Rabu, Mei 28, 2008

Cerpen Suka-suka

SONDOLMAN
Oleh Ghazali Lateh

Namanya Osman. Singkatannya Man. Sejak usianya belasan tahun, dia dikenali sebagai Man Sondol. Namun, ketika anak-anaknya sudah belajar bahasa Inggeris di sekolah, namanya ditukar lagi. Mereka memanggil Man Sondol dengan nama Sondolman. Setaraf dengan Superman dan Cicakman. Setaraf juga dengan Ultraman.
“Ayah, kami belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Sekarang kami dah pandai cakap Inggeris,” beritahu Usup kepada Man Sondol. Usup kemudian membilang dalam bahasa Inggeris.
“Poji pun pandai bahasa Inggeris,” anak-anak Man Sondol menceritakan perihal mereka di sekolah. Man Sondol hanya tersenyum. Dia tidak pernah bersekolah. Dalam hatinya dia berada sangat bangga. Anak-anaknya sudah pandai.
Man Sondol hanya tersengih. Begitulah fe’elnya sepanjang masa. Dia tidak banyak kerenah. Katalah apa-apa pun, dia hanya tersengih menampakkan giginya yang kuning.
Nun, di pedalaman Kuala Begia tempat tinggal Man Sondol. Dia jarang keluar ke pecan, waima Pekan Jeniang yang hanya beberapa kilometer dari rumahnya. Kuala Begia itulah dunianya sejak kecil, meningkat belia, berkawin dan beranak-pinak sekarang ini. Usup dan Poji sudah bersekolah.
“Pasal apa orang panggil ayah Sondolman?” tiba-tiba Usup bertanya. Selama ini mereka hanya mendengar orang memanggil Man Sondol dengan nama itulah. Man Sondol. Sebut sahaja nama Man Sondol semua orang tahu. Satu kampung tahu. Malah orang kampung sebelah sampai ke Jeneri, Gajah Putih semua tahu. Siapa yang tidak tahu kehebatan Man Sondol.
Man Sondol mulalah buka cerita. Sejarahnya panjang bagaimana nama Man Sondol melekat dengan dirinya. Kini berubah pula menjadi Sondolman.
Ceritanya begini. Dulu semua orang kampung berhuma, menanam padi, keledek, ibu kayu di bukit. Lereng-lereng bukit hijau dengan tanaman kontan. Orang kampung hidup senang dengan hasil bumi lereng bukit di Kampung Kuala Begia itu.
Namun kesenangan itu tidak berkekalan. Satu masa, tiba malapetaka yang menimpa. Kawasan huma mereka diserang babi hutan. Habislah padi dilanda babi hutan berkaki pendek itu. Habis batas keledek disondol hingga keledek sebesar kelingkingpun habis dimamahnya. Apatah lagi ubi kayu, habis berselerak batang ubi, terbongkang ubi-ubi muda itu disondol babi hutan.
Perkara yang terjadi itu memang menyusahkan hati penduduk Kuala Begia. Termasuklah Man Sondol yang hidup dengan berhuma. Bertanam padi dan keledek. Cekur manis, ulam-ulaman semuanya ada. Cili api tidak pernah kurang.
“Apa kita nak buat? Takkan kita nak tengok saja babi hutan tu sondol hasil tanaman kita?” Tanya Pak Long Mail. Wajahnya masam mencuka. Dalam fikirannya terbayang babi hutan berkulit kelabu, berkaki pendek itu menyondol apa-apa sahaja yang ada. Bukan seekor dua, sekali datang berpuluh-puluh jumlahnya, termasuk anak-anak kecil baru belajar bertatih pun dating menyondol kaki bukit.
“Kita kena buat sesuatu…!” jawab Pak Tam Tapa.
“Kita buat meriam buluh! Kita pasang bila Nampak babi datang…!” cadang Pak Ya Rongak. Dia memang pakar buat meriam buluh dan meriam tanah. Setiap tahun dialah juara buat meriam buluh ketika musim hari raya.
