Rabu, September 19, 2007

Tentang "Melayu"



Sengaja aku paparkan gambar yang aku ambil ketika aku pulang ke kampung sebelum puasa yang lalu. Gambar seorang yang cacat penglihatan sedang bermain muzik untuk mencari rezeki di Pasar Minggu Kg Kilang Kecil, Air Putih,Pendang, Kedah. Aku teruja melihat kemampuan orang tua ini bermain muzik. Malah akulah penonton yang sanggup berlama di hadapannya walaupun dia barangkali tidak menyedari akan kehadiranku. Dia orang Melayu yang mencari secebis belas ihsan dalam negara Melayu yang 'makmur'. Di dewan persidangan, pelbagai peruntukan diluluskan dalam bajet untuk orang 'Melayu' sepertinya. Malangnya dia tidak pernah dapat merasakan 'kemakmuran' yang diuar-uarkan setiap saat melalui corong media. Persoalannya, ke manakah peruntukan berjuta-juta itu?

Sebagai rakyat marhaen, aku dapat merasakan sesuatu yang seperti tidak kena dalam perkembangan negara masa kini. Kadar jenayah semakin meningkat, kanak-kanak hilang menjadi-jadi. Kemiskinan di luar bandar dan di bandar semakin bertambah ketika usaha membasminya semakin meningkat. Pelbagai misi dan pendekatan dilaksanakan, kemelut sosial semakin ketara. Apakah ini yang dinamakan pembangunan dan kemajuan? Aku tidak tahu untuk bertanya kepada siapa kerana aku hanya marhaen makan gaji kerajaan.

Kini negara didedahkan dengan laporan Ketua Audit tentang penyelewengan kewangan yang menjadi-jadi. Kini juga aku baru mengerti mengapakah kontraktor Melayu ramai yang gulung tikar. Jiranku seorang kontraktor Kelas F, akhirnya terpaksa mengalibabakan lesennya kerana kerenah penyelewengan yang bukan-bukan. Patutlah juga bangunan yang didirikan di sekolah-sekolah runtuh, bocor, retak. Inilah akibatnya jika sistem penyampaian yang tidak kesampaian. Jelasnya, pelaksana dasar yang menahan lukah di pergentingan setiap kali ada dana untuk melaksanakan pembangunan.

Aku hanya rakyat marhaen yang hanya mengeluh sekali-sekali kerana keluhanku tidak ada yang mungkin mendengar.

Sesekai fikiran jahatku mencetus hasut, barangkali nama Melayu perlu ditukar kepada 'Menyegar', ahhhh... jahatnya aku!





Khamis, September 13, 2007

Tentang Ramadan


Setelah nanar kau bergerak dalam ritma dosa,

inilah waktunya untuk membuka peta syurga,

yang kauhilangkan sejak diri derhaka,

di puncak kesima dunia,

melaung canda ke lubuk atma.


Ramadan bagaikan dermaga,

yang menanti jaringan gelora,

di sini pasir putih dan angin lirih,

mewarna setiap denyut nadi,

ke muara Ilahi.


Ramadan,

aku masih menikmati anugerah-Nya,

sekali lagi berjanji dalam hati,

entah tertunai nanti,

atau sekadar eligi,

yang muncus esok pagi.


Ghazali Lateh.

Khamis, September 06, 2007

Lawatan ke Pusat Angkasa Negara


Rupa-rupanya di Banting ada Pusat Sains Negara. Pusat ini mengendali satelit untuk mengambil imej bumi dari angkasa yang dikenali sebagai satelit LEO Low Earth Orbit. Terletak di Kg Sungai Lang, terpencil dari kesesakan. Aku bersama staf diterima melawat dengan mesra. Banyak pengetahuan yang kami peroleh semasa lawatan tersebut. Yang membanggakan, pusat ini dikendalikan oleh tenaga muda yang berkaliber, lulusan dalam bidang kejuruteraan komputer dan sains komputer sama ada dari universiti dalam atau luar negeri.


Aku berdiri di depan panel kawalan satelit bumi di Sg Lang. Di sinilah pakar-pakar muda menghantar arahan dan mendapat maklumat dari satelit di angkasa. Kami ditunjukkan laluan satelit dan radar bumi yang mengikuti perjalanan satelit di orbit. Menarik!


Kami juga ditunjukkan bilik bersih tempat RazakSat ditempatkan sebelum dilancarkan di Pulau Omelek pada tahun depan. Sesungguhnya, lawatan singkat mendedahkan kami kepada ilmu baharu yang sebelum ini hanya terdapat di negara luar. Aku juga tertarik dengan seorang anak muda berkerusi roda yang merupakan seorang pegawai pusat berkenaan. Beliau lulusan sains komputer dari UM. Hebat, sepatutnya murid-murid sekolah didedahkan dengan tempat ini sebagai satu cara meningkatkan motivasi.

Semasa balik kampung minggu lepas aku sempat singgah di sekolah lamaku iaitu SMK Guar Chempedak. Aku bersekolah menengah di sekolah ini bermula di tingkatan peralihan Inggeris hingga tingkatan 5. Banyak perbezaan yang berlaku di sekolah ini sejak aku meninggalkannya hujung tahun 1979.

Demikianlah catatan ringkas hari ini. Banyak tugas yang sedang menanti untuk dibereskan. Jumpa lagi.







Isnin, September 03, 2007

Catatan pada hari Kemerdekaan dan selepasnya.

(i)

Ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 disambut dengan pelbagai acara. Aku pulang ke kampung sempena cuti umum kemerdekaan. Di sepanjang jalan aku melihat pelbagai konvoi diadakan sempena sambutan kemerdekaan. Beberapa kumpulan rakyat Malaysia bermotosikal besar berkuasa tinggi memecut jentera mereka membingitkan telinga. Mereka ingin membuktikab bahawa mereka sudah merdeka. Kemerdekaan bagi mereka adalah kemampuan bermotosikal besar di boncengi wanita muda.


Di Tanjung Dawai, Kedah aku terjumpa sekumpulan anak muda bermotosikal Vespa lama dan satu kumpulan lagi memandu kereta Kancil. Semuanya memasang bendera dan berpakaian yang bertemakan kemerdekaan. Dan mereka juga mahu membuktikan bahawa mereka anak merdeka yang serba merdeka.


Bagiku, kemerdekaan sebenar bukanlah pada aspek luaran semata-mata seperti memasang bendera pada kereta, melilit bendera di leher, atau berkonvoi. Bagiku kemerdekaan ialah peningkatan maruah bangsa, melalui peningkatan mentaliti. Pemimpin kita sering menyeru ke arah perpaduan kaum. Namun, aku sangat percaya, hanya orang Melayu sahaja yang beria-ia ke arah itu. Yang lain hanyalah bermuka-muka untuk kepentingan yang sangat kompleks sifatnya. Aku tidak mahu berhujah dengan lebih mendalam kerana kita perlu fikir sendiri, sejauh manakah orang Melayu merdeka. Jangan sampai kita merdeka tetapi secara diam-diam kita dipaksa untuk menggadaikan apa-apa yang kita miliki. Sedikit demi sedikit kemerdekaan seperti menjerut leher orang Melayu. Merdekakah kita?
(ii)


Tentang sampan
Sampan itu tidak akan ke mana-mana,
tetapi diikat pada jetinya,
kerana riak, ombak, dan gelombang,
sering menghanyutkan,
meninggalkan dermaga,
ke laut curiga.


Begitulah kita,
seharusnya tidak perlu diikat lagi,
akan tetapi riak, ombak, dan gelombang,
bakal membawa kita terumbang,
meninggalkan kemerdekaan,
ke muara bimbang.

(iii)

Di kampung, ada beberapa perkara yang ingin kucatatkan. Pertama, aku ke Tanjung Dawai untuk menikmati makan tengah hari di restoren ikan bakar yang terkenal. Pengunjungnya terlalu ramai sehingga kami terpaksa berebut tempat duduk yang terhad. Aku pernah beberapa kali mengunjungi gerai ikan bakar di Melaka, Selangor, Johor, dan sebagainya. Namun keenakan restoren ikan bakar di Tanjung Dawai memang tiada tandingannya. Harganya pula sangat murah. Seekor siakap besar, lima udang bakar bersaiz besar, dan beberapa juadah samping untuk 5 orang, hanya berharga RM50.00. Tambahan pula, kami menikmati makan tengah hari hanya 15 kaki dari laut. Angin laut menyebabkan selera bertambah dan membuat aku terlupa aku sedang berdiet.



Bermalam di Hotel Seri Malaysia Alor Setar, aku dan keluarga menonton persembahan Gempak Selebriti Astro. Ramailah bintang AF5 yang membuat persembahan. Malamnya ada expo usahawan di pinggir stadium Darul Aman. Besoknya ketika bersarapan (yang tidak enak) di Seri Malaysia, terserempak pula dengan beberapa orang artis seperti Haliza Misbun, Ali Mamak, Haiza, Ahmad Jais, Andre Goh, dan Ramlah Ram. Dalam ramai-ramai itu Ramlah Ram amat mesra dan datang bersalam dengan kami sambil menceritakan bahawa mereka semua ada show di Kuala Nerang.



Kami meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam. Plan asal nak ke Langkawi tetapi terpaksa dibatalkan kerana anakku Nurul Ain ada aktiviti di universitinya dan tak dapat ikut. Di Bukit Kayu Hitam yang lengang aku sempat membeli beberapa helai pakaian di Kompleks Bebas Cukai, perfum, dan cokelat. Harganya tidaklah semurah di Langkawi, tetapi sekadar lepas hajat nak belah-belah.

Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, lebuh raya sangat sesak bermula di Slim River. Mata mengantuk, badan letih. Dari Slim River ke Tjg Malim, aku terpaksa mengambil masa 2 jam lebih. Akhirnya aku terpaksa buat keputusan untuk berhenti dan bermalam di Tjg Malim. Dalam hujan, aku mendaftar masuk di Hotel Sahara. Aku kepenatan dan tidur segera.






Rabu, Ogos 29, 2007

Ceramah akan datang

Besok aku akan menyampaikan ceramah teknik menjawab soalan karangan bagi murid-murid SMK Telok Datok. Aku sudah menyampaikan ceramah di beberapa buah sekolah lain. Kini masanya aku ingin mencurahkan ilmu kepada anak-anak didikku sendiri. Akan tetapi mereka bukanlah murid yang kuajar kerana buat masa ini aku mengajar di tingkatan 6 bawah.
Pada 5 September, aku akan menyampaikan ceramah kepada guru-guru Bahasa Melayu daerah Petaling Perdana di Kelab Shah Alam. Mudah-mudahan sesi ceramah tersebut akan sukses dan memberikan pengalaman kepada rakan-rakan guru yang lain.
Hari Jumaat nanti aku akan balik ke kampung kerana sudah 2 bulan lebih aku tidak menjenguk kampung lantaran kesibukan tugas dan kerja-kerja penulisan.

