Rabu, Mac 31, 2010

Di Morib


Ikan belanak merupakan ikan yang paling dijala. Yang lain hanyalah anak-anak ikan dan ketam. Ada juga sedikit udang yang terperangkap dalam jala.

Namanya Ilham. Dia langsung tidak kekok berada di tepi laut. Lihatlah cara dia memegang belangkas dengan penuh yakin dan berani.

Petang semalam saya bersantai di Pantai Morib yang sedang dibangunkan semula. Saya tertarik dengan kehadiran sebuah keluarga yang menjala ikan ketika air pasang begitu besar. Hasilnya tidak seberapa tetapi saya bangga dengan usaha dan kerajinan keluarga berkenaan mencari rezeki. Saya bergurau dengan anak-anaknya yang kelihatan tidak takut dengan kehidupan di laut. Ombak yang membadai sedikit pun tidak menjejaskan kelincahan mereka bermain-main di tepi pantai.

Isnin, Mac 29, 2010

Lepak di Bangsar

Semalam saya sempat di Bangsar, iaitu di Pelita Nasi Kandar di Jalan Telawi. Saya menghantar anak lelaki saya pulang ke asrama di Bukit Pantai. Kuala Lumpur disirami hujan malam tadi membuatkan kami lapar. Anak saya mencadangkan kami makan di Bangsar.
Hujan malam di Kuala Lumpur
namun kehangatan di sini tidak kendur
mobil di jalanan terus meluncur
mata dan bicara tidak mahu tidur.
Semuanya masih segar
di birai jalan manusia berlegar
warong-warong umpama sanggar
bercanda mesra bertepuk tampar.
Di Bangsar semuanya tampak besar
biar malam semuanya masih segar
remaja beriring membelah malam
di bawah siraman lampu temaram.
Tidak berlama kiranya di sini
kerana aku semakin tidak berani
malam beranjak dinihari
aku harus mengejar mimpi
untuk bangun esok hari
dengan sinar dan cahaya pelangi.
Bangsar,
18/3/2010

Kunjungan Kawan

Saya bergambar bersama-sama Cikgu Elliaziz, isterinya Kamsatin, dan anak mereka Syafiq di hadapan rumah saya. Saya juga menghadiahkan antologi cerpen saya, Di Kaki Mimbar sebagai kenang-kenangan.
Pada hari Sabtu saya menerima kunjungan rakan saya Cikgu Elliaziz dan keluarganya yanng datang dari Perlis. Beliau merupakan rakan serumah saya ketika kami sama-sama mengajar di SMK Sik bermula tahun 1984. Kini beliau mengajar di SMK Syed Sirajuddin, Perlis. Saya amat berbesar hati apabila mengetahui mereka akan datang ke rumah saya dan bermalam di rumah kami. Sebenarnya, Cikgu Elliaziz melawat anaknya di Kolej Mara Banting kerana ada program yang dianjurkan oleh KMB pada hari Ahad 28 Mac. Pada pagi Ahad, saya dan Elliaziz pergi berjumpa seorang lagi rakan kami iaitu Haji Halim Noh di Kanchong Darat.

Sabtu, Mac 27, 2010

Lebur Diri


Pepejal daging, tulangbelulang dan urat nadi,
disepuh saujana cakerawala Tuhan,
menjadi puing-puing di langit zaman,
terbang dan mengecil,
luluh lalu sirna
dalam lebur diri
di kaki arasy Ilahi.

Cair darah, pekat lendir dan jurus air mata,
meruap dalam sakar al Khaliq,
lerai jisim tersihir mukjizat,
dalam lebur diri,
di dasar tasik Rabbi.

Hanyir nafas, serat angin dan hela nyawa,
hancur dalam lowongan wirid,
mercup gizi tanpa erti hakiki,
punah dan hina,
dalam zuhud,
di kawah mimpi.

Banting.
28/2/2001

Selasa, Mac 23, 2010

Sunyi


Tiba-tiba diri terasa seperti berada di dalam gua
jauh terpencil di tengah-tengah belentara
hening sepi tanpa suara
semuanya seakan-akan tidak mahu berbicara
suram temaram tanpa cahaya
semuanya seakan-akan memendam kesima.
Tiba-tiba diri terasa terlantar di semudera luas
di tengah-tengah alunan ombak yang ganas
kolong langit terbuka luas
dan angin seperti bertiup malas.