Maka ramailah yang setuju dengan cadangan Pak Ya. Segeralah mereka meredah belukar mencari buluh duri yang tua-tua. Mereka tebang dan usung bawa balik ramai-ramai. Seluruh kampung pakat buat meriam buluh. Beli saja kabaid di Pekan Jeniang. Cucuhlah malam-malam berdentum sana-sini. Muncung meriam dihalakan ke arah Bukit Enggang.
Maka setiap malam ada seorang ditugaskan untuk menunggu babi di sempadan kampung.
“Babi masuk kampungggg…!!”
Serentak dengan itu juga berdentumlah meriam buluh sana-sini. Mula-mula babi hutan berkaki pendek itu terkejut juga. Akan tetapi lama-kelamaan babi hutan menyondol juga. Makin kuat bunyi meriam, makin banyak babi menyondol huma. Apabila padi huma disondol babi hutan, tak ada lagi orang yang sanggup pergi ambil sisanya. Tak ada lagi orang yang mengetam. Tak ada lagi orang nak membanting. Semuanya jijik bekas babi hutan berkaki pendek, berkulit kelabu kehitaman.
“Tak boleh jadi macam ni,” keluh Pak Long Mail. Kabaid habis setong, babi hutan makin gemuk. Anak-anak babi semakin galak berkubang. Batas keledek terbungkas sana dan sini. Ubi kayu juga habis dimamah babi hutan.
“Kita ketuk tutup periuk sajalah lepas ni…!: Pak Ya Rongak sekali lagi memberikan cadangan. Anehnya cadangan Pak Ya memang bernas. Belum ada keputusan mesyuarat kampung, sudah ada orang yang masuk ke huma mengetuk tutup periuk. Kelentang-kelentung bunyi tutup periuk diketuk orang saban malam.
Selepas itu setiap malam musim padi mula menguning, suara ketukan periuk memcecah kesunyian kampung. Setiap penjuru kampung dipenuhi bunyi ketukan tutup periuk. Ada juga suri rumah yang bergaduh sakan dengan suaminya. Apa tidaknya, tutup periuk yang baru dibeli di Padang Besar turut menjadi mangsa keadaan.
Lama-kelamaan kaedah ketuk tutup periuk juga semakin tidak berkesan. Babi langsung tidak terkejut dengan ketukan tutup periuk yang kemek itu. Setiap malam babi hutan berkaki pendek akan datang juga. Menyondol juga tanah mencari cacing, ubi keledek, ubi kayu, dan apa-apa sahaja yang ada di dalam dan di atas tanah. Sondol tetap sondol.
Orang Kampung Kuala Begia semakin bingung. Semua kaedah menyelesaikan bawaan babi hutan berkaki pendek itu tidak berkesan.
“Kita pasang pukat!”
“Tak boleh...!!”
“Pasal apa??”
“Nanti kalau babi kena pukat sapa nak buang?”
“Betul juga...!”
“Babi bukan macam ikan, kena pukat terkodek-kodek. Silap-silap dengan pukat-pukat dilarikan ke hutan,”
“Betul juga...!”
“Kita pasang jerat bidas,”
“Hah... bagus juga cadangan tu...!”
Maka orang kampung pun mulalah memasang jerat bidas di pinggir hutan. Akan tetapi cadangan bernas itu pun akhirnya mendatangkan masalah. Ada babi hutan yang terkena jerat bidas, tetapi tidak ada orang yang sanggup membuangnya. Mati terkangkanglah babi itu tergantung di jerat bidas. Hasilnya semua orang kampung tak boleh ke huma lagi. Semuanya pakat muntah tonggang terbalik dek bau bangkai babi reput kena jerat bidas. Berbulan juga huma ditinggalkan orang. Berbulan jugalah orang kampung tidak makan nasi dengan sempurna.
Suatu petang Man Sondol bertindak sendirian. Dia mundar-mandir di sekitar kampung. Dengan gaya selambanya dia seolah-olah mencari sesuatu.
“Cari apa Man...??” tanya orang kampung.
“Guni buruk...!”
“Nak buat apa?”
“Nak halau babi hutan...!” jawapan Man Sondol membuatkan orang kampung berpandang sesama sendiri. Mereka mahu ketawa tetapi bimbang Man Sondol tersinggung.
“Nak buat macam mana?”
“Ada laaa....!” jawab Man Sondol selamba.