Rabu, Ogos 22, 2007

Raptai Konvokesyen





(i)
Pagi tadi aku menghadiri raptai konvokesyen di Dewan Besar UPM. Aku menghadirinya untuk membiasakan diri kerana aku berada dalam sesi 1 konvokesyen yg ke-31 itu. Maknanya aku akan mendapatkan ijazahku daripada DYMM Sultan Selangor selaku Canselor UPM. Namun tidak banyak yang berbeza dengan konvokesyen-konvokesyen terdahulu. Gambar sebelah menunjukkan anakku Nurul Ain menggayakan pakaian konvokesyen Doktor Falsafahku. Aku harap dia bukan sekadar menggayakannya, tetapi akan merasainya sendiri suatu hari nanti. Set yang digayakan oleh Nurul Ain itu telah kutukar kerana terlalu labuh dan topinya (bonnet) terlalu sempit.





Bercakap tentang konvokesyen, acara ini sangat bermakna bagi mereka yang mengalaminya buat kali pertama. Seperti aku mendapat ijazah pertama dulu. Sungguh mengujakan. Oleh sebab itu aku melihat adik-adik yang mendapat ijazah bacelor sangat ghairah dengan majlis tersebut. Bagiku, konvoksyen buat kali yang ketiga ini hanya memenuhi rutin pengajian. Belajar dan menerima ijazah dalam konvokesyen merupakan satu rutin akademik yang biasa.

Sempat berbual-bual dengan Dr. Zaitul Azma di biliknya sebentar, selepas menghantarkan salinan tesis kepada Dr. Arbai. Sebelum itu Haji Shamsudin Othman menghubungi, katanya nak ajak makan-makan. Malangnya, mungkin dia terlalu sibuk dengan kelas, aku balik setelah menunggu setengah jam. Mungkin kami akan berjumpa lagi pada kali yang lain.



(ii)
Membaca blog Tanah Nurani, aku turut terkesima dengan pelbagai kemelut bahasa dan pendidikan kini. Sebagai seorang guru bahasa (semestinya pencinta bahasa Melayu) aku tidak berpuas hati dengan perkembangan yang melanda bangsa dan bahasa Melayu kini. Sepatutnya setelah 50 tahun merdeka, Bahasa Melayu sudah menjadi satu-satunya bahasa yang dituturkan di bumi Melayu ini. Sebaliknya, sudah ada pihak mula menunjukkan taring mereka, yang bakal menidakkan peruntukan perlembagaan tentang bahasa Melayu. Namun, aku bukan orang politik. Aku berharap politikus Melayu supaya merenung kembali hak-hak kita yang sudah terlalu banyak kita berikan kepada orang lain. Padaku hanya orang Melayu sahaja yang sering berkompromi dan mengalah dalam banyak hal. Sudah tiba masanya kita kembalikan martabat Melayu seadanya. Jangan terlalu berlembut. Janganlah kerana terlalu ingin akan kedudukan politik dan mahu menjadi popular kita gadaikan segala-galanya, termasuk martabat bahasa dan bangsa sendiri.

(iii)
Dalam perjalanan ke UPM aku ditelefon oleh Zulkifli (editor Longman) bertanya tentang tarikh pemergian arwah Mohd Ismail Sarbini. Rupa-rupanya sudah setahun arwah meninggalkan kita, iaitu pada 2 Sept 2006. Aku sangat-sangat terasa pemergian arwah, lebih-lebih lagi apabila aku akan berkonvokesyen. Arwahlah yang banyak membantuku dalam menjalankan kajian di sekolah, memungut data, dan membuat rakaman semasa pengajianku berlangsung. Sayangnya, arwah tidak sempat melihat kejayaanku dan aku tidak sempat mengucapkan penghargaan kepada beliau. Alfatihah, aku berdoa agar roh arwah dicucurkan rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh mukmin yang soleh. Amin. (Gambar kenangan dengan arwah semasa bermesyuarat di Trengganu dalam tahun 2002).

Sabtu, Ogos 18, 2007

Tentang Batu dan Air






Sesekali aku ingin menjadi batu,

tegar,

biar seribu musim menghempas,

biar seribu musykil membias,

aku tetap bertahan,

segala asakan,

hingga ke akhir zaman.




Sesekali aku ingin menjadi air,

gemalai,

biar seribu liku mengocak,

biar seribu buntu memuncak,

aku tetap mengalir,

tiada mungkir,

hingga usia berakhir.




Kalumpang, Selangor.

18 Ogos 2007.

Khamis, Ogos 16, 2007

Tentang Bunga

Dalam urna menguja,
bunga ada kalanya melukakan,
kerana jemari yang memetik,
terlupa akan duri,
terlupa akan diri.

Tentang bunga,
kita sebenar terlalu terpesona,
dengan warna,
dengan nama,
dan sering juga terkesima,
dengan aroma,
dengan jenama,
lantas kita membuang fikir,
untuk menafsir,
janji yang mungkir,
cinta yang tersingkir.

Isnin, Ogos 13, 2007

Skrip Dokumentari Kemerdekaan Ciplak Sajak

(i) Ciplak lagi

Suatu petang minggu lepas, ketika aku berada di Royal Adelpi aku tertarik dengan dokumentari RTM yang berkaitan Almarhum Tunku. Aku menghayati dokumentari itu sebagai meladeni semangat kemerdekaan yang menguja.


Namun demikian, aku terkejut pada bahagian hujung dokumentari tersebut, skripnya telah mengambil beberapa bahagian sajakku yang tersiar di Mingguan Malaysia 2001. Malah rangkap terakhir sajak tersebut diambil sepenuhnya untuk menggambarkan kewibawaan Almarhum Tunku. Aku cuba melihat penulis tersebut pada penghujung rancangan. Seorang wanita, mungkin kakitangan RTM.


Natijahnya, setelah 50 merdeka masih ada lagi rakyat Malaysia yang suka menciplak. Kalau nak ciplak pun biarlah bijak menggubah semula untuk mengungkapkan maksud yang sama. Aku tidak hairan sajak tersebut diciplak kerana terdapat beberapa blog yang mengambil sajak tersebut kerana aa semangat kemerdekaan termuat dalam sajak itu. Cuma mereka memberi kredit OLEH GHAZALI LATEH pada hujung sajak tersebut.


Aku perturunkan sajak tersebut sepenuhnya untuk tatapan. Rangkap akhir sajak tersebut telah dijadikan skrip dokumentari tersebut sepenuhnya oleh penulis skrip maling itu.


Bapa Kebebasan
(Al-Fatihah Untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra)


Oleh Ghazali Lateh

Dialah yang memugar rimba sejarah
dan meletakkan batu tanda bertatah indah
dialah yang membina sempadan gagah
antara musim terjajah
dan gerbang waktu melepas gundah.

Dialah yang bergelar bapa
mewariskan sebidang tanah menganjur,
dengan bukit-bukau hijau mengimbau
disuburi jernih air sungai masyhur
bumi subur warisan leluhur.

Dalam lembut bicara semanis kata-kata,
dia menolak cengkam tajam
dari kuku-kuku hitam yang kejam
mengikis karat musibat
dengan minda yang padat berkat
lalu dia kembali melepaskan merpati
melayah di mega pelangi.

Dia yang meletakkan makna merdeka
dalam kamus peradaban bangsa
lalu kita meluaskan aksara
mencanai istilah bertuah
sehingga anak-anak warisanmu
berdiri di persada mercu restu
menjamah madu syahdu
dari embun di rumput baldu

31 Ogos tanggal keramat
dia meletak tapak kebebasan di bumi warisan
tahun demi tahun kita kenang dalam insaf
betapa hidup terjajah berbaur seribu masalah.

Dialah bapa !
yang telah mewariskan pada kita
sebuah kemerdekaan
yang perlu dipertahankan.

Banting, 11 Jun 2000



(ii) Konvokesyen


Alhamdulillah, namaku tersenarai dalam barisan graduan yang menerima ijazah kedoktoran pada sesi konvokesyen UPM yang akan berlangsung pada 25 Ogos nanti. 18 ambil jubah, 22 raptai, dan aku sah bergelar Dr. Ghazali Lateh. Semoga gelaran ini memberi dorongan kepadaku, anak-anakku, rakan-rakanku untuk terus memburu kejayaan.





Sabtu, Ogos 11, 2007

Memulakan projek penulisan baharu

Hari ini aku perlu memulakan satu projek penulisan yang agak besar. Projek ini amat penting bagiku. Sementara ini biarlah projek ini tidak dihebahkan. Yang penting, aku tidak kekeringan projek penulisan yang menjanjikan pendapatan sampingan yang agak lumayan.



Dalam hati, ada kemahuan untuk menulis novel kerana idea sudah lama bertapak dalam fikiran. Namun kesuntukan masa sering membuatkan aku menangguhkan hasrat tersebut. Novel Dari Lembah ke Puncak merupakan novel terakhir yang dihasilkan. Novel ini mengisahkan perjuangan seorang anak muda menuntut kembali hak milik yang telah dijual oleh ibunya semata-mata mahu melaksanakan wasiat arwah bapanya. Perjuangan tersebut sangat mencabar kerana terpaksa menggadaikan usia mudanya demi mengumpul sumber selama berbelas-belas tahun sebelum berjaya menebus kembali maruah dan hak milik yang tergadai. Novel ini hanya bacaan ringan. Tidak banyak ilmu bantu yang diterapkan kerana aku menulis secara terburu-buru.


Sempena menyambut kemerdekaan, aku turunkan sebuah sajak patriotik yang telah kutulis dalam tahun 2000. Sajak ini pernah memenangi sayembara Puisi Puteri Pos, dan termuat dalam antologi Jamung Merdeka kelolaan Gapena.

Ini Tanah Air, Tempat Bermula Dan Berakhir

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Kita telusuri batas sejarah ke musim suram terjajah,
Menguak hitam belenggu dalam murup durja yang gundah,
Saat melangkah runduk di bawah serakah telunjuk,
Suara pun hilang terpanar di tengah sorak petualang.