Tiba-tiba diri terasa di tengah gurun tandus
kehilangan arah bak dibungkus kabus
jauh saujana tanpa destinasi
hilang pesona dimamah ilusi.

Kesunyian tiba-tiba sahaja mekar
di taman hati mercup membugar
meruntun runduk hati yang gusar
memalap cahaya lantera yang pudar.

Begitulah
sesekali sunyi terbit dari keinsafan
bahawa kehidupan ini sebenarnya sebuah perjalanan
yang sukar ditentukan keadaan
semakin diri dirancu kerumitan.

Banting,
23/3/2010

Isnin, Mac 22, 2010

Sebuah Episod

Tonil itu akan kehilangan audiens
jika tidak ada babak mencemaskan
apabila episod tragis itu berlangsung
ramai yang terbangun didorong emosi
melontar berani ke pentas
membuang fikiran ke kertas
dan arena pun sesak bergegas
untuk menamatkan babak pedih dan kalut.

Episod klimaks pun panjang seperti dirancang
watak-watak kehilangan skrip awal
babak berlangsung di luar kawal
audiens semakin ramai bangun menyerbu
meninggalkan sopan di bangku.

Sang Wira seperti selalunya menang
meninggalkan antagonis membasuh arang!

Namun audiens bangun bersuara lantang:
"antagonis tidak perlu kalah
hanya kerana mahu mengikut skrip"

Tonil itu tetap hilang hebatnya
kerana audiens memberi gelaran wira
kepada yang bukan sepatutnya!

Episod itu belum berakhir,
ketika watak mengosongkan arena,
dan audiens mula menafsir makna,
sebuah tonil tanpa sutradara!

Banting,
19/12/99

Sabtu, Mac 20, 2010

Badut


Dia berhasil ke tengah arena,
dengan semangat yang belum sempurna,
tiba-tiba dia memakai baju badut,
dengan mata dibesarkan,
tanpa melihat apa-apa,
dengan mulut dilebarkan,
sekadar mengundang ketawa,
dengan langkah dipanjangkan,
hanya menjejak celaka.

Layaklah dia terus menjadi badut,
jika ke arena sekadar ingin dikenal nama,
khalayak akan terus tertawa,
kerana lakonan yang mendera diri,
dia bercakap tetapi tidak mengerti,
dia bernyanyi tetapi tidak harmoni,
dia mencabar tetapi tidak berani.

Kita lihat si badut terus terkinja,
menurut rentak lagu gereja,
dalam melodi durjana,
komposisi licik hasad celaka.

Selama mana dia akan dapat bertahan,
dengan lakonan yang tidak keruan!

Banting,
29/11/99

Jumaat, Mac 19, 2010

Gazebo



Saya membeli sebuah gazebo yang dibuat daripada kayu gelugu atau kelapa laut dari Indonesia. Pekerja-pekerja mengambil masa hampir lima jam untuk memasang gazebo tersebut di halaman rumah saya. Kini laman hijau saya semakin kecil tetapi nampak ada unsur kekampungan dengan adanya gazebo tersebut.


BUKAN


Saya menulis tapi bukan sasterawan,
Saya berpuisi tapi bukan penyair,
saya bermadah tapi bukan ahli falsafah,
Saya bercerita tapi bukan penglipur lara,
Saya bercakap tapi bukan pemidato,
Saya hanya saya,
Seorang insan biasa.

19/3/2010

Rabu, Mac 17, 2010

Berjalan-jalan


Melawat ke Balai Seni Lukis Negara. Sayangnya, tidak banyak lukisan yang dipamerkan. Kalau boleh beri pandangan, pihak BSLN sepatutnya mempamerkan lebih banyak lukisan dengan membuat kategori, misalnya lukisan cat air satu bahagian, arkrilik atau cat minyak satu bahagian, lukisan pensel atau arang satu bahagian, lukisan potret di satu bahagian. Barulah pengunjung dapat menikmati hasil seni berdasarkan kecnderungan mereka.
Saya meminati seni lukis sejak di bangku sekolah.


Pada 16 Mac, saya berkunjung ke Tanjung Karang dan Kuala Selangor. Gambar di atas diambil di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor.

Monyet-monyet di Bukit Melawati semakin jinak dan kenyang.

