yang panjang
hitunglah secebis catatan tentang musim-musim keterlanjuran
dan tunas-tunas keindahan
yang masih ada dalam gerobok terbiar
di sudut asrar.

V
Sekerdil ilham sang penyair
peka setiap zarah dalam agenda sejarah
bukan iseng meluah yang tercuil dalam nurani
dengan katanya; dengan tintanya;
Fajar tahun baru telah cair dalam sinar terakhir,
Tunas azam menanti embun dari langit terbuka,
Bakal turun hujan, atau ribut taufan,
Membunuh semua angan tidak kesampaian.

Tahun baru hanya sebuah pusingan musim,
Antara mengakhiri dan memulakan langkah,
Yang sebenarnya tidak pernah terpisah,
Oleh sempadan yang merah,
Dalam menuju arah.

Bila-bila pun waktu tetap sama,
Cuma terbeza pabila diberi nama,
Sekadar penanda baru dan lama,
Antara usia muda atau tua renta.

Tahun baru hanyalah satu tingkat waktu,
Kita perlu menilai diri mentafsir erti,
Bahawa kehidupan harus terus berlari,
Mengejar impian duniawi,
Dan berteduh di rimbun ukhrawi.

Sambutlah tahun baru dengan limpah restu,
Mengorak langkah ke utopia syahdu,
Hingga detik terakhir jangan sampai terpinggir,
Dalam menempah hasrat terukir.

Tahun baru bakal silih berganti,
Apakah kita akan sempat merasai,
Untuk sekali lagi?

VI
Betapa penantian bukan tamsil penyair
mengharap nama terpanggil ke podium anugerah
justeru dalam senarai Tuhan
tanpa pemberitahuan tetap sampai giliran
biar mancur kemewahan
pengungsi saf dari belakang ke depan
atau selamanya hanya menapak ketinggalan
dalam perjalanan hakiki
menuju destinasi.

VII
Saat keberangkatan tidak pernah tercatat
dalam carta keazaman
hanya cermin diri semakin retak
untuk membalikkan watak diri yang porak
dan harga diri yang dijulang gejolak.

Destinasi ini semakin mengurung kealpaan
dan membebaskan ketauhidan
untuk berlegar di mega terakhir
sebelum mentari berzikir
dalam temaram cuaca malam yang hadir.


Epilog

Tahun berganti tahun
dan kedewasaan mengajar diri
betapa kehidupan yang tersisa
adalah milik-Nya
bakal dipanggil pulang
bila-bila masa.


Banting
1/1/05

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...