Di denai waktu membiak tunas insaf seluruh warga,
Musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
Bumi ini tanah air pesaka warisan pejuang,
Dari darah, dari keringat dan semangat menjulang.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Malaysiaku, bumi mewangi seribu restu,
Melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
Menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu biru,
Membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru.

Anak-anak bumiku tercinta,
Hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
Rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
Segera cantaskan pucuk angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,
Membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
Muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
Ini negeri terbaik, bumi tercantik, rakyat terdidik,
Mengorak langkah, berkongsi arah menancap monumen terindah.

Sahutlah gemersik suara nafiri seruan perjuangan,
Cokmar kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
Tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
Jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Ini tanah kita, padang permainan seluruh anak bangsa,
Ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
Nusa ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
Wilayah ini wadah wacana hitam putih pemangkin wibawa.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Biar luluh jiwa raga, darah setiaku tetap mengalir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir,
Biar nyawa luluh tercicir, janji ini tiada mungkir.

Banting,
September 2000



Sejak akhir-akhir ini aku berasa kurang senang dengan kemelut yang berlaku dalam kehidupan bangsaku. Setelah melawat beberapa negara luar, aku mula menyedari dalam masyarakat yang kelihatan indah di negara ini, terselindung sejuta kebusukan yang sukar untuk dihilangkan pengaruh. Sebagai marhaen aku hanya menyesali tanpa ada kudrat yang cukup untuk mengubah segala yang busuk-busuk itu.

Peristiwa Sepanjang Minggu

(i)

Sepanjang minggu ini, banyak aktiviti yang dijalankan. Sepanjang minggu berada di Hotel Royal Adelphi, Seremban bermesyuarat dan berbengkel untuk kerja-kerja penerbitan siri karya agung. Di sana aku bersama-sama rakan-rakan dan tokoh-tokoh yang hebat dan berkarisme. Sebilik dengan Tuan Haji Shamsudin Othman, bergurau dengan Aminhad, Lutfi, dan berbicara dengan Tn. Haji Nafi Mat, Omar Mamat, Lutfi Ishak, Samsiah Mohd Noor, dan beberapa orang guru termasuk Zaidah, Siti Hajar, dan Ija. Mereka semua merupakan tokoh-tokoh yang hebat. Tidak lupa dengan Mazlin yang sangat aktif bergerak mengendalikan segala urusan perbengkelan, walaupun ada kalanya nampak riak-riak keletihan di wajahnya.

Aku sebenar kurang sihat semasa ke Seremban. Akan tetapi atas kehendak tugas dan tanggungjawab, aku berkorban juga. Gambar di sebelah adalah pada hari pertama sampai ke Royal Adelphi. Berehat sambil memandang ke dalam diri, bermuhasabah, dan mencari kelemahan sendiri.

(ii)


Tertarik dengan kegigihan Samsiah menulis novel. Banyak novel yang sudah ditulis, kebanyakannya tebal-tebal dan laris. Alhamdulillah, penulis masa kini sudah mampu mencari kemewahan hasil titik peluh berkarya. Mudah-mudahan hal ini akan menjadi pendorongku supaya terus menulis.




Gambar menunjukkan Samsiah sedang menandatangi novel untuk diberikan kepada rakan-rakan. Yang menerima novel (termasuk aku) tersenyum lebar kerana mendapat novel percuma. Tapi kami amat menghargai pemberian tersebut.






(ii) Berceramah Sastera di Hotel Seri Malaysia, Sepang.
Hari Jumaat malam Sabtu, aku memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah sastera kepada pelajar-pelajar Kolej Mara Banting. Setelah agak lama meninggalkan bidang sastera, aku ragu-ragu untuk memenuhi undangan tersebut. Namun, aku penuhi juga dengan persediaan yang agak terhad kerana kesibukan. Terima kasih kepada rakan-rakan seperti Shamsudin Othman, Aminhad, dan Lutfi kerana membantu memberikan idea tentang apa-apa yang hendak disampaikan dalam ceramah tersebut.


Kebimbangan tidak dapat memenuhi masa 2 jam yang diperuntukkan berlalu apabila aku mendapati masa tidak cukup. Masih banyak yang ingin diperkatakan kepada pelajar-pelajar ini yang rata-rata beraliran sains dan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Namun aku bersyukur juga kerana dapat berkongsi sedikit pengetahuan ada dengan mereka. Malah, aku tidak keberatan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman sastera dengan mana-mana pihak pada masa akan datang kerana aku mula mencipta nama dengan sastera. Hanya kesibukan dan kecenderungan menulis buku-buku akademik menjadikan aku sedikit jauh daripada dunia sastera.


(iii) Tentang Dilema

Sepatutnya Isnin 13 Ogos 2007, aku berada di Universiti Malaysia Sabah. Minggu lepas aku dihubungi untuk menghadiri temu duga jawatan pensyarah penulisan kreatif. Aku sudah menghubungi Zaba di KK untuk membantu. Namun sampai saat ini aku belum membuat keputusan sama ada mahu pergi atau tidak.



Sabtu, Ogos 04, 2007

Dulu dan sekarang




Sengaja aku paparkan kedua-dua keping gambar ini untuk perbandingan. Aku dan isteri, 22 tahun yang lalu dan penampilan kami sekarang. Lihatlah perbezaannya!!




Beberapa Penantian

(i)
Minggu depan aku akan berada di Royal Adelphi, Seremban. Projek buku penceritaan semula Hikayat Pasai perlu diteruskan. Kini 70% siap, dan akan dimurnikan di sana nanti. Harap Shamsudin Othman, Lutfi, Aminhad, dan rakan-rakan yang lain tidak menguzurkan diri untuk datang.

10 Ogos aku menerima jemputan Kolej Mara Banting untuk menyampaikan sedikit syarahan tentang dunia sastera secara umum. Kalau sejak akhir-akhir ini aku lebih banyak menyampaikan ceramah tentang bahasa, kini aku beralih angin. Masalahnya, aku terpaksa membuat persediaan, rujukan, dan retrospeksi diri dalam bidang sastera yang semakin kurang bisanya.

Aku teringat tulisan Puan Salbiah Ani dalam kolum sastera Berita Minggu yang lalu. Ada orang mempertikaikan karya yang dihantar tetapi tidak mendapat tempat. Bagiku memang ada kebenarannya, kerana sastera sekarang sudah ada KASTA. Mereka yang berkasta tinggi sahaja akan menjadi sanjungan dan pilihan editor. Yang lain, silalah cari gelanggang lain untuk berpencak. Kini aku sudah mula berpindah gelanggang kerana dalam sastera aku dari kasta yang tidak ada dalam senarai.


(ii)




Menanti rumah baharu siap memang tidak sabar. Tambahan pula sudah hampir sembilan bulan menunggu. Namun, sekurang-kurangnya bentuk rumah baharu itu sudah kelihatan. Petang semalam aku dan isteri melawat rumah baharu kami yang mula diplaster dindingnya. Aku perlu menyediakan peruntukan kewangan yang lebih untuk aksesori rumah itu nanti. Biarlah aku berbelanja lebih sedikit untuk mendapat keselesaan hidup. Setelah lama bekerja keras untuk kehidupan, tidak salah rasanya berhabis sedikit untuk hidup selesa.


Khamis, Ogos 02, 2007

Ulang tahun perkahwinan

Diam tak diam, sudah 22 tahun usia rumah tanggaku dengan isteri tersayang. Kami masih seperti kawan-kawan seperti lebih 22 tahun yang lalu. Alhamdulillah, tidak banyak cabaran rumah tangga. Setiap cabaran ditangani seadanya. 3 Ogos 1985 merupakan hari aku menerima tanggungjawab sebagai seorang suami.

Hidupku bahagia. Anak-anak juga sudah besar. Nurul Ain sudah berada dalam tahun dua di UPSI. Affiq bakal menduduki SPM dan Adilah dalam tingkatan dua. Tidak lama lagi, rumah yang dibeli akan siap. Kami agak terlewat membeli rumah kerana tiada tekanan keperluan sebelum ini. Malah rumah baharu ini merupakan rumah yang ketiga milik kami.

Semoga segala yang baik akan berterusan. Mudah-mudahan Allah akan terus memberkati kehidupan. Aku tetap bersyukur dengan anugerah Allah yang tidak terhingga dalam hidup ini.

Khamis, Julai 19, 2007

Tentang Ceramah dan Seminar

Bersama-sama Aminhad di Tanjung Piai, selepas menjamu selera di restoran yang menganjur ke laut.
(i)

Sudah lama tidak mengemas kini blog ini. Sibuk atau tidak ada apa-apa yang ingin dimasukkan. Perkembangan terkini, aku akan membentangkan kertas kerja dalam Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di UPSI, 29 Julai nanti. Esok aku akan memberikan ceramah teknik menulis karangan di MES. Kemudian esok juga ada mesyuarat peningkatan prestasi Bahasa Malaysia daerah. Sabtu akan akan membimbing calon-calon peperiksaan di SMK Pulau Carey, Kuala Langat.


Rasa-rasanya masa inilah aku dapat menyebarkan sedikit pengetahuan dan pengalaman dalam bidang penulisan karangan.


(ii)

Fikiran agak terganggu apabila berkunjung ke klinik. Tekanan darahku agak tinggi dan memerlukan aku menjaga pemakanan. Nampaknya setelah kembali bertugas, pemakananku agak tidak keruan lagi. Semasa bercuti belajar selama tiga tahun 2004-2006, aku berdisiplin menjaga pemakanan dan riadah. Hasilnya berat badanku berkurang hampir lima kg. Kini aku sudah tidak mempedulikan lagi pemakanan dan riadah. Saban hari menghadap komputer untuk mengejar deadline. Penerbit sering bertanya bahan-bahan untuk diterbitkan. Mahu tidak mahu aku bersengkang mata untuk menyelesaikan segala tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan. Sesekali apabila aku terlalu mementingkan pemakanan dan riadah, terdetik pula persoalan, adakah manusia kini (dan aku) mula takut dengan kematian? Wallahualam.


(iii)

Barangkali Amin sudah mengemas kini blognya. Lama sudah tidak ke sana.

