Ahad, Mac 14, 2010

Kebun Hayat (Sempena Hari Jadi yang ke-49)


Telah kupugar kebun hayat ini dengan tangan telanjang,
ketika duri-duri hidup terlalu tajam dan kejam
menusuk setiap angan dan impian
hingga mengapungkan seribu kekangan.

Namun benih pejal dari baka kental
telah kutabur di sepanjang batas-batas durja
bercambah sukar lantaran gersang masih mencabar
kugagahi setiap denyut nadi
memberanikan diri ke tengah ilusi.

Tumbuh jua pohon-pohon kasmaran
berbuah sekadar menghiasi ranting dan dahan
kebun hayat ini tidaklah seindah taman
tetapi cukup sekadar alas bekalan.

Menoleh kehijuan yang semakin renta
kugagahi juga untuk melengkapkan peta
buat laluan anak-anak dan seluruh warga
mencapai hasrat tidak semudah kata-kata.

Sejauh ini perjalanan
ada ketikanya aku menilai kekuatan
semakin luntur dimamah pengalaman
semakin kendur disesah keresahan.

Inilah kebun hayatku,
bertunas tumbuh dan semakin melawas
menunggu masa tanah gersang ini
dipugar semula di alam firdausi.

Banting,
14/3/2010

Tiada ulasan:

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...