Petang itu orang kampung menjejaki Man Sondol. Mereka nampak Man Sondol bawa guni buruk ke pinggir hutan. Mereka kehairanan.
Sesampai sahaja di pinggir hutan, Man Sondol menbentangkan guni buruknya di atas tanah. Kemudian dia melipat dua bucu guni buruk itu ke dalam. Dia berbaring di atas guni itu dan memasukkan tangannya ke dalam bahagian yang dilipat. Tidak lama kemudian Man Sondol memusingkan badannya. Nampaklah kelibatnya seperti seekor babi hutan yang besar. Dengan perlahan-lahan Man Sondol merangkak ke tepi hutan, menanti kedatangan gerombolan babi hutan berkaki pendek. Orang kampung hanya mengintip dari jauh.
Menjelang senja terdengarlah dengusan babi hutan keluar belukar. Mula-mula seekor sahaja keluar meninjau. Sebentar kemudian keluar lagi babi hutan pelbagai generasi. Adanya yang bertaring, ada yang baru bertatih. Semuanya keluar dari arah Bukit Enggang.
Di sebalik semak, Man Sondol membatukan diri di dalam guni buruknya. Kakinya ditegakkan sedikit seperti pelumba laru pecut di lorong larian. Orang kampung hanya memerhatikan dengan penuh minat. Perasaan lucu dan cemas berbaur.
Kumpulan babi hutan berkaki pendek semakin dekat. Man Sondol sudah bersedia. Mungkin dia sedang mengintai di sebalik lubang guni di depan matanya. Apabila babi itu dekat, Man Sondol meluru dengan guninya yang membalut diri. Babi yang berjalan terhenjut-henjut itupun terkejut. Lintang-pukang babi hutan itu menerjah hutan. Ada yang terlentang terkodek-kodek kakinya. Ada yang tertiarap ke bumi. Ada yang terlanggar pangkal pokok.
Orang-orang kampung turut terkejut dengan tindakan nekad Man Sondol. Sebaik sahaja babi hutan itu lenyap, Man Sondol bangun mengibas-ngibas guninya. Ketika itulah orang-orang kampung keluar dari persembunyian. Mereka bertepuk tangan, kagum dengan kaedah Man Sondol itu.
Sejak itulah nama Man Sondol lekat pada dirinya. Dia sendiri tidak kisah dengan gelaran itu. Berkat keberaniannya menyondol babi itulah dia dapat berhuma, mengumpul duit, dan berkahwin. Berkat perkahwinan itulah dia mendapat beberapa orang anak. Anak-anak itulah yang menggelarnya sebagai Sondolman kerana mereka belajar bahasa Inggeris di sekolah.
“Man, ada orang cari kamu...!” tiba-tiba suara Pak Long Mail bergema di laman pondok Man Sondol. Dua orang lelaki dari kampung bersebelahan berdiri di belakang Pak Long Mail.
“Kami nak cari Sondolman!” kata seorang daripada mereka.
“Di hujung kampung kami ada projek menternak babi besar-besaran. Banyak babi yang terlepas dan masuk ke kampung kami. Macam-macam dah kami buat, tapi gagal. Kami datang nak minta tolong Sondolman,” sampuk yang seorang lagi.
Man Sondol terlopong. Dia serba salah. Babi ternak bukan macam babi hutan berkaki pendek. Babi ternak badannya berminyak. Silap-silap dia yang disondol.
“Saya tak sanggup...!” jawab Man Sondol. Lantas dia masuk ke dalam. Orang yang datang termangu-mangu. Mereka masih menunggu. Pak Long Mail turut menunggu. Harap-harap Man Sondol akan berubah fikiran.
Tiba-tiba sebuah lembaga berbalut guni buruk keluar dari bawah rumah. Lembaga itu meluru ke arah orang yang tercegat sejak tadi. Melihat keadaan itu semuanya membuka langkah seribu. Pak Long Mail lari paling hadapan. Dia tahu Man Sondol tersinggung.
“Hidup Sondolman..!!!” Usup dan Poji melaung dari tingkap rumah buruk Man Sondol.