Isnin, Julai 09, 2007

Kisah Gagak dan Merpati

Kwek! Kwek! Kweeekkk...!!
Berbunyilah gagak meluahkan perasaan rimas dan gelisah yang menimpa dirinya. Betapa tidak? Hidup dalam keadaan yang serba daif di daerah yang penuh dengan persaingan itu menjadikan si gagak kurus berasa begitu tertekan. Dipandang kiri dan kanak. Semuanya spesies sebangsanya merengek, menjerit, melaung, dan bertelingkah tidak putus-putus. Sampah yang menjadi rebutan, bangkai yang menjadi penganan direbut bagai tidak ada hujungnya.
“Aku mesti pergi dari sini,” kata di gagak kurus itu sendirian. Dia tidak betah lagi hidup dalam dunia gagaknya yang celaru, busuk, dan hitam.
Dengan tidak membuang masa lagi, si gagak kurus pun melonjakkan badan kurusnya ke udara. Dengan kayuhan sayap yang serba lemah, dia menggagahi kudratnya. Hala tujunya tidak dipastikan. Akan tetapi dia nekad akan berhenti di mana-mana ada makanan, biarpun spesies unggas lain yang menguasai kawasan tersebut.
Setelah sekian lama melayah lemah di angkasa, si gagak kurus ternampak satu kawasan unggas yang sedang bersantai di bawah. Kelihatannya kumpulan unggas itu mesra sekali antara satu sama lain. Tidak berebut-rebut seperti kaumnya sebelum ini. Maka tergeraklah hati si gagak kurus untuk turun.
Si gagak kurus pun bertenggek di dahan pokon, tidak jauh dari kawanan unggas yang semakin dekat semakin cantik kelihatannya.
“Ohhh... merpati rupa-rupanya..” bisik hati kecil si gagak kurus. “Alangkah baiknya aku menjadi seperti merpati, berbulu warna-warni, cantik, lembut, tidak berebut-rebut seperti kaumku,” tambah si gagak kurus, terpesona melihat gelagat merpati yang hidup berkumpulan dalam keadaan harmoni.
Lama juga si gagak kurus memerhatikan kemesraan kumpulan merpati itu. Merpati-merpati itu pula seperti mengetahui sedang diperhatikan. Lalu mereka pun bermesra-mesraan antara satu sama lain. Berjalan berlenggok ke sana ke mari, sambil bertegur sapa dengan suara lunak. Sesekali mereka bergurau antara satu sama lain. Kadang-kadang pula si jantan mengiraikan bulunya yang cantik untuk memikat.
Perlakuan merpati-merpati menjadikan si gagak kurus semakin terkesima. Dia bertanya dalam hatinya, mengapakah dia tidak dilahirkan sebagai merpati. Bertunas dalam hatinya akan kekesalannya menjadi gagak. Dia tahu dengan menjadi gagak, statusnya rendah. Gagak sering dibenci oleh sesiapa sahaja. Malah manusia sudah mula mengangkat istinggar, mahu menghapuskan spesies gagak yang hitam itu. Malangnya menjadi gagak, bisik hati kecil si gagak kurus.
“Aku tidak mahu menjadi gagak lagi!!” getus hati si gagak kurus. Dia sudah nekad. Dia sudah bulat hati untuk menjadi merpati.
Maka si gagak kurus pun terus melayah turun. Dia cemburu melihat merpati yang cantik, lembut, dan bercakap dalam bahasa merpati yang bersopan lagi indah. Sedangkan bahasanya penuh dengan kekerasan, carut-marut, dan cabar mencabar.
Setelah menjejakkan kaki berhampiran kumpulan merpati, maka si gagak kurus melompatlah terkedek-kedek ingin masuk ke dalam gerombolan merpati. Maka terkejutlah merpati yang sedang bersenang-senang itu melihat sekujur tubuh berbulu hitam tiba-tiba sahaja sahaja menerjah masuk.
“Siapa tu?” tanya si merpati. Masing-masing terpinga-pinga melihat spesies yang sangat asing bagi mereka.
“Siapa kamu?” tanya bapa merpati sambil mencemikkan paruh seperti memandang jijik terhadap si gagak kurus.
Akan tetapi si gagak tidak memahami bahasa merpati. Dia bercakap dalam bahasa gagaknya yang celaru. Lebih hairanlah burung-burung merpati itu. Pada mereka si gagak tidak ubah seperti makhluk asing dalam dunia mereka yang lemah lembut. Maka si gagak itu disisihkan. Merpati beredar mahu meninggalkan si hitam itu kerana bahasanya langsung tidak difahami.
Si gagak tidak berputus asa, walaupun dia sedar kehadirannya tidak disenangi. Dia melompat terkedek-kedek membuntuti kawanan merpati yang cuba menghindarkan diri.
“Kau tengok, makhluk itu tetap mengikut kita,” bisik ibu merpati kepada rakannya.
“Yalah! Bimbang saya. Nampaknya makhluk itu macam ganas, tidak sesuai dibuat kawan,” rakannya menjawab.
Si gagak hanya tersengih, mengikut ke mana-mana kawanan merpati itu pergi. Jika merpati itu terbang, si gagak itu pun terbang. Hinggap merpati, hinggaplah dia. Akan tetapi dia hanya mengikut dari jauh. Obsesnya untuk menjadi merpati ternyata hebat.
Bunyi jerit pekik yang menjadi tabiatnya kini semakin berkurangan. Dia mula bercakap lembut seperti burung merpati. Akan tetapi bahasanya masih tidak difahami oleh merpati. Kadang-kadang kawanan merpati ketawa berdekah-dekah tatkala si gagak cuba berkomunikasi dengan mereka. Bahasa si gagak ternyata jauh dari kelompok bahasa mereka. Lenggok bicara si gagak juga sukar untuk diterima kerana pengaruh bahasa gagaknya.
“Aku mesti belajar bahasa merpati. Tidak guna aku menjadi merpati jika aku tidak dapat bercakap dalam bahasa merpati,” bisik hati kecil si gagak kurus.
Sejak itu, si gagak kurus pun mulalah belajar bahasa merpati. Dia mendekati anak-anak merpati untuk belajar berdikit-dikit. Lama-kelamaan si gagak semakin diterima oleh merpati yang baik hati itu. Maka ramailah yang mahu mengajar si gagak berbahasa merpati. Alangkah gembiranya si gagak kerana dia semakin berjaya menguasai bahasa merpati.
Selepas itu si gagak pun semakin diterima oleh kawanan merpati itu. Kini si gagak dan merpati pun dapat berkomunikasi dengan baik. Dia sudah pandai bernyanyi dalam bahasa merpati. Dia sudah pandai bersajak, bersyair, bergurindam dalam bahasa merpati. Dia sudah pandai menyindir, mengungkit, mencarut dalam bahasa merpati. Si gagak pun tidak mahu lagi berenggang dengan etnik baharunya itu. Lupalah dia akan asal-usulnya. Setelah berbahasa merpati, dia tidak mahu lagi mengakui bahawa dirinya itu berbangsa gagak. Sementelah merpati itu menerima sahaja sesiapa yang pandai berbahasa sebagai kaum merpati juga.
Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, maka gagak pun mahu mengisytiharkan dirinya sebagai merpati. Maka dipujuklah ketua merpati supaya memberikan pengiktirafan kepada dirinya sebagai merpati. Untuk itu satu majlis besar-besarkan diadakan. Majlis pemasyhuran si gagak kurus sebagai merpati itu pun dirayakan oleh seluruh etnik merpati.
Hari yang ditunggu-tunggu oleh si gagak kurus itu tiba juga akhirnya. Dalam majlis gilang-gemilang itu, si gagak pun duduk sebaris dengan pembesar merpati. Gayanya gaya merpati, bahasanya bahasa merpati, lenggok tuturnya lenggok tutur merpati. Malah dalam diri si gagak kurus itu semuanya berperawakan spesies merpati.
Gembiralah si gagak kerana tidak lama lagi dia tidak lagi disebut dengan nama asalnya. Dia akan menjadi merpati. Dia akan menguasai legasi merpati. Dia akan menjadi entiti yang berpengaruh dalam masyarakat merpati. Niat itu ditanam sejak awal kedatangan dalam kelompok merpati tanpa pengetahuan kaum yang ditumpanginya itu. Merpati tetap dengan kelembutan dan kesopanannya. Tidak sedikit pun berwasangka terhadap pendatang hitam dalam gerombolan mereka itu.
Maka upacara pemasyhuran si gagak sebagai merpati menjadi acara kemuncak. Watikah pemasyhuran pun dibawa ke tengah majlis. Merpati jantan yang tua diberikan tanggungjawab untuk memasyhurkan si gagak kurus itu sebagai merpati.
“Maka dengan ini, menurut perlembagaan kaum merpati, setelah ada pendatang dari spesies lain yang pandai berbahasa merpati, seyogialah diisytiharkan sebagai....”
“Nanti dulu....” tiba-tiba terdengar pekikan merpati muda yang muncul secara tiba-tiba. Semua mata merpati tertumpu ke arah suara itu. Si gagak kurus ternganga tanda rasa terkejut. Kerongkongnya hitam jelas dipandang mata puak merpati.
“Kenapa..?” juak-juak merpati pun melafazkan soalan yang sama kepada merpati muda yang datang tanpa diundang itu.
“Saya rasa, kita kaum merpati tidak boleh begitu mudah menerima spesies lain dalam kelompok kita. Dia hanya berbahasa merpati tetapi dia tidak berbudaya merpati,” ujar merpati muda itu.
“Apa alasan kamu berkata begitu? ” tanya merpati yang lain. “Dia sudah dapat menguasai bahasa kita,” tambahnya.
“Kita jangan terlalu mudah menerima kemasukan spesies lain. Biarpun dia pandai berbahasa merpati, tetapi warna bulunya tidak sama dengan warna bulu kaum kita,” tegas merpati muda itu pula. Kali ini semua mata merpati tertumpu ke arah satu-satu makhluk yang berbulu hitam dalam majlis itu. Si gagak pun tersipu-sipu.
Merpati-merpati tua pun meminta majlis itu ditangguhkan buat sementara waktu. Mereka pun berkumpul di bawah pohon untuk berbincang tentang bantahan merpati muda itu. Si gagak menanti dengan penuh debaran. Wajahnya mula menampakkan kemarahan terhadap merpati muda yang sanggup menghalang niatnya itu.
Akhirnya keputusan pun dibuat oleh ahli mesyuarat merpati di bawah pohon itu. Maka merpati pembawa watikah pemasyhuran tadi ke tengah majlis semula.
“Kami sudah membuat keputusan. Sebelum kaum lain menjadi sebahagian daripada kaum kami, seelok-eloknya, tukarlah sifat luaran dan dalaman. Sekurang-kurangnya tidak ada yang keliru dengan jati diri kaum kami pada masa akan datang,” kata merpati pemasyhur itu dengan suara yang lembut tapi tegas.
Mahu tidak mahu, si gagak kurus terpaksa akur. Selesai sahaja majlis yang gagal itu, dia segera berikhtiar untuk menukar warna bulunya.
“Buluku mesti kucabut. Nanti apabila tumbuh semula, sudah tentu warnanya berubah,” kata si gagak. Sehelai demi sehelai dicabut bulunya demi mahu menukar identitinya. Dia sanggup bersakit-sakit hanya kerana mahu dikenal sebagai merpati.
Setelah habis dicabut bulu sehingga togel, duduklah diam si gagak sementara menanti bulunya tumbuh lagi. Selang seminggu tumbuhlah bulunya. Alangkah sedihnya si gagak apabila yang tumbuh itu tetap juga berwarna hitam. Dicabutnya lagi. Setiap kali bulunya tumbuh, dicabutnya terus selagi tidak tumbuh bulu berwarna seperti warna merpati.
Setelah sekian lama menanti, maka jemulah kawanan merpati menanti bulu gagak itu berubah warna. Seekor demi seekor merpati itu terbang ke angkasa. Akhirnya semua merpati itu berlegar-legar di angkasa mahu meninggalkan si gagak. Si gagak kurus itu mula cemas. Badannya hanya dibaluti kulit yang hitam. Bulunya sudah tidak ada lagi. Dia melompat beberapa kali mahu ikut merpati itu terbang. Malangnya dia gagal. Sayapnya tidak berbulu. Ekornya tidak berbulu. Badannya tidak berbulu.
“Kwekkk, kweekkk, kwekkkk...!!” tiba-tiba si gagak menghamburkan kemarahannya. Kali ini dia tidak berbahasa merpati lagi. Dia bercakap dalam bahasa ibundanya, bahasa gagak. Kawanan merpati semakin sayup dari pandangan mata.
Kini, si gagak sedar bahawa, gagak tetap gagak. Dia tidak mungkin diterima sebagai merpati.

