Syawal menjenguk juga setelah sepurnama umat Islam menunaikan ibadah puasa. Syawal mengembalikan ingatan ke kampung halaman, zaman ketika diri masih kecil. Nun jauh di utara, Kampung Bukit Nibung ialah tempat yang penuh nostalgia. Zaman kecilku sehingga berusia 18 tahun aku berada di sana. Hari raya semuanya indah. Bagiku semuanya tidak seindah itu. Aku tidak begitu dapat membezakan antara hari raya dengan hari biasa. Yang kuingat sehari sebelum hari raya orang kampung ke Pekan Bukit Jenun membeli daging. Bagi keluarga kami sekati daging sudah mencukupi, untuk dimasak kari pekat dan dimakan dengan ketupat pulut. Adakalanya arwah bapa akan membawa balik tulang lembu untuk dibuat sup.
Oleh sebab kemiskinan, aku tidak berapa kisah dengan hari raya. Percaya atau tidak aku pernah pergi ke baruh untuk memancing ketika orang lain gembira menyambut hari raya. Atau ke bukit mencari kayu api seperti tiada apa-apa yang berlaku. Itulah bahana kekurangan.
Minggu lalu aku tertarik dengan pelawaan seorang sahabat untuk membeli air botol berbagai-bagai perasa. Lama sudah tidak kulihat air botol seperti ini. Dalam tahun 60-an dan 70-an, air inilah yang menjadi idaman anak-anak. Ketika ibuku mengambil upah menanam padi, air inilah yang adakan disediakan oleh majikan. Jadi, aku dan budak-budak lain akan menempel di batas sawah, menanti waktu ibu-ibu mereka berhenti untuk minum. Seteguk diminum ibu, selebihnya anak-anaklah yang kesedapan menghabiskannya.
Apabila aku terlihat akan air botol itu, pantas sahaja aku memesan satu tong (48 botol). Bukan kerana nafsu kehausan sebab puasa, tetapi aku terlalu bernostalgia zaman kecilku. Sengaja aku beli dengan banyak untuk diberikan dan diceritakan kepada anak-anak tentang nostalgia masa lalu, tetapi setelah dirasa, lantas mereka berkata 'tak sedap'. Barangkali yang sedap padaku masa lampau tidak lagi enak dinikmati pada zaman ini.
Besok, 1 syawal. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.