Pemakai Topeng


Sekelilingku pelbagai rona,
aneka rupa, indah dan ngeri sebati,
dan senyuman terukir pada wajah,
lafaz manis tertumpah pada mata,
pada hati, pada kaki.

terkesima aku,
melarik mimpi ke cakerawala,
bersama bidadari menghirup narwastu,
dunia penuh bianglala,
sukma terkinja menatap suria,
di mana-mana.

ketika datang pagi,
aku menafsir mimpi di birai maknawi,
pemakai topeng baru sahaja bersiaga,
menakluki dunia tanpa senjata,
sekadar rona-rona dusta,
yang mereka simbahkan di kanvas maya,
lakar-lakar jati diri,
coret-coret maruah bangsa,
imbas-imbas wahyu nabi,
patung-patung iman dan agama.

di sekelilingku semuanya indah,
di sekitarku semuanya meriah,
kerana aku berada di tengah-tengah,
pemakai topeng yang lincah,
menukar wajah dan tingkah,
kerana dunia bangsaku rencah,
dengan topeng yang pecah.


Ahad, Mei 25, 2008

Menyahut Panggilan Tanah Suci




Mereka berangkat pergi
menyahut panggilan tanah suci
dengan iman hakiki
membukti di jiwa bersemi
ingin melunas janji
kesyukuran duniawi
dan bekal ukhrawi.

Mereka berangkat pasrah
dalam doa barakah
mendamba kasih bercambah
terbayang tegak Kaabah
dan gahnya kota Makkah
mengamit ummah.

dan aku masih di sini
menanti terus menanti
saat-saat itu nanti
akan berangkat pergi
dalam taqwa nan pasti
entah bila tertunai janji
yang terbuku di dalam hati
sejak dahulu lagi
dan hingga kini.


Tunggulah kedatangan
yang terlakar dalam angan
aku datang membawa jambangan
sebuah kasih dan kenangan
dan pulang dengan kemenangan.




KLIA 24/5/08

Jumaat, Mei 23, 2008

Tips untuk PTK3 DG44

Aku mahu berkongsi pengalaman dengan memberikan tips bagi mereka terutama guru-guru yang bakal menduduki kursus PTK 3 DG44. Bukan bertujuan untuk bermegah-megah tetapi sekadar mahu sesama rakan sejawatan lulus kursus berkenaan. Jika gagal banyak peluang pegawai yang berkaitan akan tersekat. Salahkah jika kita memudahkan orang lain? Salahkah kita memberi manfaat kepada orang lain? Tentu sekali tidak kecuali bagi orang yang bersifat 'selfish', mementingkan diri sendiri.
Pertama, untuk esei pastikan ada perkara-perkara yang berikut iaitu ringkasan eksekutif, pendahuluan, lima isi yang mantap berdasarkan pengalaman tugas, dan kesimpulan yang meyakinkan. Ringkasan eksekutif merupakan gambaran awal perkara-perkara yang bakal dibincangkan dalam esei. Satu muka surat sudah memadai. Bahagian pendahuluan pula hendaklah didefinisikan secara ringkas konsep dalam tajuk yang dipilih.
Bahagian isi hendaklah ditulis dalam perenggan yang baik. Setiap perenggan dimulakan dengan isi atau ayat topik. Berikan huraian serta contoh yang dilakukan oleh pegawai dalam menangani isu yang dibangkitkan. Setiap perenggan hendaklah ditutup dengan penegasan atau rumusan kecil setiap perenggan. Kreativiti bahasa dan persembahan juga penting.
Penilaian sepanjang kursus juga perlu dititikberatkan. Persembahan individu hendaklah dibuat dengan baik dan lancar. 5 - 10 slaid power point memadai kerana masa amat terhad untuk bercakap panjang. Huraikan amalan diri sendiri dalam menangani isu. Elakkan sikap egoistik dalam menyatakan kejayaan yang dicapai. Begitu juga dengan pembentangan dalam bahasa Inggeris. Fikirkan sesuatu yang luar biasa, misalnya selitkan puisi atau deklemasikan sajak pendek.
Ujian akhir kursus sama seperti esei. Cuma hanya ketengahkan tiga isi bagi setiap soalan. Mulakan dengan pendahuluan yang baik. Perenggan isi hendaklah digarap dengan memasukkan ayat topik, huraian serta contoh, jangan lupa buat penegasan setiap perenggan isi. Yang penting kita perlu sentiasa bersikap positif dan sentiasa menampilkan perwatakan yang baik dan positif sepanjang kursus. InsyaAllah, bertawakkal, anda akan lulus dengan izin-Nya.

Rabu, Mei 21, 2008

Hari Guru Peringkat Negeri Selangor


Aku dan isteri baru balik daripada menghadiri sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2008. Dalam sambutan ini aku mendapat dua anugerah. Dalam perjalanan pulang sempat juga singgah di rumah kakak di Tanjung Karang dan Kelang. Banyak perkara yang ingin disampaikan berkaitan sambutan hari guru ini. Sebelum sampai ke rumah tadi Tuan PPD Kuala Langat menghubungiku. Katanya Timbalan KPPM mahu aku menghantar resume dengan segera agar aku dapat ditarik ke KPM. Sanggupkah aku?