Jumaat, Julai 06, 2007

Catatan Hari Ini

(i)

Alhamdulillah aku telah pun melaksanakan tugas menyampaikan ceramah tentang teknik penulisan esei di PPD Kuala Langat pagi tadi. Selama 4 jam, bercakap menjadikan aku terlalu penat. Akan tetapi hati berasa lega kerana mendapat respons yang baik daripada guru-guru yang hadir. Yang penting aku dapat menyebarkan sedikit pengalaman kepada guru-guru bagi diajar pula kepada murid-murid di sekolah masing-masing. Itu jika teknik tersebut sesuai dengan murid mereka. Aku berhadap guru-guru tidak memberi alasan pencapaian murid mereka rendah untuk tidak mencuba teknik yang aku perkenalkan itu. Sewajarnya, cuba dahulu barulah buat kesimpulan sama ada teknik tersebut sesuai atau tidak.


Sempat juga aku memberikan panduan dalam penulisan kreatif secara ringkas, memandang ada guru yang berminat untuk menulis kreatif. Tambahan pula mereka mengetahui aku memenangi peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru. Oleh sebab masa sangat terhad aku hanya menyentuh secara ringkas tentang penulisan kreatif. Barangkali satu bengkel khusus untuk penulisan kreatif wajar diadakan untuk guru-guru yang berminat.



(ii)

Aku tertarik dengan tulisan Salbiah Ani dalam pojok sastera Berita Minggu baru-baru ini. Beliau mencemuh seorang penyair yang telah begitu obses terhadap penukaran nama Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia. Sebenarnya, beberapa orang penulis sama ada secara terang atau senyap memang sakit hati membaca 'sajak' berkenaan. Apatah lagi gelaran yang dilemparkan terhadap pihak-pihak tertentu sebagai petualang.


Sebenarnya si polan itu telah lama bersikap provikatif dalam karyanya. Entah mengapa karya-karya yang sarat dengan perkauman (dari segi watak, latar, dan temanya) mendapat tempat yang sangat istimewa dalam kancah sastera Melayu (Malaysia). Malah seorang tokoh (yang telah tiada) terlalu menatang si polan ini seperti menatang minyak yang penuh. Akhirnya belang di polan itu terserlah juga. Malangnya, ada antara kita yang tidak menganggap itu sebagai belang.


(iii)

Badan-badan penulis kita kini tidak banyak yang bercakap tentang perjuangan. Semuanya diam dan merestui. Dan fungsi badan-badan penulis ini lebih banyak menganjurkan rombongan daripada memperjuangkan nasib penulis dan sastera Melayu (Malaysia).


(iv)


Aku baru sahaja mendapat buku puisi (yang banyak sisipan esei) Leo AWS. Aku memang bercadang untuk membicarakan karya-karya Leo yang baharu ini dari aspek komunikatif. Akan tetapi bilangan puisinya kali ini amat terhad.


(v)

Amin sudah mengemaskinikan blognya. Tadi petang aku telah mencuci gambar. Antara gambar tersebut ialah gambar aku ketika di Pontian. Mesyuarat di Pontian itu akan disambung di Royal Aldelphi Seremban, 7 - 9 Ogos nanti. Mazlin dah sms maklumat tersebut ketika aku dan keluarga sedang makan-makan di Jalan Jugra.

Rabu, Julai 04, 2007

Teknik Mengarang Menggunakan Formula

Nampaknya teknik mengarang yang kuperkenalkan sejak 2002 mula mendapat perhatian terutama golongan pendidik mata pelajaran Bahasa Melayu (Malaysia?). Besok 6 Julai aku dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang teknik menulis karangan kepada guru-guru Bahasa Melayu Kuala Langat. Kemudian pada 28/29 Julai nanti, aku akan membentangkan kertas kerja seminar tentang teknik tersebut di UPSI. InsyaALlah jika tidak ada aral melintang.

Sebagai guru aku sentiasa mencari kaedah untuk membolehkan murid-murid mengarang dengan baik, hasilnya mereka dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Berdasarkan beberapa orang guru yang pernah menghadiri sesi ceramahku, teknik yang kuperkenalkan itu sangat berkesan. Buktinya sekolah masing-masing mencipta sejarah dalam peningkatan prestasi murid-murid mereka. Alhamdulillah jika benar perkara itu. Dan aku tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja tentang kaedah tersebut.

Akhir-akhir ini aku berasa terbelenggu dengan suatu fenomenon tentang diri aku sendiri. Setelah aku memiliki ijazah kedoktoran, pintu-pintu peluang seakan-akan tertutup berbanding semasa tidak bergelar Dr. dulu. Permohonan untuk bertugas di IPTA semuanya ditolak dengan alasan yang kadang-kadangnya di luar jangkaan. Begitu juga dengan karya-karya yang kutulis semakin tidak diterima.

Kini aku perlu duduk bermuhasabah. Adakah gelaran Dr itu satu kekurangan buat diriku, atau budaya dan pemikiran masyarakat kita yang tidak dapat menerima aku dengan kelulusan dan gelaran itu. Tapi aku percaya dengan ketentuan Allah dan iltizam diri. Aku tidak perlu berhenti untuk melangkah, biarpun orang lain memandang langkahku tidak selari dengan pemikiran mereka. Wallahua'lam!

Sabtu, Jun 30, 2007

Semakin Hilangkah Aku?

Petang semalam aku menerima SMS dari Leo AWS, memberitahu penerbitan antologi puisinya yang terkini. Dan seperti biasa aku amat mengagumi kegigihan Leo dalam berkarya.
Paling mencuit perasaan apabila Leo bertanya adakah aku masih berehat daripada menghasilkan karya sastera. Pertanyaan tersebut membuat aku berfikir kembali dan bertanya "Adakah aku semakin hilang dalam dunia sastera?"

Jawabannya barangkali benar, ya! Aku semakin jauh daripada dunia sastera, sementelah aku terlalu akrab dengan penulisan buku ulasan. Aku jadi teringat dengan arwah Mohd Ismail yang sangat-sangat merindui penulisan sastera pada akhir hayatnya. Ketika itu arwah sangat obses dengan penulisan buku-buku akademik. Barangkali sindrom itu kini melanda diriku.

Namun malam tadi, aku memulakan kembali sedikit usaha mengatur aksara sastera yang lama kusisihkan. Biarlah tulisanku tidak diterima untuk penerbitan, akan tetapi aku puas apabila karya selesai kutekuni.

Moga-moga aku bersemangat kembali untuk menuli, kerana penulisanlah yang menjadikan aku mengenali dunia yang luas ini.

Isnin, Jun 25, 2007

MTUC berpiket

Muak aku menonton berita di televisyen dan juga membaca berita di akhbar. Berita utama masa kini dipenuhi dengan berita jenayah, pembunuhan, rasuah, dan segala kebobrokan. Paling menarik MTUC melancarkan piket di beberapa lokasi.

Barangkali sudah tiba masanya budaya berpiket ini dihidupkan kembali. Barangkali piket menentang penukaran nama Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia sesuai benar dilaksanakan. Kadang-kadang suara marhaen tidak lagi didengar apabila kuasa yang diberikan menjadi terlalu besar.

Dan satu kejutan apabila Ketua Polis juga didakwa terlibat dengan rasuah. Rasuah yang cuba dibanteras oleh pucuk pimpinan kini menjadi budaya yang sukar dikikis. Aku teringat ketika di Karimun minggu lepas, kakitangan kerajaan meminta ihsan (atau rasuah) secara terang-terangan. Tapi jumlah yang dihulurkan hanya sekadar 1000 rupiah (bersamaan 40 sen). Apalah nilai 1000 rupiah itu jika dibandingkan dengan rasuah diam-diam di negara kita.

Persoalan yang timbul, ke manakah hala tuju bangsa Melayu, negara TanahMelayu, peradaban Melayu.

Jumaat, Jun 22, 2007

Tanjung Piai, Tanah Paling Selatan




Setelah menahan kelaparan di Karimun, kami makan tengah hari pada pukul 6.30 ptg di Tanjung Piai. Sebuah restoren di atas laut, sedang keputusan bekalan elektrik yang lambat perkhidmatannya. Tapi kelaparan menjadikan kami berasa juadah amat enak.


Tanjung Piai merupakan daratan paling selatan di benua Asia Tenggara. Tapi jalan masuknya buruk amat. Barangkali menteri atau wakil rakyat sudah lama tidak ke sana.


Yang uniknya, aku kembali mengingat cerita-cerita rakyat dan diceritakan kepada kekawan. Amin berminat benar dengan cerita-cerita lisan yang tidak pernah dibukukan itu. Pertemuan dengan kekawan kali ini amat mesra. Ketika makan makanan laut di Pontian, Lutfi sakit perut akibat makanan di hotel tidak memberangsangkan. Amin dan aku tetap berselera, walaupun layanan dan makanan di restoren pilihan Kak Sham perlu meningkatkan perkhidmatan dan mutu.