Ahad, Mac 14, 2010

Kebun Hayat (Sempena Hari Jadi yang ke-49)


Telah kupugar kebun hayat ini dengan tangan telanjang,
ketika duri-duri hidup terlalu tajam dan kejam
menusuk setiap angan dan impian
hingga mengapungkan seribu kekangan.

Namun benih pejal dari baka kental
telah kutabur di sepanjang batas-batas durja
bercambah sukar lantaran gersang masih mencabar
kugagahi setiap denyut nadi
memberanikan diri ke tengah ilusi.

Tumbuh jua pohon-pohon kasmaran
berbuah sekadar menghiasi ranting dan dahan
kebun hayat ini tidaklah seindah taman
tetapi cukup sekadar alas bekalan.

Menoleh kehijuan yang semakin renta
kugagahi juga untuk melengkapkan peta
buat laluan anak-anak dan seluruh warga
mencapai hasrat tidak semudah kata-kata.

Sejauh ini perjalanan
ada ketikanya aku menilai kekuatan
semakin luntur dimamah pengalaman
semakin kendur disesah keresahan.

Inilah kebun hayatku,
bertunas tumbuh dan semakin melawas
menunggu masa tanah gersang ini
dipugar semula di alam firdausi.

Banting,
14/3/2010

Sabtu, Mac 13, 2010

Panas Jakarta

Bergambar di depan sebuah bajaj berhampiran Pasar Tanah Abang, Jakarta.

Membahang dari bumi dan langit
dan wargamu yang bertingkah gesit
mobil-mobil lincah mencuit
kereta api kerap meledakkan peluit.


Bajaj dan ojek merajalela
membelah jalan berhaba
pedagang berjualan terus
biar nyawa dilambung arus.


Jakarta kota panas
anak-anak remaja berwajah bebas
berpacaran hari minggu
ketika bahang menaikkan debu.


di pinggir jalanan orang berdagang
barangan lusuh dan replika senapang
mereka terus datang dan pulang
hilang dan muncul di celah gang.


Aku tidak betah bertahan
panas Jakarta bagai tiada teduhan
macet mengasak pedagang mendesak
transaksi rancak aku yang sesak.



Kompleks WTC Mangga 2,
Kota Jakarta,
7/3/2010

Jumaat, Mac 12, 2010

Ikon

Seorang penjaja jalanan di Kota Jakarta sedang merayu agar saya membeli 'opak' jualannya. Akhirnya saya beli juga kerana bersimpati kerana dia rajin dan tetap mahu berusaha biarpun sukar dan terpaksa mengambil risiko bahaya di tengah kesesakan lalu lintas.

Pusat sumber telah memilih saya untuk menjadi ikon. Satu sudut disediakan untuk mempamerkan hasil karya saya. Untuk tujuan itu, guru-guru pelatih yang sedang menjalani latihan di sekolah saya telah ditugasi untuk mewujudkan ruang pameran tersebut. Saya dengan rasa rendah diri memberikan kerjasama kepada mereka untuk meningkatkan prestasi mereka di sekolah ini. Mereka mewawancara saya dan juga membuat rakaman. Mereka meminta buku-buku, trofi, sijil, gambar-gambar saya tentang pencapaian saya dalam bidang pendidikan, penulisan, kesusasteraan untuk dipamerkan. Saya hanya memberikan sebahagian kerana berasa malu untuk memberikan semuanya. Nanti ada yang memandang serong pula.


Saya rasa saya bukanlah ikon atau orang yang layak diiktiraf sedemikian. Saya hanya seorang guru biasa yang tidak ada apa-apa kelebihan. Saya bukanlah seorang penulis besar atau sasterawan ternama. Saya juga bukan aktivis yang sering muncul di media. Saya hanyalah seorang manusia terpinggir yang melalui pelbagai pengalaman. Saya menulis hanya mahu berkongsi pengalaman hidup. Itu saya seadanya.

Khamis, Mac 11, 2010

Mantari Bandung


Mantari Bandung menyinar di celah-celah pohon
jalanan menjadi cerah dan ligat
wargamu gesit dihambat kemelut dunia
simpang-simpang pun meriah
dengan semua kenaikan
dan kerepotan.

