Khamis, Jun 04, 2009

Rombak Pakej Subjek untuk SPM


Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengehadkan 10 mata pelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan. Sebagai seorang pendidik, saya juga terpanggil untuk menyuarakan pandangan saya dalam hal ini. Bagi saya, cadangan tersebut merupakan satu transformasi yang wajar diterima dengan positif. Sistem pendidikan negara ini telah melalui pelbagai perubahan sebelum ini. Sebagai satu entity yang dinamik kita tidak harus berasa janggal untuk membuat perubahan.

Mengikut dasar yang dicadangkan, hanya empat subjek akan diangkat sebagai subjek teras. Hal ini telah membimbangkan banyak pihak kerana beberapa subjek penting juga akan tercicir daripada senarai subjek teras tersebut. Untuk mengatasi masalah ini saya mencadangkan pakej mata pelajaran diwujudkan seperti berikut, iaitu subjek teras, subjek subteras, dan subjek elektif. Bagi murid-murid mereka diperlukan mengambil empat teras, dua subteras, dan dua elektif untuk memenuhi kuota 10 subjek dalam peperiksaan.

Subjek teras hendaklah dirombak daripada subjek-subjek yang ada sekarang. Empat subjek teras cadangan saya ialah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Kenegaraan Malaysia (yang terdiri daripada sejarah dan tamadun bangsa), dan Pendidikan Insaniah (yang terdiri daripada Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan).

Subjek subteras pula hendaklah dipakejkan dalam bentuk dua subjek satu pakej. Misalnya Fizik dan Kimia, Biologi dan Sains Am, Perdagangan dan Perakaunan, Matematik Moden dan Matematik Tambahan, Sains Komputer dan ICT, Geografi dan Pendidikan Alam Sekitar, dan subjek-subjek lain yang berada dalam kategori yang sama. Sementara itu subjek elektif pula terdiri daripada subjek seperti Pendidikan Seni, Sains Pertanian, Kemahiran Hidup, Tasawur, Syariah, dan lain-lain. Dengan cara ini murid dapat menjuruskan hala tuju mereka dengan mengambil subjek yang ada kaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. Cara ini juga dapat mengembangkan potensi murid dalam bidang yang digemari oleh mereka.

Dalam usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, dua subjek iaitu Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu digabungkan. Kaedah bahan kesusasteraan hanya sebagai komponen juga perlu dirombak dengan menitikberatkan aspek penghayatan dan aplikasi kesusasteraan dalam memupuk jati diri generasi muda. Kesusasteraan tidak harus dilihat sebagai bahan pemahaman semata-mata tetapi sebagai pelahiran bakat dan penghayatan nilai murni yang terkandung dalam bahan-bahan sastera itu sendiri. Oleh sebab Bahasa Inggeris dianggap sebagai bahasa global dan teknologi, subjek ini juga diangkat sebagai teras untuk menggantikan PPSMI yang semakin hangat dibantah. Dalam hal ini bahasa dan kesusasteraan Inggeris wajar dilihat sebagai satu kaedah untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.

Subjek kenegaraan pula melibatkan aspek sejarah dan tamadun bangsa Malaysia. Di peringkat institusi pengajian tinggi subjek ini telah pun diajarkan, jadi tidak menjadi masalah kepada penggubal kurikulum untuk merendahkan tahapnya bagi disesuaikan dengan peringkat umur remaja belasan tahun. Untuk menambahkan penerapan jati diri, subjek Pendidikan Insaniah dicadangkan yang merangkumi Pendidikan Agama Islam bagi murid yang beragama Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik disatukan untuk murid bukan Islam. Melalui subjek ini aspek penerapan nilai insaniah dititikberatkan bagi melahirkan generasi muda yang berjati diri dan modal insan yang syumul.

Subjek subteras yang dicadangkan pula perlu diperhalusi bagi membolehkan penyebarannnya seimbang dan menjurus ke arah kursus-kursus yang ditawarkan di university. Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kepakaran untuk menyusun perkara ini agar relevan dengan keperluan masa kini dan masa hadapan. Bagi subjek elektif pula murid diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan agar dapat membantu mereka lulus dengan baik dalam peperiksaan. Malahan murid juga diberikan kebenaran jika tidak berminat untuk mempelajari pakej elektif. Hal ini kerana mereka akan mengambil sekurang-kurangnya lapan subjek iaitu subjek teras dan subjek subteras.

Kesimpulannya, cadangan untuk mengehadkan subjek dalam peperiksaan SPM perlu dillihat secara kritis dan positif. Dengan pelaksanaan cadangan ini, semua murid akan menduduki peperiksaan yang agak seimbang iaitu antara lapan hingga 10 subjek. Sekarang ini keadaannya amat tidak seimbang. Ada calon yang mengambil tujuh subjek sahaja dan ada pula yang mengambil lebih daripada 20 subjek.


2 ulasan:

Sathes Kumar berkata...

Cadangan yang bagus.... saya sokong

Marniyati berkata...

Salam.
Cadangan yang bernas. Saya sangat bersetuju dengan cadangan menggabungkan Bahasa Melayu dengan Kesusasteraan Melayu. Apa pun, saya sangat berharap agar segala keputusan yang dibuat oleh KPM bukanlah keputusan bidan terjun (hari ini diputuskan, esok dilaksanakan) kerana persediaan yang cukup di pihak pengajar dan pelajar adalah sangat perlu. Mungkin segala ketetapan ini boleh dimulakan pada tahun hadapan. Pelajar tahun ini boleh belajar dengan aman dan damai. Tentu kelam kabut jika segalanya dilaksanakan serta merta. Kajian rintis adalah sangat perlu.

Travelog Seoul Korea 2017

Tanpa banyak persediaan, saya membuat keputusan untuk melancong ke Seoul. Saya terbang ke Seoul pada 28 Ogos, dengan Air Asia.   Kami tiba ...