Khamis, Jun 21, 2007

Tanjung Balai yang Gesit




Akhirnya, aku menjejakkan kaki ke Tanjung Balai, Kepulauan Karimun, bersama-sama Aminhad, Lutfi, dan Shamsuddin Othman. Setelah nanar dioleng ombak Selat Melaka, ternyata kami dikejutkan oleh suasana di Tanjung Balai amat gesit. Anak-anak mengemis sambil menarik-narik baju. (Lihatlah wajah letih kami ketika melunasi harga buku di Toko Salemba, Tanjung Balai)

"Kasian Pak, belum makan Pak!" kata anak-anak itu, lelaki dan perempuan. Rimas! Dan pemuda-pemuda mengekori untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan itu, dan ini, dan apa-apa sahaja yang bisa diberikan kepada kami rakyat Malaysia yang suci. Akhirnya, Sudin mula mesra. Lutfi tetap tegar, aku dan Amin hanya menjadi pengikut yang setia. Maka jadual lawatan curi-curi itu kami penuhi dengan beli-belah ala-kadar akibat masa sangat terhad. Memadai baju, beg, dan sebuah kamu bahasa Indonesia. Amin, Sudin, dan Lutfi memborong buku di Toko Salemba. (yang bertandas di tingkat atas).

Anak-anak tempatan Karimun hidup dalam persaingan yang gesit. Lorong jalanan sempit tetapi kenderaannya rakus. Kami mengalah dengan keadaan, dan akhirnya kami ternyata terjerat oleh kegesitan Tanjung Balai.
Ketika pulang setiap petugas di jeti menghulurkan tangan tanpa segan, meminta habuan sebelum keberangkatan. Rasuah terang-terangan. Aku menghulurkan beberapa ribu rupiah. Tidak banyak, berbanding korupsi yang semakin gesit di bumi sendiri.
Ketika menjejakkan kaki kembali ke Kukup Laut, aku berasa lebih lega, lebih-lebih lagi dapat melawaskan diri di tandas bolos yang unik.
Sebuah tandas di Kukup.
Di situlah satu-satunya,
bukti peningkatan mentaliti kelas pertama,
yang diuar-uarkan dalam berita perdana,
tentang taraf dunia,
dalam segala agenda.
Datanglah ke sini wahai menteri pelancongan,
melihat sebuah tandas menanti kunjungan,
tandas hebat janaan jurutera cemerlang,
dalam sebuah negara gemilang,
dan tamadun terbilang.
Hati-hatilah ketika menggunakan,
kerana ada kemungkinan,
kita akan kehilangan,
barangan dan angan-angan,
terbolos lewat lubang,
ke kaki tiang,
berenang atau bergelumang.

Sabtu, Jun 09, 2007

Berwisata di Kota Singa



Minggu lepas merupakan minggu aku tidak ada di rumah. Minggu pertama balik ke kampung. Sekembali ke Banting, terus ke JB dan Singapura, bercuti dengan family. Banyak cerita yang hendak disampaikan, tetapi memadai kisah melancong ke Kota Singa kupaparkan dahulu.

Pertama, ternyata mahal untuk melancong ke Singapura, lantaran perbezaan nilai mata wang. Untuk ke Pulau Sentosa sahaja, dengan pakej asas, terpaksa bebelanja hampir RM600, untuk lima orang.Tidak termasuk makanan yang mahal dan merisaukan tahap kehalalannya. Hanya mengisi perut dengan burger ikan. Di Dolphin Lagoon, terlihat tanda halal pada poster sandwic, tetapi apabila dibeli, hanya sandwic untuk vegeterian. Tidak enak. Air mineralnya yang kecil berharga $1.50, bersamaan RM3.60 Waduh, mahal amat. Tetapi sekadar untuk melihat tempat orang, apa salahnya
berbelanja sedikit.

Yang baik tentang Singpura, ialah orangnya yang very helpful. Ketika di Kranji, aku terpinga-pinga mencari arah tuju. Tetapi ada seorang wanita yang membantu, membeli tiket MRT. Begitu juga semasa di stesen MRT Jurong East, ada wanita lain yang menunjuk arah supaya kami menukar MRT di Outram Park. Akhirnya kami sampai ke Harbour Front sebelum ke stesen kereta kabel untuk di Pulau Sentosa.

Memandangkan kos yang tinggi, niat untuk bermalam di S'pura terpaksa dibatalkan. Kami balik dan tidur di JB. Namun, kenangan di Singapura tetap ada manfaatnya. Tempat-tempat yang dilawati bukanlah sesuatu yang hebat atau luar biasa. Underwater Worldnya, tidak lebih hebat daripada Aquaria KLCC atau Underwater World Langkawi yang kukunjungi beberapa tahun yang lalu. Begitu juga Taman Rama-ramanya tidaklah sehebat mana berbanding Taman Rama-rama Kuala Lumpur. Dolphin show hanya 20 minit dan tidak banyak aksi yang dipamerkan.

Barangkali selepas ini lebih baik berwisata ke Indonesia. (Gambar: Atas: Di Taman Rama-rama Sentosa. Bawah: Melalui stesen MRT bawah tanah untuk bertukar haluan ke Harbour Front)

Isnin, Mei 28, 2007

Hitam Putih Kehidupan


(i)
Kehidupan ini penuh hitam dan putihnya. Hari Sabtu, aku ke KL Sentral sekadar mahu melihat suasana walk in interview pengambilan tenaga akademik IPTA. Yang hitamnya adalah apabila aku bertanya di booth UPSI tentang status permohonanku. Jawapannya, "permohonan Dr. tidak diperakukan". Dalam kata lain permohonanku tidak layak. Aku sempat bertanya apakah kekurangan permohonanku. Sudah tentu jawapan tersebut SULIT. Seperti yang kunyatakan terdahulu, aku tidak begitu mengharapkan jawatan tersebut. Jadi aku tidak terlalu kecewa dengan respons yang kuterima. Aku membuat 2 andaian, pertama aku belum cukup layak untuk bertugas sebagai pensyarah di UPSI, atau yang kedua aku terlalu hebat untuk bertugas di sana.

Semalam hari minggu aku sekali lagi ke KL Sentral. Kali ini lebih bersedia untuk mencuba nasib. Aku memilih UKM sebagai IPTA pilihan. Nyatakan lamaranku kali ini amat berhasil, tanpa melalui sesi yang sukar. Malah penemuduga lantas berkata aku layak, tanpa banyak soal. Lebih manis lagi aku ditawarkan DS51, walaupun aku hanya memohon DS45. Alhamdulillah.

Masalahnya, aku perlu mencari jalan untuk mendapatkan pelepasan dari KPM. Aku diberikan tempoh 6 bulan untuk menyelesaikan masalah perjawatanku. InsyaAllah, akan aku usahakan.

Sepanjang perjalanan pulang, aku mula membayangkan perubahan yang bakal kuhadapi dalam waktu-waktu yang mendatang. Di FSSK itu terbaris nama-nama besar dalam sastera dan budaya Melayu. Adakah aku akan diterima seadanya aku?

Terima kasih kepada isteri yang tidak jemu-jemu memberi semangat dan dorongan. Terima kasih juga kerana sanggup duduk seharian menanti giliran ditemuduga. (Gambar: Bersama isteri di belakang CRV)

(ii)
Malam tadi ketika menghantarAdilah ke Trengganu, sempat berbual dengan Mustaza, bekas rakan guru yang kini menjadi peguam. Padaku, Mustaza yang seorang yang hebat dan sentiasa berfikir di luar kotak. Melayu perlu lebih ramai orang yang berfikir di luar kotak seperti ini. Banyak perkara yang kami bualkan. Mungkin ada follow up ttg perkara yang dibicarakan itu.

Khamis, Mei 24, 2007

Tiga Kategori Penggiat Sastera

i)
Aku membaca blog rakan-rakan malam tadi. Bangga kerana Shamsuddin Othman dan rakan-rakan penulis akan berangkat ke Medan untuk menyertai Festival Puisi di sana.

Bagiku ada tiga kategori penggiat sastera di Malaysia. Yang pertama ialah penulis, kedua aktivis, dan ketiga penulis serta aktivis. Aku termasuk dalam kategori pertama (jika boleh dikira begitu). Aku hanya dengan legasi penulisan sendiri, tidak begitu gemar ke khalayak sastera. Ada pula yang aktif menggerakkan aktiviti sastera tetapi tidak menulis. Kelompok ini termasuk dalam kategori kedua. Yang terbaik ialah kelompok yang ketiga iaitu penulis dan aktivis sastera. Mereka inilah yang sebenarnya menjadi nadi kelangsungan sastera kita. Mereka menulis, dan pada masa yang sama mereka begitu giat menggerakkan sastera. Semoha usaha mereka akan terus menegakkan pendirian sastera tanah air.

ii)
Pada dasarnya aku amat bersyukur menerima berita kenaikan gaji kakitangan awam. Namun ada segelintir kakitangan yang berasa diri mereka teraniaya dengan kenaikan tersebut. Aneh bukan?

Mereka ialah guru-guru siswazah yang melanjutkan pelajaran ketika SSB dikuatkuasakan. Ketika belajar, tiada kenaikan gaji diberikan. Selama empat tahun mereka bergelut untuk mendapatkan ijazah. Selepas keluar mereka memulakan kerjaya dengan tangga gaji PPPS paling asas. Mereka telah kehilangan empat kenaikan gaji. Rakan-rakan yang tidak melanjutkan pelajaran menerima gaji yang hampir sama dengan mereka. Setelah kenaikan gaji 15% dan 25% bagi siswazah dan bukan siswazah, guru-guru bukan siswazah telah memotong mereka dari segi jumlah gaji yang diterima. Di manakah silapnya? Mereka kecewa, dan tidak tahu mahu mengadu nasib kepada pihak mana.

Seperkara lagi, bagi guru-guru bukan siswazah yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun, mereka juga berasa teraniaya apabila gaji mereka tidak jauh bezanya, malah sama, atau kurang daripada gaji guru-guru bukan siswazah yang baru 10 tahun berkhidmat. sekali lagi, persoalan ini timbul. Di manakah silapnya? Skim gaji guru di Malaysia kini sangat bercelaru, adakah perkara ini tidak ada dalam perjuangan memartabatkan profesyen perguruan seperti yang termaktub dalam PIPP.