Isnin, Mei 19, 2008

Tentang Beras

Semalam aku ke Econsave untuk shopping kerana barangan dapur sudah kehabisan. Aku terkejut setelah mengetahui harga beras melambung tinggi, melebihi jangkaan. Semasa aku kecil harga beras hanyalah $1.50 segantang yang beratnya lebih kurang 5 kilogram. Maksudnya dalam sekampit 10 kg harganya dalam $3.00. Biasanya aku menggunakan beras dalam lingkungan RM25 - RM30. Akan tetapi harga beras yang sama mencecah RM45.40.
Aku mula terkenang bagaimanakah keluarga miskin di pedalaman akan menghadapi kemelut ini. Adakah kerajaan yang hebat slogan mahu memperjuangkan kepentingan masyarakat sedang merencanakan sesuatu agat harga beras kembali turun. Adakah benar mereka sedang berusaha membela nasib rakyat, atau mereka sedang berusaha untuk menyelamatkan kedudukan mereka dalam keadaan politik yang turut tidak tentu arah akhir-akhir ini.
Barangkali rakyat miskin di luar bandar kini makan nasi beras hancur, atau mula mencari alternatif lain kerana kenaikan harga beras sekarang sudah sampai tahap gila. Tidak adakah pemimpin yang tajam pemikirannya untuk menangani keadaan ini. Atau pemikiran mereka semua sudah tumpul.

Ahad, Mei 18, 2008

Merasai Kembali Sambutan Hari Guru

Tahun ini aku dapat merasai kembali kehangatan sambutan Hari Guru di sekolah. Sejak beberapa tahun yang lalu aku tidak berkesempatan untuk menyambutnya. Ketika aku melanjutkan pelajaran sejak 2003, aku sudah tersisih daripada sambutan hari guru di sekolah. Tahun lepas aku menyambutnya di JB. Namun tahun ini aku menyambutnya di sekolah. Meriah!
Banyak juga hadiah yang diberikan oleh anak-anak muridku. Pelajar Tingkatan 6A4 menghadiahkan sebuah hadiah yang kreatif, gubahan sayur-sayuran yang cantik. Terima kasih untuk mereka. Begitu juga Sheila dan Fatihah yang menghadiahkan mug. Hidayah dan Izati dari 5B menyampaikan kad ucapan yang kreatif. Dan ketika aku bersedia untuk pulang, aku didatangi Hadi. Secara bersembunyi di tepi dewan sekolah dia mendatangi aku. Dia memberikan hadiah sebuah mug. Katanya "Maaf saya Cikgu, saya tak sempat nak balut hadiah ni." Hati aku tersentuh kerana jarang ada pelajar lelaki yang mahu memberikan hadiah kepada guru. Aku berkata kepadanya bahawa aku sangat-sangat menghargai pemberian itu walaupun sebuah mug yang tidak berbalut. Barangkali Hadi sengaja memberikan aku hadiah secara diam-diam kerana malu dengan kawan-kawannya, atau kerana hadiahnya togel tidak berbalut. Aku memang menghargai pemberian itu dan aku mendoakan anak-anak didikku, terutamanya Hadi akan lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini.
Pada hari Rabu 21 Mei aku akan menghadiri perayaan Hari Guru peringkat negeri Selangor di stadium tertutup Kuala Selangor. Dalam majlis itu nanti akan menerima dua anugerah iaitu Hadiah Penulisan Kreatif dan Anugerah Guru Inovatif.

Jumaat, Mei 16, 2008

Tidak Sabar Rasanya




Boleh dikatakan setiap hari aku dan keluarga melalui kawasan ini untuk melihat perkembangan. Semalam aku sudah berbincang dengan tukang untuk menaiktaraf rumah baharu kami. Kosnya agak tinggi juga. Setakat ini 80% rumah ini sudah siap. Barangkali dalam bulan Jun, CF akan dikeluarkan. Aku menganggar dua bulan akan diambil untuk renovate.