Rezeki yang ada di birai jalan
direbut semahu-mahunya
kerana kehidupan perlu berlangsung terus
biar digugat malapetaka
bumimu menjanjikan seribu bahagia.

Di sini adalah perlumbaan cahaya
kerana siang memanjangkan langkah usaha
dan malam tetap bersuara
selagi ada swadaya
di situ ada pulangannya.

Sebentar sahaja di Bandung
kepanasan adalah dari mantari yang sama
tiada beda kerana kita semua manusia
yang ada deria untuk merasa
ada sukma untuk menduga
di mana-manapun kita tetap bersaudara.

Mantari Bandung sudah malap
ketika saat keberangkatan
meninggalkan seribu kenangan perjalanan
aku mengucapkan selamat
dengan harapan tersemat
untuk kembali merasa nikmat
di bumimu yang penuh gelagat.

Tangkuban Perahu,
Bandung, Indonesia.
6/3/2010

Selasa, Mac 09, 2010

Di Jakarta

Pada hari Sabtu petang kami bertolak balik ke Jakarta. Kami menginap di Hotel Golden Boutique, sebuah hotel lima bintang. Malamnya kami membeli-belah di Kompleks Mangga 2, sebuah pusat beli-belah yang besar di Jakarta. Masalahnya, untuk makan di kompleks ini, saya kurang selesa dan was-was akan status kehalalannya.

Sebelum ke lapangan terbang, kami singgah makan tengah hari di Restoren Sari Minang, di Jalan Juanda. Semua jenis makanan dihidangkan di atas meja. Hanya makanan yang disentuh sahaja akan dikira. Terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih.

Isnin, Mac 08, 2010

Catatan Perjalanan ke Bandung

Saya telah berkunjung ke Jakarta dan Bandung pada 4 Mac hingga 7 Mac yang lalu. Saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya bersama-sama keluarga dan 11 lagi anggota rombongan kami.
Banyak perkara yang menyentuh hati saya di Bandung. Antaranya ialah gelagat warga marhaennya yang pelbagai. Anak-anak kecil mengemis di kawasan persimpangan jalan. Gambar bawah ialah pengangkutan awam yang popular di Bandung. Banyak peniaga yang berdagang pelbagai barangan dan masih menggunakan peralatan minimal dan agak ketinggalan zaman. Orang berdagang masih menggunakan pengandar. Penjual di bawah menjual kacang goreng dan kacang Bogor (di utara Malaysia dipanggil kacang poi). Penjual surat khabar (koran) jalanan sangat ramai di Bandung dan Jakarta. Pelbagai jenis surat dan majalah dijaja ketika kenderaan berhenti di persimpangan jalan. Saya sempat bergambar dengan seorang penjual surat khabar yang berlegar-legar di hadapan hotal penginapan kami.Saya bersolat Jumaat di Masjid al Hidayah, Taman Sari, Bandung. Keadaan di dalamnya dingin dan tidak ada kipas atau pendingin hawa. Masalahnya masjid ini terletak di tengah-tengah kawasan perumahan di lereng bukit. Jemaah terpaksa menuruni tangga yang curam untuk ke masjid.Kami menghabiskan hampir 3 jam berbelanja di Pasar Baru, Bandung. Ramai rakyat Malaysia beli-belah di pasar ini. Satu tempat yang menarik ialah kedai perfume yang membancuh pewangi mengikut kehendak pelanggan. Harganya juga murah dan harumannya setanding dengan yang sebenar. Pelanggan boleh memilih jenama dan penjual akan membancuhnya pada masa itu juga. Harganya berbeza-beza. Saya membeli Hugo Boss dengan harga lebih kurang RM10.00.Lawatan ke Tangkuban Perahu juga menarik. Keadaan di kawasan gunung berapi itu sangat menarik perhatian saya. Cuma penjual cenderamata terlalu ramai dan seolah-olah mengganggu pengunjung dengan merayu supaya pelancong membeli jualan mereka. Kawasan tanah tinggi ini merupakan kawah gunung berapi. Laharnya masih berasap di kawah itu. Bau belerang memenuhi suasana. Saya bertanya pada seorang penjual cenderamata yangv mengekori saya sejak kami sampai. Tanya saya, "Pak, kapan gunung ini meledak yang terakhir?" Jawabnya, "1969" saya tanya lagi, "Kapan gunung ini akan meledak lagi?" Dia jawab, "Jangan pak! Mati saya kalau meledak lagi..." Kami makan tengah hari di restoren masakan Sunda di Taman Sari. Makanannya ialah ayam penyek. Nasinya dibungkus dengan daun pisang.
Pemandangan begini adalah biasa di Bandung. Penjual dengan gerai bergerak akan kedapatan di mana-mana simpang jalan dan kaki lima. Macam-macam jenis makanan dijual.