Aku rasa perkara ini perlu ditangani untuk mengelakkan pengurangan motivasi guru-guru yang terlibat. Kesatuan-kesatuan guru tidak harus mendiamkan diri tentang perkara ini.

Ahad, Mei 20, 2007

Menjadi Guru Inovatif


Semalam aku diraikan dalam majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri Selangor kerana cerpenku memenangi hadiah pertama. Anakku Adilah juga mendapat tempat pertama dalam kategori pelajar memengah. Sambutan dilancarkan oleh YAB Datuk Menteri Besar. Dalam ucapannya, MB meminta guru sentiasa bertindak inovatif dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Selangor, selaras dengan gelaran negeri maju. (Gambar: Bersama-sama isteri dalam majlis Hari Guru Selangor 2007)


Dalam hal ini, aku sudah dikira mencapai satu langkah di hadapan. Pak Lah mengingatkan supaya guru-guru meningkatkan tahap keilmuan dan kemahiran. Kukira sudah kucapai kerana telah memiliki PhD. Dalam pengajaran juga aku sentiasa mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah. Buktinya aku mencipta satu kaedah penulisan karangan yang mudah dikuasai oleh murid.


Aku juga berteriima kasih kepada PPD Petaling yang mencadangkan aku supaya mempamerkan karya-karyaku sempena hari guru 2007. Namun aku tidak dapat memenuhi cadangan tersebut kerana tidak mendapat arahan rasmi mana-mana pihak. Ironinya, mengapakah PPD Petaling yang mencadangkan perkara tersebut, sedangkan aku bertugas dalam PPD Kuala Langat.


Kesimpulannya, diriku tidak dipandang oleh orang Kuala Langat, apatah lagi orang-orang di PPD.

Khamis, Mei 17, 2007

Catatan Selatan




Selama dua hari berada di JB, menyambut perayaan Hari Guru 2007. Kemuncaknya pagi tadi, upacara anugerah guru. Yang penting aku memperoleh RM2000.00 sebagai hadiah kemenangan peraduan menulis cerita kanak-kanak. Cerpenku "Dongak ke Atas, Jenguk ke Bawah" memenangi tempat pertama.




Sekalung tahniah diucapkan kepada pengajur tahun ini iaitu Negeri Johor Darul Takzim, kerana sambutan kali ini sangat meriah. Terasa guru-guru begitu diraikan dan dihargai dalam sambutan kali ini, tidak seperti tahun di lalu ketika sebuah negeri menjadi tuan rumah. Dalam kedua-dua majlis, malam tadi di Persada Johor, dan majlis Sajian Tanjung Puteri Menjunjung Budi sangat membanggakan warga pendidik seluruh Malaysia.

Aku berasa sangat teruja dengan persembahan kesenian oleh anak-anak sekolah yang comel dengan tarian zapin, joget, tarian jawa, dan lain-lain yang begitu memukau. Wajar sangatlah sekolah seni ditubuhkan di Johor kerana kerajaan Johor nampaknya sangat komited melestarikan seni warisan.

Ptg semalam sempat berkelana sendiri di Danga Bay, melihat keindahan buatan. Makan mi rebus, tetapi tidak seenak mi rebus di jalan JKR yang kami makan malam sebelumnya.

Catatan Selatan

Balikan cahaya Selat Tebrau,
ketika sore muda,
riak-riak kecil dan putik ombak,
mekar dan berkejar,
dan suaranya hilang dalam deru jentera,
juga kejut pesawat seberang sana.

Mendung tiba-tiba bercanda,
anak-anak remaja pun merapat asmara,
sepanjang denai indah,
di bawah payungan pepohon,
mengguris sedikit santun,
dan aku terpegun,
ketika jejaka ingin mencium kekasih,
dengan helah seribu dalih.

Mengimbau seberang berbalam,
betapa sempadan akrab sudah lama tenggelam,
mencuka dendam sejarah silam,
kiranya bakal ada agenda agam,
bakal tercatat di muka piagam.

Sepetang di sini Danga Bay,
melihat sinar dan mendung,
menghidu hanyir laut dan lunak debu,
betapa namamu yang kudengar,
menjadi petanda kemungkinan,
sebuah cinta tidak kesampaian.

Danga Bay,
Izinkan aku melangkah pergi,
membawa aroma cemas dan ngeri,
yang tidak terpamer dengan hakiki,
tetapi mencengkam di sudut hati.

Danga Bay,
16/5/07 4.40 ptg.


Selasa, Mei 08, 2007

Pantai Kelanang Tika Senja


Pantai Kelanang tika hampir senja,
Foto ini kuambil menggunakan telefon bimbitku,
Cantik juga pemandangannya, khabarnya penyanyi Kaer juga memanfaatkan keindahan Pantai Kelalang dalam klip video lagunya.

Anugerah Penulisan Pertama 2007

Alhamdulillah, tengah hari tadi mendapat berita cerpenku sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan memang hadiah pertama. Maksudnya tahun ini sekali lagi aku akan merayakan hari guru peringkat kebangsaan, dan kali ini di JB. Inilah anugerah penulisan yang pertama kumenangi tahun ini. Lama sudah aku tidak berpeluang untuk menyertai pertandingan menulis akibat kekangan pengajian. Kini aku ingin kembali menulis dan menulis.

Telah aku sampaikan khabar kemenangan itu kepada Aminhad, rupa-rupanya dia berada di Kundasang, pastinya dengan Shamsuddin Othman. Cemburu juga aku melihat pemandangan menarik Kundasang yang dipaparkan oleh Shamsuddin dalam blognya.

Cerpen aku yang menang itu berjudul Dongak ke Atas, Jenguk ke Bawah. Bersifat sedikit futuristik, tentang sains angkasa. Cita-cita besar anak kampung untuk menjadi angkasawan akhirnya tercapai melalui kesungguhan dan kerja keras.

Minggu lepas, Jumaat pagi aku menjalani temu duga jawatan pensyarah di UPSI. Aku tidak terlalu mengharap, berjaya atau tidak adalah rahmat yang tersembunyi.

Rabu, April 25, 2007

Jiwa Orang Kita

Aku baru selesai menyiapkan buku atur cara Majlis Anugerah Kecemerlangan sekolah. Setelah beberapa hari bertungkus-lumus, akhirnya siap juga dan sedia untuk diedarkan pada 28 April nanti. Namun, aku mempelajari sesuatu tentang jiwa orang kita, khusus bangsaku sendiri.

Oleh sebab 3 tahun bercuti, aku sudah banyak meninggalkan tugasan. Kini apabila diberikan tugas sebagai ketua jawatankuasa buku cenderamata, aku menghadapi masalah juga. Jeliknya, apabila aku meminta tolong kepada rakan-rakan yang pernah melakukan tugasan tersebut sebelum, semuanya dingin dan saling menolak untuk membantu (dengan pelbagai alasan). Entah mengapa, kerana aku sendiri seboleh-bolehnya akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Aku jadi teringat akan arwah Mohd Ismail Sarbini yang begitu gemar membantu orang lain. Malah aku sendiri terasa terpengaruh dengan sikap baik arwah itu. Malangnya, tidak ramai bangsaku yang menyelami hakikat ini walaupun antara mereka merupakan orang yang kukira kuat pegangan agama. Namun aku berterima kasih kepada salah seorang rakan sejawatan yang tidak lokek untuk membantu, sekurang-kurangnya aku tahu masih ada segelintir kecil yang berfikiran sama denganku.

Lantas dalam skala yang lebih, kukira hal ini telah menjadi budaya bangsaku sendiri. Ketika aku bergelut dengan pengajian PhDku, perkara ini turut terjadi. Aku menghubungi beberapa orang pensyarah di beberapa buah universiti tempatan melalui emel untuk mendapatkan bantuan dan pandangan tentang tesis, malangnya tidak seorangpun tampil untuk 'menyampaikan' ilmu dan membantu. Peliknya, boleh dikatakan setiap orang sarjana barat yang kuhubungi memberikan respons yang sangat memberangsangkan. Malah Prof Mikail Svensonn dari Universiti Lund menghantarkan beberapa buah buku rujukan dan prosiding seminar yang dibentangkannya. Schegloff menghantarkan bahan-bahan tulisannya. Begitu juga Fitch dan beberapa orang sarjana lain. Aku tidak mahu memikirkan apa-apa yang tersirat dari kebaikan mereka, akan tetapi aku mempertikaikan 'jiwa orang kita' yang masih terikat pada tumang pemikiran yang tidak pernah panjang-panjang talinya.

Natijahnya, bagaimanakah dapat aku mengubah weltanschuung bangsaku sendiri?

Jumaat, April 20, 2007

Perjalanan Dari Lembah Ke Puncak


Judul di atas ialah judul novel remaja yang pernah kutulis dan terbit pada 2006. Tapi judul itu aku kaitkan dengan perjalanan hidupku. Meniti denai-denai kehidupan ini umpama mendaki sebuah gunung kehidupan.


Apa tidaknya, aku mula melangkah sebagai anak kampung yang terlalu sukar untuk digambarkan. Meniti tapak demi tapak. Dan akhirnya aku berhasil menggapai apa yang sepatutnya hanya digapai oleh lain dan bukan aku.


Siang tadi aku menempah pintu yang nilainya hampir sebulan gajiku. Aku jadi terkenang ketika kecil rumahku berpintukan papan sayung. Selaknya hanya bernama selak tetapi kekuatannya tidak ada. Malah rumahku di kampung tidak bertingkap sempurna. Setiap kali hujan kami adik beradik berlindung dari tempias dan bocor atap rumbia yang daif.


Kini aku menempah sepasang pintu yang cantik, kayu nyatuh, dengan set kunci yang kukuh, berhias cermin berukir berwarna biru. Aku membelinya kerana aku ingin merasai berada di sebalik pintu yang hebat.


Perjalanan ke puncak lebih bermakna kerana dua hari yang lepas aku dihubungi oleh universiti, memberikan pengesahan bahawa aku sudah bergelar Doktor Falsafah, satu gelaran yang tidak pernah hadir dalam mimpi. Sesekali aku berasa rimas juga apabila dipanggil Dr. Ghazali. Akukah itu? Setahu aku tahap itu tidak pernah tercatat dalam graf kehidupan. Aku jadi teringat sejarah, akulah orang yang membawa kail ke baruh ketika orang lain merayakan hari raya. Apakah tafsirannya itu?


Aku ingin turunkan sajak dedikasi yang kucatatkan dalam tesis kedoktoranku.


DEDIKASI

Untuk almarhum bapa
seharusnya kau ada
untuk melihat perjalanan
menongkah kelaziman
dan memberikan piala
di hujung penantian.