Aku mula mengumpul wang untuk menyediakan dan merasai sebuah kediaman yang selesa. Sekadar ingin berasa selesa, bukan untuk berbangga atau bermegah-megah. Sejak kecil aku dibesarkan di teratak kecil di tepi sawah, di kaki bukit tersisih jauh di pedalaman. Ketika aku menduduki MCE, aku masih diterangi pelita minyak tanah yang menyesakkan hidung. Biarlah aku merasai hidup dalam sebuah rumah yang selesa. Percaya atau tidak, sebahagian daripada biaya kediaman ini datangnya daripada hasil penat jerih menulis dan menulis. Penulisan membawa aku sedikit rezeki yang lebih. Alhamdulillah... Syukur.

Rabu, Mei 14, 2008

Diasak keliru


Aku tidak seharusnya keliru dengan perkara-perkara yang berliku di sekeliling kehidupan. Akan tetapi itulah yang berlaku. Dalam minggu ini rezeki Allah datang melimpah-limpah. Secara tidak diduga, beberapa tawaran menarik juga datang. Aku masih keliru memikirkan, adakah segala anugerah ini ujian Tuhan? dan aku harus menerimannya dengan berhati-hati. Siang tadi aku dicalonkan untuk anugerah Guru Gemilang (gemilangkah aku?). Walaupun nampak sedikit keangkuhan bunyinya, tetapi menerimanya juga, kerana aku hanya dicalonkan. Pencalonan tidak semestinya dipilih.


Hal lain tentang hidup ini ialah aku sudah tidak suka membaca dan mendengar waima menonton berita. Ada banyak adu dombanya berita yang kubaca, kudengar, dan kutonton. Teruknya apabila mindaku mempersoalkan kebenaran semua berita yang kubaca, kudengar, dan kutonton.


Jumaat, Mei 09, 2008

Beberapa Berita Gembira


Semalam isteriku kembali dengan wajah ceria apabila dia mendapat keputusan PTKnya. Dia mendapat kelulusan cemerlang dalam PTK. Hari ini aku pula menerima berita gembira. Pagi tadi aku dihubungi pegawai Jabatan Pelajaran Negeri mengatakan aku memenangi anugerah Guru Inovatif 2008 peringkat negeri Selangor. Alhamdulillah. Petang ini pula aku mendapat keputusan PTK DG44, dan sekali lagi aku bersyukur kerana mendapat keputusan IV untuk kedua-dua kategori kursus. Berdasarkan keputusan ini gajiku akan melonjak lebih RM400.00. Barangkali ada lagi berita gembira untuk hari-hari yang mendatang. Akan kutunggu saat itu. Namun aku tetap menerima apa-apa sahaja khabar, gembira mahupun sebaliknya, kerana itulah ketentuan-Nya. Aku berusaha, bertawakal, dan pasrah.
Besok aku akan membawa murid-murid menyertai pertandingan Puisi dan Lagu. Anak-anak itu memang berbakat, dan aku hanya mengetengahkan bakat mereka. Kalah menang bukan ukuran, tetapi tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan.

Selasa, Mei 06, 2008

Antara Kuasa dan Maruah


Kuasa dan maruah adalah dua entiti dalam perjuangan. Ada orang yang terlalu mementingkan maruah sehingga tidak memerlukan kuasa. Ada pula yang terlalu mementingkan kuasa sehingga menggadai maruah yang ada. Inilah sindrom yang berlaku akhir-akhir ini. Hanya untuk mempertahankan kuasa, ada segelintir manusia yang telah mencampakkan maruah diri, maruah bangsa, dan maruah agama. Dan mereka ini adalah sebangsa denganku.


Lantas aku bertanya pada diri sendiri. Yang manakah pilihan, antara kuasa dan maruah. Hakikatnya, aku hanya manusia biasa, tidak berkuasa, akan tetapi aku masih bermaruah dan aku tidak akan menggadaikan maruah itu demi sedikit kuasa yang sementara. Aku senang begini, dengan laluan hidup yang ditentukan Ilahi. Mempertahankan maruah dengan cara sendiri.

Sabtu, Mei 03, 2008

Tentang Manusia


Kadang aku sendiri tidak mengerti tentang manusia dan kemanusiaan. Aku sering mahu menjadi manusia yang penuh dengan kemanusiaan. Akan tetapi, sebagai manusia aku sendiri sering diabaikan hak kemanusiaanku. Apatah lagi, orang lain yang sering melagukan kemanusiaan, tetapi pincang di mata orang lain pula. Aku sering keliru dengan manusia yang memakai topeng kemanusiaan. Dan kemanusiaan itu juga kini sudah pandai memakai topeng manusia.

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...