Walaupun suasana repot di Bandung dan Jakarta, saya berasa lawatan saya tidak cukup. Saya sebenarnya gemar melihat kehidupan manusia dari dekat. Banyak lagi perkara yang belum saya terokai kerana saya terpaksa akur dengan jadual lawatan yang telah ditetapkan. Saya tidak gemar ke mall, sebalik mahu ke kawasan kumuh untuk melihat suasana sebenar kehidupan warga pelbagai latar belakang di negara orang. Saya akan datang lagi jika ada kelapangan.

Macet

Mobil berasak-asak
ketika sore sudah santak
manusia baru tiba
mencari kendera
mahu pulang segera

aku tersandar di gang
melihat sore yang tegang
ini Jakarta punya cerita
macetnya tidak terkata.

4/3/2010
Lapangan Terbang Soekarno Hatta,
Jakarta.

Ahad, Mac 07, 2010

Baru Pulang dari Bandung

Sayabaru saja tiba dari Jakarta dan Bandung. Banyak catatan perjalanan yang saya dapat sepanjang berliburan di Indonesia itu. Akan saya catatkan nanti.

Rabu, Mac 03, 2010

Gambar-gambar Ceramah di UPSI

Bergambar bersama-sama (dari kiri) Dr. Siti Khairiah, tiga orang pelajar UPSI, Ihsan Noorzali, Cikgu Khir Kasim
Bersama-sama penyair Ihsan Noorzali
Saya, Cikgu Khir Kasim, Ihsan Noorzali

Selasa, Mac 02, 2010

Anak Kecil Bermata Bulat II

Mata ceriamu memancar
menghiasi wajah comel yang segar
tanpa cela tanpa duka
kau tersenyum menabir lara.

Kau sepatutnya berlari di taman
mengejar semua pelangi impian
menangkap rerama bahagia
meniup busa gembira.

Sayunya, wajahmu yang terpapar
sinar matamu masih membugar
sedang nafasmu semakin pudar
wajahmu masih ceria
ketika jasad dihantar ke pusara.

Anak kecil bermata bulat itu
jelingan manjamu menusuk sukmaku.

Banting,
2/3/2010

Dasar yang Tidak Praktikal

Pada pandangan peribadi saya, antara dasar kerajaan yang tidak praktikal ialah tindakan memansuhkan yuran persekolahan. Dasar ini dilihat sangat tidak praktikal kerana menyebabkan sumber kewangan kerajaan akan menyusut. Selain itu, 'harga' peperiksan awam sudah tidak ada lagi. Kalau dulu oleh sebab yuran peperiksaan dibayar, murid-murid sekolah lebih menghargai peperiksaan yang akan dilalui. Bagi keluarga yang miskin, kesusahan mencari sumber kewangan untuk membiayai yuran akan menyebabkan motivasi calon meningkat untuk lebih berdaya saing. Saya rasa perkara ini perlu dinilai semula. Hanya pandangan peribadi seorang guru biasa.

Isnin, Mac 01, 2010

Anak Kecil Bermata Bulat

Anak kecil bermata bulat
pasti keletah tuturnya
kerana baru saja dia mengenal dunia
dan senang bercanda gurau senda
tanpa nista di mata
di dalam jiwa.

Anak kecil bermata bulat
pasti cergas berlari
mengejar itu dan ini
tidak mengenal kasih dan benci
sakit dan ngeri
dunianya berseri.

Wajah lembutnya anak kecil ini
tiba-tiba terbayang di semua hati
menangis tanda simpati
kerana dia telah pergi
membawa sebuah mimpi ngeri.

Anak kecil bermata bulat
tiada lagi tawa keletahmu
tiada lagi gurau riuhmu
tiada lagi kamu.

Semadilah anak kecil bermata bulat
kau nantilah mereka di hari akhirat.

Banting,
1 Mac 2010

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...