Untuk ibunda
selayaknya kau mengerti
bahawa didikan yang kau beri
mengajar aku untuk terus mencari
makna harga diri.

Untuk isteri
semestinya kau teruja
lantaran kasih dan pengorbanan
semangat dan perasaan
bercantum menjadi haruman
setanggi pencarian.

Untuk anak-anak
seeloknya kau tahu
dalam menuju wawasan
kita perlu selangkah di hadapan
menguak dugaan
ke mercu kejayaan.


Rabu, April 11, 2007

Kehilangan?

Tengah hari aku baru habis mesyuarat dengan Bahagian Buku Teks di Grand Continental, KUala Lumpur. Singgah sebentar di Sogo untuk memberli baju T dan tali pinggang. Kebetulan dalam Sale (selalunya 'sale' di Sogo). Aku jadi teringat perihal anak yang hilang.

Kehilangan itu membawa beberapa natijah. Kehilangan itu berpunca daripada keghairahan mengejar 'sale' dan sikap lalai. Tidak dinafikan itu sudah takdir. Akan tetapi sikap lalai ibu bapa memang menjadi amalan orang Melayu walaupun bukan majoriti. Misalnya, ketika bershopping sakan, anak-anak dibiarkan bermain sendirian. Ketika memandu, anak-anak di belakang mengeluarkan kepala melalui tingkap untuk bermain angin. Ketika berjalan anak dipimpin menggunakan tangan kanan, dan anak paling hampir dengan jalan.

Kehilangan Yin itu sekali lagi membuktikan rakyat Malaysia sangat prihatin dan menghulurkan sumbangan.

Dan ada juga yang mengambil kesempatan tragedi ini sebagai wahana mencipta nama.

Cuba hayati sajak saya yang saya tulis ketika bencana tsunami.

Pabila Bencana Menyapa

Secebis simpati yang kumasukkan
ke lubang kecil tabung insani
tanpa mempamerkan replika perasaan
yang bakal terpapar
di muka depan akhbar kemanusiaan.

Betapa kepedihan telah menjadi
wahana mencipta jenama
dan aku bakal tercicir
dari senarai sang pengukir
arca hipokrasi duniawi
lantaran replikaku terlalu kecil
untuk kuperagakan
di podium kebanggaan.

Ketulusan telah tumbuh persoalan
pabila kita leka mengumpul kemanusiaan
sehingga tidak sempat
mengagihkan harapan
sedang kita menghebahkan jumlah
ada yang tumpas dalam lelah.

Pabila bencana menyapa
akan terbuka sebuah medan kesima
terserlah aksi watak-watak utama
dan badut-badut pelbagai warna
di mana-mana.

Banting,
2/1/05

Ahad, April 08, 2007

Ingin Jadi Penulis Ternama?

Ingin jadi penulis ternama? Dalam perbualan dengan rakan-rakan penulis ada tercetus isu tentang penulis yang sering mengutarakan kontroversi dalam penulisan. Ada juga disentuh beberapa orang penulis mapan masa lampau dan kini yang mencipta nama hasil tulisan yang kontroversi.

Kata Omar Mamat, kalau ingin cepat terkenal tulislah karya yang kontroversi. Beliau memberi contoh Salman Rushdie dan Taslima Nasreen, yang menjadi gah kerana karya yang menghina Islam. Penulis begini akan disanjung oleh barat.

Persoalannya, wajarkah penulis negara kita yang berkarya atas landasan agama Islam dan budaya Melayu menelurkan karya-karya kontroversi, hanya semata-mata kerana mahu menjadi tersohor?

Bagi saya masing-masing ada agenda dan cara sendiri untuk dikenali. Apabila sesuatu karya ditulis, penulisnya perlu memikul tanggungjawab yang besar kerana karya itu dibaca orang.

Sabtu, April 07, 2007

Bersama-sama Fadhrazy, Helmi Rindu, dan Nazel Hisham Mohammad

Berjumaat di Masjid Jamek

Aduh, buat pertama kali aku bersolat Jumaat di Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Dari Hotel Legend, menaiki LRT bersama-sama Shamsudin Othman, Lutfi, dan Amin dan turun agak tepat pada waktunya. Jemaah belum begitu ramai, tetapi di dalam dewan solat sudah tidak ada ruang. Aku terpaksa duduk di atas tikar di bawah khemah. Sudin dan Lutfi sudah hilang dalam jemaah. Amin di sebelah kiri dan belakang.

Pelbagai gelagat jemaah dapat kulihat. Yang menarik perhatianku, seorang remaja berbadan gempal, memakai t-shirt, berseluar denim paras lutut. Di bawah bibirnya berteritip bebola besi ditindik ke kulit. Aku tertanya-tanya adakah dia akan bersembahyang Jumaat. Tiba-tiba dia mengeluarkan sehelai kain pelikat lalu memakainya. Dia berdiri dalam saf seperti tidak ada apa-apa yang ganjil tentang dirinya.

Aku juga tertarik dengan juru gambar bangsa asing yang sibuk merakamkan gambar orang yang sedang beriktikaf dan bersolat. Apakah tujuannya, mungkin ada sesuatu yang unik melihat umat Islam bersusun-susun di atas aspal jalan menyembat Tuhan yang maha esa.

Sekembalinya aku memanjat tangga stesen LRT, aku mula mencanai minda melakarkan sebuah puisi yang berjudul Perhimpunan,

Di bawah terik mantarimu,
Aku menelusuri lorong dan mencari tapak
Melabuhkan pasrah
Bersama rukuk dan sujud
Yang kudus.

Langkah-langkah tertambat
Pada saf yang celaru
Untuk menghimpunkan iman
Yang kukutip dari aspal kota.

Perhimpunan ini
adalah lambang penyatuan
lambang kepasrahan
dan aku mengerti
bahawa kita rupa-rupanya
ummah yang kuat
dan mampu menggugat.

Masjid Jamek,
6/4/07 Jumaat.

Khamis, April 05, 2007

Dikekang Waktu

Entah mengapa tugas dan kerja seperti terlonggok di bahu ini. Cita-cita untuk menukangi cerpen yang ada dalam fikiran masih tertangguh walaupun drafnya sudah ada. Cerpen tentang orang Melayu. Judulnya sudah ada iaitu Mimpi Rekayasa Melayu. Akan tetapi belum dapat dipersembahkan secara dokumentasi. Namun akan kucuba.

Esok terpaksa bergegas awal pagi, melawan macet untuk ke Kuala Lumpur. Aku terima juga pelawaan Majlis Buku Kebangsaan walaupun Isnin depan aku perlu pula menyampaikan taklimat kepada pegawai-pegawai Bahagian Buku Teks tentang penggunaan buku teks Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3 yang kutulis bersama Ghalib. Sebetulnya, untuk bertemu rakan-rakan spt Aminhad, Shamsuddin Othman, Nafi Mat, Lutfi, Omar Mamat, dll di Legend Hotel esok. Sebagai penulis, aku tidak punya ramai kenalan. Sememangnya aku tidak begitu suka untuk tampil di khalayak. Biarlah hanya karyaku sahaja yang dibaca, bukan diriku untuk dibaca.

Selasa, April 03, 2007

Antologi Cerpen di Kaki Mimbar


Antologi ini merupakan himpunan cerpen saya sejak 90-an hingga awal 2004.
Terdiri daripada 20 buah cerpen, mengungkapkan pelbagai tema
termasuk kemasyarakatan, pendidikan, dan kekeluargaan.

Isnin, April 02, 2007

Hujan Tengah Malam

HUJAN TENGAH MALAM
Oleh Ghazali Lateh.

Ketika malam tersipu
angin lirih berbisik lesu
menggerakkan dedaun mimpi berahi
di hujung setanggi tafakkur
lalu aku sujud di kaki arasy-Mu
menangisi seribu dosa
menginsafi secubit pahala
aku kehilangan doa.

Hujan pun terik
bersaling lebat dan rintik
di atas aspal gemersik
membuakkan rengek tangis
luka iman terhiris tipis
darah hitam membirai mata fikirku
dan lidah pasrah pun kelu.

Tengah malam ini
aku mula mengenal diri
dengan cahaya inayah-Mu
aku terbangun menguak kelam
semalam yang suram.

Dari langit-Mu
telah turun angin mendesah
dan gerimis membasah
di kamar kejahilan ini
telah lunak doa yang payah
dari hati yang gundah!

Banting,
3 Ogos 1997

Ahad, April 01, 2007

Di Serikin, Sarawak


Perjalanan

Perjalanan ini sebuah penangguhan,
kerana destinasi yang ada hanya satu
di pinggir persinggahan
melihat kebesaran-Nya
dan kekerdilan diri.

Penantian adalah lumrah yang akrab
kita tidak pernah jemu
menanti satu saat yang pasti
datang dengan sapa mesra
dan gamitan taubat
yang tidak terhambat
daripada terlambat.

Di sini
aku masih perlu menanti
dengan siaga yang hakiki
biarpun detik berangkatan
sudah tercegat
dalam senyuman.

Ghazali Lateh,
Kuching,
19/1/07

Dikelilingi buku-buku dan kertas

Hari-hari yang sibuk

Hari-hari seperti sangat singkat oleh sebab banyak perkara yang hendak dilakukan. Buku Siri Teks Rujukan PMR untuk terbitan 2008 masih banyak yang perlu dikerjakan. Minggu depan, pertandingan Pantun Menengah daerah Kuala Langat akan berlangsung. Tugas penyelaras, (menggantikan arwah Mohd Ismail Sarbini) memang menuntut perhatian yang bukan sedikit. Kiranya aku sedar betapa arwah telah melakukannya tanpa rungut dahulu. Dan aku mesti menjadikan tugasan ini sebagai wahana mematangkan diri dalam menguruskan sesuatu yang agak besar (kerana diri terlalu kerdil) jika dibandingkan dengan orang lain.

Minggu depan selama 3 hari perlu berada di Grand Continental, Kuala Lumpur - memberikan taklimat kepada pegawai-pegawai Bahagian Buku Teks iaitu kaedah penggunaan buku Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3. Selepas itu membuat persediaan untuk ceramah teknik mengarang di SMK Jugra. Aku bangga kerana ada juga pihak yang mahu menghargai kaedah mengarang ciptaanku sendiri. Sekurang-kurangnya, aku ingin menyebarkan ilmu yang sedikit ini ke arah kebaikan semua pihak. IsyaAllah aku akan melaksanakan tanggungjawab yang sebaik mungkin.

RAYA 2026